Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Bolehkah Sembahyang Sunat Hajat Dilakukan Pada Waktu-waktu Terlarang?

Soalan: Merujuk kepada Irsyad Hukum (7/2003) mengenai waktu-waktu yang ditegah melakukan sembahyang. Adakah sembahyang Hajat termasuk dalam sembahyang yang bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian dan dilarang melakukannya pada waktu-waktu terlarang?

Jawapan: Dalam syariat Islam, terdapat waktu-waktu yang dilarang melakukan ibadat sembahyang. Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i, waktu-waktu tersebut ialah:

1. Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyamai dengan lapan belas inci.

2. Waktu istiwâ’ iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga gelincir matahari atau condong ke bawah. (Kecuali waktu istiwâ’ pada hari Jumaat).

3. Waktu ketika matahari berwarna kekuning-kuningan sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk.

Ketiga-tiga waktu ini ada disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Terdapat tiga waktu yang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang kami bersembahyang padanya atau mengebumikan mayat (dengan sengaja menunggu waktu tersebut untuk mengebumikannya), iaitu ketika matahari terbit sehingga naik, ketika matahari tegak (terpacak) sehingga gelincir dan ketika condong matahari hampir terbenam sehingga ia terbenam. (Hadits riwayat Muslim)

4. Selepas sembahyang fardhu Shubuh iaitu bagi orang yang telah menunaikan sembahyang Shubuh sehingga terbit matahari.

5. Selepas sembahyang fardhu ‘Ashar sehingga terbenamnya matahari.

Kedua-dua waktu tersebut adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada sembahyang selepas sembahyang Shubuh sehingga naik matahari dan tidak ada sembahyang selepas sembahyang ‘Ashar sehingga terbenam matahari. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Apakah Sembahyang-sembahyang yang Ditegah Dilakukan Pada Waktu-waktu Terlarang Itu?

Sembahyang-sembahyang yang ditegah melakukannya pada waktu-waktu yang terlarang ialah sembahyang-sembahyang yang tidak mempunyai sebab iaitu sembahyang sunat muthlaq dan sembahyang sunat Tasbih. Begitu juga sembahyang yang mempunyai sebab tetapi sebabnya datang terkemudian seperti sembahyang sunat istikhârah dan sembahyang sunat ihrâm.

Adapun sembahyang yang mempunyai sebab tetapi sebabnya terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan seperti sembahyang qadha’ sama ada fardhu atau sunat, sembahyang jenazah, sembahyang istisqâ’, sembahyang gerhana, sembahyang sunat yang dinazarkan, sembahyang Hari Raya, sembahyang Dhuha, sembahyang sunat thawaf, sembahyang sunat wudhu’, sembahyang sunat tahiyyat masjid, maka sembahyang-sembahyang ini harus dilakukan pada kelima-lima waktu tersebut.

Bolehkah Sembahyang Sunat Hajat Dilakukan Pada Waktu-waktu Terlarang?

Sembahyang sunat Hajat ialah sembahyang sunat yang didirikan untuk memohon kepada Allah Ta‘ala sesuatu hajat supaya ditunaikan sesuatu hajat sama ada hajat itu berkaitan dengan urusan dunia ataupun akhirat.

Sembahyang sunat Hajat adalah antara sembahyang-sembahyang sunat yang bersebab tetapi sebabnya terkemudian. Oleh itu sembahyang sunat Hajat tidak boleh dikerjakan pada waktu-waktu terlarang.

Menurut asy-Syaikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Ashin Rahimahullâh beliau berkata dalam kitabnya Bushrâ al-Karîm bi Syarh Masâ’il at-Ta‘lîm:

Ertinya: [Dan haram (pada waktu-waktu yang terlarang) melakukan sembahyang] yang tiada sebab [baginya] pada asalnya; seperti sembahyang sunat muthlaq, atau baginya (sembahyang tersebut) sebab yang terkemudian daripadanya: seperti sembahyang istikhârah, sembahyang sunat ihrâm dua rakaat], dan (sembahyang) Hajat, sembahyang sunat ketika hendak keluar rumah, sembahyang sunat ketika hendak dibunuh (sama ada dengan hak seperti qishâsh atau sebaliknya) kerana terkemudian sebabnya daripadanya (sembahyang), dan sebab yang terkemudian itu adalah lemah kerana ia mungkin berlaku ataupun tidak].

Nash beliau di atas menyebutkan bahawa sembahyang sunat Hajat itu adalah antara sembahyang yang sebabnya terkemudian dan haram melakukannya pada waktu-waktu terlarang tersebut.

Dalam hal ini, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam ada menyebutkan dalam fatwa beliau:

“Haram sembahyang sunat yang tiada mempunyai waktu atau sebabnya kemudian dari sembahyang sunat itu, lepas seorang itu sembahyang Shubuh atau lepas sembahyang ‘Ashar, seperti sembahyang Hajat dan sembahyang kerana belayar dan sembahyang istikhârah.”

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12742