Waqaf Tunai untuk Pelaburan
Soalan: Sukacita pihak Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) memohon fatwa mengenai dengan hukum bagi waqaf tunai (cash waqaf). Isu ini amat penting bagi pihak AMBD dalam meneroka dan mempelbagai sektor kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam. Ia menjurus kepada prospek pelaburan bagi mengembangmajukan potensi waqaf sebagai prasarana aktiviti ekonomi. Ini termasuklah untuk memperkembangkan harta waqaf, menyediakan peluang pekerjaan dan berpotensi menurunkan kadar pengangguran, mengurangkan kebergantungan negara terhadap hasil minyak dan gas, peningkatan kapasiti tenaga manusia dan sebagainya.
Jawapan: Pengertian Waqaf
Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj mengertikan waqaf dari segi syara‘ ialah:
Ertinya: Menahan harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut kekal mata bendanya, dengan melepaskan penguasaan terhadap (harta yang diwaqafkan itu daripada pewaqaf) untuk perkara yang diharuskan.
Menurut beliau, syarat-syarat sesuatu yang diwaqafkan itu hendaklah ia berupa ‘ain (mata benda), ditentukan, dimiliki, dapat dipindah milik, menghasilkan faedah (seumpama kebun yang menghasilkan buah) atau menghasilkan manfaat (seumpama rumah yang memberi manfaat tempat tinggal) yang boleh disewakan dalam keadaan benda itu masih kekal.
Oleh itu, waqaf bererti menahan benda asal yang kekal dan mengembangkan faedahnya, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Tahan (waqafkanlah) asal (kebun) dan berikanlah hasil buahnya (untuk sedekah). (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Maka berdasarkan penjelasan di atas, benda yang menepati syarat-syarat yang boleh diwaqafkan sahaja menjadi aset atau harta waqaf (al-mauqûf) menurut mazhab asy-Syafi‘i.
Mewaqafkan Wang Tunai
Berwaqaf dengan wang tunai itu tidak berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Namun Imam az-Zuhri Rahimahullâh, ulama kurun kedua Hijriyyah, telah berpendapat bahawa berwaqaf dalam bentuk dinar dan dirham adalah diharuskan bagi tujuan berda‘wah, kebajikan ummah dan pendidikan umat Islam. Keharusan ini adalah berdasarkan jawapan Imam az-Zuhri Rahimahullâh seperti yang disebut dalam Shahîh al-Bukhari bab Waqf ad-Dawâbb wa al-Kurâ‘ wa al-‘Urûdh wa ash-Shâmit:
Ertinya: Imam az-Zuhri Rahimahullâh berkata mengenai orang yang menyalurkan (hartanya) 1000 dinar di jalan Allah (mewaqafkannya) dan menyerahkannya kepada hambanya, seorang peniaga, supaya menjalankan perniagaan dengannya (modal waqaf), kemudian keuntungannya dijadikan sedekah kepada orang miskin dan keluarganya; (beliau ditanya) Adakah boleh lelaki tersebut mengambil sedikit keuntungan daripada 1000 dinar itu meskipun keuntungannya tidak disalurkan sebagai sedekah kepada orang-orang miskin? (Imam az-Zuhri) menjawab: “Dia (lelaki itu) tidak boleh memakan harta tersebut.”
Menjadikan wang tunai sebagai aset waqaf (al-mauqûf) telah dipraktikkan oleh institusi-institusi kewangan dan badan-badan tertentu dengan meluasnya pada masa ini, antaranya:
• Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke 77 yang bersidang pada 10-12 April, 2007 telah memutuskan bahawa berwaqaf dalam bentuk tunai adalah diharuskan.
• Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Malaysia mengertikan waqaf tunai (cash waqf) ialah mewaqafkan wang tunai kepada mana-mana pemegang amanah waqaf, di mana wang modalnya dikekalkan kepada penerima waqaf (mauqûf ‘alaih). Para fuqahâ’ salaf menggunakan istilah waqaf wang dirham dan wang dinar (waqf ad-darâhim waqf ad-danânîr). Wang-wang tersebut akan dikumpulkan dan kemudiannya ditukarkan kepada harta kekal yang dinamakan badal. Manfaat hasil waqaf tunai tersebut akan digunakan untuk kebajikan dan pembangunan ummah.
