Pelaut Wanita Sebagai Kerjaya
Soalan: Dengan hormatnya sukacita dimaklumkan bahawa pada tahun 2012 Kerajaan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Laut, Kementerian Perhubungan memulakan inisiatif untuk persediaan penandatangan Maritime Labour Convention (MLC 2006) bagi memudahkan keperluan kapal-kapal berdaftar di Negara Brunei Darussalam untuk memiliki satu sijil dokumen kepatuhan (Statement of Compliance) untuk tidak menyulitkan proses kebenaran kemasukan kapal-kapal Brunei Darussalam di pelabuhan-pelabuhan negara asing yang menguatkuasakan perundangan MLC 2006.
MLC 2006 mereka satu piawaian antarabangsa bagi industri maritim yang juga mengetengahkan isu-isu pelaut sejagat seperti gender equality di sektor perkapalan laut dan mempromosi pengambilan pekerja pelaut-pelaut wanita di atas kapal dagang.
Brunei Gas Carriers Sdn Bhd, syarikat milik Kerajaan beberapa tahun kebelakangan ini mulai mengambil kadet pegawai wanita untuk menyahut seruan local bussiness development bagi mengganti pekerja pelaut-pelaut asing ke pelaut-pelaut tempatan.
Kerjaya pelaut di atas kapal dagang ini memerlukan pengorbanan bermusafir bagi menghantar kargo-kargo seperti cecair gas asli ke negara-negara luar dalam satu jangka masa yang boleh melebihi tiga bulan.
Sehubungan dengan itu dipohonkan fatwa mengenainya.
Jawapan: Pada zaman ini ramai wanita berkerja atas berbagai sebab seperti membantu ekonomi keluarga, keperluan negara kepada sumber tenaga manusia dan sebagainya. Kaum wanita dan lelaki pada masa kini, sama-sama mempunyai peluang untuk berkerjaya.
Namun dalam hal kerjaya seorang wanita, kita perlu melihat kepada pandangan syara‘ yang telah menetapkan hukum-hakam tertentu yang bertujuan untuk memelihara maqâshid syar‘iyyah yang lima iaitu memelihara agama, jiwa, keturunan serta kehormatan, harta dan akal. Agama Islam telah mengajarkan bahawa sebaik-baik tempat bagi seorang wanita adalah rumahnya, manakala tugas yang pertama dan utama baginya ialah mengasuh dan mendidik anak-anaknya, menjaga rumahnya, membahagiakan suami dan membina keluarga bahagia berasaskan kasih sayang dan harmoni. Ini tanpa sebarang pertikaian adalah tugas yang besar dan mulia yang menjadi tanggungjawab seorang wanita.
Perkara ini dapat dilihat berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menyebutkan tentangnya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu sentiasa berada di rumah kamu dan janganlah kamu mendedahkan perhiasan kamu (yang wajib ditutup) seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah dahulu, dan dirikanlah sembahyang, bayarlah zakat dan taatlah kepada Allah dan RasulNya. (Surah al-Ahzâb: 33)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya bahawa Dia menciptakan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa senang kepadanya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). (Surah ar-Rum: 21)
Manakala dalam sebuah hadits daripada ‘Abdullah, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wanita itu aurat, maka apabila dia keluar, syaitan akan memuliakannya. Dan sedekat-dekat seorang wanita dengan Tuhannya ialah apabila dia tetap di rumahnya. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Dalam hadits yang lain, juga daripada ‘Abdullah Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang seorang wanita di dalam bilik rumahnya adalah lebih afdhal daripada sembahyangnya di ruang lapang rumahnya, dan sembahyangnya di bilik peribadinya lebih afdhal daripada sembahyangnya di dalam rumahnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sungguhpun dalil daripada al-Qur’an dan hadits di atas ini menyatakan bahawa tanggungjawab utama serta tempat terbaik wanita itu adalah di rumahnya, ini tidak bermakna wanita dilarang sama sekali untuk bekerja kerana tidak ada nash syara‘ yang tsabit mengenainya.
Secara dasarnya wanita adalah diharuskan bekerja di luar rumah dan ada kalanya tuntutan itu satu keperluan jika keadaan menghendakinya meskipun ia tidak wajib. Misalnya keperluan untuk mencari nafkah bagi janda atau perempuan yang dithalaq yang tidak ada sumber nafkah atau kekayaan. Adakalanya wanita perlu bekerja kerana keluarganya tidak mampu untuk menyara keperluan hidupnya sedangkan dirinya mampu dan berdaya untuk mendapatkan pencariannnya sendiri. Maka dalam keadaan seumpama ini bekerja di luar rumah itu adalah lebih baik baginya daripada hidup merempat meminta-minta, mengharapkan belas kasihan orang lain, selama mana kerja tersebut tidak mencemarkan kemuliaan diri dan agamanya.
