Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Persoalan Haidh Ketika Umrah

Soalan: Saya seorang perempuan yang sudah berkahwin pada tahun 2011 dan sebelumnya telah mengerjakan ibadat umrah pada tahun 2008.

Ketika mengerjakan umrah, sehari sebelum berangkat ke Madinah saya telah memakan ubat penahan haidh dan ini menyebabkan haidh saya adakala terhenti (on and off) sepanjang berada di Madinah.

Sebelum berangkat ke Makkah, saya telah bersuci dan mandi hadats serta makan ubat penahan haidh. Kemudian, bertolak dari Madinah selepas Zhuhur dan berniat ihrâm di mîqat (Bi’r Ali). Dalam perjalanan, saya makan ubat penahan haidh sekali lagi. Sebaik sampai di Makkah saya terus mengerjakan umrah dengan thawaf, sa‘i dan bertahallul. Namun, sebelum mengerjakan umrah itu saya tidak ingat sama ada saya memeriksa keluar atau tidak darah haidh di pad saya. Setelah kembali ke hotel saya mendapati ada kesan darah haidh setompok kecil di pad saya dan tidak pasti bilakah ia keluar. Akan tetapi saya yakin semasa berniat ihrâm saya dalam keadaan suci.

Persoalannya:

1. Adakah ibadat umrah saya dikira sah dan sekiranya tidak sah, perlukah saya mengerjakan ibadat umrah sekali lagi?

2. Berapakah bayaran dam yang dikenakan kepada saya kerana melanggar pantang larang semasa berihrâm.

3. Bagaimanakah kedudukan/status nikah saya?

4. Apakah yang perlu dilakukan bagi seorang perempuan yang didatangi haidh semasa berada di Madinah yang akan berniat ihrâm di mîqat tetapi darah haidh masih belum berhenti sehingga waktu kembali ke tanahair? Adakah niat ihrâm masih sama? Sekiranya ya, bilakah boleh bertahallul dan mestikah dia mengqadha’ umrah tersebut dengan kembali ke Makkah semula sebaik sahaja berkemampuan?

Jawapan: Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menta‘rîfkan dalam Mughnî al-Muhtâj, haidh dari segi syara‘ ialah darah semulajadi yang selamat, keluar dari hujung rahim seorang perempuan setelah bâligh dalam keadaan sihat tanpa ada sebab dan ia keluar pada waktu-waktu yang diketahui.

Dalam mazhab asy-Syafi‘i, tempoh paling sedikit keluar darah haidh ialah selama sehari semalam iaitu 24 jam, paling banyak keluar pula ialah selama 15 hari 15 malam dan kebiasaannya selama 6 atau 7 hari. Manakala tempoh suci paling sedikit di antara dua kitaran haidh pula ialah selama 15 hari 15 malam.

Darah perempuan haidh itu ada kalanya keluar secara berterusan dan ada kalanya keluar secara terputus-putus; iaitu ada waktu darah keluar dan ada waktu darah berhenti mengalir kemudian keluar lagi.

Darah yang berhenti mengalir itu ada 2 perbezaan iaitu:

1. Darah tidak mengalir tetapi masih ada kesan darah; seumpama jika dimasukkan kapas ke dalam faraj, maka akan terdapat kekotoran. Ia dipanggil sebagai al-fatrah. Jika al-fatrah berlaku dalam pertengahan darah haidh mengalir keluar, ia masih dianggap sebagai haidh secara pasti.

2. Darah berhenti mengalir dan jika dimasukkan kapas ke dalam faraj, maka kapas itu akan kekal bersih dan tiada kesan darah. Ia dipanggil sebagai an-naqâ’.

