Hukum Mengamalkan Nikah Misyâr
Soalan: Sukacita memohon penjelasan hukum dan fatwa mengenai nikah misyâr. Adakah nikah misyâr ini boleh dipraktikkan oleh masyarakat Islam di Brunei?
Jawapan: Pernikahan merupakan ikatan suci yang menghalalkan perhubungan di antara lelaki dan perempuan. Ia adalah suatu yang dituntut dalam Islam kerana menerusinya keperluan fitrah manusia dapat disalurkan secara halal selain bertujuan meneruskan zuriat dan keturunan bagi mendapatkan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Pasangan yang berkahwin perlu mengetahui hak-hak dan kewajiban terhadap pasangan masing-masing, umpamanya suami berkewajiban memberi nafkah kepada isterinya seperti makan dan minum, pakaian mahupun tempat tinggal. Begitu juga isteri wajib mentaati suaminya dalam perkara kebaikan. Ini adalah bagi mewujudkan suasana berkeluarga yang lebih teratur dan berdisiplin di samping adanya rasa tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul bagi setiap pasangan dalam kehidupan berumah tangga.
Tujuan dan Faedah Pernikahan
Pensyariatan hukum-hakam Islam adalah untuk kepentingan dan kemashlahatan manusia, kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak mensyariatkan sesuatu hukum dengan sia-sia tanpa mempunyai tujuan dan faedah yang tertentu. Sama ada tujuan dan faedah tersebut untuk membantu manusia dalam melaksanakan segala tugas dan amalan yang disyariatkan sebagai khalifah di muka bumi mahupun semata-mata supaya manusia beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Begitu juga dengan pernikahan, ia disyariatkan bagi tujuan-tujuan tertentu bukan hanya untuk memenuhi keperluan nafsu syahwat semata-mata dan mengelak daripada berlakunya perbuatan zina serta menghalalkan hubungan seksual, tetapi ia lebih meluas yang meliputi segala aspek kehidupan berumah tangga baik dari segi sosial, rohani dan juga agama. Antara tujuan dan faedah tersebut ialah:
1. Untuk mengekalkan kelangsungan hidup manusia dan memelihara keturunan. Ia merupakan ni‘mat yang paling besar daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan salah satu daripada matlamat yang ingin dicapai oleh syariat melalui ikatan pernikahan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam ‘Alaihissalâm), Dia (Allah) menciptakan daripadanya pasangannya (Hawa), Dia (Allah) mengembangbiakkan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) laki-laki dan perempuan yang ramai. (Surah an-Nisâ’: 1)
2. Untuk mencapai tuntutan memperoleh dan menambah zuriat serta memperbanyakkan keturunan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka sekarang campurilah isteri-isteri kamu dan carilah apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kamu. (Surah al-Baqarah: 187)
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh bahawa yang dimaksudkan dengan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: كتب هللا لكم) (وابتغوا ما dalam ayat di atas “dan carilah apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kamu” sebagaimana yang ditafsirkan oleh para ulama antaranya Ibnu ‘Abbas, Mujahid, al-Hakam bin ‘Utaibah Rahimahumullâh ialah mendapatkan zuriat atau anak melalui hubungan yang sah dengan isteri.
Manakala Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menggalakkan umatnya supaya berkahwin demi untuk memperolehi zuriat dan membanyakkan umatnya sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kamu kahwinilah wanita yang penyayang, yang dapat melahirkan anak yang banyak, kerana sesungguhnya aku akan berbangga (dengan bilangan kamu yang ramai) terhadap nabi-nabi lain pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ahmad)
3. Mewujudkan kehidupan yang baik dan jiwa yang tenang serta melahirkan keluarga yang bahagia, sakînah, mawaddah dan rahmah. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya bahawa Dia menciptakan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa senang kepadanya dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). (Surah ar-Rum: 21)
4. Untuk mendidik anak-anak dengan didikan yang sempurna. Ibu bapa adalah berkewajiban dan berperanan penting dalam membentuk syakhshiyyah, rohani dan jasmani anak-anak supaya menjadi insan yang berakhlak mulia. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjelaskannya dalam hadits Baginda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah (yang menjadikannya) Yahudi atau Nashrani atau Majusi. (Hadits riwayat al-Bukhari)
5. Untuk memelihara akhlak dan maruah diri. Pembentukan sebuah keluarga melalui pernikahan merupakan satu mekanisme penting dalam memelihara dan membentuk individu dan masyarakat agar lebih beradab dan beretika serta mampu memikul tanggungjawab menurut yang dikehendaki Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini kerana melalui pernikahan dapat membenteng dan mengelak daripada perbuatan dan akhlak yang keji sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ:
Ertinya: Wahai para pemuda! Barang siapa yang berkemampuan (menyediakan perbelanjaan untuk) bernikah maka hendaklah dia menikah, kerana sesungguhnya ia (pernikahan) dapat lebih menundukkan pandangan (mencegah daripada melihat sesuatu yang terlarang) dan dapat membenteng kemaluan (syahwat) dan barang siapa yang tidak mampu (menikah), maka hendaklah dia berpuasa kerana (puasa) itu baginya adalah perisai mengawal nafsu syahwat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Pengertian Nikah Misyâr Di dalam kitab Taisîr al-Fiqh min al-Kitâb wa Shahîh as-Sunnah, misyâr bererti banyak berjalan atau sering berpergian yang membawa maksud seseorang yang sering berpindah atau belayar dari satu negara ke negara lain kerana menjalankan tugas pekerjaannya.