• Komisi Fatwa Majelis Ulama Indonesia pula mengertikan waqaf tunai adalah waqaf yang dilakukan seseorang, kelompok orang dan lembaga atau badan hukum dalam bentuk wang tunai. Juga termasuk dalam pengertian wang adalah surat-surat berharga. Majelis Ulama Indonesia (MUI) juga menghukumkan harus berwaqaf dengan wang tunai dengan jaminan mengekalkan nilai pokok waqaf wang tunai tersebut.
• Akademi Fiqh Islam yang bersidang di Muscat, Oman pada persidangannya kali ke 15 mulai 14 hingga 19 Muharram, 1425 bersamaan 6 hingga 11 Mac, 2004 telah mengeluarkan resolusi bilangan 140 (15/6):
i. Waqaf wang tunai adalah harus dari sudut syara‘ kerana tujuan pensyariatan waqaf ialah mengekalkan harta waqaf dan mengembangkan manfaat yang mampu dicapai daripada wang tunai. Ini kerana wang tunai merupakan harta yang tidak dapat dispesifikkan dengan pengasingan, oleh itu sebarang badal atau gantian yang menyamai jumlah wang tunai itu adalah sama dengan jumlah wang tunai yang diwaqafkan.
ii. Harus menggunakan waqaf tunai bagi tujuan pinjaman (al-qardh al-hasan) dan pelaburan. Pelaburan itu boleh dilakukan sama ada secara langsung atau perkongsian bersama pewaqaf lain dalam satu tabung atau dana ataupun dengan menerbitkan saham waqaf wang tunai sebagai motivasi berwaqaf dan penyertaan kolektif terhadapnya.
iii. Seandainya wang tunai yang diwaqafkan itu dilaburkan dalam harta kekal seumpama nazhir waqaf membeli harta tidak alih atau membina binaan, maka aset yang dibeli atau dibina itu tidak dianggap waqaf yang mengambil alih tempat waqaf wang tunai, malah ia harus dijual bagi menjamin pelaburan supaya berkekalan, dalam hal ini harta waqaf sebenarnya ialah jumlah modal asal wang tunai yang diwaqafkan.
• Pihak AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) dalam Shari‘ah Standards nombor 33 bilangan 3/4/3/2 menyatakan: Waqaf dalam bentuk wang tunai adalah harus dan pemanfaatannya perlu dilakukan dengan cara yang tidak akan menyebabkan wang itu habis dan berkurangan. Antara cara pengendalian yang dibenarkan adalah melalui pemberian pinjaman (qardh) yang patuh syari‘ah daripada wang tunai tersebut atau menyalurkan wang itu kepada pelaburan yang selamat dan patuh syari‘ah seperti kontrak mudhârabah dan kemudian keuntungannya akan dibahagikan kepada pemanfaat waqaf.
Menurut institusi dan badan yang dinyatakan di atas adalah harus mempraktikkan waqaf tunai iaitu dengan menjadikan wang tunai yang diwaqafkan itu sebagai aset waqaf yang digunakan untuk pelaburan seperti melaburkannya dalam aset kekal dengan membeli harta tidak alih umpamanya, membina binaan untuk pelaburan atau saham dan sebagainya dengan mengekalkan nilai wang waqaf yang dijadikan modal, jumlah pokok waqaf atau aset kekal kepada penerima waqaf (al-mauqûf ‘alaih). Manakala aset yang dibeli, dibina atau keuntungan daripada pelaburan tersebut tidak menjadi harta waqaf. Oleh itu, nazhir atau pentadbir waqaf hendaklah mentadbir wang waqaf pada jalan yang tidak akan menyusutkan nilai wang yang diwaqafkan.
Hukum Waqaf Tunai Menurut Mazhab asy-Syafi‘i Menurut mazhab asy-Syafi‘i keharusan waqaf tunai bergantung kepada hukum keharusan menyewakan dinar dan dirham. Sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘i mengharuskannya dan sebahagian lagi tidak mengharuskannya.
