‘Amaliyyah Lailatul-Qadr: Adakah Bertentangan Dengan Ajaran Agama Islam?
Soalan: Dipohonkan penjelasan mengenai amalan ‘amaliyyah Lailatul-qadr seperti berikut:
1. Sembahyang Tahajjud (2 rakaat 1 salam). - rakaat pertama: al-Fâtihah dan al-Kâfirûn. - rakaat kedua: al-Fâtihah dan al-Ikhlâsh.
2. Sembahyang Lailatul-qadr (4 rakaat 2 salam). - rakaat pertama: al-Fâtihah, kemudian al-Qadr (7 kali). - rakaat kedua: al-Fâtihah, kemudian al-Ikhlâsh (7 kali).
3. Sembahyang Hajat li daf‘ al-balâ’ (2 rakaat 1 salam). - rakaat pertama: al-Fâtihah, kemudian diikuti al-Kâfirûn (10 kali). - rakaat kedua: al-Fâtihah, kemudian diikuti al-Ikhlâsh (10 kali). * ba‘d (setelah) salam – nelampahi sujud syukur inekang di waos. - Tasbîh (10 kali) - Selawat Nabi (10 kali) - Do‘a [Rabbanâ âtina...] (10 kali) - Lajeng dungo dateng manah (dipun batin) punopo inekang dapos hajadipun. - Salam.
4. Wirid. - Tawassul - Al-Qadr (7 kali) - Al-Ikhlâsh (7 kali) - Al-Falaq (7 kali) - An-Nâs (7 kali) - Istighfâr (70 kali) - Selawat (70 kali) - Do‘a
Jawapan: Lailatul-qadr adalah satu malam di bulan Ramadhan yang sangat istimewa dalam Islam, diturunkan padanya al-Qur’an al-Karim serta mempunyai kelebihan yang sangat besar sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur’an itu pada malam Lailatul-qadr. Dan tahukah engkau apakah malam Lailatul-qadr itu? Malam Lailatul-qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah al-Qadr: 1-3)
Dalam kitab Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm menyebutkan bahawa dalam ayat ini Allah Ta‘ala mengkhabarkan bahawa Dia telah menurunkan al-Qur’an al-Karim pada suatu malam yang dinamakan Lailatul-qadr, malam yang penuh dengan keberkatan di dalam bulan Ramadhan. Sebagai memuliakan dan mengagungkan Lailatul-qadr yang dikhususkan padanya penurunan al-Qur’an, Allah Ta‘ala menyatakan bahawa malam tersebut adalah lebih baik daripada seribu bulan.
Ungkapan ‘lebih baik daripada seribu bulan’ menerangkan atau menggambarkan tentang kelebihan serta kebesaran yang ada pada Lailatul-qadr yang terdapat fadhilat yang sangat banyak atau kebaikan yang banyak yang tidak didapati seumpamanya itu meskipun dalam seribu bulan. Apabila dirujuk pada kitab-kitab tafsir, ungkapan ini antaranya diertikan bahawa Lailatul-qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan yang tidak ada pada bulan-bulan itu Lailatul-qadr. Beramal pada Lailatul-qadr adalah lebih baik atau afdhal daripada beramal atau beribadat pada seribu bulan yang tidak ada padanya Lailatul-qadr. Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj ada disebutkan bahawa malam yang paling afdhal daripada malam-malam lain dalam setahun adalah Lailatul-qadr.
Keistimewaan serta kelebihan Lailatul-qadr ada diperjelaskan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar. (Surah al-Qadr: 4-5)
Ayat-ayat di atas menceritakan bahawa pada malam berlakunya Lailatul-qadr, malaikat Jibril ‘Alaihissalâm serta para malaikat yang lainnya turun ke bumi. Menurut Ibnu Katsir Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, banyaknya turun para malaikat itu adalah kerana banyaknya berkat pada malam tersebut dan para malaikat itu juga turun bersama dengan turunnya berkat dan rahmat sebagaimana turunnya malaikat ketika mentilâwah al-Qur’an. Para malaikat ini melingkungi serta memuliakan halaqah-halaqah zikir dan memberi penghormatan pada orang-orang yang menuntut ilmu dengan benar.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân bahawa ketika Lailatul-qadr para malaikat turun ke bumi dan mengaminkan do‘a-do‘a manusia. Beliau juga menceritakan bahawa malam itu terdapat kebaikan, keamanan atau kesejahteraan. Dikatakan sedemikian juga adalah kerana pada malam itu, orang-orang yang beriman terselamat daripada gangguan syaitan dan perkara-perkara tersebut berlaku dari terbenamnya matahari sehinggalah terbit fajar.