Menurut Yusuf al-Qardhawi Hafizhahullâh, pernikahan yang dinamakan sebagai pernikahan misyâr bukanlah sesuatu yang baru. Konsep pernikahan ini telah lama dikenali dan dipraktikkan pada zaman dahulu lagi di mana isteri tidak tinggal atau berpindah ke rumah suami dan mereka hanya akan bertemu di rumah isteri. Pernikahan ini lengkap dengan rukun dan syarat pernikahan, namun ia memberikan pengecualian ke atas suami daripada kewajiban dan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal, nafkah dan pembahagian giliran bermalam dengan isteri-isterinya yang lain. Ia merupakan kehendak dan ihsan daripada pihak pengantin perempuan yang tidak mengharapkan apa-apa hak daripada suami kerana pada kebiasaannya perempuan yang melakukan ‘aqad nikah misyâr ini memiliki harta dan kecukupan yang lengkap. Apa yang diharapkannya hanyalah seorang suami yang dapat melindungi dan menghiburkannya.
Manakala menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh pula, pernikahan misyâr merupakan pernikahan yang lengkap memenuhi rukun pernikahan, iaitu adanya îjâb dan qabûl daripada kedua-dua belah pihak dan dihadiri dengan wali yang ‘âdil serta dua orang saksi Muslim yang bâligh, berakal, adil lagi dipercayai. Akan tetapi pihak perempuan melepaskan dua hak yang patut diterimanya, iaitu hak pembahagian giliran bermalam dan hak pemberian nafkah.
Dalam Majma‘ Fiqh Islam bi Rabithah Al-‘Alam Al-Islami (Akademi Fiqh Islam Liga Islam Sedunia) yang berlangsung di Makkah al-Mukarramah bagi kali ke-18 ada menyebutkan mengenai ‘aqad pernikahan yang mempunyai istilah atau konsep baru. Dalam resolusi tersebut menyatakan bahawa setiap ‘aqad pernikahan walau apapun nama, sifat atau bentuknya hendaklah berdasarkan peraturan syarî‘ah yang ditetapkan iaitu hendaklah pernikahan tersebut memenuhi syarat serta rukunnya dan tidak terdapat sesuatu yang boleh menghalang sahnya pernikahan tersebut. Begitu pula halnya ‘aqad pernikahan yang berlaku pada zaman sekarang yang mana isteri rela menggugurkan hak tempat tinggal, nafkah dan giliran bermalam serta isteri merelakan suami untuk menziarahinya pada bila-bila waktu yang diinginkan suami. ‘Aqad pernikahan tersebut tetap dilakukan atas landasan syara‘ dengan memenuhi syarat serta rukun-rukun pernikahan. Walau bagaimanapun, ia dikatakan menyalahi yang utama (خَلف الوَل).
Cuma satu kriteria khusus pernikahan misyâr ini ialah ia dilakukan secara rahsia dan tanpa dihebahkan. Ia terjadi atas kehendak suami untuk menyembunyikan pernikahannya daripada pengetahuan isterinya yang lain, anak-anak dan masyarakat sekelilingnya bagi mengelak sebarang masalah yang mungkin timbul jika mereka mendapat tahu akan perkara tersebut. Dalam pernikahan ini, perjumpaan di antara suami isteri hanya dilakukan pada siang hari. Suami akan pergi atau pulang di waktu malam tanpa menetap atau bermalam di rumah isteri kerana suami mempunyai tanggungjawab ke atas keluarga isteri pertama. Hukum Mengamalkan Nikah Misyâr
Jika ditinjau pada perlaksanaan pernikahan misyâr, ia adalah sama seperti pernikahan biasa yang telah disyariatkan. Ia terlaksana dengan memenuhi syarat dan rukun pernikahan iaitu wali, saksi, dua orang yang berakad (bakal pengantin) serta îjâb dan qabûl. Namun perbezaannya yang ketara ialah dari segi kerelaan isteri untuk melepaskan sebahagian haknya ke atas suami seperti suami tidak perlu menyara kehidupan isteri (nafkah), tidak perlu menyediakan tempat tinggal, tidak perlu bermalam di rumah isteri dan ia dilakukan secara rahsia dan sembunyi-sembunyi.