Imam asy-Syirazi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Muhadzdzab:
Ertinya: Al-Ashhâb berbeza pendapat dalam perkara waqaf dirham dan dinar. Bagi yang mengharuskan penyewaannya, mereka juga mengharuskan waqafnya. Tetapi bagi yang tidak mengharuskan penyewaannya, mereka tidak mengharuskan waqafnya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula berkata dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dalam perkara waqaf dirham dan dinar ada dua wajh (pendapat), sebagaimana menyewakan kedua-duanya; iaitu jika kita mengharuskan penyewaannya, maka sah waqaf bagi sewaan tersebut.
Imam al-Mawardi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab al-Hâwi al-Kabîr:
Ertinya: Waqaf dirham dan dinar tidak harus mewaqafkannya kerana habis (dengan penggunaannya), maka ia seperti makanan. Manakala Abu Tsaur (Rahimahullâh) meriwayatkan daripada Imam asy-Syafi‘i (Radhiallâhu ‘anhu), harus mewaqafkannya. Riwayat ini (mengenai keharusannya) adalah diihtimâlkan (dimaksudkan) waqaf dirham dan dinar itu untuk disewakan kerana manfaatnya, bukan kerana penggunaan mata bendanya (dirham dan dinar). Maka itu seolah-olah seseorang hendak mewaqafkan manfaat sesuatu mata benda, sedangkan ia (mewaqafkan manfaat itu) adalah tidak harus. Namun jika mewaqafkannya untuk disewakan dan pemanfaatannya kekal, maka ada dua pendapat seperti kita katakan pada bab Ijarah (sewa). Manakala berwaqaf perhiasan hukumnya adalah harus, tiada perselisihan kerana keharusan menyewakannya atau mengambil manfaatnya dengan kekal mata bendanya.
Imam al-‘Imrani Rahimahullâh menerangkan dalam kitab al-Bayân fî Madzhab al-Imam asy- Syafi‘i:
Ertinya: Adakah sah waqaf dirham dan dinar? Terdapat dua wajh (pendapat): “Jika kita mengatakan sah menyewakannya, maka sahlah mewaqafkannya. Manakala jika kita mengatakan tidak sah menyewakannya, maka tidaklah sah mewaqafkannya. Ini (pendapat tidak sah) adalah pendapat ash-shahîh; kerana tiada perselisihan dalam perkara jika dirham dan dinar dirampas daripada seseorang, maka tidak wajib ke atasnya membayar sewanya.”
Oleh itu, menurut pendapat al-mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i, tidak sah berwaqaf dengan dirham (wang perak) dan dinar (wang emas), begitu juga dengan mata wang yang digunakan sekarang seperti ringgit, dollar dan yang seumpamanya. Ini kerana manfaatnya habis dengan penggunaannya sebagaimana juga dengan makanan, di samping tidak boleh disewakan atau menyewanya.
Waqaf Tunai Untuk Pelaburan
Banyak institusi waqaf pada masa ini telah melaksanakan dan menjalankan waqaf tunai kerana berpendapat waqaf tunai adalah harus dengan berpandukan resolusi-resolusi yang telah dikeluarkan badan yang berautoriti dalam bidang kewangan di peringkat antarabangsa seperti Akademi Fiqh Islam dan AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions). Mekanisme yang diamalkan oleh pengendali waqaf tersebut ialah menawarkan skim waqaf tunai berkenaan dengan cara melaburkan wang tunai yang diwaqafkan itu sebagai modal pelaburan. Kemudian keuntungannya dibahagikan kepada pihak penerima manfaat waqaf. Maka dengan demikian, modal wang tunai yang diwaqafkan adalah kekal, manakala keuntungan dan manfaatnya dilaburkan atau dikembangkan.
