Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Persoalan Menjual Kulit Binatang Korban

Soalan: Setiap tahun syarikat Mulaut Abattoir Sdn. Bhd. menguruskan penyembelihan ternakan korban. Lazimnya, kulit binatang korban tersebut kebanyakannya tidak diambil dan hanya disedekahkan oleh peserta-peserta yang berkorban untuk diuruskan oleh syarikat ini.

Kulit-kulit tersebut dijual oleh pihak syarikat kepada kontraktor yang telah dilantik untuk menguruskannya yang mana sebelumnya kulit-kulit tersebut hanya dikubur sahaja. Manakala hasil jualannya pula diserahkan kepada Tabung Fakir Miskin yang dikendalikan oleh Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei.

Persoalannya ialah adakah usaha yang syarikat kami lakukan ini menurut hukum syara‘? Dipohonkan pandangan dan ketetapan Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Hukum ibadat korban itu pada asalnya adalah sunat mu‘akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Namun jika seseorang itu meninggalkannya sedangkan dia berkemampuan untuk melakukannya hukumnya adalah makruh. Ibadat korban akan menjadi wajib apabila ia dinazarkan atau apabila ia diwasiatkan oleh seseorang yang telah meninggal dunia.

Hukum ibadat korban yang berbeza-beza ini iaitu sunat dan wajib akan memberi kesan kepada perbezaan hukum memakan dan mengagihkan daging korban tersebut.

i. Ibadat korban sunat.

Orang yang berkorban sunat itu disunatkan untuk memakan sebahagian atau sedikit daripadanya dan boleh mengambil sepertiga daripada daging korbannya. Manakala sepertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan wajib diserahkan dalam keadaan mentah dan sepertiga lagi dihadiahkan kepada golongan yang berkemampuan. Namun yang paling afdhal adalah disedekahkan kesemuanya melainkan diambil sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan menjauhkan diri daripada sifat mementingkan diri sendiri.

ii. Ibadat korban wajib.

Manakala orang yang berkorban wajib pula seperti korban kerana nazar atau korban yang diwasiatkan, maka adalah haram bagi mereka yang berkorban wajib dan bagi mereka yang diwasiatkan itu untuk memakan daging korban tersebut walaupun sedikit, bahkan wajib disedekahkan kesemuanya kepada ashnâf fakir miskin.

Hukum Memanfaatkan Kulit Binatang Korban

Memanfaatkan kulit binatang korban dengan apa jua cara pemanfaatannya seperti menjadikannya kasut, selipar, bekas atau meminjamkannya kepada orang lain tanpa sebarang bayaran adalah harus bagi penerima agihan binatang korban. Begitu juga harus bagi orang yang berkorban sunat memanfaatkannya sendiri, namun menyedekahkannya adalah lebih afdhal sebagai ittibâ‘ (mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).

Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah atsar daripada ‘Abdul Rahman bin Abu Laila, ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu pernah mengkhabarkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengarahkannya supaya membahagi-bahagikan kesemua bahagian binatang korban:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkannya untuk melakukan penyembelihan unta-unta Baginda dan membahagi-bahagikan kesemua bahagian unta Baginda, daging-dagingnya, kulit-kulitnya dan pelananya, dan tidak memberikan daripada sembelihannya sesuatu apa pun (sebagai upah penyembelihannya). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Manakala bagi orang yang melakukan ibadat korban wajib pula adalah dilarang untuk memanfaatkan mana-mana bahagian binatang korban wajib. Dia wajib menyedekahkan kulit dan kesemua bahagian binatang korban tersebut kepada golongan fakir miskin.

Hukum Menjual Kulit Binatang Korban

Hukum menjual kulit binatang korban atau mana-mana bahagian binatang korban itu adalah tertakluk kepada orang yang berkorban dan juga penerima agihan binatang korban tersebut:

1. Orang yang berkorban.

Orang yang melakukan ibadat korban adalah tidak harus malah haram menjual apa-apa jua pun daripada bahagian anggota binatang korban seperti daging, bulu, tanduk dan termasuklah juga kulitnya, tidak kira sama ada korban yang dilakukannya itu adalah korban wajib ataupun sunat. Orang yang berkorban sunat hanya dibolehkan memakan dan memanfaatkan bahagian yang diambilnya dan menyedekahkannya kepada fakir miskin serta harus memberi atau menghadiahkannya kepada golongan yang berkemampuan. Manakala bagi orang yang berkorban wajib pula diwajibkan menyedekahkan kesemua bahagian binatang korban tersebut kepada fakir miskin.

