Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Mengagihkan Bahagian-bahagian Selain Daging Binatang Korban

Soalan: Bolehkah selain daripada daging binatang yang dikorbankan seperti hati, lidah, paru-paru dan tulang-tulangnya diagih-agihkan?

Jawapan: Hukum Berkorban

Hukum berkorban adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut) bagi orang Muslim yang merdeka, bâligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya.

Berkorban boleh menjadi wajib jika korban itu dinazarkan. Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:

Ertinya: (Dan sesiapa bernazar) korban (yang telah ditentukan) contohnya dengan berkata: “Kerana Allah wajib ke atasku melakukan korban dengan lembu ini”, atau “aku jadikannya sebagai korban” atau “inilah korban” atau “wajib ke atasku melakukan korban dengannya (binatang) walaupun tanpa menyebut “kerana Allah Ta‘ala”, (korban itu wajib) kerana hilang pemilikannya (dengan sebab nazar), (dan wajib ke atasnya menyembelihnya (binatang) pada waktu itu).

Bagi menjawab persoalan di atas, mengenai pengagihan bahagian-bahagian lain selain daripada daging seperti hati, paru-paru dan tulang, perlu dilihat adakah korban itu korban wajib atau korban sunat dan dilihat juga kepada siapa ia diagihkan.

Korban Wajib

Orang yang berkorban wajib (nazar) haram baginya memakan daging korbannya. Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan haram seseorang memakan daripada sembelihan udhhiyyah (binatang korban) atau sembelihan hadyu yang wajib dengan nazarnya.

Menurut al-‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar ad-Dimyathi al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn, orang yang berkorban wajib (nazar), wajib menyedekahkan kesemua korbannya termasuk tanduk dan kuku. Jika dia memakan sesuatu daripada daging korbannya maka dia dikenakan denda dengan menggantikannya (daging yang dimakan itu) kepada orang-orang fakir.

Ibnu al-Qasim al-‘Izzi Rahimahullâh berkata ketika mensyarahkan matan Abu Syuja‘:

Ertinya: (Dan tidak boleh orang yang berkorban memakan sesuatu daripada sembelihan korban yang dinazarkan) bahkan wajib ke atasnya menyedekahkan kesemua daging korbannya.

Menurut asy-Syaikh Ibrahim al-Bajuri Rahimahullâh, dalam syarahnya terhadap perkataan Ibnu al-Qasim al-‘Izzi Rahimahullâh di atas, telah menghuraikannya dengan berkata:

Ertinya: (Bahkan wajib ke atasnya menyedekahkan kesemua daging korbannya) yakni; termasuklah kulitnya dan tanduknya. Jika dia berkata: “(kesemuanya)… adalah lebih utama (aulâ); kerana sesungguhnya dia wajib menyedekahkan kesemua bahagiannya.”

Maka berdasarkan penjelasan di atas, orang yang berkorban wajib (nazar), wajib menyedekahkan kesemua daging korbannya termasuklah semua bahagiannya seperti kulit, tanduk, kuku, lidah, hati, paru-paru dan tulang-tulangnya kepada orang-orang fakir atau miskin.

Korban Sunat

Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyatakan bahawa harus bagi orang yang berkorban sunat itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian; satu pertiga untuk dimakan, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.

Namun yang afdhalnya adalah disedekahkan kesemuanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya dan afdhal yang dimakan itu ialah hatinya, kerana telah diriwayatkan dalam hadits bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah makan daripada hati binatang korbannya.

Adapun bahagian yang wajib disedekahkan kepada orang fakir atau miskin itu disyaratkan hendaklah ia daging yang mentah. Ini bererti tidak memadai jika daging tersebut dimasak kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya kerana hak orang-orang fakir itu adalah memiliki daging tersebut bukan pada memakan daging berkenaan dan mereka bukan memilikinya dalam keadaan yang telah dimasak. Begitu juga tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu selain daging seperti kulit, perut, hati, limpa dan sebagainya.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Wajib (orang yang berkorban) memberi milik kepada (orang fakir atau miskin) daging korbannya yang mentah lagi lembut, bukan daging yang didendeng (daging tipis yang dirempahi dan dikeringkan) dan tidak memadai apa yang bukan dinamakan daging.

Syihabuddin Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi Rahimahullâh ketika mensyarahkan perkataan asy-Syaikh Jalaluddin al-Mahalli berkata:

Ertinya: (Tidak memadai daripadanya kulit) dan selainnya seperti perut, paru-paru, hati dan telinga walaupun ia daripada daging.

Oleh itu, orang yang berkorban sunat, wajib menyedekahkan sebahagian korbannya yang berupa daging kepada fakir atau miskin. Begitu juga halnya, jika memberi atau menghibahkan kepada orang kaya, maka yang diberikan itu hendaklah juga daripada bahagian daging korban tersebut. Akan tetapi pemberian berupa daging tersebut tidaklah merupakan suatu kewajipan sebagaimana yang ditekankan ulama dalam mengagihkan daging korban kepada fakir atau miskin.

Kesimpulan

Maka berdasarkan penjelasan di atas, orang yang berkorban wajib (nazar), wajib menyedekahkan kesemua korbannya; dagingnya, kulitnya, tanduknya dan bahagian-bahagian lain kepada fakir atau miskin.

Manakala orang yang berkorban sunat pula, wajib menyedekahkan bahagian yang wajib kepada fakir atau miskin iaitu daging mentah. Tidak memadai menyedekahkan kepada fakir atau miskin itu selain daging (bukan daging) seperti kulit, tanduk dan bahagian-bahagian lain seperti perut, hati, limpa, paru-paru, tulang dan sebagainya sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama. Tetapi jika dia telah memberikan hak fakir miskin berupa daging mentah tersebut, maka tidak mengapa dia mengagihkan bahagian-bahagian yang lain daripada binatang korban sebagai tambahan kepada daging mentah berkenaan kerana dia telah melaksanakan kewajipan menyedekahkan daging yang mentah untuk dimiliki oleh orang fakir atau miskin. Ini bererti bahagian selain daging tersebut seperti hati, paru-paru dan tulang sebagaimana pertanyaan di atas adalah harus diagihkan sama ada kepada fakir atau miskin atau orang kaya dan akan diberi pahala juga atas pengagihan tersebut kerana yang diagihkan itu juga dapat dimanfaatkan oleh orang yang menerimanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12683