Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Hukum Istibdâl Tanah-tanah Waqaf

Soalan: Majlis Ugama Islam dalam mesyuaratnya antara lain telah mengambil keputusan seperti berikut:

“ …(4). Majlis bersetuju supaya diminta pandangan dari segi hukum syara‘ berhubung kedudukan Istibdâl Waqaf khasnya bagi tanah-tanah waqaf iaitu sama ada belum dimajukan atau atas sebab-sebab tertentu tidak dapat dimajukan, umpamanya disebabkan kedudukan tanah atau saiz tanah yang kecil tidak sesuai untuk dibangunkan umpamanya bagi sebuah masjid iaitu sebagaimana kehendak pewaqaf, dalam hal berkenaan apakah boleh tanah-tanah waqaf berkenaan diganti dengan tanah-tanah di kawasan yang lain atau tanah-tanah berkenaan diganti dengan wang dan kemudian untuk dibelikan semula kepada tanah yang lebih sesuai untuk dibangunkan sebuah masjid khasnya bagi mana-mana tempat atau kawasan yang belum mempunyai masjid di negara ini…”

Sukacita dimaklumkan bahawa keputusan majlis di atas telah disembahkan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan baginda mengambil maklum mengenainya.

Sehubung dengan perkara di atas, maka sukacita dipohonkan ulasan, pandangan dan fatwa Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Para fuqahâ’ mazhab asy-Syafi‘i, antara mereka Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh Ta‘ala dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj mendefinisikan waqaf sebagai:

Ertinya: Menahan (membekukan) suatu harta yang boleh diambil manfaat daripadanya serta kekal ‘ainnya dengan memutuskan hak kuasa bertindak (ke atas harta tersebut) untuk disalurkan pada perkara yang diharuskan oleh syara‘.

Apabila sesuatu harta atau barang diwaqafkan, maka hak milik seseorang ke atas harta yang diwaqafkan itu berpindah dari milik orang yang mewaqafkannya kepada milik Allah Ta‘ala. Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menjelaskan, katanya:

Ertinya: (Menurut pendapat) al-Azhhar bahawa hak milik atas sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah kepada milik Allah Ta‘ala yakni terlucut atau terlepas (hak milik tersebut) dari pemilikan khusus manusia, maka ia tidak lagi menjadi hak milik bagi pewaqaf dan tidak juga bagi penerima waqaf.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga berkata dalam kitabnya Syarh Shahîh Muslim:

Ertinya: Benda waqaf itu tidak boleh dijual, tidak boleh dihibahkan dan tidak boleh diwarisi dan dalam perwaqafan hendaklah diikut apa yang disyaratkan oleh pewaqaf.

Berdasarkan definisi Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahumallâh di atas, dapat difahami bahawa harta yang diwaqafkan itu ialah harta kekal yang terputus hak milik dan kuasa bertindak ke atasnya daripada pewaqaf dan diambil manfaat daripadanya oleh pihak penerima waqaf. Harta waqaf menjadi milik Allah Ta‘ala secara muthlaq. Oleh yang demikian harta tersebut tidak boleh dijual, diwarisi atau dihibahkan kepada sesiapa pun. Selain itu, dalam perwaqafan hendaklah diikut apa yang disyaratkan oleh pewaqaf.

Istibdâl Waqaf

Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh menjelaskan bahawa para ulama fiqh ada menggunakan perkataan istibdâl dalam perkara waqaf. Mereka mengertikannya sebagai: Menjual harta yang diwaqafkan sama ada harta itu tanah (harta tak alih) ataupun harta alih untuk mendapatkan wang, lalu membeli dengan wang itu harta yang sama atau yang lain supaya diwaqafkan sebagai ganti harta yang dijual, ataupun menukar harta yang diwaqafkan dengan harta yang lain (al-Muqâyadhah).