Kerelaan isteri untuk melepaskan hak-hak yang dituntut dalam sebuah pernikahan tidaklah dilarang dan ia adalah suatu amalan yang diharuskan sebagaimana pengharusan bagi isteri untuk tidak menuntut hak pembayaran mahar. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian wajib. Jika mereka dengan rela hati memberikan sebahagian daripada mas kahwin itu maka makanlah (gunakanlah) pemberian itu sebagai ni‘mat yang baik kesudahannya. (Surah an-Nisâ’: 4)
Harus bagi isteri melepaskan hak pembahagian bermalam kepada isteri yang lain dengan kerelaannya sebagaimana yang dilakukan oleh Saudah binti Zam‘ah Radhiallâhu ‘anhâ yang memberikan hak gilirannya bermalam kepada Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ.
Sekalipun pernikahan misyâr ini tidak bercanggah dengan ketetapan syara‘ dari sudut hukumnya dan ia tetap sah apabila dilakukan, namun kaedah atau konsep menyembunyikan pernikahan dan dilakukan secara rahsia tanpa pengetahuan orang ramai adalah amalan bertentangan dengan sunnah yang menyarankan agar suatu pernikahan itu diumumkan kepada orang ramai. Diriwayatkan daripada ‘Amir bin ‘Abdullah bin az-Zubair Radhiallâhu ‘anhumâ, daripada bapanya bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kamu umumkanlah (hebahkan) pernikahan. (Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)
Walaupun mengumumkan pernikahan itu menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah adalah memadai dengan kehadiran dua orang saksi sebagai rukun nikah, namun adalah disunatkan jika suatu pernikahan itu dihadiri oleh lebih dua orang daripada kalangan orang-orang salih yang juga secara tidak langsung bertindak sebagai saksi pernikahan. Malah, mengumumkan pernikahan dengan mengadakan upacara atau kenduri pernikahan adalah sunat yang dituntut sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melalui hadits yang diriwayatkan daripada Shafiyyah binti Syaibah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengadakan kenduri (pernikahan) ke atas sebahagian isteri-isterinya dengan dua cupak gandum. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun meminta seseorang untuk merahsiakan pernikahannya daripada pengetahuan orang ramai dihukumkan makruh kerana perbuatan merahsiakan itu akan menimbulkan fitnah, kesangsian dan syak wasangka orang ramai yang tidak mengetahui akan status hubungan mereka berdua. Perkara ini ada dinyatakan oleh Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh dalam kitabnya al-Umm:
Ertinya: Dan apabila telah berlaku pernikahan, kemudian suami isteri memerintahkannya dan dua orang saksi untuk merahsiakan pernikahan tersebut, maka nikah tersebut adalah harus dan aku menghukumkan makruh bagi mereka berdua (suami isteri) merahsiakan agar tidak berlaku kecurigaan dengan kedua-duanya (suami isteri).
Selain itu, menyembunyikan pernikahan dengan maksud bernikah tanpa kebenaran mahkamah adalah bertentangan dengan ketetapan undang-undang keluarga Islam Brunei, di mana setiap pernikahan yang akan dilangsungkan hendaklah mendapat kebenaran daripada pihak mahkamah terlebih dahulu.
Bab 15 (1) Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 memperuntukkan:
“Jurunikah tidaklah boleh menjalankan mana-mana perkahwinan melainkan setelah menerima permohonan daripada pihak lelaki dan pihak perempuan dalam borang yang ditetapkan dan borang itu hendaklah sampai kepada Pendaftar dalam tempoh empat belas hari sebelum perkahwinan itu dijalankan, kecuali perkahwinan itu mustahak dijalankan dengan segera oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan munasabah pada pendapat Pendaftar.”
Manakala bab 23 (1) memperuntukkan:
“Tiada seorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang perempuan lain di mana tempat jua pun dalam masa ia masih beristerikan isteri yang sedia ada kecuali terlebih dahulu mendapat kebenaran dalam borang yang ditetapkan daripada Hakim Syar‘ie dan jika ia berkahwin sedemikian tanpa kebenaran tersebut maka perkahwinan itu hanya boleh didaftarkan di bawah Perintah ini, tertakluk kepada bab 123, setelah mengisikan borang yang ditetapkan mengenainya.”