Menurut pendapat para ulama juga, kurniaan Lailatul-qadr yang diberikan oleh Allah Ta‘ala ini adalah keistimewaan khusus bagi umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai satu kemuliaan bagi mereka, yang tidak pernah berlaku kepada umat-umat lain yang terdahulu. Lailatul-qadr ini juga akan berlaku setiap tahun meskipun setelah kewafatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta kekal hingga ke Hari Kiamat.
Dengan kedudukannya yang istimewa di sisi Islam serta kelebihan yang terdapat di dalamnya, umat Islam disunatkan menanti dan memohon untuk dipertemukan dengan Lailatul-qadr sebagai pernyataan keyakinan bahawa kedatangannya adalah suatu yang benar dengan mengharapkan keredhaan Allah Ta‘ala dan ganjaran pahala daripadaNya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mengerjakan ibadat pada malam Lailatul-qadr kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Waktu Berlakunya Lailatul-qadr
Dalam menentukan waktu berlakunya Lailatul-qadr ini hakikatnya tidak dapat ditentukan secara pasti dan tepat kerana dalam hal ini para ulama mempunyai pendapat yang banyak dan berbeza-beza. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ bahawa:
Ertinya: Dan menurut pendapat mazhab asy-Syafi‘i dan jumhûr al-ashhâb bahawa ia (Lailatul-qadr) berlegar dalam lingkungan sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, yang tidak pasti kepada kita (bila berlakunya).
Dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn juga menyebutkan bahawa Lailatul-qadr berlaku dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, yang besar kemungkinan ia berlaku pada salah satu malam yang berangka ganjil di antara malam-malam tersebut. Misalnya pada malam 21 atau 23 dan seterusnya hingga ke penghujung Ramadhan dan ini adalah pendapat jumhûr ulama. Perkara ini adalah berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Hendaklah kamu cari ia (Lailatul-qadr) itu pada sepuluh malam terakhir (bulan Ramadhan) dan kamu cari ia pada tiap-tiap malam yang ganjil. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri, apabila masuk sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, Baginda sangat memberatkan dan bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat pada malam-malam tersebut, yang melebihi dari apa yang Baginda lakukan pada malam-malam di bulan-bulan yang lain sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersungguh-sungguh (meningkatkan amal ibadat) pada sepuluh (malam) terakhir (bulan Ramadhan) tidak (seperti) apa yang Baginda kerjakan pada malam-malam yang lain. (Hadits riwayat Muslim)
Baginda juga membangunkan ahli keluarga Baginda daripada tidur untuk melakukan ibadat. ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan:
Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila masuk sahaja sepuluh (malam terakhir bulan Ramadhan), Baginda mengencangkan kain Baginda (bersungguh-sungguh melakukan ibadat), Baginda menghidupkan malam itu dan membangunkan keluarga Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maka jelaslah bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mempertingkatkan amal ibadat Baginda pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan serta berusaha bersungguh-sungguh menghidupkannya dengan memperbanyakkan i‘tikâf, qiyâm al-lail (menghidupkan malam) dengan mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat dan mengejutkan ahli keluarga Baginda untuk mengerjakan ibadat dan sembahyang malam.
Dalam penetapan waktu berlakunya Lailatul-qadr ini, Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh cenderung berpendapat bahawa ia berlaku pada malam ke 21 atau malam ke 23 daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Sebahagian besar para sahabat pula berpendapat bahawa Lailatul-qadr itu berlaku pada malam ke 23.