Sekiranya semasa keluar darah haidh paling sedikit (sehari semalam iaitu 24 jam) atau sehingga haidh paling banyak (15 hari 15 malam), ada berlaku an-naqâ’ (darah berhenti mengalir dan tiada kesan darah) pada pertengahan darah haidh tersebut keluar, adakah an-naqâ’ tersebut dikira sebagai haidh atau suci? Dalam hal ini, ada dua pendapat dalam mazhab asy-Syafi‘i iaitu:

Pendapat pertama: Pendapat al-azhhar (pendapat yang râjih daripada dua atau lebih daripada pendapat Imam asy-Syafi‘i) ialah an-naqâ’ (darah berhenti mengalir dan tiada kesan darah) yang berlaku dalam pertengahan darah haidh keluar itu adalah dikira haidh.

Untuk menghukumkan an-naqâ’ yang berlaku dalam pertengahan darah haidh keluar itu sebagai haidh adalah dengan syarat-syarat berikut:

1. Tempoh an-naqâ’ dan darah keluar tidak melebihi 15 hari 15 malam.

2. An-naqâ’ berlaku di tengah di antara darah-darah haidh yang keluar.

3. Keseluruhan jumlah darah-darah yang keluar tidak kurang dari jumlah haidh paling sedikit (24 jam).

Oleh itu menurut pendapat ini, sekiranya seorang perempuan mendapati darah pada satu ketika dan mendapati darah berhenti mengalir dan tiada kesan darah (naqâ’), serta ciri-cirinya menepati syarat-syarat tersebut di atas, maka sepanjang-panjang masa darah keluar, terhenti dan keluar lagi itu adalah haidh. Pendapat ini dinamakan sebagai qaul as-sahb.

Pendapat kedua: An-naqâ’ (darah berhenti mengalir dan tiada kesan darah) yang berlaku dalam pertengahan darah haidh keluar itu adalah dikira suci. Pendapat ini dinamakan sebagai qaul al-laqth dan qaul at-talfîq.

Manakala sekiranya an-naqâ’ berlaku di penghujung (bukan di tengah) darah keluar, maka darah terhenti itu dikira suci dan bilamana darah-darah yang keluar kurang daripada jumlah haidh paling sedikit, ia dikira darah istihâdhah.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Majmû‘, sah puasa, sembahyang, i‘tikâf dan selainnya (seperti thawaf) yang dilakukan dalam tempoh an-naqâ’ yang berlaku di pertengahan darah haidh keluar bagi sesiapa yang berpegang kepada qaul at-talfîq. Manakala batal ibadat yang dilakukan dan wajib menqadha’ puasa dan thawaf wajib bagi sesiapa yang berpegang kepada qaul as-sahb.

Oleh itu, sebagaimana yang telah diterangkan dalam kitab-kitab fiqh asy-Syafi‘i seperti Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abadi, Nihâyah al-Muhtâj, Mughnî al-Muhtâj, al- Iqnâ‘ dan al-Majmû‘ iaitu an-naqâ’ (darah berhenti mengalir dan tiada kesan darah) yang berlaku dalam pertengahan darah haidh keluar; sama ada darah haidh itu keluar paling sedikit iaitu 24 jam atau sehingga paling banyak iaitu 15 hari 15 malam, maka an-naqâ’ (darah berhenti dan tiada kesan darah) adalah dikira haidh dan batal ibadat seperti thawaf yang dilakukan dalam tempoh an-naqâ’ itu jika berpegang kepada qaul as-sahb.

Sebaliknya, an-naqâ’ (darah berhenti dan tiada kesan darah) adalah dikira suci dan sah ibadat seperti thawaf yang dilakukan dalam tempoh an-naqâ’ itu jika berpegang kepada qaul at-talfîq tanpa mensyaratkan tempoh an-naqâ’ itu 24 jam.

