Berkata-kata Ketika Khutbah Jumaat
Soalan: Dalam situasi negara dilanda wabak Covid-19 ini, apakah hukumnya bagi petugas barisan hadapan masjid yang berkata-kata bagi mengarahkan jemaah masjid masuk ke shaf atau bertanya mengenai keadaan jemaah yang tidak mengikut SOP (Standard Operating Procedure) daripada Kementerian Kesihatan ketika khutbah Jumaat telah dibacakan? Adakah termasuk dalam kategori “sia-sialah sembahyang Jumaat”?
Jawapan: Khutbah adalah salah satu daripada lima syarat sah sembahyang Jumaat. Ketika khutbah disampaikan, jemaah yang hadir sembahyang fardhu Jumaat dituntut untuk diam dan mendengar khutbah dengan penuh perhatian dan mereka dilarang berkata-kata. Mengenai larangan berkata-kata ini, ia adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: “Diamlah!” sedangkan imam (pada waktu itu) sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau (telah melakukan perkara) sia-sia. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut ulama, perkataan “ ُ اَللَّغحو ” yang bererti sia-sia di dalam hadits di atas bermaksud melakukan perkara yang bertentangan dengan sunnah dan meninggalkan adab yang dituntut ketika khutbah disampaikan. Berkata-kata ketika imam berkhutbah mengakibatkan seseorang itu rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat itu walaupun sembahyangnya tetap dikira sah.
Mengenai tuntutan diam mendengar khutbah ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab:
Ertinya: Pendapat al-ashah (lebih shahîh) di antara kedua-duanya iaitu pendapat al-masyhûr dalam qaul al-jadîd disunatkan diam (memberi perhatian) dan (hukumnya) tidak wajib dan tidak haram berkata-kata.
Muhammad asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh dalam kitabnya al-Iqnâ‘ pula berkata:
Ertinya: Dan disunatkan bagi setiap (jemaah) yang boleh mendengar khutbah untuk diam (memberi perhatian) kepada imam pada masa pembacaan khutbah yang pertama dan kedua.
Sebagaimana penjelasan ulama di atas, hukum diam mendengar khutbah dengan penuh perhatian dan tidak bercakap ketika khutbah disampaikan adalah sunat. Adapun berkata-kata ketika khutbah hukumnya adalah makruh sebagaimana kata al-‘Allâmah Zainuddin al- Malibari Rahimahullâh menjelaskan dalam kitab Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Dan (dihukumkan) makruh berkata-kata dan tidak haram, berbeza dengan (pendapat) imam-imam (mazhab) yang tiga.
Larangan supaya tidak berkata-kata itu adalah bermula dari awal imam menyampaikan khutbah pertama sehingga selesai kedua-dua khutbah sebagaimana disebut oleh Imam asy- Syafi‘i Rahimahullâh dalam kitab al-Umm:
Ertinya: Dan aku menyukai bagi setiap orang yang hadir (semasa) khutbah (disampaikan) supaya mendengarnya, diam (mendengar khutbah) dan tidak berkata-kata bermula dari ketika imam berkata-kata (menyampaikan khutbah) sehingga dia (imam) selesai (menyampaikan) kedua-dua khutbah.
Walau bagaimanapun, menurut para ulama, larangan berkata-kata ketika imam menyampaikan khutbah itu tidak termasuk berkata-kata sebelum khutbah disampaikan sekalipun imam telah duduk di atas mimbar, selepas khutbah kedua sekalipun imam masih di atas mimbar, ketika imam duduk di antara dua khutbah, ketika imam mendo‘akan raja dan ketika imam mendo‘akan keredhaan bagi para sahabat Radhiallâhu ‘anhum dalam khutbahnya.
Sekalipun hukum bekata-kata atau bercakap itu dilarang iaitu makruh, namun dalam keadaan-keadaan tertentu hukum berkata-kata ketika imam sedang berkhutbah itu tidak dihukumkan makruh misalnya orang yang bercakap itu belum lagi duduk mengambil tempat secara tetap di dalam masjid untuk mendengar khutbah. Begitu juga dengan orang yang bercakap kerana ada perkara yang penting dan perlu dilaksanakan pada ketika itu seperti bercakap kerana memberi amaran kepada orang buta yang hampir terjatuh ke dalam perigi atau ternampak kala jengking menghampiri seseorang dan sebagainya.
As-Sayyid ‘Abdurrahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi Rahimahullâh ada menjelaskan mengenai perkara ini dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn, katanya:
Ertinya: (Dihukumkan) makruh bagi imam dan yang lainnya minum ketika khutbah kecuali kerana dahaga, sepertimana juga (makruh) berkata-kata bagi siapa yang telah mengambil tempat (dalam masjid) melainkan ada perkara penting yang perlu dilaksanakan (ketika itu) seperti menunjuk ajar perkara yang wajib, mengingkari perkara yang mungkar dan memberi amaran kepada orang buta, dan yang lebih utama adalah (menggunakan) isyarat jika memadai.
Maka, mengenai dengan hukum petugas barisan hadapan masjid yang berkata-kata kerana mengarahkan jemaah yang datang ke masjid atau bertanya mengenai keadaan jemaah yang tidak mengikuti SOP (Standard Operating Procedure) dari pihak Kementerian Kesihatan ketika khutbah sedang dibacakan, perkara itu tidaklah dihukumkan makruh kerana mereka belum lagi duduk mengambil tempat secara tetap di dalam masjid untuk mendengar khutbah dan masih melaksanakan tugas mereka sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Sekalipun para petugas itu tidak dihukumkan makruh bagi mereka berkata-kata dalam melaksanakan tugas mereka ketika imam berkhutbah, namun sekiranya berkata-kata itu boleh dielakkan dalam memberi arahan seperti mengarahkan dengan memberi isyarat, maka menggunakan isyarat itu adalah lebih utama dibuat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12736