Manakala Imam al-Ghazali Rahimahullâh serta beberapa ulama lain pula menyatakan bahawa Lailatul-qadr boleh diketahui menerusi hari pertama bulan Ramadhan. Namun, Syihabuddin as-Sayyid Mahmud al-Alusi al-Baghdadi Rahimahullâh menegaskan bahawa kaedah ini tidak dijadikan sandaran oleh ulama-ulama yang lain dan menyatakan bahawa malam tersebut tidak dapat diketahui secara pasti sebagaimana pendapat kebanyakan ulama.
Imam al-Bujairimi Rahimahullâh pula menyatakan bahawa jika malam Lailatul-qadr itu misalnya berlaku pada malam ke 21, maka begitulah yang berlaku pada setiap tahun dan ia tidak akan berubah atau berpindah dari malam tersebut. Ini adalah pendapat yang râjih, sesiapa yang mengetahui berlakunya Lailatul-qadr dalam suatu tahun itu, dia akan mengetahui berlakunya Lailatul-qadr dalam tahun yang seterusnya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dan beberapa ulama lain pula menyatakan bahawa Lailatul-qadr itu berlaku secara berpindah-pindah, pada malam-malam ganjil dalam lingkungan sepuluh malam terakhir Ramadhan pada setiap tahun. Maka berdasarkan pendapat ini, Lailatul-qadr itu tidak akan berlaku pada malam yang sama setiap tahun, bahkan akan berubah dari tahun yang sebelumnya.
Amalan yang Dianjurkan untuk Menghidupkan Sepuluh Malam Terakhir Ramadhan
Sebagaimana yang telah diterangkan di atas, umat Islam adalah digalakkan untuk meningkatkan amal ibadat mereka dalam menghidupkan sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada malam yang berangka ganjil dengan memperbanyakkan sembahyang-sembahyang sunat, membaca al-Qur’an, berzikir, berwirid, berdo‘a, beri‘tikâf serta melakukan perkara-perkara berkebajikan yang lain.
Sembahyang-sembahyang sunat seperti sembahyang sunat Tahajjud, sembahyang sunat Hajat, sembahyang sunat Witir, sembahyang sunat Tasbih dan juga sembahyang sunat lain adalah antara amalan-amalan sunat yang dituntut bagi umat Islam mengerjakan pada hari atau waktu biasa kerana setiap satu daripadanya mempunyai fadhilat dan kelebihan tersendiri. Namun pada waktu atau malam yang sangat istimewa seperti Lailatul-qadr yang berlaku di sepuluh malam terakhir Ramadhan ini, setentunya mendirikan sembahyang-sembahyang sunat ini adalah lebih-lebih lagi dituntut bagi menghidupkan malam tersebut serta meraih kelebihan yang ada padanya.
Umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan dan mempertingkatkan sembahyang-sembahyang sunat seperti sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah Maghrib dan ‘Isya’, sembahyang sunat Awwabin dan mengerjakan sembahyang sunat Tarawih sepanjang bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Selain daripada mendirikan ibadat sembahyang sunat, umat Islam juga dituntut untuk mengerjakan ibadat-ibadat lain untuk menghidupkan malam Lailatul-qadr, khususnya pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.
Antara amal ibadat tersebut ialah melakukan i‘tikâf di sepanjang bulan Ramadhan dan lebih afdhal lagi jika dilakukan pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan bagi memperolehi Lailatul-qadr serta menghidupkannya dengan amal ibadat seperti memperbanyakkan membaca al-Qur’an dan juga dzikrullâh misalnya dengan bertahmîd iaitu membaca ُ ِلل ّٰلدحٱ ْلحَم,
bertakbîr iaitu membaca َبَ حاَلل ُ اَك, bertasbîh iaitu membaca لحَان َ هللاحسُب, membaca hauqalah iaitu Selain itu umat Islam juga dianjurkan untuk memperbanyakkan istighfâr dan do‘a kepada Allah Ta‘ala, berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, memperbanyakkan sedekah, menghadiri majlis-majlis ilmu dan seumpamanya.