Pernikahan yang dilakukan tanpa mendapat kebenaran pihak mahkamah terlebih dahulu juga adalah dianggap melakukan suatu kesalahan. Bab 38 (2) memperuntukkan:
“Seseorang yang berkahwin atau dikatakan berkahwin atau menjalani sesuatu upacara akad nikah dengan sesiapa juga bertentangan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.”
Manakala bab 123 pula memperuntukkan:
“Seseorang lelaki yang berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Hakim Syar‘ie adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.”
Malah jika ditinjau dari sudut maqâshid syarî‘ah, pernikahan misyâr ini dilihat tidak mendukung faedah dan tujuan pensyariatan pernikahan, terutama apabila pengguguran hak itu dibuat secara total yang boleh mengundang kesan negatif bukan hanya kepada perempuan tersebut bahkan juga kepada anak mereka. Tanpa adanya penglibatan suami dalam sama-sama membina sebuah keluarga, akan mematikan matlamat sebuah pernikahan, iaitu untuk membentuk keluarga yang berterusan dan memelihara kelangsungan zuriat. Bahkan, tanpa adanya sebarang kewajiban dan tanggungjawab suami dalam memberi hak-hak isteri boleh mengakibatkan pengabaian dari segi penjagaan dan perhatian terhadap anak-anak. Ini boleh menyebabkan anak-anak kurang mendapat kasih sayang dan secara tidak langsung akan menjejaskan perkembangan pendidikan, akhlak dan syakhshiyyah mereka.
Berdasarkan keterangan di atas, mana-mana pernikahan, walau apapun bentuk dan namanya jika ia memenuhi segala bentuk rukun dan syarat pernikahan serta tidak terdapat sesuatu perkara yang boleh menjejaskan keshahîhan ‘aqad nikah, maka pernikahan tersebut adalah sah menurut hukum syara‘. Adapun seorang isteri yang dengan secara sukarela tidak menuntut hak yang wajib baginya ke atas suaminya seperti tidak menuntut nafkah makan minum, pakaian mahupun tempat tinggal, pembahagian giliran bermalam secara adil dan sebagainya, perkara tersebut adalah hak isteri yang terpulang ke atas dirinya sama ada hendak menuntutnya atau menggugurkannya.
Namun begitu, pernikahan misyâr yang dilakukan secara rahsia dengan maksud supaya pernikahan tersebut tidak diketahui oleh orang lain adalah pernikahan yang tidak menepati kehendak nikah menurut hukum syara‘. Selain itu, pernikahan yang disembunyikan seperti ini juga tidak mendapat kebenaran daripada pihak yang berwajib. Perkara ini jelas melanggar ketetapan akta undang-undang keluarga Negara Brunei Darussalam yang mewajibkan pengisytiharan pernikahan melalui kebenaran dan makluman kepada pihak mahkamah. Maka, pernikahan misyâr seperti ini perlu ditegah demi mematuhi undang-undang negara dan mematuhi perintah wali al-amr. Mematuhi perintah wali al-amr itu adalah suatu yang diwajibkan. Sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan taatlah kamu kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah an-Nisâ’: 59)
Di samping itu, pelbagai masalah akan timbul juga jika pernikahan misyâr seperti ini dilangsungkan. Antaranya ialah permasalahan nasab anak, hak perwarisan, perwalian anak dan sebagainya, yang semua itu memerlukan kepada pengesahan pernikahan yang berdaftar.
Jikapun pernikahan misyâr ini didaftarkan secara sah dan dilakukan tanpa sembunyi-sembunyi, ia juga tetap tidak menepati pensyariatan pernikahan kerana pernikahan misyâr ini mengabaikan sebahagian besar daripada tujuan pensyariatan pernikahan. Perkara yang utama ialah suami perlu bertanggungjawab dalam pembinaan dan pengisian sebuah keluarga, sama ada dalam bentuk material (nafkah), kerohanian, sehinggalah kepada didikan dan tarbiyyah yang sempurna kepada isteri dan anak-anak. Perkara inilah sebenarnya yang patut diberi tumpuan dalam sebuah pernikahan, bukan hanya untuk memenuhi keperluan syahwat semata-mata. Bahkan, ia mestilah merangkumi segala bentuk aspek kehidupan berkeluarga di mana mashlahat dan manfaat pernikahan hendaknya dikongsi bersama secara timbal balik.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12761
