Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Mewarnakan Kuku Menggunakan Pengilat Kuku atau Cutex

Soalan: Apakah hukum mewarnakan kuku menggunakan pengilat kuku atau cutex?

Jawapan: Sudah menjadi fitrah semula jadi bagi kaum wanita suka kepada kecantikan dan suka menghias diri agar kelihatan nampak cantik dan menawan. Islam sendiri tidak melarang sepenuhnya wanita untuk berhias malah menganjurkan agar sentiasa memperelok dan memperindahkan diri kerana berhias itu adalah sesuatu yang harus selama ia tidak melampaui batasan syara‘. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): “Siapakah yang mengharamkan pakaian dan perhiasan yang disediakan oleh Allah bagi hamba-hambaNya dan rezeki yang baik-baik (lagi halal)?” (Surah al-A‘râf: 32)ُُ

Adapun berhias tidak hanya terbatas pada penggunaan sesuatu barang tertentu sahaja, malah ia mencakupi segala macam bentuk perhiasan bermula daripada pakaian, alat-alat aksesori seperti gelang, rantai, cincin dan sebagainya hinggalah pada penggunaan bahan dan juga alat berhias seperti alat-alat solek, minyak wangi, pengilat kuku dan seumpamanya bagi tujuan untuk menghias dan mencantikkan penampilan diri. Menurut asy-Syaukani Rahimahullâh, perhiasan itu ialah sesuatu yang digunakan untuk berhias dengannya seperti pakaian atau selainnya daripada sesuatu yang diharuskan seperti bahan-bahan logam, barangan kemas dan seumpamanya.

Adalah tidak menjadi kesalahan memakai pakaian dan berhias dengan sesuatu yang berkualiti dan mahal, asalkan ia tidak ditegah oleh syara‘ sepertimana yang dinyatakan oleh asy- Syaukani Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Qadîr:

Ertinya: Maka tidak salah ke atas sesiapa yang memakai pakaian bagus yang bernilai mahal jika ia bukan daripada apa yang diharamkan oleh Allah, dan tidak salah ke atas sesiapa yang berhias dengan sesuatu daripada apa jua barang yang tergolong dalam maksud perhiasan dan ia tidak ditegah oleh syara‘.

Malah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menginginkan agar segala ni‘mat yang dianugerahkan ke atas hambaNya itu dizahirkan sama ada pada makanannya, pakaiannya atau penampilannya. Ini adalah sebagai tanda syukur di atas segala ni‘mat yang telah diterimanya sebagaimana yang digambarkan menerusi hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Hushain Rahimahullâh, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang dikurniakan Allah ke atasnya ni‘mat, maka sesungguhnya Allah suka untuk diperlihatkan kesan ni‘matNya ke atas ciptaanNya. (Hadits riwayat Ahmad)ُ

Walau bagaimanapun, dalam hal berhias ini Islam memberikan garis panduan dan pensyaratan yang perlu dipatuhi agar maksud dan tujuan pengharusan berhias itu sesuai dengan kehendak syariat seperti niat dan tujuan berhias hendaklah betul, tidak menggunakan bahan atau alat yang dilarang dalam Islam, tidak mempamerkannya selain untuk suaminya dan tidak berlebih-lebihan dalam berhias sehingga menarik perhatian lelaki lain.

Oleh kerana itu, sebelum menjawab persoalan berhias dengan pengilat kuku atau cutex ini, beberapa perkara perlu dilihat terlebih dahulu iaitu hukum mewarnakan tangan atau hujung jari sebagai cara berhias, kesucian alat atau bahannya serta adakah ia mengandungi jirim (bahan yang mengisi ruang dan mempunyai jisim) yang boleh menghalang air daripada sampai ke permukaan kuku?

Hukum Mewarnakan Tangan

Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa hukum berhias itu pada asalnya mubâh atau harus selagimana ia berlandaskan kehendak syariat. Namun hukum berhias bagi perempuan itu selain daripada ia bergantung pada niat, cara dan bahan atau alat perhiasan, status bagi seorang perempuan itu juga boleh mempengaruhi hukum berhias. Umpamanya hukum berinai atau berpacar bagi perempuan yang bersuami adalah berbeza dengan perempuan yang tidak bersuami, adakalanya sunat, adakalanya makruh dan bahkan adakalanya haram.

1. Sunat berinai.

Sunat berinai bagi perempuan yang bersuami atau tidak bersuami, sama ada tua atau muda apabila tujuan pemakaiannya itu adalah untuk melakukan ihrâm.