Ulasan Mengenai ‘Amaliyah Lailatul-qadr
‘Amaliyah Lailatul-qadr yang ditanyakan oleh penyoal mengandungi amalan-amalan yang sebahagiannya biasa diamalkan oleh kita sebagai umat Islam seperti sembahyang sunat Hajat, sembahyang sunat Tahajjud, sembahyang sunat Witir, zikir-zikir dan selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Sebagaimana yang telah disebutkan lebih awal, sembahyang sunat Tahajjud dan sembahyang sunat Hajat merupakan antara sembahyang-sembahyang sunat yang dianjurkan untuk dilakukan oleh umat Islam pada hari-hari biasa mahupun hari-hari yang istimewa atau mulia di sisi Islam. Misalnya pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan dengan tujuan untuk mendapatkan Lailatul-qadr serta menghidupkan malam-malam tersebut.
Begitu juga berwirid dengan membaca surah-surah daripada al-Qur’an, berzikir, berselawat dan berdo‘a pada Lailatul-qadr sememangnya antara amalan yang disunatkan dan dianjurkan untuk umat Islam melakukannya.
Sembahyang Sunat Lailatul-qadr
Mengenai dengan sembahyang Lailatul-qadr terdapat beberapa perkara mengenainya yang perlu diambil perhatian. Iaitu adakah yang dimaksudkan di sini sembahyang sunat muthlaq atau sembahyang-sembahyang sunat lain yang dilakukan untuk menghidupkan malam Lailatul-qadr ataupun ia sebagai sembahyang sunat khusus Lailatul-qadr? Sekiranya yang dimaksudkan itu sembahyang sunat muthlaq atau sembahyang-sembahyang sunat lain yang sunat dilakukan bagi menghidupkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan amnya dan pada malam Lailatul-qadr khasnya, maka perbuatan ini tidaklah menyalahi syara‘ kerana ia memang dianjurkan.
Dalam kitab Durrah an-Nâshihîn dan Khazînah al-Asrâr ada disebutkan riwayat yang menerangkan tentang cara sembahyang Lailatul-qadr serta fadhilat bagi orang yang mengerjakannya seperti berikut:
Ertinya: Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada Lailatul-qadr dua rakaat dia membaca pada setiap rakaat al-Fâtihah sekali dan surah al-Ikhlâsh tujuh kali maka apabila selesai (sembahyangnya) dia membaca َ
لهحللَيهللا َ وَأَتُوب ُ إ tujuh puluh kali, maka (selama) dia tidak
bangun dari tempatnya nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan kedua-dua orang tuanya serta Allah mengutus malaikat ke syurga bagi menanam pohon-pohon, membina istana dan mengalirkan sungai untuknya, dan tidak dia keluar daripada dunia (mati) sehingga dia melihat yang demikian itu semuanya.
Namun riwayat berkenaan setakat ini tidak ditemui dalam kitab-kitab hadits yang mu‘tabar, bahkan maklumat mengenai keseluruhan periwayat sanadnya juga tidak diperolehi. Maka tidak dapat dipastikan keshahîhan sumber sembahyang Lailatul-qadr berdasarkan riwayat itu.
Dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib pula ketika menyebut tentang sembahyang sunat pada waktu-waktu khusus, telah menukil daripada kitab al-Majmû‘, bahawa amalan sembahyang sunat seperti sembahyang dua belas rakaat di antara Maghrib dan ‘Isya’ yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab (juga dinamakan sembahyang ar-raghâ’ib) dan sembahyang malam nishf Sya‘ban seratus rakaat atau seumpamanya adalah termasuk perkara yang dianggap sebagai bid‘ah madzmûmah atau bid‘ah yang tercela. Amalan sembahyang yang dianggap bid‘ah tercela ini ialah apabila sembahyang itu diqashadkan atau diniatkan secara khusus untuk dilaksanakan pada waktu tertentu. Sekiranya sembahyang itu tidak diniatkan sedemikian, maka ibadat sembahyang itu dikira sebagai salah satu sembahyang-sembahyang sunat muthlaq yang diharuskan oleh syara‘ untuk dikerjakan oleh umat Islam. Walau bagaimanapun tidak ada disebutkan sembahyang Lailatul-qadr dalam contoh-contoh sembahyang yang dianggap bid‘ah tersebut. Maka tidak dapat dipastikan ia sebagai amalan bid‘ah.
