Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Buku ‘My First Quran With Pictures Juz Amma Part 1’

Soalan: Bahagian Penapisan dan Pameran (Terbitan-Terbitan), Pusat Dakwah Islamiah telah menerima buku bertajuk ‘My First Quran With Pictures Juz Amma Part 1’ yang mengandungi gambar-gambar animasi kartun menggambarkan penceritaan tentang kisah-kisah di dalam al- Qur’an.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa dan pandangan Pehin Mufti mengenai buku berkenaan?

Jawapan: Buku yang bertajuk ‘My First Quran With Pictures Juz Amma Part 1’ terbitan Faith Books Publishing Ltd. UK 2nd edition 2019 susunan Shereen Sherif dan diilustrasi oleh Nicola Anderson, mengandungi ayat-ayat al-Qu’ran, terjemahannya dalam bahasa Inggeris dan ilustrasi. Karakter, tempat dan peristiwa yang diilustrasi merupakan imaginasi atau rekaan penulis dan pelukis sebagaimana dinyatakan dalam buku tersebut. Buku berilustrasi biasanya bertujuan untuk membantu pemahaman dan menarik minat pembaca terutama sekali kanak-kanak.

Setelah meneliti buku ini, maka penilaian kita terhadapnya akan menyentuh isu-isu seperti berikut:

1. Penggunaan ilustrasi dalam menggambarkan kejadian-kejadian yang disebut oleh al- Qur’an dalam buku ini adalah menyalahi hukum syara‘, terutama ilustrasi yang menyentuh Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Malaikat Jibril ‘Alaihissalâm dan perkara-perkara ghaib. Contohnya:

i. Pada muka surat 31 terdapat ilustrasi mengenai kejadian turunnya surah al-‘Alaq. Berdasarkan ilustrasi yang dipaparkan, pembaca buku ini terutama kanak-kanak boleh terkeliru dalam memahami peristiwa tersebut. Ilustrasi tersebut juga boleh mendatangkan tanggapan tentang keadaan peristiwa pertemuan Malaikat Jibril ‘Alaihissalâm dengan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika menerima wahyu pertama.

ii. Ilustrasi yang menggambarkan perkara-perkara ghaib menurut rekaan dan imaginasi seperti ilustrasi pada:

a. Muka surat 12, al-Kautsar diilustrasi dalam bentuk sungai yang airnya putih dan tebingnya terdapat khemah yang diperbuat daripada mutiara.

b. Muka surat 29, 35, 38, 43 dan 44, syurga diilustrasi dalam bentuk kebun yang terdapat sungai dan istana-istana.

c. Muka surat 9, 23, 35, 41, 42, 44 dan 47, neraka diilustrasi dalam bentuk api sebagaimana yang biasa dilihat di dunia.

d. Muka surat 5, ash-Shirâth diilustrasi dalam bentuk jalan atau laluan.

e. Muka surat 4 dan 35 Hari Pembalasan diilustrasi dalam bentuk timbangan dan palu hakim.

f. Muka surat 23 dan 27, mîzân diilustrasi dalam bentuk timbangan di dunia.

g. Muka surat 6, syaitan diilustrasi dalam bentuk makhluk berwarna merah bertanduk.

Ilustrasi-ilustrasi tersebut boleh mempengaruhi tanggapan dan fahaman pembaca terhadap rupa perkara ghaib yang diilustrasikan, sedangkan pada hakikatnya, tidak ada sesiapa yang mampu mengetahui rupa bentuk sebenar perkara ghaib tersebut melainkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan di sisi Allah jualah kunci-kunci perbendaharaan (perkara-perkara) yang ghaib, tidak ada sesiapa pun yang mengetahuinya melainkan Dia. (Surah al-An‘âm: 59)