Begitu juga sunat berinai bagi perempuan yang bersuami sekalipun tujuan berhias itu bukan untuk melakukan ihrâm, kerana seorang isteri disunatkan berhias untuk suami pada setiap waktu dan berinai merupakan salah satu cara berhias dan bercantik-cantik.

Perkara ini ada dinyatakan oleh para ulama asy-Syafi‘iyyah:

Ertinya: Jika perempuan itu mempunyai suami, maka adalah disunatkan baginya berinai pada setiap masa, kerana berinai itu adalah satu perhiasan dan kecantikan dan dia (isteri) disunatkan berhias dan berdandan untuk suaminya pada setiap waktu.

2. Makruh berinai.

Perempuan yang tidak bersuami adalah makruh berinai apabila dia tidak bermaksud untuk melakukan ihrâm kerana ditakuti akan menimbulkan fitnah sepertimana menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh:

Ertinya: Dan disunatkan juga berinai bagi perempuan yang tidak bermaksud untuk melakukan ihrâm jika dia bersuami dan jika tidak bersuami maka adalah dimakruhkan.

3. Haram berinai.

Haram berinai apabila pemakaiannya tidak mengikut cara yang dibenarkan oleh syara‘ seperti berinai dengan menggunakan warna hitam. Begitu juga haram berinai bagi perempuan yang berkabung kerana kematian suami.

Adapun cara pemakaian inai yang dibenarkan oleh syara‘ itu ialah dengan cara mewarnakan seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangannya dan seluruh dua telapak kaki sepertimana yang dijelaskan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan disunatkan [mewarnakan bagi perempuan] selain perempuan yang berkabung [untuk tujuan berihrâm] iaitu kerana keinginannya melakukan ihrâm [tangannya] iaitu seluruh tangannya hingga ke pergelangan sahaja dengan inai.

Walau bagaimanapun, cara berinai sepertimana yang disyariatkan ini bukan lagi menjadi pilihan pada masa ini dalam menghias tangan atau kaki mereka. Sudah menjadi trend yang meluas bagi para wanita yang hanya menginai tangan mereka di hujung-hujung jari atau mengukirnya dengan pelbagai bentuk mengikut kreativiti masing-masing. Bukan hanya setakat itu, malah ada juga yang gemar menginai dengan menggunakan warna hitam dan mewarnakannya di permukaan kuku sahaja, malah sudah menjadi trend sekarang mewarnakan kuku mereka dengan bahan selain inai atau yang dipanggil sebagai pengilat kuku atau cutex. Namun persoalannya di sini apakah berinai dengan cara sedemikian dan menggunakan selain daun inai termasuk sebagai cara berhias yang diharuskan syara‘?

Mewarnakan Hujung Jari dan Mengukir Tangan dengan Inai

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh berinai di hujung-hujung jari dan membuat ukiran di tangan adalah haram sepertimana menurut beliau dalam kitab Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan tidak disunatkan baginya (perempuan yang bersuami) berinai dengan membuat ukiran dan berinai dengan warna hitam dan berinai di hujung-hujung jari dan memerahkan pipi (dengan inai), bahkan haram melakukan salah satu daripada cara sedemikian bagi perempuan yang tidak bersuami dan bagi isteri yang tidak mendapat keizinan suaminya.

Namun pengharaman sepertimana yang disebutkan dalam nash tersebut menurut Ibnu ar- Rif‘ah Rahimahullâh ialah jika menginai di hujung-hujung jari dengan menggunakan warna inai yang dicampur dengan warna hitam. Manakala jika hanya menggunakan warna inai iaitu merah semata-mata, maka ia tidaklah ditegah. Begitu juga menurut Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh adalah tidak ditegah membuat ukiran di tangan dengan hanya menggunakan warna inai sahaja tanpa dicampur dengan warna hitam daripada bahan yang lain.

Dari itu, adalah tidak haram bagi perempuan yang bersuami mahupun yang tidak bersuami menginai di hujung-hujung jari mereka atau membuat bentuk ukiran selagimana ia tidak diwarnakan dengan warna hitam. Namun menginai dengan cara sedemikian adalah makruh bagi kedua-duanya dan makruh menginai dengan warna hitam bagi perempuan yang mendapat keizinan suaminya.

Selain daripada perkara mengenai mengukir dan mewarnakan di hujung-hujung jari, timbul lagi persoalan lain iaitu adakah boleh menggunakan bahan selain daun inai?

