Hukum Memberi Salam Kepada Orang yang Bukan Mahram
Soalan: Apakah hukum memberi salam kepada orang yang bukan mahram bagi kita?
Jawapan: Memberi salam adalah salah satu amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam. Dengan mengucapkan atau memberi salam kepada sesama Islam akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan dan menyuburkan rasa kasih sayang.
Mengucapkan salam tanpa mengira orang Islam yang dikenali mahupun yang tidak dikenali melambangkan kemuliaan akhlak seseorang sebagaimana hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Apakah (pekerti) Islam yang terbaik?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenal.” (Hadits riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn dan al-Adzkâr menjelaskan bahawa hukum memberi salam adalah sunat mu’akkadah dan menjawabnya pula adalah wajib. Jika seseorang berada dalam satu kumpulan, hukum memberi salam adalah sunat Kifayah iaitu memadai salah seorang daripada mereka mewakili yang lain dalam memberi salam itu. Walau bagaimanapun, jika setiap daripada mereka memberi salam, maka itu adalah lebih afdhal. Manakala hukum ke atas mereka menjawab salam pula adalah fardhu Kifayah iaitu memadai salah seorang daripada mereka menjawabnya.
Hal ini berdasarkan hadits daripada Zaid bin Aslam Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Orang yang menunggang kenderaan (lebih utama) memberi salam kepada orang yang berjalan kaki dan apabila salah seorang daripada suatu kumpulan memberi salam adalah memadai bagi pihak mereka. (Hadits riwayat Malik)
Walau bagaimanapun, jika memberi dan menjawab salam kepada bukan mahram, maka hukum salam yang disebutkan di atas boleh berubah menjadi makruh bahkan haram. Namun hukum memberi dan menjawab salam bukan mahram masih tertakluk juga kepada keadaan atau situasi sama ada dikhuatiri mendatangkan fitnah atau sebaliknya. Dalam perkara ini, ulama asy-Syafi‘iyyah ada menjelaskan dalam kitab-kitab mereka antaranya Hawâsyî asy- Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi ‘ala Tuhfah al-Muhtâj, Mughnî al-Muhtâj, I‘ânah ath-Thâlibîn, al-Majmû‘, Raudhah ath-Thâlibîn dan al-Adzkâr seperti berikut:
1. Memberi dan menjawab salam bukan mahram dalam situasi yang dikhuatiri akan menimbulkan fitnah;
i. Jika seorang lelaki ajnabi (tiada hubungan mahram) memberi salam kepada perempuan ajnabiyyah (tiada hubungan mahram) yang boleh mendatangkan keinginan syahwat kaum lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau jemaah yang ramai, maka hukumnya adalah makruh. Perempuan tersebut tidak wajib menjawab salam bahkan jika dia menjawab salam lelaki itu hukumnya adalah haram.
ii. Jika seorang perempuan ajnabiyyah yang boleh mendatangkan keinginan syahwat kaum lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau jemaah yang ramai, memberi salam kepada lelaki ajnabi, maka hukumnya adalah haram. Manakala hukum lelaki ajnabi menjawab salam tersebut adalah makruh.
2. Memberi dan menjawab salam dalam situasi yang tidak menimbulkan fitnah;
i. Jika seorang lelaki ajnabi memberi salam kepada sekumpulan perempuan yang jumlahnya sekurang-kurang dua orang, maka wajib salah seorang daripada perempuan itu menjawab salam lelaki ajnabi tersebut. Walau bagaimanapun, jika semua perempuan itu menjawab salam lelaki ajnabi itu, hukumnya adalah harus dan mereka mendapat pahala menjawab salam.
ii. Jika sekumpulan perempuan memberi salam kepada lelaki ajnabi, maka wajib lelaki itu menjawab salam tersebut.
iii. Jika perempuan ajnabiyyah, yang sudah tua dan tidak mendatangkan keinginan syahwat kaum lelaki, memberi salam kepada lelaki ajnabi, maka wajib lelaki itu menjawab salamnya walaupun perempuan tua itu seorang diri ketika itu.
iv. Jika lelaki ajnabi memberi salam kepada perempuan tua, maka wajib atas perempuan tua itu menjawab salam daripada lelaki ajnabi tersebut.
Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa hukum memberi salam kepada orang yang bukan mahram adalah seperti berikut:
1. Makruh bagi seorang lelaki memberi salam kepada seorang perempuan yang bukan mahramnya yang boleh mendatangkan keinginan syahwat kaum lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau jemaah yang ramai kerana situasi ketika itu dikhuatiri akan menimbulkan fitnah. Namun jika lelaki itu memberi salam juga, tidak wajib bagi perempuan itu menjawab salam lelaki tersebut bahkan jika perempuan itu menjawab salam lelaki itu, hukumnya adalah haram. Jika perempuan tersebut yang memberi salam kepada lelaki berkenaan, hukumnya juga adalah haram kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menimbulkan fitnah. Sekiranya perempuan itu memberi salam juga, makruh bagi lelaki itu menjawab salam perempuan tersebut.
2. Sunat bagi seorang lelaki ajnabi memberi salam kepada sekumpulan orang perempuan dan wajib salah seorang daripada perempuan itu menjawab salamnya kerana hal sedemikian itu tidak dikhuatiri akan mendatangkan fitnah. Begitu juga sebaliknya, wajib bagi seorang lelaki itu menjawab salam daripada sekumpulan orang perempuan itu.
3. Jika perempuan tua memberi salam kepada lelaki ajnabi, maka wajib lelaki itu menjawab salamnya walaupun perempuan tua itu seorang diri ketika itu. Begitu juga sebaliknya, wajib atas perempuan tua itu menjawab salam daripada lelaki ajnabi tersebut. Perempuan ajnabiyyah yang sudah tua adalah termasuk dalam kategori yang tidak mendatangkan fitnah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12758