Pandangan Para Ulama Mazhab asy-Syafi‘i Mengenai Istibdâl Waqaf

Harta waqaf yang berupa عَقَار (harta tak alih) seperti tanah atau bangunan adalah tidak harus diistibdâlkan dengan barang yang lain dengan apa cara sekalipun. Syaikh ‘Abdullah asy- Syarqawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Hâsyiyah ‘ala at-Tahrîr:

Ertinya: Harta yang diwaqafkan tidak boleh dijual sekalipun harta tersebut telah binasa seperti pohon yang kering dan masjid yang roboh yang tidak dapat dikembalikan (kepada keadaan asalnya), atas tujuan mengekalkan waqaf pada ‘ainnya dan lagi kerana ianya masih boleh dimanfaatkan seperti digunakan untuk sembahyang dan beri‘tikâf di tanah masjid tersebut, berlainan halnya dengan tikar-tikar waqaf masjid yang rosak atau tiang-tiang yang patah, maka dibolehkan menjualnya mengikut pendapat al-mu‘tamad supaya tidak menjadi sia-sia dan dibelikan daripada hasil jualan itu (harta yang sama) sepertinya. Adapun tikar yang dihibahkan atau dibeli untuk (kegunaan) masjid dan bukan diwaqafkan maka ianya boleh dijual jika ada keperluan (untuk menjualnya), dan tidak harus mengganti (istibdâl) harta yang diwaqafkan bagi kami (mazhab asy-Syafi‘i).

Perkara ini juga disebutkan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath- Thâlibîn:

Ertinya: Jika sesebuah masjid itu roboh atau tempat tinggal (penempatan) di sekitarnya (masjid) itu musnah dan penduduknya berpindah lalu terbiar masjid (tidak lagi berfungsi), maka tidak akan kembali pemilikan (kepada pewaqaf) dalam apa jua keadaan dan tidak harus menjualnya kerana ia masih boleh kembali (berfungsi) sepertimana sebelumnya dan kerana dalam keadaannya itu masih boleh didirikan sembahyang di tempat itu.

Begitu juga kedudukan bagi barang-barang waqaf yang berupa manqûl (harta alih) tidak boleh dijual sama sekali jika barang-barang waqaf tersebut masih elok dan masih boleh digunakan.

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Fath al-Mu‘în:

Ertinya: Dan ditanya guru kami (Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ) berkenaan apabila dita‘mirkan sebuah masjid dengan peralatan-peralatan yang baru dan tinggal peralatan-peralatannya yang lama: Maka adakah boleh di‘imârahkan masjid lain yang lama dengan peralatan-peralatan (yang lama) itu atau bolehkah dijual dan disimpan harganya (duitnya bagi kegunaan masjid yang empunya peralatan-peralatan itu)? Maka dia menjawab: “Bahawasanya boleh di‘imârahkan masjid yang lama dan baharu dengannya (peralatan-peralatan masjid yang lama) sekira-kira telah diputuskan (ditetapkan bahawa masjid yang empunya peralatan-peralatan itu) tidak memerlukan kepada peralatan-peralatan itu sebelum ianya rosak dan tidak boleh menjualnya (peralatan-peralatan itu) dengan apa cara sekalipun.

Ini berlainan dengan tikar masjid yang rosak atau tiang masjid yang patah maka diharuskan menjualnya supaya tidak menjadi sia-sia dan hasil jualan daripadanya dibelikan harta yang sama sepertinya. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata:

Ertinya: (Dan qaul yang ashah ialah harus menjual tikar-tikar masjid jika ia (tikar-tikar) itu rosak dan tiang-tiangnya jika patah atau hampir patah, (dan tidak lagi boleh untuk digunakan melainkan untuk dibakar) supaya (manfaat) barang tersebut tidak hilang (begitu sahaja). Maka mendapatkan hasil yang sedikit daripada harga jualannya yang kembali untuk waqaf itu adalah lebih utama daripada ia menjadi sia-sia begitu sahaja (kerana dibakar), dan ia terkecuali daripada (hukum) menjual waqaf kerana ia seolah-olah menjadi barang yang tidak ada. Wang penghasilan daripada penjualan tersebut boleh disalurkan bagi tujuan kemashlahatan (keperluan-keperluan) masjid jika tidak boleh dibelikan tikar atau kayu (yang lain).