Thawaf Rukun bagi Perempuan Haidh

Dalam mazhab asy-Syafi‘i, umrah ada 5 rukun iaitu ihrâm, thawaf, sa‘i, bercukur dan tertib. Suci daripada hadats dan najis hanya diwajibkan pada rukun thawaf. Manakala rukun-rukun umrah yang lain tidak diwajibkan suci daripada hadats dan najis.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh, salah seorang ulama mazhab asy-Syafi‘i menyatakan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, tidak sah thawaf dalam keadaan berhadats atau ada padanya najis yang tidak dimaafkan berdasarkan hadits daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, sesungguhnya beliau berkata:

Maksudnya: Saya telah sampai ke Makkah dan saya dalam keadaan haidh, saya tidak melakukan thawaf di Baitullah dan tidak juga (sa‘i) di antara Bukit Shafa dan Marwah. Beliau berkata: “Maka saya telah mengadu tentang itu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.” Baginda bersabda: “Lakukanlah sepertimana yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji tetapi jangan engkau thawaf di Baitullah sehingga engkau suci.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Al-Hâfizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menerangkan dalam Fath al-Bâri, hadits di atas menunjukkan larangan perempuan haidh melakukan thawaf sehingga darahnya terhenti dan mandi hadats. Larangan dalam melakukan sesuatu ibadat menunjukkan rosaknya ibadat yang dilakukan itu; dan itu bererti batal thawaf yang dilakukan oleh perempuan haidh.

Namun, ulama mazhab asy-Syafi‘i memberikan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh perempuan haidh dalam permasalahan thawaf rukun:

1. Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh di dalam kitab Hasyiyah Ibn Hajar ‘ala al- Îdhah menyebutkan tentang perbincangan ulama terkemuka berkenaan permasalahan thawaf rukun bagi perempuan haidh. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah jika perempuan haidh itu menggunakan ubat sehingga darahnya terhenti atau darahnya terhenti bukan kerana ubat, maka dia boleh mandi hadats dan melakukan thawaf, sekalipun darahnya keluar kembali setelah pelayarannya. Perempuan itu boleh beramal dengan salah satu daripada dua qaul (pendapat) Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh dalam perkara perempuan yang darah haidhnya keluar secara terputus-putus berselang hari; iaitu ketika berlaku an-naqâ’ (darah berhenti) adalah dikira sebagai suci. Qaul ini dikenali sebagai qaul at-talfîq dan ia ditarjîh oleh sekumpulan ashhâb asy-Syafi‘i. Qaul ini juga adalah sama dengan mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad Rahimahumallâh.

2. Perempuan berihrâm yang keluar darah haidh hendaklah sabar menunggu darah haidhnya berhenti. Jika darah berhenti, maka dia boleh menyempurnakan thawafnya. Sebagaimana menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh di dalam kitab Hâsyiyah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhah, orang berihrâm tidak boleh melakukan tahallul (bagi tujuan menghalalkan diri daripada perkara yang diharamkan semasa ihrâm) kerana sakit malah hendaklah bersabar sehingga dia sembuh, jika dia sembuh, maka dia boleh menyempurnakan umrah atau hajinya.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj menyebutkan perempuan yang keluar darah haidh sedangkan dia belum melakukan thawaf rukun adalah kekal berada dalam keadaan ihrâm sekalipun berlalu beberapa tahun sehingga dia melakukan thawaf tersebut. Sekiranya dia kembali ke negaranya dalam keadaan ihrâm kerana kehabisan nafkah dan sukar baginya untuk kembali ke Makkah, maka hukum perempuan tersebut adalah seperti orang muhshar (orang yang sedang ihrâm haji atau umrah tetapi terhalang untuk menyempurnakan rukun-rukunnya). Maka perempuan tersebut hendaklah melakukan tahallul (bagi tujuan menghalalkan diri daripada perkara yang diharamkan semasa ihrâm) dengan tahallul orang muhshar iaitu dengan menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan niat tahallul di tempat dia terhalang untuk kembali ke Makkah.

Walau bagaimanapun, thawaf rukun itu masih dalam tanggungan perempuan tersebut sehingga dia kembali ke Makkah untuk berihrâm semula bagi melakukan thawaf rukun itu. Menurut pendapat al-aqrab (lebih dekat kepada asal mazhab) bahawa tuntutan untuk kembali melakukan tanggungan thawaf rukun itu bukan berbentuk tuntutan yang mesti disegerakan. Sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat menyempurnakannya, maka orang yang hidup hendaklah melakukannya bagi pihak dirinya jika menepati syarat; iaitu jika semasa hidupnya dia mampu untuk kembali tetapi dia tidak melakukannya dan hendaklah harta peninggalannya cukup untuk membayar upah orang yang mengerjakannya bagi pihak dirinya.