Sebagaimana yang dijelaskan dalam soalan daripada pihak AMBD, waqaf tunai (cash waqaf) yang hendak dilaksanakan adalah lebih menjurus kepada prospek pelaburan bagi mengembangmajukan potensi waqaf sebagai prasarana aktiviti ekonomi. Ini termasuklah untuk memperkembangkan harta waqaf, menyediakan peluang pekerjaan dan berpotensi menurunkan kadar pengangguran, mengurangkan kebergantungan negara terhadap hasil minyak dan gas, peningkatan kapasiti tenaga manusia dan sebagainya.
Modus operandi bagi modal cadangan waqaf tunai yang akan dilaksanakan tersebut ialah seperti langkah berikut:
1. Pemberi waqaf (wâqif) menyalurkan wang tunai (mauqûf) ke dalam dana waqaf tunai.
2. Waqaf tunai (mauqûf) disalurkan daripada dana waqaf tunai kepada syarikat korporat (mutawalli).
3. Syarikat korporat (mutawalli) melabur waqaf tunai ke dalam instrumen pelaburan seperti saham, sukûk dan instrumen-instrumen pelaburan yang patuh syara‘. Mutawalli akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan nilai waqaf tunai tidak turun daripada nilai asal sebagai contoh dengan menggunakan takâful, mempelbagaikan portfolio pelaburan, mengadakan dana rizab dan sebagainya.
4. Pulangan atau dividen daripada pelaburan tersebut akan dibahagi dua iaitu kepada i. mutawalli dan ii. seperti untuk kegunaan infrastruktur, latihan kemahiran dan program-program yang memberikan manfaat untuk penerima manfaat waqaf (mauqûf ‘alaih). Sebagai contoh 10% kepada mutawalli dan 90% untuk kegunaan mashlahat awam.
Langkah-langkah modal cadangan waqaf tunai di atas menyatakan bahawa mutawalli memberi jaminan bagi memastikan nilai asal wang tunai yang diwaqafkan itu kekal yakni tidak habis atau berkurang. Manfaat hanya diambil daripada hasil atau keuntungan pelaburan nilai yang kekal tersebut. Cara pengendalian sebegini adalah selari dengan Shari‘ah Standards AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu dalam Shari‘ah Standards nombor 33 bilangan 3/4/3/2 menyatakan: Waqaf dalam bentuk wang tunai adalah harus dan pemanfaatannya perlu dilakukan dengan cara yang tidak akan menyebabkan wang itu habis atau berkurangan. Antara cara pengendalian yang dibenarkan adalah melalui pemberian pinjaman (qardh) yang patuh syari‘ah daripada wang tunai tersebut atau menyalurkan wang itu kepada pelaburan yang selamat dan patuh syari‘ah seperti kontrak mudhârabah dan kemudian keuntungannya akan dibahagikan kepada pemanfaat waqaf.
Antara manfaat waqaf wang tunai yang dapat dinilai melalui pengendalian secara pelaburan patuh syari‘ah ialah ia dapat membantu dari segi sosio-ekonomi, bukan sahaja individu tetapi juga masyarakat dan negara. Ia boleh membantu individu atau syarikat memulakan perniagaan umpamanya, sekaligus membukakan peluang pekerjaan, mengurangkan pengangguran dan kadar kemiskinan, malah meningkatkan status ekonomi individu, masyarakat dan negara.
Ini bertepatan dengan hikmah pensyariatan waqaf iaitu merealisasikan kepentingan atau mashlahat umat Islam. Urus tadbir dana atau harta waqaf yang dilaksanakan dengan sebaiknya akan mendatangkan kesan yang besar dan manfaat yang banyak dalam merealisasikan pelbagai kepentingan atau mashlahat umat Islam seperti membina masjid, sekolah, menghidupkan atau mengembangkan ilmu, menegakkan syi‘âr-syi‘âr seumpama azan dan perlantikan imam serta banyak lagi kepentingan atau mashlahat dan syi‘âr-syi‘âr lain lagi. Selain itu, dana waqaf juga dapat memenuhi keperluan kebanyakan golongan fakir, miskin, anak yatim dan ibnus-sabîl serta menyenangkan hati-hati mereka.