Menggunakan Bahan Selain Daun Inai

Mewarnakan hujung-hujung jari atau membuat ukiran menggunakan bahan selain daun inai, para ulama ada menjelaskan mengenainya di mana menurut Imam ar-Ramli al-Kabir Rahimahullâh ketika ditanya oleh Ibnu Zhahirah al-Bulqini mengenai hukum perempuan yang berdye secara umum dengan sejenis pokok atau tumbuhan, adakah ia diharuskan atau hukumnya berbeza di antara orang yang berkewajipan sembahyang ataupun tidak, beliau menjawab:

Ertinya: Bahawasanya mewarnakan sepertimana yang disebutkan (menggunakan bahan tumbuhan lain selain inai) yang menutupi jirim kulit, jika ia tidak boleh dihilangkan dengan air ketika bersuci yang disebutkan (berwudhu’ dan mandi hadats besar) maka adalah haram melakukannya sebelum dan sesudah masuk waktu (sembahyang) dan ia hampir sama dengan perkara yang kita utarakan mengenai sengaja mengotori badan dengan najis dalam keadaan tidak ada air yang dengannya dapat menghilangkan najis.

Manakala Imam asy-Syarwani menukilkan apa yang dikatakan oleh al-Bulqini Rahimahumallâh:

Ertinya: Bahawasanya apa yang menutupi kulit dengan jirimnya jika dapat dihilangkan ketika bersuci yang wajib (seperti berwudhu’ dan mandi hadats besar) ia tidak ditegah (menggunakannya) dan jika tidak (tidak dapat dihilangkan) adalah haram (menggunakannya) sebelum dan selepas waktu (waktu diwajibkan sembahyang).

Berdasarkan kenyataan ini, penggunaan apa jua bahan selain daun inai tidaklah ditegah asalkan jirim pada bahan tersebut tidak menghalang air sampai ke permukaan kulit. Malah menurut Imam ar-Ramli al-Kabir Rahimahullâh sepertimana yang dikatakan oleh para al-ashhâb bahawa dye yang diharuskan penggunaannya itu ialah dye yang tidak menghalang air sampai ke permukaan kulit ataupun yang menghalanginya namun ia boleh dihilangkan apabila dibersihkan. Hal ini ada disebutkan dalam kitab Asnâ al-Mathâlib:

Ertinya: Dan yang dimaksudkan oleh para al-ashhâb dengan dye (mewarnakan) yang diharuskan ialah yang tidak menghalang air dari sampai ke permukaan kulit ataupun yang menghalangnya akan tetapi ia dapat dihilangkan ketika bersuci yang wajib.

Secara ringkasnya, pengharusan mewarnakan sama ada mewarnakan keseluruhan tangan atau di hujung jari atau membuat bentuk ukiran tidak hanya terhad dengan daun inai semata-mata. Oleh itu, penggunaan apa jua bahan tidaklah ditegah dan maksud tidak ditegah itu pula bukanlah bermakna ia diharuskan semata-mata. Bahkan ia tertakluk kepada warna dan bahan yang digunakan, iaitu:

1. Warna yang digunakan hendaklah berwarna inai iaitu merah. Mewarnakan tangan atau hujung-hujung jari dengan selain warna inai iaitu hitam adalah haram walau dalam apa jua bentuk dan cara sekalipun. Ia adalah haram bagi perempuan yang tidak bersuami dan perempuan yang tidak mendapat keizinan suami.

2. Bahan yang terkandung dalam dye bukan daripada sesuatu yang najis.

3. Jirim bahan tersebut tidak menghalang air dari sampai ke permukaan kulit (ketika berwudhu’ atau mandi hadats besar) atau ia menghalanginya tetapi boleh hilang apabila dibersihkan.

Mewarnakan Kuku Menggunakan Pengilat Kuku atau Cutex

Pengilat kuku atau cutex merupakan salah satu lagi bentuk perhiasan dalam memperindah dan mempercantikkan diri wanita. Cara penggunaan cutex sepertimana yang dimaklumi adalah dengan mewarnakan permukaan kuku dengan bermacam bentuk ukiran dan warna. Namun adakah cara berhias seperti ini diharuskan syara‘?

Sebilangan orang mungkin cenderung mengatakan bahawa menggunakan pengilat kuku atau cutex itu adalah harus. Ini kerana mungkin disebabkan penggunaan cutex adalah sama seperti inai di mana warna yang digunakan bukanlah bersifat kekal. Sekalipun cutex bersifat kedap air di mana ia menghalang air sampai ke permukaan kuku, namun ia boleh ditanggalkan bila-bila masa apabila dibersihkan dengan bahan pencucinya. Mungkin disebabkan inilah ia dijadikan alasan untuk harus menggunakannya. Apatah lagi sebilangan ulama mengharuskan penggunaan bahan lain selain daun inai selagimana ia boleh hilang apabila dibersihkan.