Larangan menjual kulit binatang korban bagi orang yang berkorban ini adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tiadalah korban baginya (yakni tidak mendapat pahala korban sepertimana yang dijanjikan ke atas orang yang berkorban). (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Begitu juga dilarang menyewakannya dan menjadikan kulit binatang korban dan lain-lain dari bahagian anggota binatang korban sebagai upah kepada pengendali atau penyembelih binatang korban, sama ada ibadat korban yang dilakukannya itu korban sunat ataupun korban wajib.

Larangan ini adalah berdasarkan atsar yang disebutkan terdahulu di mana Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu telah diarahkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya tidak memberikan daripada sembelihannya sesuatu apapun sebagai upah. Beliau berkata:

Maksudnya: Dan (beliau diarahkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya) tidak memberikan daripada sembelihannya sesuatu apa pun (sebagai upah penyembelihannya). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Adapun maksud larangan tersebut ialah larangan memberi sesuatu daripada bahagian anggota binatang korban kepada pengendali atau penyembelih sebagai upah atas tugas yang dilakukannya. Namun, sekiranya pemberian kulit itu bukan sebagai upah tetapi sebagai hadiah atau pemberian atau sedekah untuknya setelah upah yang sepatutnya diterima telah diberikan, maka dalam hal ini pemberian tersebut adalah diharuskan.

2. Penerima agihan binatang korban.

Hak ke atas daging dan mana-mana bahagian anggota binatang korban yang diterima oleh fakir miskin dan orang yang berkemampuan adalah berbeza.

Penerima daripada golongan fakir miskin, sama ada daging, kulit atau apa jua bahagian anggota binatang korban yang disedekahkan kepadanya itu adalah menjadi hak miliknya. Dia bukan sahaja berhak memakannya malah dia juga boleh memberi, menjual, menyewakannya atau sebagainya kepada orang lain.

Berbeza halnya dengan orang yang berkemampuan, haknya terhadap daging binatang korban yang dihadiahkan atau diberikan kepadanya itu hanya setakat untuk dimakannya sahaja. Begitu juga kulit atau tanduk dan sebagainya yang pada kebiasaannya tidak dimakan hanya setakat untuk digunakan atau dimanfaatkannya sahaja. Manakala menjual dan menyewakannya adalah ditegah, namun begitu mereka boleh menyedekahkannya kepada fakir miskin.

Menjual dan Menyerahkan Hasil Jualan Kulit Binatang Korban Kepada Fakir Miskin

Sepertimana yang difahami melalui keterangan penyoal bahawa pihak Syarikat Mulaut Abattoir telahpun membuat penjualan kulit binatang korban kepada pihak tertentu di mana hasil jualan tersebut diserahkan kepada Jabatan Majlis Ugama Islam untuk diagih-agihkan kepada ashnâf fakir miskin. Tujuan pihak syarikat melakukan demikian adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya pembaziran yang sebelum ini kulit-kulit tersebut hanya dibuang dan ditanam tanpa diberi atau disedekahkan.

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, menjual kulit atau apa jua bahagian binatang korban adalah harus jika sekiranya orang yang menjual itu ialah penerima agihan binatang korban yang terdiri daripada golongan fakir miskin. Manakala selain daripada penerima fakir miskin, iaitu orang yang berkorban atau penerima yang berkemampuan adalah ditegah daripada menjualnya sekalipun hasil jualan itu nantinya disedekahkan.