Dalam hal penerima manfaat waqaf (mauqûf ‘alaih) disyaratkan jika penerima manfaat waqaf itu ditentukan hendaklah orangnya wujud dan mampu memiliki manfaat daripada waqaf tersebut. Manakala jika penerima manfaat waqaf tidak ditentukan seperti untuk orang-orang fakir, masjid-masjid, sekolah-sekolah dan sebagainya hendaklah waqaf tersebut tidak disumbangkan untuk perkara maksiat kerana waqaf disyariatkan adalah sebagai mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, waqaf yang disumbangkan kepada orang-orang fakir, ulama, pembaca-pembaca al-Qur’an, orang-orang berjihâd, Ka‘bah, masjid-masjid, sekolah-sekolah, peperangan-peperangan yang diizinkan syara‘, hospital-hospital, pengurusan jenazah adalah harus malah sebagai pendekatan diri kepada Allah yang disunatkan, menyeru kepada agama dan dijanjikan pahala.
Manakala bagi mutawalli pula, sekiranya pewaqaf mensyaratkan agar manfaat waqaf diberikan kepada nazhir waqaf, maka harus diberikan kepadanya. Oleh itu, mutawalli selaku nazhir waqaf harus diberikan manfaat waqaf, malah harus sebagai ujrah atau upah dengan kadar yang bersesuaian.
Sebagai Irsyâd
Pada dasarnya berdasarkan pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i mengenai hukum waqaf dinar dan dirham adalah tidak diharuskan. Maka waqaf wang tunai adalah tidak harus kerana dengan penggunaannya ia akan habis atau berkurang sedangkan salah satu syarat waqaf bagi aset waqaf (al-mauqûf) hendaklah ia kekal. Namun kaedah waqaf tunai sebagaimana perancangan pihak AMBD (untuk prospek pelaburan) itu adalah kaedah yang dapat menjamin modal wang tunai yang diwaqafkan itu kekal melalui saluran yang memastikan kekekalannya, manakala keuntungan dan faedahnya dilaburkan atau dikembangkan. Maka jika waqaf tunai itu dijalankan dengan cara pengendalian sedemikian, kita berpendapat sebagai irsyâd jua hukumnya adalah harus dengan syarat hendaklah ada mekanisme yang memastikan nilainya kekal atau terjamin, di samping penerima manfaat waqaf (mauqûf ‘alaih) dapat mengambil manfaat daripada waqaf tersebut.
Ini kerana dengan kaedah waqaf tunai yang dilaksanakan tersebut dapat mencapai objektif atau tujuan pensyariatan waqaf iaitu mengekalkan harta waqaf dan mengembangkan faedah atau manfaat yang mampu dicapai daripada wang tunai yang diwaqafkan itu, sebagaimana resolusi bilangan 140 (15/6) Akademi Fiqh Islam yang bersidang di Muscat, Oman pada persidangannya kali ke 15, wang tunai merupakan harta yang tidak dapat dispesifikkan dengan pengasingan, oleh itu sebarang badal atau gantian yang menyamai jumlah wang tunai itu adalah sama dengan jumlah wang tunai yang diwaqafkan. Seandainya wang tunai yang diwaqafkan itu dilaburkan dalam harta kekal seumpama nazhir waqaf membeli harta tidak alih, atau membina binaan, maka aset yang dibeli atau dibina itu tidak dianggap waqaf yang mengambil alih tempat waqaf wang tunai, malah ia harus dijual bagi menjamin pelaburan supaya berkekalan, dalam hal ini harta waqaf sebenarnya ialah jumlah modal asal wang tunai yang diwaqafkan.
Oleh itu, adalah harus mempraktikkan waqaf tunai dengan menjadikan wang tunai yang diwaqafkan itu sebagai aset waqaf dan digunakan untuk pelaburan dan sebagainya dengan mengekalkan wang modal jumlah pokok atau aset kekal kepada penerima waqaf (al-mauqûf ‘alaih) manakala aset yang dibeli, dibina, keuntungan atau dividen daripada pelaburan wang tunai yang diwaqafkan itu harus digunakan untuk mashlahat umum dan juga harus diberikan kepada mutawalli selaku nazhir waqaf sebagai ujrah atau upah dengan kadar yang bersesuaian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12715
