Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Cara Pengurusan Jenazah Pesakit COVID-19

Soalan: Berikutan dengan penularan jangkitan COVID-19 di negara ini sukacita dipohonkan fatwa berhubung dengan pengurusan jenazah bagi pesakit yang menghidapinya.

Jawapan: Adalah menjadi kewajiban ke atas orang Islam untuk melaksanakan empat perkara terhadap orang Islam yang meninggal dunia iaitu memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Dan hendaklah disegerakan memandikannya (mayat itu) apabila telah diyakini kematiannya. Memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya adalah fardhu Kifayah.

Dalam situasi penularan wabak pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini, antara persoalan yang timbul dalam permasalahan pengendalian jenazah pesakit yang menghidap wabak COVID-19 ialah adakah jenazah pesakit itu wajib juga dimandikan? Ini disebabkan kekhuatiran yang timbul bahawa dengan memandikan jenazah pesakit tersebut ia juga berisiko menjangkiti orang yang memandikannya.

Memandikan jenazah sebagaimana yang disebutkan dalam nash Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas adalah salah satu perkara yang wajib dilaksanakan oleh orang-orang Islam terhadap mayat orang Islam yang lain. Namun kewajiban memandikan mayat boleh saja gugur dan digantikan dengan mentayammumkannya sahaja apabila ada perkara atau sebab yang menghalangi mayat tersebut daripada dimandikan. Dalam hal ini Imam an- Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan mayat yang (terdapat) keuzuran untuk memandikannya (wajib) ditayammumkan.

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj berkenaan keuzuran yang menghalangi mayat untuk dimandikan ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas dengan katanya:

Ertinya: (Dan mayat yang (terdapat) keuzuran untuk memandikannya) kerana ketiadaan air atau kerana terbakar atau sengatan umpamanya, sekiranya dimandikan mayat tersebut nescaya ia akan hancur atau ditakuti (mendatangkan mudharat) ke atas orang yang memandikannya dan dia tidak dapat menjaga dirinya (daripada kemudharatan itu), maka wajib (ditayammumkan) sama seperti hukum orang yang hidup dan kerana menjaga jasad mayat supaya dapat dikebumikan dalam hal keadaannya yang demikian. Imam asy-Syarwani Rahimahullâh pula telah menaqal pendapat Imam al-Kurdi Rahimahullâh ketika mensyarahkan perkataan Ibnu Hajar Rahimahullâh di atas, beliau menyebutkan:

Ertinya: Atau ditakuti (mendatangkan mudharat) ke atas orang yang memandikannya daripada terkena pengaliran racun kepadanya.

Berdasarkan penjelasan nash-nash ulama di atas, sekiranya mayat seseorang itu tidak dapat dimandikan kerana terdapat keuzuran yang menghalang daripada melaksanakannya, maka kewajiban memandikan mayat itu akan gugur. Antara keuzuran-keuzuran tersebut ialah seperti ketiadaan air, mayat yang terbakar jika terkena air akan hancur atau yang ditakuti mendatangkan mudharat kepada orang yang memandikannya akibat pengaliran racun yang dikhuatiri menjangkiti atau berisiko memberi mudharat kepada orang yang memandikannya seperti ditakuti jangkitannya walaupun dengan mengambil langkah pencegahan jangkitan tersebut. Maka dalam keadaan ini mayat tersebut tidak wajib dimandikan bahkan ia wajib ditayammumkan sahaja.

Hukum Memandikan Jenazah Pesakit Wabak COVID-19

Merujuk kepada perjumpaan pihak Jabatan Mufti Kerajaan dengan pihak Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Masjid pada 25hb. Mac, 2020, bagi mendapatkan penerangan terperinci mengenai wabak COVID-19 serta langkah-langkah pencegahan jangkitannya, mayat pesakit COVID-19 dikategorikan dalam kategori yang sama dengan pesakit HIV, SARS dan MERS (iaitu kategori 2).