Langkah ini juga ada disebut oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dalam kitab-kitab beliau, Tuhfah al-Muhtâj dan Hâsyiyah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhâh.

3. Bagi perempuan yang tidak berhenti darah haidhnya, Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh menyarankan dalam kitab Hâsyiyah Ibnu Hajar ‘ala al-Îdhâh untuk bertaqlîd kepada pendapat yang mengatakan sah thawaf perempuan haidh. Menurut beliau dalam Tuhfah al-Muhtâj, bertaqlîd kepada pendapat tersebut adalah langkah yang lebih selamat bagi mengelak berkekalan menanggung kewajipan thawaf, maka perempuan haidh itu boleh melakukan thawaf sebelum ia kembali ke negaranya.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj bahawa seorang perempuan bermazhab asy-Syafi‘i boleh bertaqlîd kepada pendapat Imam Abu Hanifah atau Imam Ahmad (dalam satu riwayat) yang mengatakan perempuan haidh hendaklah membalut tempat keluar haidh (supaya tidak keluar darah haidh seperti menitis dan sebagainya) kemudian dia melakukan thawaf dan seterusnya menyembelih badanah (unta atau lembu). Dalam hal ini, dia tetap berdosa kerana masuk ke masjid dalam keadaan haidh. Walau bagaimanapun thawaf yang dilakukannya itu adalah dikira tertunai. Langkah bertaqlîd ini diambil kerana berkekalan dalam keadaan ihrâm adalah satu masyaqqah (kesusahan).

Kesimpulan

Berdasarkan pendapat dan qaul-qaul yang disebutkan di atas, maka:

1. Persoalan Dayang mengenai darah haidh yang keluar secara terputus-putus atau terhenti-henti kerana memakan ubat penahan haidh, maka sebagai irsyâd, Dayang bolehlah mengikut qaul at-talfîq, iaitu an-naqâ’ (darah berhenti mengalir dan tiada kesan darah) yang berlaku dalam pertengahan darah haidh keluar adalah dikira suci.

Irsyâd ini diperkuat lagi oleh pengakuan bahawa Dayang telah yakin semasa berniat ihrâm yang Dayang berada dalam keadaan suci dan Dayang juga telah pun mandi mengangkat hadats sebelum berniat ihrâm. Dengan yang demikian umrah Dayang itu dianggap telah tertunai.

2. Adapun mengenai persoalan Dayang mendapati setompok kecil kesan darah haidh setelah Dayang kembali ke hotel sesudah selesai mengerjakan semua rukun umrah, kemudian Dayang merasa syak kerana tidak pasti bila masanya darah tersebut keluar, adakah semasa thawaf atau setelah bertahallul dan adakah ia menjejaskan thawaf?

Mengenai perkara syak dalam hal thawaf Imam ar-Ramli Rahimahullah berkata dalam Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Jika setelah thawaf selesai dikerjakan, timbul syak adakah dia telah melakukan thawaf dalam keadaan suci atau tidak, maka tidak wajib dia mengulang thawaf tersebut.

Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh pula menerangkan dalam kitab al-Mantsûr fi al- Qawâ‘id perbincangan mengenai syak yang timbul setelah selesai mengerjakan ibadat bahawa Imam asy-Syafi‘i membezakan di antara syak yang timbul semasa mengerjakan ibadat dan syak yang timbul setelah selesai mengerjakan ibadat, maka tidak wajib mengulang ibadat jika syak timbul setelah selesai mengerjakan ibadat kerana ia akan membawa kepada masyaqqah (kesusahan). Antara contoh yang beliau kemukakan dalam perbincangan tersebut ialah:

Ertinya: Jika seseorang telah melakukan thawaf untuk umrah kemudian dia syak adakah dia telah berthawaf dalam keadaan suci atau tidak, maka dia tidak diwajibkan mengulang thawaf tersebut, kerana sesungguhnya dia telah selesai menunaikan ibadat tersebut pada hukum zahirnya, maka tidak luput hukum tersebut oleh syak.

