Tulisan Nama atau Ayat al-Qur’an di Batu Nisan
Soalan: Bolehkah menulis nama si mati ataupun ayat-ayat suci al-Qur’an pada batu nisan sepertimana lazimnya didapati di tanah-tanah perkuburan di negara ini?
Jawapan: Menulis nama atau ayat al-Qur’an pada batu nisan telah banyak diamalkan sama ada di negara ini mahu pun negara lain. Para ulama mazhab asy-Syafi‘i telah membincangkan mengenai hukum menulis di atas kubur dalam kitab-kitab mereka. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Makruh membina kubur dengan kapur, membuat binaan di atas kubur dan menulis di atasnya.
Perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas dihuraikan dalam kitab-kitab Nihâyah al- Muhtâj, Mughnî al-Muhtâj, Tuhfah al-Habîb dan Hawâsyî asy-Syarwani wa Ibn Qasim al- ‘Abbadi ‘ala Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj bahawa hukum makruh menulis di atas kubur itu ialah sama ada makruh menulis nama si mati atau selain nama si mati. Menurut pendapat al-mu‘tamad termasuk hukum makruh menulis di kubur itu ayat al-Qur’an, sama ada ia ditulis di atas papan yang diletakkan pada bahagian kepala mayat atau selain papan. Lebih berat lagi hukum menulis ayat al-Qur’an pada kain kapan hukumnya adalah haram kerana terdedah kepada nanah bercampur darah mayat.
Adapun hukum makruh menulis di atas kubur itu ialah jika tiada hajat kepada tulisan tersebut. Sekiranya terdapat hajat atau keperluan untuk menulis nama dan keturunan si mati, seperti untuk mengenalinya bagi keperluan ziarah, maka hukumnya adalah tidak makruh. Malah hukum menulis di atas kubur bagi tujuan mengenali kubur si mati adalah sunat berdasarkan hukum sunat meletakkan sesuatu bagi mengenali kubur siapa, dengan syarat penulisan tersebut terbatas mengikut kadar hajat atau keperluan, terutama pada kubur-kubur para nabi, wali, ulama dan orang-orang salih, kerana ia tidak akan dikenali setelah berlalu bertahun-tahun melainkan dengan cara penulisan tersebut.
Ini berdasarkan riwayat Imam al-Hakim Rahimahullâh, beliau berkata dalam kitab al- Mustadrak ‘ala ash-Shahîhain setelah meriwayatkan hadits shahîh daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang membina kubur dengan kapur, menulis di atasnya, membuat binaan di atas kubur dan duduk di atasnya. (Hadits riwayat al-Hakim)
Ertinya: Isnâd (jalan periwayatan hadits) ini adalah shahîh. Namun ia (hadits tentang larangan tersebut) tidak diamalkan. Maka sesungguhnya para pemimpin Islam dari Timur hingga ke Barat telah dibuat tulisan di atas kubur-kubur mereka dan perbuatan sedemikian adalah amalan yang diambil oleh orang-orang kemudian daripada orang-orang salaf (terdahulu).
Menurut Imam al-Adzra‘i dan Imam az-Zarkasyi Rahimahumallâh sebagaimana yang dinukil oleh Imam Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh bahawa apa yang dapat difahami daripada perkataan Imam al-Hakim Rahimahullâh tersebut ialah larangan menulis di atas kubur itu telah mansûkh (dibatalkan), atau perkataan Imam al-Hakim Rahimahullâh itu bermaksud larangan tersebut ialah jika berlebih-lebihan bagi tujuan mengenali siapa si mati. Menurut pendapat al-madzhab (pendapat mu‘tamad daripada periwayatan yang berbeza) terdapat pengecualian terhadap larangan menulis nama si mati iaitu jika dikhuatiri kubur tersebut akan digali dan digunakan untuk pengebumian lain, maka dengan menulis nama si mati yang dikubur akan memeliharanya daripada digali kerana bertambah penghormatan terhadapnya pada ketika itu.
Berkenaan menulis ayat al-Qur’an di atas kubur, Imam al-Adzra‘i Rahimahullâh menyebutkan bahawa haram menulis ayat-ayat al-Qur’an di atas kubur kerana ia terdedah kepada penghinaan oleh pijakan dan terdedah kepada najis daripada nanah bercampur darah mayat-mayat semasa berulangnya pengebumian dan ketika berlaku hujan. Walau bagaimana pun, pengharaman ini tidak tegas, maka menurut pendapat al-mu‘tamad, perkataan menulis di atas kubur itu adalah muthlaq (umum) termasuk juga menulis ayat al-Qur’an. Maka hukum makruh menulis di atas kubur itu termasuk makruh menulis ayat al-Qur’an sebagaimana yang telah dijelaskan.
Berdasarkan penerangan para ulama mazhab asy-Syafi‘i yang telah disebutkan, hukum menulis nama pada nisan di atas kubur adalah makruh jika tiada keperluan, namun jika ada keperluan seperti untuk kemudahan mengenali semasa menziarahi kubur si mati di masa akan datang, maka hukumnya adalah sunat dengan syarat penulisan tersebut mengikut kadar keperluan sahaja. Manakala hukum menulis ayat al-Qur’an pada nisan di atas kubur menurut pendapat mu‘tamad adalah makruh selagi ia tidak terdedah kepada penghinaan kerana dipijak atau terkena najis, maka mendedahkan ayat al-Qur’an kepada penghinaan dan najis adalah haram.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12713
