Mengumpul dan Memakai Tongkat
Soalan: Apakah hukum memakai tongkat dan bolehkah mengumpul tongkat sebagai koleksi?
Jawapan: Pengertian Tongkat Tongkat menurut Kamus Dewan ialah sekerat rotan (kayu dan lain-lain) yang dipegang ketika berjalan (untuk menyokong dan lain-lain). Tongkat disebut dalam bahasa Arab dengan pelbagai nama antaranya; al-harbah, al-‘anazah, al-‘asha, al-minsa’ah, an-naizik, al-‘alah dan al-mihjan. Kesemua perkataan ini memberi makna yang sama iaitu tongkat tetapi terdapat perbezaan di antara kesemuanya iaitu dari segi bentuk dan ukuran.
Memakai Tongkat Sunnah Para Nabi Dalam kitab Subul al-Huda wa ar-Rasyâd disebutkan bahawa para nabi ‘Alaihimussalâm sebelum Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, memakai tongkat. Diriwayatkan daripada Abu al-Mutsanna al-Amluki Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para nabi ‘Alaihimussalâm sebelum Baginda, berjalan sambil memegang tongkat bertelekan padanya, kerana tawâdhu‘ (merendah diri) kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa Nabi Musa ‘Alaihissalâm memakai tongkat, antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apakah yang ada di tangan kananmu itu wahai Musa? Nabi Musa berkata: “Ia tongkatku, aku bertelekan padanya (ketika berjalan) dan aku memukul daun-daun kayu dengannya (untuk makanan) kambingku dan bagiku pada tongkat itu ada lagi kegunaan-kegunaan lain.” (Surah ThâHâ: 17-18)
Ibnu Katsir Rahimahullâh dalam kitab tafsirnya mentafsirkan firman Allah Ta‘ala: “” bermaksud Nabi Musa ‘Alaihissalâm menjadikan tongkatnya sebagai tempat untuk bertelekan atau bertumpu ketika berjalan. Adapun firman Allah Ta‘ala: “” bermaksud Nabi Musa ‘Alaihissalâm menggunakan tongkatnya memukul pokok supaya gugur daunnya, untuk memudahkan kambing-kambingnya makan daun-daun tersebut. Beliau juga menjelaskan bahawa perkataan dalam ayat di atas bermaksud ada beberapa kemashlahatan, manfaat dan keperluan lain selain itu.
Manakala perihal Nabi Sulaiman ‘Alaihissalâm memakai tongkat ada disebutkan dalam al- Qur’an, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Setelah Kami tetapkan kewafatan Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kewafatannya melainkan makhluk yang melata di bumi (anai-anai) yang memakan tongkatnya. Maka apabila dia tersungkur, tahulah jin bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak berada dalam azab yang menghinakan. (Surah Saba’: 14)
Imam Ibnu Jarir ath-Thabari Rahimahullâh dalam kitab tafsirnya mentafsirkan perkataan “منشأته” dalam ayat di atas iaitu tongkat yang asalnya digunakan untuk menggembala atau menggiring kambing biri-biri.
Nabi Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam Memakai Tongkat
Selain daripada nabi-nabi ‘Alaihimussalâm sebelum Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda juga pernah memakai tongkat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir. Abu Umamah al-Bahiliy Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan dengan berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam keluar menemui kami dalam keadaan berpegang atau bertelekan pada tongkat. (Hadits riwayat Abu Daud)
Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga memakai tongkat ketika Baginda menyampaikan khutbah. Perkara ini ada dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan daripada al-Hakam bin Hazan al-Kulafiy Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Kami tinggal (bermuqîm) di Madinah beberapa hari, dan kami menyaksikan hari Jumaat (bersembahyang) bersama-sama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu Baginda pun berdiri sambil bertelekan dengan tongkat atau busur sambil Baginda memuji Allah dengan perkataan-perkataan yang ringkas, baik lagi diberkati. (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Umm:
Ertinya: Telah sampai kepada kami (berita) bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika berkhutbah, Baginda berpegang pada tongkat. Ada yang mengatakan, Baginda berkhutbah dengan bertumpu pada ‘anazah (tongkat) dan (ada yang mengatakan dengan) busur, semua itu memberi maksud bertumpu.
Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh di dalam kitab al-Umm juga ada meriwayatkan daripada Ibrahim ‘Atha’ Radhiallâhu ‘anhu dengan berkata:
Ertinya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila berkhutbah, Baginda berpegang pada ‘anazah (tongkat) Baginda iaitu bertumpu (pada tongkat tersebut).
Oleh yang demikian, adalah disunatkan khatib memegang tongkat ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut di dalam kitab al-Majmû‘:
Ertinya: Disunatkan memegang busur, pedang, tongkat atau yang seumpamanya terhadap penjelasan yang lalu (ketika menyampaikan khutbah Jumaat).
Selain itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga menjadikan tongkat Baginda sebagai penghadang (sutrah) semasa Baginda bersembahyang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Maka aku melihat Bilal datang dengan membawa tongkat dan memacakkan tongkat tersebut, kemudian dia melaungkan iqâmah untuk sembahyang, lalu aku melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam keluar dengan menyingsingkan pakaiannya, lalu Baginda sembahyang dua rakaat menghadap tongkat (tersebut), dan aku melihat orang ramai dan binatang-binatang tunggangan lalu di hadapan Baginda di belakang tongkat (tersebut). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ pula meriwayatkan:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, apabila Baginda sembahyang Hari Raya atau selain Hari Raya, ditegakkan al-harbah (tongkat) di hadapan Baginda, maka Baginda pun sembahyang menghadap tongkat itu dan orang ramai mengikut sembahyang dari belakang Baginda. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Oleh yang demikian, meletakkan tongkat adalah disunatkan ketika bersembahyang di kawasan terbuka seperti padang pasir atau di bukit. Imam al-Mawardi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitabnya al-Hâwi al-Kabîr:
Ertinya: Disunatkan bagi siapa yang sembahyang di padang pasir atau di atas bukit menegakkan (memacakkan) di hadapannya tongkat atau meletakkan batu dan menghadapnya dalam sembahyangnya.
Maka berdasarkan penjelasan di atas, sebagaimana nabi-nabi ‘Alaihimussalâm yang sebelumnya, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga memakai tongkat. Baginda bertongkat ketika Baginda berkhutbah dan menjadikan tongkatnya sebagai sutrah. Baginda juga pernah membawa tongkat bersama-samanya ketika Baginda berjalan untuk menemui sahabat Baginda.
Kegunaan Tongkat
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân bahawa kegunaan tongkat itu banyak dan ia mempunyai tempat atau kedudukan di dalam syariat, antaranya ialah: Tongkat dijadikan tanda arah qiblat di padang pasir. Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mempunyai ‘anazah (tongkat) yang dipacakkan untuk Baginda, lalu sembahyang ke arahnya. Apabila Baginda keluar pada Hari Raya, Baginda memerintahkan untuk diambilkan harbah (tongkat) lalu diletakkan di hadapan Baginda dan kemudian Baginda sembahyang ke arahnya.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga mempunyai mihjan iaitu tongkat yang pangkalnya bengkok yang Baginda gunakannya untuk menyentuh al-Hajar al-Aswad apabila Baginda mengerjakan thawaf dengan menggunakan unta. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan thawaf semasa haji Wada‘ di atas unta serta Baginda menyentuh rukun (Hajar al-Aswad) dengan menggunakan tongkat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitab tafsirnya juga ada menukilkan kata Imam al- Hasan al-Bashri Rahimahullâh mengenai kelebihan tongkat, beliau berkata:
Ertinya: Terdapat padanya (penggunaan tongkat) itu enam perkara, iaitu; sunnah para nabi, perhiasan bagi orang-orang salih, senjata terhadap musuh, pembantu bagi orang yang lemah, kedukaan/kesedihan orang-orang munafiq dan penambah ketaatan.