Perkara ghaib seperti Hari Akhirat, syurga, neraka, mîzân dan seumpamanya juga disebut as-sam‘iyyât. Asy-Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi Rahimahullâh menerangkan dalam Kitab Tanwîr al-Qulûb fî Mu‘âmalah ‘Allâm al-Ghuyûb bahawa as-sam‘iyyât ialah perkara-perkara yang tidak mampu diketahui oleh akal semata-mata bahkan ia tidak akan diketahui melainkan melalui apa yang didengar daripada al-Qur’an atau sunnah. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dia yang mengetahui segala yang ghaib tetapi Dia tidak menzahirkan pengetahuan ghaibNya itu kepada sesiapa pun. Melainkan kepada rasul yang diredhaiNya... (Surah al-Jinn: 26-27)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ merahsiakan hakikat perkara ghaib seperti Hari Akhirat, syurga, neraka, mîzân dan seumpamanya serta tidak memperlihatkannya melainkan kepada para rasul yang diredhaiNya.

Dalam sebuah hadits daripada Sahl bin Sa‘d as-Sa‘idi Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau menyaksikan pada satu majlis, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menggambarkan bagaimana keadaan syurga sehingga selesai kemudian Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda di akhir pembicaraan Baginda mengenainya:

Maksudnya: Padanya (syurga) terdapat apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia. (Hadits riwayat Muslim)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebut dalam perkara menerangkan syurga dalam kitab az-Zawâjir sebuah atsar daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Tidak ada di syurga sesuatu (yang menyamai) dari apa yang ada di dunia ini melainkan (yang sama itu) hanya pada nama-nama.

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa sejauh mana pun ilustrasi yang dibuat tidak akan dapat menggambarkan hakikat sebenar perkara-perkara ghaib seperti suasana Hari Kiamat, gambaran al-Kautsar, syurga, neraka, shirâth, mîzân dan seumpamanya. Ilustrasi yang merupakan imaginasi atau rekaan penulis dan pelukis pasti tidak menepati hakikat perkara ghaib tetapi kesannya boleh sahaja dianggap benar oleh pembaca terutamanya kanak-kanak.

iii. Meletakkan ayat-ayat al-Qur’an di tempat yang tidak sepatutnya seperti di bawah kaki adalah mencemarkan kemuliaan dan kesucian ayat-ayat al-Qur’an. Dalam buku ini didapati beberapa ilustrasi yang meletakkan ayat al-Qur’an di bawah kaki lukisan orang, umpamanya pada muka surat 5, ayat 7 surah al-Fâtihah, muka surat 7, ayat 5 surah al-Falaq dan lain-lain ayat lagi. Meletakkan ayat-ayat tersebut sedemikian menggambarkan penyusun buku ini kurang peka terhadap kemuliaan ayat-ayat al- Qur’an.

2. Terdapat terjemahan ayat al-Qur’an yang tidak menepati tafsiran para ulama mu‘tabar, contohnya terjemahan kalimah الروح dalam surah al-Qadr. Di dalam buku berkenaan kalimah الروح diterjemahkan dengan perkataan spirit (roh). Ini tidak menepati tafsiran ulama mu‘tabar kerana yang dimaksudkan dengan الروح yang turun pada Lailatul-Qadr yang disebut dalam ayat tersebut menurut pendapat lebih shahîh ialah Malaikat Jibril ‘Alaihissalâm. Pendapat ini dipakai dalam Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya.

3. Terdapat kesilapan baris pada hampir keseluruhan lafaz al-Jalâlah ( هللا ) iaitu dua tanda sabdu yang bertingkat 2 kali pada huruf lâm kedua.

Selain perkara di atas, ayat-ayat al-Qur’an dalam buku ini ditulis dengan menggunakan kaedah rasm imlâ’i yang tidak mengikut kaedah penulisan Mushhaf iaitu kaedah rasm ‘Utsmani.

Berasaskan perkara-perkara yang disebutkan di atas, maka buku tersebut tidak layak untuk menjadi bahan bacaan orang ramai terutama kanak-kanak bahkan wajar ditegah pengedarannya di negara ini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12746