Namun begitu, sekalipun sifat pengilat kuku itu tidak terdapat padanya sebarang unsur yang boleh menegah seseorang untuk menggunakannya, akan tetapi apa yang tidak diketahui ialah perkara mewarnakan yang diharuskan syara‘ itu adalah mewarnakan keseluruhan pergelangan tangan dan makruh mengukir dan mewarnakan di hujung-hujung jari. Manakala pengilat kuku atau cutex pula, ia digunakan untuk mewarnakan hanya di permukaan kuku sahaja dengan pelbagai warna dan corak. Cara seperti ini bukanlah cara yang islamik dan tidak berdasarkan hukum Islam. Bahkan ia merupakan cara berhias yang dilakukan oleh para wanita bukan Islam dan telah menular dan menjadi ikutan para wanita Muslimah, sedangkan perbuatan tasyabbuh atau sengaja menyerupai orang bukan Islam itu sama ada dalam perkara yang berkaitan budaya, akhlak, gaya hidup mahupun dalam hal pakaian dan penampilan adalah dilarang. Ini kerana dengan melakukan perkara sedemikian ditakuti akan mendedahkan seseorang itu kepada suka dan cenderung hatinya untuk melakukan perkara-perkara yang menjadi amalan dan kebiasaaan orang bukan Islam yang bertentangan dengan syariat Islam. Perkara larangan tasyabbuh ini ada ditegaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits Baginda daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Baginda bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Oleh kerana itu, perilaku tasyabbuh iaitu sengaja menyerupai orang bukan Islam itu adalah jelas dilarang sehinggakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang berpuasa sunat pada hari Sabtu dan memerintahkan supaya mengiringinya dengan berpuasa sehari sebelum atau sesudahnya. Ini adalah bagi mengelakkan daripada menyerupai cara dan kebiasaan kaum Yahudi yang berpuasa hanya pada hari Sabtu sepertimana yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Busr al-Sulami daripada saudaranya Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu melakukan puasa di hari Sabtu melainkan pada apa yang difardhukan ke atas kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut al-Qisthalani Rahimahullâh tujuan larangan berbuat sedemikian adalah bagi mengelakkan orang Islam daripada menyerupai kebiasaan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Sabtu kerana mereka mengagungkan hari tersebut, manakala kaum Nashrani pula mengagungkan hari Ahad.

Oleh yang demikian, dalam perkara yang menjadi ciri khas mereka adalah dilarang mengikutinya umpamanya mencukur janggut dan hanya meninggalkan misai serta mengikuti model pakaian yang menjadi ciri khas orang bukan Islam. Begitu juga mewarnakan kuku dengan pelbagai warna dan corak ukiran, ia adalah menjadi ciri khas wanita bukan Islam dalam berhias.

Tambahan pula, bahan pengilat kuku atau cutex itu tidak diketahui adakah ia mengandungi sesuatu yang bercampur najis ataupun tidak. Menggunakan sesuatu yang mengandungi najis sama ada di dalam atau di luar sembahyang hukumnya adalah haram kerana seolah-olah secara sengaja melumurkan diri dengan najis dan perbuatan seperti ini adalah dilarang sama sekali jika ia dilakukan tanpa sebarang keperluan syar‘i.

Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, menjauhi sesuatu yang najis itu adalah wajib dilakukan sepertimana dinyatakan dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Maka jika tanpa ada sebarang keperluan, wajiblah ia (najis) dijauhi, kerana sesungguhnya apa yang haram ia dilakukan, wajiblah ia dijauhi.

Ini bererti setiap apa jua yang berupa najis wajib dihindari, tidak mengira sama ada ketika hendak melakukan ibadat sembahyang ataupun ketika di luar sembahyang, sama ada najis tersebut basah ataupun kering.

Kesimpulan daripada kenyataan ini, sekalipun sifat pengilat kuku atau cutex itu tidak kekal dan ia boleh dihilangkan apabila dibersihkan dan sekalipun jika bahannya itu tidak mengandungi najis, namun menggunakannya adalah dilarang. Ini kerana ia bukanlah cara berhias yang diharuskan syara‘, bahkan sebaliknya ia merupakan cara berhias yang menjadi kebiasaan wanita–wanita bukan Islam dan tasyabbuh dengan apa yang menjadi kebiasaan mereka itu adalah ditegah sama sekali untuk orang Islam. Tujuan tegahan tersebut adalah bagi mengelak daripada berlakunya kecenderungan hati kepada sesuatu yang menjadi kebiasaan, budaya dan bahkan agama bagi orang bukan Islam dan ini secara tidak langsung lambat-laun akan mengundang sesuatu yang akan menjejaskan aqidah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12691