Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

“Zikir Pillow” yang Memuatkan Audio Ayat-ayat Al-Qur’an, Zikir dan Do‘a-do‘a

Soalan: Bahagian Penapisan Dan Pameran, Pusat Da‘wah Islamiah telah menerima “Zikir Pillow – Baby pian” yang mengandungi audio ayat-ayat al-Qur’an, zikir dan do‘a-do‘a yang telah disemak dan tidak didapati sebarang kesalahan.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa dan pandangan mengenai “Zikir Pillow” tersebut.

Jawapan: “Zikir Pillow” adalah sejenis bantal yang direka khusus untuk kanak-kanak dengan memuatkan audio bacaan ayat-ayat al-Qur’an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang boleh dimainkan untuk didengar pada bila-bila masa melalui alat pemain audio yang dipasang pada bantal tersebut. Walau bagaimanapun ia juga boleh digunakan oleh orang dewasa atau sesiapa sahaja. Persoalannya adakah audio bacaan al-Qur’an, zikir dan do‘a tersebut sesuai diletakkan pada bantal tersebut?

Pada asasnya, “Zikir Pillow” tersebut sama sahaja dengan alat-alat seperti alat perakam, radio, telefon pintar dan sebagainya dari segi fungsinya mengeluarkan suara (audio). Audio bacaan ayat-ayat al-Qur’an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a akan dapat didengar apabila dimainkan dengan menekan punat pada bantal itu. Fizikal bantal tersebut tidaklah mengandungi ayat-ayat al- Qur’an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang berkenaan. Melihat kepada fungsinya yang sedemikian, memuatkan audio bacaan-bacaan al-Qur’an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a pada bantal tersebut untuk dimainkan pada bila-bila masa yang dikehendaki tidak dilihat sebagai suatu perkara yang menyalahi syara‘ sebagaimana juga memuatkan audio bacaan pada alat-alat yang lain, bahkan ia adalah perkara yang boleh membawa manfaat. Antara manfaatnya ialah membiasakan kanak-kanak mendengar dan mengamalkan bacaan ayat-ayat al-Qur’an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a serta memudahkan kanak-kanak menghafalnya dari sejak kecil lagi dan sebagainya.

Namun perkara yang berbangkit ialah dari segi memelihara kemuliaan bacaan al-Qur’an, zikir dan do‘a yang dimuatkan di dalam “Zikir Pillow” tersebut sekiranya pillow tersebut dibawa ke tandas oleh kanak-kanak dalam keadaan zikir-zikir itu masih dimainkan dan seumpamanya. Oleh itu, dalam menjaga adab terhadap ayat al-Qur’an, zikir dan do‘a, ibu bapa bertanggungjawab memastikan kemuliaan bacaan al-Qur’an, zikir dan do‘a tetap dipelihara semasa menggunakannya.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bahawa adalah makruh berzikir (menyebut) Allah Ta‘ala dan membaca al-Qur’an di dalam tandas dengan suara yang dapat didengari sekurang-kurangnya oleh diri sendiri. Sekiranya dia menyebut zikir tanpa terdengar olehnya suaranya sendiri maka tidaklah dihukumkan makruh.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh juga menyebut pendapat Ibnu Kaj Rahimahullâh bahawa adalah haram membaca al-Qur’an di dalam tandas atau ketika qadha’ hajat (buang air dan sebagainya), maka menanggung Mushhaf dan seumpamanya ketika itu lebih utama ditinggalkan.

Zikir dan Do‘a Dengan Iringan Muzik

Berdasarkan penelitian terhadap audio yang terkandung pada “Zikir Pillow” tersebut terdapat zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang diiringi dengan muzik antaranya seperti zikir Asma’ullâh al- Husna “Yâ Lathîf”, do‘a makan dan do‘a tidur. Perkara ini perlu diberi perhatian iaitu isu penggunaan muzik yang mengiringi zikir dan do‘a. Adalah tidak layak suatu ibadat zikir dan do‘a apabila dibaca atau disampaikan atau didengarkan diiringi dengan muzik yang dilarang oleh syara‘. Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir ada menyebut:

Ertinya: Dan telah berkata al-Imam Abu al-‘Abbas al-Qurthubi: “Adapun al-mazâmir (alat-alat muzik yang ditiup), al-autâr (alat-alat muzik bertali yang dipetik atau digeser), al-kûbah (alat-alat muzik yang dipalu), maka tidak diperselisihkan (oleh para ulama) tentang keharaman mendengarnya dan aku tidak pernah mendengar perkataan seorang pun daripada kalangan ulama salaf dan khalaf yang mu‘tabar yang berpendapat mengharuskannya. Bagaimana mungkin ia tidak haram! Sedangkan ia adalah syi‘âr (tanda atau lambang) peminum arak, pembuat fâsiq, pembangkit syahwat, pembuat kerosakan dan orang yang suka berseronok-seronok? Dan apa yang sedemikian itu, tidak diragukan pada pengharamannya dan tidak juga kefâsiqan pelakunya serta berdosanya (pelakunya).

Kita telah pun menjelaskan kedudukan muzik menurut pandangan Islam dengan panjang lebar melalui fatwa yang berjudul “Islam dan Muzik”.

Sebagai kesimpulan, adalah harus audio bacaan ayat-ayat al-Qur’an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a dimuatkan pada bantal tersebut dan tidak ada unsur penghinaan terhadapnya. Bahkan rekaan tersebut banyak manfaatnya kepada pengguna. Namun demi memelihara kemuliaan dan kehormatan bacaan ayat-ayat al-Qur’an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang dimuatkan dalam “Zikir Pillow” tersebut, hendaklah dipelihara adab-adab penggunaannya.

Adapun zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang diiringi dengan muzik yang dimuatkan pada bantal tersebut adalah tidak bersesuaian dengan hukum syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12729