Bahkan ada juga kerjaya tertentu yang khusus dilakukan oleh kaum wanita bagi memenuhi keperluan para wanita lain umpamanya doktor sakit puan, jururawat, bidan dan selainnya.
Sebenarnya keharusan kaum wanita bekerja itu adalah tertakluk kepada bentuk tugas yang dilakukannya apabila memegang suatu jawatan tertentu. Dalam perkara ini terdapat beberapa syarat yang mesti diambil kira dalam menilai kesesuaian kerjaya seorang wanita berdasarkan hukum syara‘. Antara syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
i. Perlantikan wanita untuk memegang sesuatu jawatan itu hendaklah tidak menjurus kepada perlanggaran hukum syara‘ seperti kerjanya itu menghendaki wanita itu melakukannya bersama-sama dengan lelaki di tempat yang sunyi dan terasing daripada orang lain, umpamanya kerja itu dilakukan dalam sebuah bilik yang hanya diisi oleh seorang lelaki dan seorang perempuan. Tugas tersebut jelas bertentangan dengan prinsip Islam sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam sabdanya:
Maksudnya: Hendaklah jangan seorang lelaki itu bersunyi-sunyi dengan seorang perempuan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
ii. Kerjaya tersebut hendaklah bukan kerjaya yang menghendaki perempuan itu belayar keluar negara bersendirian tanpa ditemani oleh suaminya atau mahramnya atau sekumpulan perempuan yang diyakini amanah dan dapat mengawal kesejahteraannya serta mengelakkannya daripada perkara-perkara mungkar, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Janganlah seseorang perempuan itu melakukan pelayaran kecuali bersama mahramnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
iii. Kerjaya itu tidak menyebabkan seseorang wanita itu mendedahkan auratnya. Menurut Islam apabila seseorang wanita itu keluar rumah hendaklah dia menutup aurat serta memenuhi adab-adab Islam seperti firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
(a)
Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan kedua-dua telapak tangan) dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka. (Surah an-Nûr: 31)
(b)
Tafsirnya: Dan janganlah mereka menghentakkan kaki supaya diketahui orang perhiasan mereka yang tersembunyi. (Surah an-Nûr: 31)
(c)
Tafsirnya: Maka janganlah kamu berkata-kata dengan suara lembut manja (semasa bercakap dengan laki-laki asing) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan berkatalah dengan kata-kata yang baik (lagi sopan). (Surah al-Ahzâb: 32)
iv. Jawatan yang disandang seorang wanita itu mestilah sesuai dengan kemampuan fizikal dan naluri/fitrah semula jadi kewanitaannya. Tugas-tugas yang lasak adalah tidak sesuai dengan wanita kerana fitrah semula jadi mereka adalah lemah lembut. Sekalipun kerja-kerja lasak itu dianggap oleh orang lain sebagai kerjaya yang mencabar dan mampu menampakkan kegagahan, daya saing dan kehandalan.
v. Bagi wanita yang bersuami pula dimestikan kerjaya yang akan dilakukan itu mendapat restu dan izin daripada suaminya, iaitu apabila tugas tersebut menghendakinya keluar rumah. Suami berhak menghalangnya daripada bekerja sekiranya kerja itu boleh menyebabkan seorang isteri itu cuai pada menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Suami lebih berhak menegah isterinya bekerja sekiranya pekerjaan itu mengundang kepada fitnah atau boleh berlaku fitnah, seperti pekerjaan yang tiada batasan agama atau adab sopan di dalam bentuk campur gaul yang bebas di antara lelaki dan perempuan, sama ada ia berlaku di daratan, apatah lagi di laut ataupun di mana-mana saja. Jika terdapat unsur-unsur begini atau ghâlib zhann fitnah itu mungkin berlaku, maka kedudukan suami cukup jelas iaitu wajib dia menegahnya. Jika tidak, suami itu akan dianggap dayus, sedangkan orang dayus tiada mencium bau syurga.
Manakala bagi wanita yang belum bersuami pula dikehendaki mendapat izin dan kebenaran daripada pihak walinya.