Menurut pihak Kementerian Kesihatan yang diwakili oleh Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan dan doktor-doktor pakar dalam bidang Penyakit Berjangkit dan Patologi, pengurusan jenazah bagi orang Islam dengan melaksanakan keempat-empat perkara yang dituntut syara‘, khususnya memandikan jenazah boleh dilaksanakan dengan mengambil kira langkah-langkah pencegahan jangkitan. Berdasarkan penerangan pakar-pakar tersebut menunjukkan bahawa jenazah pesakit wabak COVID-19 itu boleh diuruskan sebagaimana yang dituntut oleh syara‘ iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan dengan mengambil standard precautions ataupun additional precautions jika perlu, sebagai langkah pencegahan yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Langkah-langkah pencegahan bagi para pengendali jenazah sepertimana yang diterangkan oleh pakar-pakar tersebut antaranya memestikan pengendali jenazah untuk mengenakan Personal Protective Equipment (PPE) semasa melakukan kerja-kerja pengurusan jenazah, menanggalkan PPE dengan tatacara yang betul dan tidak menyentuh dengan tangan mana-mana anggotanya yang lain terutama pada bahagian muka seperti mulut, hidung dan mata mereka sebelum membersihkan diri. Para pengendali jenazah juga dimestikan mandi serta menukar pakaian mereka dengan pakaian bersih setelah kerja-kerja pengurusan jenazah selesai dan jenazah tersebut sedia untuk disembahyangkan dan dikebumikan. Maka risiko jangkitan daripada jenazah yang dikendalikan kepada pengendalinya adalah minima dan dapat dielak dengan mengikuti langkah-langkah pencegahan yang diterangkan. Dari itu hukum memandikan jenazah pesakit wabak COVID-19 tetap dituntut dan tidak gugur kerana kemungkinan jangkitan ke atas pengendali jenazah dapat dielakkan setelah mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan.

Perlu juga diambil perhatian oleh para pengendali jenazah ketika melakukan kerja-kerja memandikan untuk hanya menggunakan seminima cara yang dituntut dalam memandikan jenazah bagi mengurangkan lagi risiko jangkitan. Menurut ulama Syafi‘iyyah, sekurang-kurang atau seminima mandi jenazah itu ialah dengan meratakan air ke seluruh badan jenazah dengan sekali jirusan sahaja.

Kesimpulannya, dalam hal pengurusan jenazah pesakit wabak COVID-19 ini ia tetap tidak terlepas daripada keempat perkara yang diwajibkan ke atas orang Islam melaksanakannya. Dalam hal ini juga pihak pengendali jenazah perlu sentiasa merujuk kepada Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini tentang tatacara pengurusan mangsa wabak COVID-19 untuk disesuaikan dengan tuntutan syara‘.

Bagi melaksanakan pengurusan jenazah pesakit wabak COVID-19 bagi yang beragama Islam, sukacita juga disarankan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian:

Pertama: Menyediakan SOP atau garispandu yang lengkap tentang tatacara pengendalian atau pengurusan jenazah bagi kemudahan pengendali agar kerja-kerja pengurusan jenazah dan pencegahan jangkitan dapat dilakukan tanpa mengambil masa yang lama serta mengikut cara-cara yang betul dan selamat. Di samping itu perlu juga ada khidmat penyeliaan daripada pihak Kementerian Kesihatan untuk menyelia dan memastikan kerja-kerja pengurusan jenazah dan langkah-langkah pencegahan dibuat dengan betul dan selamat.

Kedua: Membentuk kumpulan pengendali jenazah yang terlatih dalam pengurusan jenazah dan pencegahan jangkitan.

Ketiga: Mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menghalang penyebaran wabak tersebut berjangkit dari mayat kepada pengendalinya atau persekitarannya. Misalnya memakai pakaian pelindung, mengambil vaksinasi daripada jangkitan jika perlu dan selainnya.

Keempat: Menyediakan tempat khusus dan terkawal bagi pengurusan jenazah berserta kemudahannya seperti masjid yang dilihat lebih sesuai dan selamat serta juga mudah dikawal.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12750