Berdasarkan penjelasan dan pandangan ulama yang dinyatakan di atas, dalam situasi Dayang yang syak sama ada Dayang berthawaf dalam keadaan suci (berlaku an-naqâ’) atau haidh (darah mengalir) setelah Dayang selesai mengerjakan segala rukun umrah dan bertahallul, maka Dayang tidak wajib mengulang thawaf tersebut.

Maka dengan mengikut qaul at-talfîq dan berdasarkan ketetapan hukum zahir berkenaan syak yang timbul setelah selesai mengerjakan ibadat, maka Dayang adalah dikira telah mengerjakan thawaf dalam keadaan suci dan sah thawaf yang dilakukan tersebut. Dayang tidak wajib mengulang thawaf rukun tersebut kerana ia telah pun tertunai. Dayang juga tidak wajib membayar apa-apa dam (denda kerana melanggar larangan semasa ihrâm).

3. Adapun nikah Dayang pada tahun 2011 adalah sah kerana Dayang telah pun bertahallul daripada ihrâm umrah pada tahun 2008 itu.

4. Manakala persoalan Dayang mengenai perempuan haidh yang akan berniat ihrâm tetapi darah haidh tidak berhenti mengalir, maka perempuan tersebut semasa berniat ihrâm boleh mensyaratkan tahallul (menghalalkan diri daripada perkara yang diharamkan dalam ihrâm) jika haidhnya berterusan sebagaimana menurut Imam Ibnu Hajar al- Haitsami Rahimahullâh dalam Hasyiyah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhâh berkenaan orang berniat ihrâm yang mensyaratkan tahallul jika berlaku sakit atau keuzuran lain (seperti haidh). Maka menurut pendapat ash-shahîh, sah niat bersyarat sedemikian dan dia boleh bertahallul. Jika dia bertahallul dengan mensyaratkan tahallulnya dengan sembelihan, maka dia wajib menyembelih. Jika dia tidak mensyaratkan sedemikian, maka dia tidak wajib menyembelih. Demikian juga jika dia tidak mensyaratkan apa-apa untuk bertahallul maka tidak wajib baginya apa-apa menurut pendapat al-ashah.

Maka jika niat ihrâmnya disertakan syarat, misalnya dengan berkata: “Jika aku sakit (atau bagi perempuan haidh; jika aku kedatangan haidh atau haidhku berterusan), maka aku menjadi halal,” menurut pendapat al-ashah, jadi halal (berlaku tahallul) dengan berlakunya kesakitan (atau haidh bagi yang mensyaratkan haidh) itu.

Walau bagaimanapun, sekiranya semasa berniat ihrâm dia tidak mensyaratkan tahallul jika kedatangan haidh atau haidh berterusan, maka seperti yang diterangkan sebelum ini, perempuan itu hendaklah bersabar menunggu sehingga haidhnya berhenti. Jika tidak berhenti mengalir atau tidak berlaku an-naqâ’ sedangkan sudah tiba masa dia terpaksa pulang ke negaranya, maka dia boleh pulang dalam keadaan ihrâm dan melakukan tahallul seperti orang muhshar (orang yang sedang ihrâm haji atau umrah tetapi terhalang untuk menyempurnakan rukun-rukunnya); iaitu menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan niat tahallul di tempat sekira-kira dia sudah berada di luar Makkah dan tidak memungkinkannya untuk kembali ke Makkah. Dalam hal ini seperti kerana takut ketinggalan penerbangan. Dengan melakukan tahallul muhshar itu, maka dia boleh melakukan perkara yang diharamkan semasa ihrâm. Namun, dia wajib menyempurnakan rukun-rukun umrah yang belum selesai itu apabila berkemampuan nanti.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12703