Beberapa Isu Berkenaan Dengan Penularan Wabak COVID-19
Soalan: Berikutan dengan status penularan wabak penyakit COVID-19 yang melanda negara kita pada masa ini, sukacita dipohonkan fatwa mengenai dengan perkara-perkara berikut:
1. Hukum mengadakan majlis-majlis keramaian di tempat-tempat awam seperti dewan-dewan, masjid-masjid dan lain-lain termasuk pawagam-pawagam yang melibatkan majlis perkahwinan, pernikahan, acara-acara kebudayaan, hiburan dan lain-lain.
2. Apakah kedudukan hukum sembahyang Jumaat pada masa wabak COVID-19 ini masih berlaku? Adakah hukum fardhu ‘Ain itu gugur?
3. Hukum mengadakan majlis-majlis kenegaraan seperti Majlis Sambutan Isra’ dan Mi‘raj yang dijadualkan akan diadakan pada bulan ini.
4. Apakah langkah-langkah terbaik yang dianjurkan oleh hukum syara‘ jika sekiranya majlis-majlis seumpama itu diteruskan juga untuk diadakan oleh penganjur?
5. Apakah pandangan hukum syara‘ mengenai perbuatan meletakkan tangan ke dada dan cara-cara lain yang boleh mengelakkan dari bersentuhan sebagai menggantikan perbuatan berjabat tangan iaitu sebagai langkah berjaga-jaga supaya tidak terkena jangkitan?
Jawapan: 1. Hukum asal mengadakan majlis walîmah seperti majlis pernikahan dan majlis aqiqah adalah sunat. Sementara mengadakan acara-acara yang bercanggah dengan hukum syara‘ adalah ditegah.
Manakala mengadakan majlis-majlis keramaian ketika berlakunya penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ini adalah tertakluk kepada arahan dan nasihat pihak pemerintah (ulil-amri) yang dipanggil juga sebagai pihak berautoriti.
Sekiranya pihak yang diberi autoriti mengeluarkan larangan mengadakan sebarang majlis keramaian untuk mencegah penularan wabak COVID-19 tersebut, maka arahan itu wajib dipatuhi kerana mentaati perintah ulil-amri.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah an-Nisâ’: 59)
2. Hukum mendirikan sembahyang Jumaat pula adalah wajib berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu, jika benar kamu mengetahui. (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula bersabda:
Maksudnya: Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam kecuali empat: Hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang sakit. (Hadits riwayat Abu Daud)
Tuntutan wajib ini akan berkekalan melainkan wujud keuzuran yang diiktiraf oleh syara‘. Keuzuran pada sembahyang Jumaat itu adalah sama dengan keuzuran pada meninggalkan sembahyang berjemaah di masjid. Antaranya ialah kerana sakit dan takut sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendengar suara orang yang menyerukan azan, sedangkan dia tidak mempunyai keuzuran yang menegahnya daripada memenuhinya (seruan azan untuk sembahyang berjemaah), maka tidak ada sembahyang baginya (sembahyang yang diterima secara sempurna). Mereka berkata: “Apakah keuzuran itu?”Baginda bersabda: “Takut atau sakit.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan hadits di atas, difahami bahawa takut dan sakit merupakan keuzuran yang menggugurkan tuntutan wajib mendirikan sembahyang Jumaat. Maksud takut di sini ialah takut berlaku mudharat pada dirinya atau hartanya.
Selain itu, اْلبس (penahanan) juga menjadi suatu keuzuran yang mengharuskan seseorang untuk meninggalkan sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah di masjid. Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:
Ertiya: Dan tidaklah berdosa orang yang ditahan itu meninggalkan sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah dan boleh bagi qadhi menegah orang yang ditahan itu daripada mengerjakan kedua-duanya (sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah) jika dia melihat terdapat mashlahat padanya...
Oleh yang demikian, orang-orang yang dilarang keluar ke tempat awam oleh pihak berkuasa sama ada kerana didapati positif COVID-19 atau dikenakan Perintah Kuarantin adalah termasuk dalam kategori mahbûs (orang yang ditahan) yang menggugurkan tuntutan berjemaah dan hadir ke masjid sembahyang Jumaat.
Selain itu, sekiranya pihak berkuasa mengeluarkan larangan mendirikan sembahyang Jumaat disebabkan wabak COVID-19 sudah dinilai sebagai pandemik yang merujuk kepada wabak mudah merebak dan mampu untuk menyebabkan kematian, maka larangan itu wajiblah dipatuhi.
Sebagai langkah berjaga-jaga, negara dan orang ramai mustahak mengambil kira antara lain:
(a) Menjaga kebersihan secara berterusan.