As-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh ketika menjelaskan tentang sembahyang qiyâm al-lail dalam kitabnya Fath al-‘Allâm menyatakan bahawa makruh mengerjakan sembahyang qiyâm al-lail pada keseluruhan malam secara berterusan meskipun perkara tersebut tidak memudharatkan orang yang melakukannya kerana keadaan perbuatan sedemikian itu asalnya mendatangkan mudharat dan tidur siang itu tidak akan dapat menggantikan tidur malam. Adapun bangun untuk mengerjakan qiyâm pada sebahagian malam secara berterusan atau qiyâm pada keseluruhan malam yang tidak berterusan seperti qiyâm pada malam-malam Hari Raya dan sepuluh akhir Ramadhan tidaklah makruh bahkan mustahabb apabila tidak memudharatkannya. Sekiranya mendatangkan kemudharatan maka hukumnya adalah makruh.
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj pula menjelaskan bahawa perbuatan qiyâm al-lail pada keseluruhan malam secara berterusan dimakruhkan kerana ia mendatangkan mudharat pada tubuh badan. Hal demikian ini tidak membolehkannya tidur siang kerana dengan tidur siang itu akan meluputkan mashlahat urusan agama dan dunianya.
Sembahyang qiyâm al-lail yang dimaksudkan di sini pula ialah sembahyang sunat (nâfilah); tambahan pada sembahyang ar-rawâtib yang dikerjakan pada waktu malam. Ia dinamakan Tahajjud apabila dilakukan setelah tidur malam dan dinamakan qiyâm apabila dilakukan sebelum tidur malam.
Berdasarkan keterangan di atas, dapatlah difahami bahawa sembahyang yang dianjurkan untuk didirikan pada malam-malam tertentu yang dianggap sebagai malam yang mulia di sisi syara‘ itu ialah amalan sembahyang-sembahyang sunat yang wârid seperti sembahyang sunat Tahajjud, sembahyang sunat Hajat dan yang lainnya. Apabila tiba waktu-waktu yang dianggap mempunyai kelebihan atau fadhilat besar seperti Lailatul-qadr, maka amalan-amalan ini adalah lebih-lebih lagi dituntut untuk diperbanyakkan dengan tujuan untuk meraih kelebihannya serta ganjaran daripada Allah Ta‘ala jua, tetapi bukan ia dinamakan sembahyang Lailatul-qadr.
Oleh yang demikian sembahyang Lailatul-qadr sebagaimana yang ditanya mengenainya, sayugia ditinggalkan kerana tidak dapat dipastikan keshahîhannya dan dikhuatiri melakukan amalan yang disebut sebagai bid‘ah madzmûmah.
Sujud Syukur Selepas Sembahyang Hajat
Sembahyang Hajat adalah sembahyang sunat yang disyariatkan ke atas umat Islam yang bertujuan untuk memohon supaya ditunaikan sesuatu hajat sama ada berkaitan urusan dunia atau akhirat, ataupun untuk memohon dilepaskan daripada kesulitan atau kesusahan yang mendesak. Ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa melainkan pada waktu yang dilarang sembahyang menurut syara‘.
Manakala sujud syukur pula adalah antara amalan sunat yang disyariatkan bertujuan untuk menyatakan rasa kesyukuran atau terima kasih atas ni‘mat yang dilimpahkan Allah Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang daripada bahaya atau bencana.
Sujud syukur di dalam mazhab asy-Syafi‘i tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ia hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah Ta‘ala atau terhindar daripada malapetaka. Ini bermakna bahawa sunat melakukan sujud syukur bukan kerana ni‘mat sedia ada yang berterusan seperti ni‘mat Islam atau keamanan dan seumpamanya.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam ar-Ramli Rahimahumallâh sujud syukur itu luput waktunya disebabkan panjangnya jarak dari segi ‘urf di antara waktu melakukan sujud syukur dengan waktu berlakunya perkara yang menyebabkan sujud syukur (ni‘mat yang diperolehi atau bala yang terhindar).
Adapun melakukan sebarang sujud tanpa sebab yang disyariatkan maka ia dilarang. Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh bahawa haram hukumnya melakukan sujud dalam mahupun luar sembahyang tanpa ada sebab walaupun dengan niat semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala dan ia adalah bid‘ah. Manakala melakukan sujud dengan bersebab seperti sujud tilâwah tidaklah haram bahkan hukumnya adalah sunat.