Hal ini ada dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ mengenai menjual kulit binatang korban dan menyedekahkan hasil jualannya. Menurut beliau:

Ertinya: Menurut pendapat yang shahîh lagi masyhûr, yang zahir daripada nash-nash Imam asy-Syafi‘i dan yang telah diputuskan oleh jumhûr bahawa tidak harus penjualan ini (menjual kulit binatang korban dan menyedekahkan hasil jualannya) sepertimana tidak harus menjualnya untuk mengambil hasil jualannya bagi (kegunaan) dirinya sendiri dan sepertimana juga tidak harus menjual daging (binatang korban) dan lemak (binatang korban).

Ini bermakna, pihak pengurusan dan penyembelihan binatang korban yang telah diwakilkan oleh pihak-pihak yang berkorban, tidak ada hak menjual kulit binatang korban tersebut sekalipun telah diberi kebenaran oleh pihak yang berkorban. Akan tetapi jika penerima fakir miskin mewakilkan pihak pengurusan untuk menjual kulit-kulit yang telah diterimanya bagi pihak dirinya kepada orang lain, maka ia adalah diharuskan. Oleh yang demikian, sekiranya pihak Syarikat Mulaut Abattoir mendapat keizinan daripada penerima yang terdiri daripada kalangan fakir miskin atau menerima lantikan sebagai wakil untuk menjualkannya dan kemudiannya hasil jualan tersebut diserahkan kembali kepadanya, maka menjualkannya itu adalah diharuskan.

Begitu juga diharuskan melantik kontraktor tertentu yang beragama Islam sebagai pembeli. Namun sebaliknya, jika ia dilakukan tanpa mendapat keizinan atau persetujuan serta lantikan perwakilan, sekalipun hasil jualan itu nantinya akan diserahkan kepada fakir miskin dan sekalipun terdapat pihak atau kontraktor yang berkeinginan untuk membeli kulit-kulit berkenaan, ia adalah ditegah kerana pengendali tidak ada hak untuk menjualnya tanpa izin pemiliknya iaitu penerima fakir miskin.

Dalam menyelesaikan permasalahan penjualan dan penyerahan hasil jualan kulit binatang korban ini supaya tidak berlaku pembaziran dan agar penjualan ini dilakukan secara sah sesuai dengan syariat Islam, adalah disarankan supaya pihak Syarikat Mulaut Abattoir mengambil langkah-langkah berikut:

1. Membuat akad keizinan dan persetujuan dengan pihak yang berkorban dalam melantik pihak Syarikat Mulaut Abattoir sebagai wakil dalam urusan pengagihan daging dan kulit-kulit binatang korban kepada fakir miskin.

2. Golongan fakir miskin yang akan menerima sedekah daging dan kulit binatang korban hendaklah dikenal pasti terlebih dahulu oleh Syarikat Mulaut Abattoir melalui senarai nama-nama fakir miskin yang berhak menerima yang ada disediakan oleh pihak Majlis Ugama Islam mengikut kawasan zon yang telah ditentukan.

3. Setelah penyerahan daging dan kulit binatang korban kepada fakir miskin berkenaan terlaksana, pihak penerima (fakir miskin) kemudiannya melantik Syarikat Mulaut Abattoir sebagai wakil bagi pihak dirinya untuk menjualkan kulit tersebut kepada pembeli. Perlu dipastikan bahawa pembeli tersebut hendaklah beragama Islam sepertimana menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam kitab Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj bahawa tidak harus bagi seorang fakir menjual kulit binatang korban kepada orang kafir.

Ertinya: Tidak juga harus bagi seorang fakir misalnya menjual umpama kulitnya (binatang korban) kepada orang kafir.

4. Hasil jualan kulit tersebut kemudiannya diserahkan kepada fakir miskin yang membuat lantikan perwakilan berkenaan.

Dalam membuat penyerahan semula hasil jualan kulit binatang korban, apa yang perlu dipastikan ialah penerima hasil jualan kulit tersebut hendaklah terdiri daripada kalangan fakir miskin yang telah membuat akad perwakilan dengan pihak pengendali yang menguruskan penjualannya itu tadi. Dalam hal ini hendaklah juga dipastikan bahawa penerima fakir miskin tersebut tidak hanya diberikan kulit binatang korban semata-mata. Ini kerana menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, bahagian binatang korban yang disedekahkan kepada fakir miskin itu hendaklah berupa daging mentah lagi segar. Tidak memadai jika yang disedekahkan itu bukan berupa dagingnya seperti kulit atau hati sahaja.