(b) Bagi siapa yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti virus COVID-19 tidak akan berada di tempat umum hatta pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat, berjemaah, termasuk sembahyang Hari Raya, sebagai langkah mengelakkan kemudharatan seperti yang ditekankan oleh kaedah fiqh, berbunyi:
Ertinya: Menolak (menghindari) kerosakan atau kemudharatan itu lebih utama daripada menarik (mendatangkan) kemashlahatan.
(c) Bagi para imam, wajar memendekkan khutbah dan ayat sembahyang Jumaat, khusus dalam masa berlaku serangan wabak COVID-19.
(d) Majlis keramaian semasa, seperti walîmah perkahwinan atau bermusim, seperti sambutan dan perayaan Maulid ar-Rasul yang diadakan secara perkumpulan dan perarakan besar-besaran dan lain-lain, ditiadakan buat sementara sebagai langkah berjaga-jaga untuk pencegahan.
(e) Hendaklah diambil kira pendekatan al-Qur’an, surah al-Baqarah, ayat 195 yang telah menggesa umat Islam supaya jangan mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan arahan hadits-hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti berikut:
Sa‘id bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu mendengar bahawa ta‘un menimpa di bumi (sesuatu tempat) maka janganlah kamu memasukinya (ke tempat tersebut), dan apabila (ta‘un) berlaku di bumi (suatu tempat) sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar darinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits yang lain pula, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda;
Maksudnya: Tiada penyakit yang berjangkit tanpa takdir Allah, tiada kepercayaan sial, tiada kepercayaan jahiliyyah yang mempercayai mayat bertukar menjadi burung dan tiada kepercayaan sial pada bulan Safar, (tetapi) hendaklah engkau lari daripada (bahaya) orang yang terkena penyakit kusta (boleh dikiaskan apa jua penyakit berjangkit) sebagaimana engkau lari dari (bahaya) singa. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan ayat dan hadits-hadits ini, maka adalah wajib mengelakkan diri untuk sementara waktu dari keluar atau melancong ke tempat-tempat yang telah disahkan berlaku wabak COVID-19 itu.
Demikian juga berdasarkan ayat dan hadits-hadits yang sama, maka wajib untuk sementara waktu melarang atau menegah mana-mana orang yang berasal dari tempat atau negeri yang telah disahkan berlaku wabak COVID-19 untuk memasuki negara ini.
(f) Sikap bertenang sangat diperlukan sambil membanyakkan do‘a ketika menghadapi situasi ini dan bersedia untuk mematuhi semua arahan oleh pihak berkuasa atau berautoriti.
(g) Untuk menangani COVID-19 memerlukan penglibatan banyak pihak, terutama siapa yang dinamakan sebagai pihak berautoriti. Dalam hal ini dilihat sebagai tidak wajar jika ia (autoriti itu) hanya dipikulkan kepada satu pihak sahaja iaitu Kementerian Kesihatan. Tetapi adalah lebih munasabah jika autoriti itu dimiliki bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Kesihatan, kerana ke semua pihak-pihak ini dilihat sebagai sama-sama berkaitan dalam peranan dan tanggungjawab untuk menentukan langkah-langkah yang perlu diambil mengenai musibah ini.
3. Jawaban kepada soalan ini adalah sama seperti jawaban (1).
4. Jawaban kepada soalan ini tidak lagi berbangkit dengan adanya jawaban kepada soalan-soalan yang terdahulu.
5. Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa hukum bersalaman (berjabat tangan) antara seorang lelaki dengan lelaki yang lain atau antara seorang perempuan dengan perempuan yang lain adalah sunat berdasarkan kepada hadits:
Maksudnya: Daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata: “Seorang lelaki telah bertanya (kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam): “Wahai Rasulullah! Seseorang di antara kami bertemu dengan sahabatnya, apakah patut menundukkan kepala kepada sahabatnya itu?” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Tidak.” Dia bertanya lagi: “Apakah memeluk dan menciumnya?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Tidak.” Dia bertanya: “Apakah berjabat tangan dengannya?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Ya! kalau dia menghendakinya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Ini menunjukkan bahawa berjabat tangan itu bukanlah sesuatu perbuatan yang diwajibkan. Walaupun begitu, jika dilakukan, akan beroleh pahala manakala jika ditinggalkan pula tidak mendatangkan dosa.
Memandangkan menurut pakar kesihatan berjabat tangan itu merupakan salah satu punca penularan wabak COVID-19, maka meninggalkannya adalah lebih utama bagi mengelak kemudharatan tersebut sesuai dengan kaedah fiqh yang menyebut:
Ertinya: Menolak (menghindari) kerosakan atau kemudharatan itu lebih utama daripada menarik (mendatangkan) kemashlahatan.
Adapun menggantikan berjabat tangan dengan cara yang lain kerana mengelak mudharat penularan wabak COVID-19 adalah tidak dilarang selama mana cara tersebut tidak menyerupai cara yang khusus digunakan dalam agama lain.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12734
