Penggunaan Istilah Wajib dalam Bahasa Harian
Soalan: Dipohonkan penjelasan berhubung dengan istilah wajib yang sering digunakan. Ada sesetengah pihak menyatakan perkataan berkenaan telah difatwakan oleh Mufti hanya khas digunakan bagi agama sahaja dan tidak boleh digunakan bagi bahasa harian. Adakah benar begitu?
Jawapan: Perkataan wajib disebut dan digunapakai dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Arab.
Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara menyebutkan perkataan wajib bererti hukum suruhan (dalam Islam) yang apabila dilaksanakan mendapat pahala dan apabila ditinggalkan berdosa, misalnya sembahyang lima waktu dan menunaikan zakat. Wajib juga bererti tidak boleh tidak (mesti diamalkan, dilakukan dan sebagainya). Selain itu, ia juga bererti sudah seharusnya (sepantasnya, sepatutnya); perlu.
Penggunaannya dalam bahasa Arab pula, menurut pembahagian dalam ilmu ushul fiqh, perkataan wajib termasuk antara lima bahagian hukum yang mempunyai pengertian menurut syara‘; iaitu wajib, sunat, makruh, harus dan haram.
Al-Imam al-Ghazali Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab al-Mustashfâ bahawa bahagian-bahagian hukum yang tsabit bagi perbuatan orang mukallaf ada lima; wajib, haram, harus, sunat dan makruh. Pembahagian hukum ini bertujuan bahawa perintah syara‘ itu sama ada disebutkan dengan menghendaki untuk dibuat, menghendaki untuk ditinggalkan atau membuat pilihan di antara dibuat atau ditinggalkan.
Pengertian Wajib Menurut Syara‘
Terdapat beberapa pengertian wajib yang disebutkan oleh ulama fiqh. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ menyebutkan:
Ertinya: Wajib ialah orang yang meninggalkannya dicela menurut syara‘ … Ertinya: Dikatakan juga (wajib) orang yang meninggalkannya berhak mendapat seksa. Dua pengertian ini adalah yang paling ashah dikatakan mengenainya.
Imam al-Amidi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm:
Ertinya: Wajib menurut syara‘ ialah ungkapan daripada perintah syara‘ yang meninggalkannya membawa kepada sebab celaan syara‘ dalam beberapa keadaan. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan bahawa istilah wajib itu sama dengan istilah fardhu iaitu:
Ertinya: Ia adalah sesuatu yang dituntut syara‘ melakukannya sebagai satu tuntutan yang kuat untuk diikuti, dengan kesan daripada melakukannya mendapat pahala sebagaimana kesan daripada meninggalkannya mendapat seksa.
Misalnya puasa yang dituntut ke atas kita untuk mesti melakukannya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Diwajibkan ke atas kamu berpuasa. (Surah al-Baqarah: 183)
Ayat di atas bermaksud difardhukan. Apabila kita berpuasa akan mengakibatkan balasan pahala di syurga dan apabila tidak berpuasa akan mengakibatkan balasan seksa di neraka.
Kesimpulan
Istilah wajib mempunyai pengertian dari segi syara‘. Penggunaan istilah wajib dalam bahasa harian yang menyentuh mengenai bab hukum agama hendaklah selari dengan pengertian syara‘ iaitu pengertian yang membawa erti satu tuntutan yang mesti dibuat.
Mengenai perkara penggunaan pengertian istilah hukum-hakam syara‘ ini pernah disebutkan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz di dalam fatwanya bilangan 08/84:
“Peringatan: Apabila kita menyentuh perkataan “wajib” dan perkataan “harus” maka hendaklah kita kehendakkan erti pada syara‘ bukan pada cakapan orang sekarang.
Erti “wajib” pada syara‘ iaitu sesuatu perkara itu mesti dibuat, kiranya dibuat dapat pahala dan kiranya tiada dibuat dapat neraka seperti sembahyang fardhu, bersifat ikhlas, tawâddu‘, baik sangka pada orang Islam dan sebagainya.
Erti “harus” pada syara‘ iaitu sesuatu perkara itu boleh dibuat dan boleh ditinggalkan seperti makan, tidur dan sebagainya dan pada orang sekarang erti “harus” itu mereka ertikan mesti.
Erti “perlu” (pelat fardhu), mereka ertikan mustahak tiada mesti, padahal erti fardhu dan wajib adalah makna kedua-duanya satu jua pada syara‘, jadi perkataan wajib, harus dan perlu (pelat fardhu) ada beza di antara kata-kata orang sekarang dari kata syara‘, hendaklah ingat supaya tiada terkeliru dan tiada salah tujuan.”
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12699