Maka berdasarkan penjelasan di atas, para ulama asy-Syafi‘i tidak mengharuskan istibdâl waqaf dengan menjual atau menggantinya dengan yang lain sama ada harta waqaf tersebut berupa harta tak alih seperti tanah dan bangunan masjid walaupun ia telah roboh atau harta alih seperti tikar atau peralatan yang diwaqafkan kepada bangunan masjid berkenaan melainkan harta alih tersebut sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Merujuk kepada penjelasan pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dalam pertanyaan di atas yang menyatakan kedudukan tanah-tanah waqaf itu tidak dapat dimajukan kerana saiz tanah yang kecil dan tidak sesuai untuk dibangunkan sebagaimana kehendak pewaqaf seperti membangun masjid dan seumpamanya, nampaknya perkara ini menjadi permasalahan yang berpanjangan bagi pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dalam mentadbir dan mengurus tanah-tanah waqaf tersebut sehingga ia menjadi terbengkalai atau terbiar begitu sahaja dan tidak menyampaikan hasrat pewaqaf.

Dalam perkara ini, Ibnu Qudamah Rahimahullâh iaitu salah seorang ulama mazhab Hanbali menyatakan bahawa tanah waqaf yang tidak mungkin dapat dibangunkan melainkan dengan menjualnya, tanah waqaf tersebut harus dijual sebagaimana yang disebut dalam kitab al- Mughnî:

Ertinya: Bahawasanya barang waqaf apabila ia binasa dan terhenti manfaatnya seperti bangunan roboh atau tanah musnah lalu kembali menjadi tanah mawât dan tidak mungkin di‘imârahkan semula (dimajukan) atau masjid yang penduduknya berpindah dan masjid itu menjadi tempat yang tiada jemaah bersembahyang di dalamnya atau masjid yang telah menjadi sempit dengan (pertambahan) jemaahnya dan tidak boleh diperluaskan di tempatnya (yang sedia ada) atau masjid yang pecah semuanya yang tidak boleh dibangunkan semula dan tidak juga boleh dibangunkan sebahagiannya melainkan dengan menjual sebahagiannya, (maka) harus menjual sebahagiannya bagi (mencukupkan keperluan) membangun baki (masjid) yang ada. Dan jika tidak boleh diambil manfaat sesuatu pun darinya, maka dijual semuanya.

Imam Ibnu Qudamah Rahimahullâh juga berkata:

Ertinya: Bahawasanya waqaf itu apabila dijual, maka apa saja yang dibeli dengan harganya (hasil penjualannya) yang dikembalikan (manfaatnya) kepada ahli waqaf hukumnya adalah harus, sama ada ia daripada jenis yang sama atau pun bukan daripada jenisnya kerana yang dikehendaki ialah kemanfaatan bukan jenis. Akan tetapi kemanfaatan itu disalurkan kepada kemashlahatan yang lebih utama ia disalurkan padanya.

Maka sebagai jalan penyelesaian bagi permasalahan tanah-tanah waqaf yang tidak boleh dimajukan atau dibangunkan dan setelah membuat pertimbangan yang wajar serta pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) selaku nazhir berpendapat bahawa tidak ada jalan yang lain melainkan dengan cara istibdâl tanah-tanah waqaf tersebut, maka sebagai irsyâd dan bukan fatwa pihak (MUIB) boleh bertaqlîd dengan mazhab Hanbali yang mengharuskan istibdâl waqaf sebagaimana yang telah dijelaskan. Pendekatan ini adalah bagi mengambil kira kemashlahatan supaya tanah yang diwaqafkan itu tidak terbiar begitu sahaja.

Selain itu, Majlis Ugama Islam Brunei selaku penasihat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam perkara agama dan melihat kepada kuasa raja atau ketua negara yang diberikan oleh syara‘ untuk membuat apa-apa jua tindakan ke atas rakyatnya selama mana ia mendatangkan mashlahat, maka pihak Majlis Ugama Islam Brunei boleh juga menyembahkan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mendapatkan titah yang mengatakan boleh istibdâl tanah-tanah waqaf yang terbiar.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12754