Menurut beliau:

Ertinya: Dan wajib (bagi fakir miskin) untuk memilikinya dalam keadaan mentah lagi segar bukan dalam keadaan yang telah dimasak dan tidak memadai (menyedekahkan) apa yang bukan dinamakan daging (seperti kulit).

Oleh kerana itu, jika hasil jualan kulit itu sahaja yang diserahkan kepada fakir miskin tetapi tidak menerima dagingnya, maka tidaklah memadai kerana ia seperti menyedekahkan kulit semata-mata.

Hasil Jualan Kulit Binatang Korban yang Belum Diserahkan

Menyentuh mengenai jualan kulit binatang korban yang telah dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini di mana hasil jualan yang terkumpul masih belum diserahkan kepada Tabung Fakir Miskin, pihak Syarikat Mulaut Abattoir tidak ada hak untuk memanfaatkan hasil jualan tersebut kerana ia jelas bukan milik syarikat dan bukan juga milik orang yang berkorban kerana kedua-duanya tidak mempunyai hak untuk menjual kulit binatang korban tersebut. Begitu juga ia bukan milik fakir miskin kerana mereka tidak menerima kulit binatang korban yang telah dijual tersebut dan tidak ada sebarang akad atau persetujuan dibuat di antara mereka dengan pihak syarikat.

Memandangkan kulit binatang korban yang telah dijual itu belum diserahkan kepada penerima fakir miskin, maka ia belum sah menjadi hak milik mereka. Begitu juga ia bukanlah milik pihak pengurusan dan mereka tidak ada hak menjualnya untuk diserahkan hasil jualannya kepada fakir miskin. Oleh hal yang demikian, status bagi kulit binatang korban tersebut dianggap sebagai barang jualan yang tidak mempunyai pemilik. Hukum seseorang menjual sesuatu yang bukan menjadi miliknya adalah ditegah kerana syarat barang jualan hendaklah yang dimiliki, sama ada pemilik sendiri yang melakukan akad jualan ataupun melalui wakil atau walinya.

Menjual kulit binatang korban sebagaimana yang berlaku dalam situasi ini bolehlah diqiyâskan dengan bai‘ al-fudhûlî (بيعُالفضويل) iaitu jual beli atau apa jua transaksi seseorang pada sesuatu barang yang bukan miliknya atau sesuatu barang yang berada pada tanggungan orang lain walhal dia bukan wali mahupun wakil bagi pemilik. Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: (Maka jualan al-fudhûlî) dan beliannya dan semua akad (yang dilakukannya) pada sesuatu barang kepunyaan orang lain atau yang berada pada tanggungan orang lain seperti katanya: “Aku membeli untuknya seperti ini dengan harga seribu pada tanggungannya”, sedangkan dia bukan wakil dan bukan juga wali kepada pemilik barang jualan, maka hukum jual belinya (batal).

Berdasarkan nash di atas akad jual beli seperti ini, iaitu menjual sesuatu yang bukan miliknya tanpa izin pemilik sementara dia bukanlah wakil atau wali kepada pemilik, adalah terbatal.

Perkara ini ada disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah, seorang lelaki telah menanyakanku mengenai (sesuatu) jualan sedangkan ia tidak ada padaku (bukan milikku), apakah aku boleh menjualnya? Maka Baginda bersabda: “Janganlah engkau menjual apa yang tidak ada padamu (sesuatu yang bukan kepunyaanmu).” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Apabila harta jualan tidak mempunyai pemilik, maka hasil jualan tersebut juga tidak dimiliki. Menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah bahawa mana-mana harta yang tidak mempunyai pemilik seperti harta riba, rasuah, harta yang hilang, harta luqathah dan seumpamanya, maka ia menjadi sebahagian daripada kumpulan harta Baitul-Mal.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyatakan dalam kitabnya, Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi mengenai penyerahan harta rasuah ketika mensyarahkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenai pengharaman rasuah. Menurut beliau:

Ertinya: Dan telah (dijelaskan) terdahulu hukum sesuatu yang diterima oleh seorang pekerja dan yang seumpamanya atas nama hadiah (rasuah), hendaklah dia menyerahkannya kepada orang yang memberi hadiah (rasuah) tersebut, maka jika terdapat kesusahan untuk melakukannya (menyerahkan kepada pemberi rasuah) maka hendaklah diserahkan kepada Baitul-Mal.