Hukum Memakai Tongkat
Tongkat mempunyai banyak kegunaan, manfaat dan keistimewaan sebagaimana dijelaskan oleh para ulama dan telah tsabit bahawa para nabi ‘Alaihimussalâm termasuk juga Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada menggunakan tongkat. Persoalannya adakah kita disuruh atau disunatkan memakai tongkat, kerana perbuatan Nabi yang pernah menggunakan tongkat?
Imam al-Mawardi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Hâwi al-Kabîr menjelaskan bahawa perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pertama ialah perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang tiada berkaitan dengan agama dan keduanya ialah perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang mempunyai kaitan khusus dengan agama.
Perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang tidak ada kaitan dengan perkara agama ialah seperti perbuatan makan, minum, pakai dan tidur Baginda. Perbuatan Baginda yang seumpama ini menunjukkan tentang keharusannya bukannya wajib, kerana perbuatan-perbuatan Baginda dalam hal ini sama ada ia dianggap sebagai perbuatan yang baik (hasan) atau perbuatan yang harus dan Baginda tidak akan melakukan perbuatan yang buruk (qabîh) dari segi akal atau perbuatan yang makruh dari segi syara‘. Oleh itu, mengikut atau mencontohi perbuatan Nabi dalam hal ini adalah lebih diberkati daripada menyalahinya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) Hari Akhirat serta banyak berzikir mengingat Allah. (Surah al-Ahzâb:21)
Adapun perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang mempunyai kaitan khusus dengan agama dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu yang pertama ialah apa yang diperintahkan untuk kita mengikutinya seperti mengikut cara Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sembahyang, keduanya ialah apa yang dilarang untuk kita mengikutinya seperti larangan puasa wishâl (meneruskan menahan makan dan minum pada malam hari tanpa berbuka di antara dua hari puasa) dan yang ketiga ialah apa yang tidak terdapat padanya perintah atau larangan mengenainya, maka mengikuti perbuatan itu adalah disunatkan.
Manakala Imam asy-Syaukani Rahimahullâh dalam kitabnya Irsyâd al-Fuhul ilâ Tahqîq al- Haqq min ‘Ilm al-Ushûl pula menjelaskan bahawa perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian, salah satunya ialah perbuatan yang tidak ada kaitan dengan ibadat dan ia jelas merupakan tabiat semulajadi sebagai seorang manusia (jibillah) seperti berdiri, duduk dan seumpamanya. Maka tidak ia menjadi ikutan mahupun teladan, akan tetapi ia menunjukkan keharusan sahaja untuk diikuti menurut pendapat jumhûr ulama. Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani Rahimahullâh menukilkan daripada sebilangan ulama berpendapat bahawa ia adalah mandûb (sunat mengikutinya). Pendapat yang sama juga disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab al-Mankhul. ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ merupakan seorang yang dikenali memberikan perhatian mengikuti perbuatan-perbuatan Nabi seumpama ini dan meneladaninya sebagaimana tersebut dalam kitab-kitab hadits.
Maka berdasarkan penjelasan di atas, perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memakai tongkat selain ketika Baginda berkhutbah dan dijadikan sebagai sutrah ketika sembahyang adalah perkara jibillah (tabiat semulajadi sebagai seorang manusia) yang tidak berkaitan dengan urusan agama ataupun ibadat. Walau bagaimanapun ia harus dijadikan ikutan oleh orang-orang Islam kerana pada diri Baginda ada contoh teladan yang baik dan mengikut perbuatan-perbuatan Baginda itu lebih mendatangkan keberkatan.
Adapun mengenai mengumpul koleksi tongkat tidaklah dilarang dalam Islam selagi mana ia tidak membawa kepada pembaziran atau mengaitkannya dengan kepercayaan-kepercayaan yang menyalahi aqidah Islam seperti menganggapnya membawa tuah dan sebagainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12687