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh juga menyatakan perkara ini dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Dan jika mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan melakukan sujud tanpa ada sebab, maka haram hukumnya, walaupun selepas sembahyang sepertimana diharamkan melakukan perbuatan ruku‘ satu-satunya dan seumpamanya, kerana ia adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah itu adalah sesat melainkan apa yang dikecualikan.
Tawassul dan Berwirid
Tawassul adalah salah satu cara berdo‘a dan satu daripada pintu tawajjuh (menghadap) Allah Ta‘ala dengan menggunakan perantara. Ia adalah antara amalan yang menjadi pegangan Ahli Sunnah wal-Jama‘ah. Perantara ini ialah semata-mata bagi mendekat atau menyampaikan hajat kepada Allah Ta‘ala.
Dalam Lisân al-‘Arab menyebut bahawa tawassul dan wasîlah bererti mendekatkan diri kepada sesuatu. Jika disebut إ َل هللا وس يلة توس ل فَلن atau َل توس ل إ َل هللا توس bererti seseorang itu melakukan sesuatu perkara atau sesuatu amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah Ta‘ala. Al-Jauhari menyebut, tawassul kepada Allah Ta‘ala bererti seseorang itu mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala dengan melalui amalan.
Manakala dari segi syara‘ pula, tawassul bererti mendekatkan atau mendampingkan diri kepada Allah Ta‘ala dengan mentaatiNya, beribadat kepadaNya dan dengan mengikuti NabiNya juga dengan melakukan amalan yang disukai dan diredhai olehNya.
Dengan kata lain tawassul menurut syara‘ bermaksud sesuatu permohonan atau do‘a kepada Allah Ta‘ala yang dipohon oleh seseorang mu’min dengan melalui perantaraan amalan salih atau melalui perantaraan seseorang supaya apa yang dihajati diperkenan oleh Allah Ta‘ala atau supaya sesuatu perkara yang diminta akan dimakbulkan olehNya.
Bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah Ta‘ala dan bertawassul dengan amal salih adalah perkara yang disyariatkan dan diharuskan dalam Islam apabila ia dilakukan dengan menepati ketetapan syara‘. Begitu juga harus hukumnya bertawassul dengan zat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, para nabi, wali dan orang salih, sama ada ketika mereka hidup ataupun sesudah mereka meninggal dunia.
Dr. as-Sayyid Muhammad ‘Alwi al-Maliki al-Makki al-Hasani telah menjelaskan tentang konsep tawassul ini dengan lebih lanjut:
Pertama: Tawassul ialah salah satu cara atau jalan untuk berdo‘a dan juga merupakan satu daripada pintu-pintu tawajjuh (menghadap) Allah Ta‘ala dengan menggunakan pengantara. Pengantara ini ialah semata-mata untuk mendekat atau menyampaikan hajat kepada Allah Ta‘ala.
Kedua: Orang yang bertawassul tidaklah menjadikan pengantara itu melainkan semata-mata kerana cintanya kepada pengantara itu dan dengan keyakinannya atau kepercayaannya bahawa Allah Ta‘ala mencintainya (pengantara tersebut).
Ketiga: Orang yang bertawassul itu sekiranya dia beri‘tiqâd bahawa sesiapa yang dijadikan pengantara kepada Allah Ta‘ala boleh memberi manfaat dan mudharat, sama seperti Allah Ta‘ala, maka i‘tiqâdnya yang seperti itu boleh membawa syirik.
Keempat: Bertawassul bukanlah suatu perkara yang dharûri atau mesti dibuat ketika berdo‘a dan bukan juga penerimaan suatu do‘a itu tertakluk atau bergantung kepada tawassul itu.
Adapun membaca surah al-Qadr, al-Ikhlâsh, al-Falaq dan an-Nâs sebanyak tujuh kali, membaca istighfâr dan selawat sebanyak tujuh puluh kali serta membaca do‘a adalah perkara yang baik dan tidak menyalahi syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12724