Manakala Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula menjelaskan tentang kedudukan harta yang hilang di dalam kitabnya, Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj:

Ertinya: Kesimpulannya bahawasanya ini (harta simpanan yang tidak diketahui pemiliknya setelah dicari pemiliknya sepertimana harta luqathah) adalah harta yang hilang, maka apabila dia tidak berputus asa daripada pemiliknya (untuk menuntut) hendaklah dia menyimpannya bagi pihaknya (pemilik) selamanya dan memaklumkan mengenai harta yang hilang tersebut ataupun menyerahkannya kepada qadhi lalu menjaganya untuknya, dan setelah berputus asa daripadanya iaitu setelah berlalu tempoh yang lama pada kebiasaannya kewujudan barang yang hilang itu dalam jagaannya, ia menjadi sebahagian dari kumpulan harta-harta Baitul-Mal.

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, mantan mufti Negara Brunei Darussalam yang pertama dalam fatwa beliau bilangan 3/92 ada menyatakan bahawa: “Adalah wang yang tiada diketahui pada adat siapa yang memilikinya itu, adalah ia jadi milik Baitul-Mal. Siapa yang menguasai wang yang tiada diketahui tuan punya itu wajiblah ia lepaskan diri dari wang itu dengan menyerahkan kepada pihak Baitul-Mal.”

Oleh yang demikian, bertitik tolak daripada kenyataan tersebut hasil jualan kulit binatang korban yang telah terkumpul itu hendaklah diserahkan kepada pihak pengurusan Baitul-Mal kerana ia dianggap sebagai harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu dan harta itu nanti akan digunakan bagi keperluan yang berhubung kait dengan kemashlahatan umat Islam.

Kesimpulan

Dalam usaha memastikan kesempurnaan ibadat korban yang dikendalikan, pihak-pihak yang diamanahkan untuk menguruskannya perlu mengetahui lebih mendalam mengenai hukum-hakam yang berkaitan dengannya agar suatu tindakan itu selaras dengan kehendak hukum syara‘. Umpamanya perkara yang berkaitan pengagihan dan penjualan daging dan mana-mana bahagian binatang korban. Orang yang berkorban dan penerima agihan binatang korban daripada kalangan orang yang berkemampuan, tidak mempunyai hak untuk menjual apa-apa jua bahagian daripada binatang korban yang diterimanya termasuklah kulitnya melainkan hanya untuk disedekahkan kepada fakir miskin, dimanfaatkan atau digunakannya sahaja.

Maka, bagi memudahkan pihak pengendali dan penyembelihan binatang korban menjualkan kulit binatang korban, adalah perlu kepada prosedur yang teratur mengenainya. Sebagai contoh pihak Syarikat Mulaut Abattoir akan menyediakan borang khas untuk pihak pengurusan korban berwakil kepada pihak Syarikat Mulaut Abattoir bagi menyerahkan kulit-kulit binatang korban yang disembelihnya kepada ashnâf fakir miskin. Setelah selesai hari terakhir penyembelihan korban, pihak Syarikat Mulaut Abattoir pula akan memanggil orang-orang yang tersenarai sebagai ashnâf fakir miskin untuk menerima kulit-kulit binatang korban berkenaan dan ketika itu juga mereka mewakilkan pihak Syarikat Mulaut Abattoir untuk menjual hak mereka masing-masing mengikut bilangan yang mereka terima. Hasil jualan kulit-kulit tersebut akan diserahkan semula kepada fakir miskin oleh pihak Syarikat Mulaut Abattoir mengikut hak masing-masing. Dengan cara sedemikian pengagihan binatang korban dapat dilaksanakan dengan betul mengikut sepertimana yang disyariatkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12707