Penjelasan Mengenai Pelaut Wanita yang Bermusafir Sebagai Kerjaya
Apabila dilihat kepada sifat kerjaya sebagai seorang pelaut, memerlukan seseorang itu mengikuti pelayaran secara rutin dalam tempoh yang panjang dan meninggalkan keluarga. Berada di atas kapal pelayaran dalam tempoh seumpama itu, para pelaut setentunya akan menghadapi pelbagai cabaran dan bahaya. Semua ini memerlukan ketabahan, keberanian, kecekapan dan kemahiran untuk menghadapinya. Ia juga memerlukan pengorbanan daripada pelaut itu sendiri yang terpaksa meninggalkan keluarga demi tugas untuk mendapatkan rezeki dan juga memerlukan pengorbanan ahli keluarga yang terpaksa berjauhan dan mengharapkan kepulangannya dengan selamat nanti. Melihat kepada cabaran-cabaran ini, maka tidak menghairankan apabila bidang ini kurang diminati untuk diceburi oleh para wanita sebagaimana yang dinyatakan penanya. Ini kerana secara fitrah atau semula jadinya seorang wanita akan ingin atau lebih memilih untuk berada lebih dekat dengan keluarga ataupun anak-anak.
Di samping itu, meskipun tidak menafikan bahawa setiap kemahiran itu boleh dipelajari dan dimiliki oleh setiap orang, namun tugas-tugas lasak atau berat adalah tidak bersesuaian dengan fitrah dan kejadian seorang wanita. Dalam pekerjaan yang terikat di atas kapal pelayaran, sama ada bagi pelaut lelaki atau wanita setentunya tidak terlepas daripada tugasan yang sebegini.
Tempoh pelayaran panjang selama berbulan-bulan seumpama yang dinyatakan penanya ini juga boleh menimbulkan pelbagai fitnah kepada seorang wanita yang boleh mencemarkan nama baik, kehormatan dan kemuliaannya. Turut dikhuatiri juga ialah berlaku perkara-perkara yang tidak diingini di antara lelaki dan wanita apabila bekerja bersama dalam lingkungan terhad bagi masa yang panjang seperti dalam pelayaran tersebut.
Sekiranya pelaut wanita yang terbabit dalam pelayaran ini sudah berumah tangga, ini juga bermakna dia terpaksa meninggalkan suami dan anak-anak serta kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap mereka bagi tempoh yang panjang secara rutin. Ini ditakuti juga boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan rumah tangga apabila dia kerap tidak berada bersama dengan mereka.
Namun apa yang difahami dari persoalan penanya, pengambilan para pelaut wanita untuk menyertai pelayaran kapal-kapal ini adalah sebahagian daripada keperluan untuk memenuhi piawaian antarabangsa. Maka yang menjadi persoalan di sini adakah dengan tidak mematuhi piawaian antarabangsa ini akan menimbulkan masalah bagi urusan kemasukan kapal-kapal negara kita di pelabuhan negara-negara asing dan boleh menjejaskan penghantaran kargo-kargo ke negara yang hendak dituju?
Sekiranya meninggalkannya tidak memberi kesan buruk kepada urusan pelayaran kapal-kapal negara kita di pelabuhan antarabangsa serta tidak menjejaskan negara dari segi perhubungan antarabangsa, ekonomi dan sebagainya, maka meninggalkannya adalah wajar dan malah lebih utama bagi mengelakkan pelbagai perkara yang tidak diingini. Lebih-lebih lagi kerja utama yang dituntut oleh syara‘ bagi wanita yang berkeluarga pada khususnya adalah mengurus rumah tangganya. Adapun mencari nafkah untuk keluarga bukan perkara yang dituntut baginya.
Manakala langkah yang diambil oleh pihak Brunei Gas Carriers Sdn. Bhd. untuk memperbanyakkan pengambilan pelaut warga tempatan bagi menggantikan pelaut warga asing adalah satu langkah yang sangat baik untuk membantu pembangunan anak-anak tempatan sepertimana seruan kerajaan. Sebagai rakyat negara ini, setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk membantu atau berkhidmat dalam pembangunan negara. Namun sebagai umat Islam dan negara yang berteraskan Islam, cara atau jalan untuk mencapainya juga sewajarnya berlandaskan Islam agar sentiasa beroleh keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (rasul-rasul Kami) lalu Kami menimpakan mereka (dengan azab) disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (Surah al-A‘râf: 96)
Maka dalam perkara ini, mengambil bekerja pelaut lelaki adalah wajar, sebagai peluang bagi mereka memenuhi tuntutan syara‘ dalam perkara nafkah untuk keluarga, bukannya pelaut wanita.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12695
