Istiadat Pengebumian Ketenteraan dan Penghormatan Terakhir bagi Pegawai dan Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang Telah Meninggal Dunia
Soalan: Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bercadang untuk melaksanakan Istiadat Pengebumian Ketenteraan dan Penghormatan Terakhir kepada pegawai dan anggota ABDB yang telah meninggal dunia semasa menjalankan tugas seperti operasi, latihan ketenteraan, berkursus atau sebagainya.
Antara cadangan tatacara Istiadat Pengebumian Ketenteraan tersebut adalah dengan menghamparkan bendera Negara Brunei Darussalam di atas kain kalimah yang pada kebiasaannya digunakan oleh masyarakat Islam di negara ini untuk menutupi keranda jenazah orang Islam dan diusung oleh kumpulan pengusung yang terdiri daripada pegawai dan anggota ABDB yang beragama Islam, manakala bagi mayat mendiang pegawai dan anggota ABDB yang tidak beragama Islam, bendera Negara Brunei Darussalam tersebut akan dihamparkan di atas keranda khas yang akan diusung oleh pegawai dan anggota ABDB yang tidak beragama Islam. Jenazah atau mayat kemudiannya akan diserahkan kepada ahli keluarga sebelum memasuki perkarangan tanah perkuburan untuk disempurnakan mengikut adat resam dan agama masing-masing.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenai isu-isu ataupun persoalan yang bakal timbul semasa perlaksanaan Istiadat Pengebumian Ketenteraan ini nanti seperti berikut:
a. Hukum mengadakan Istiadat Pengebumian Ketenteraan dan Penghormatan Terakhir itu sendiri.
b. Hukum menghamparkan bendera Negara Brunei Darussalam di atas kain kalimah yang biasanya digunakan untuk menutupi keranda pegawai dan anggota ABDB yang beragama Islam.
c. Hukum pegawai dan anggota ABDB yang beragama Islam, menghantar mayat mendiang pegawai dan anggota ABDB yang tidak beragama Islam ke rumah keluarga mendiang, tanpa mengikut sebarang adat resam yang dipraktikkan oleh puak atau agama mendiang jenazah tersebut.
d. Hukum pegawai dan anggota ABDB yang beragama Islam, hadir semasa Istiadat Pengebumian Ketenteraan mayat mendiang pegawai dan anggota ABDB yang tidak beragama Islam (di luar perkarangan tanah perkuburan sahaja), bagi tujuan penyerahan dan memberikan penghormatan terakhir sahaja, tanpa mengikuti sebarang adat resam yang dipraktikkan oleh puak atau agama mendiang jenazah tersebut.
Jawapan: Menghormati jenazah adalah dituntut dalam Islam kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memuliakan manusia sebagaimana firmanNya dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia). (Surah al-Isrâ’: 70)
Dalam hal penghormatan terhadap jenazah, Islam telah menetapkan tatacara penyempurnaan jenazah dan cara menghormatinya. Bahkan Islam juga mengajar bagaimana menghormati jenazah orang bukan Islam sebagaimana yang ditunjukkan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah hadits daripada Sahl bin Hunaif dan Qais bin Sa‘d Radhiallâhu ‘anhumâ menceritakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdiri apabila jenazah diusung melintasi Baginda. Lalu Baginda diberitahu bahawa itu adalah jenazah orang Yahudi, maka Baginda bersabda:
Maksudnya: Bukankah (jenazah orang Yahudi) itu jiwa (manusia)? (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun cadangan pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi mengadakan Istiadat Pengebumian Ketenteraan dan Penghormatan Terakhir bagi pegawai dan anggota ABDB yang telah meninggal dunia semasa menjalankan tugas ini difahami adalah atas dasar memberi penghormatan kerana si mati terkorban ketika sedang menjalankan tugas rasminya. Istiadat sedemikian telah pun dipraktikkan oleh angkatan-angkatan tentera di negara-negara di dunia termasuk negara-negara Islam dengan cara yang berbeza-beza seperti Republik Arab Mesir, Indonesia dan Malaysia.
Manakala tatacara Istiadat Pengebumian Ketenteraan dan Penghormatan Terakhir yang dicadangkan oleh ABDB ialah dengan menghampar bendera di atas keranda, kemudian diusung melalui kawalan statik yang memberikan hormat senjata, setelah itu bendera dilipat, lalu jenazah diserahkan kepada ahli keluarga dan diikuti penyerahan bendera kepada ahli keluarga. Tatacara tersebut tidak ada perkara yang jelas bertentangan dari segi syara‘. Sekalipun demikian dalam melaksanakan istiadat tersebut ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian seperti:
1. Jika pegawai atau anggota ABDB yang meninggal dunia itu orang Islam, hendaklah dipastikan para pengusung terdiri daripada orang Islam sahaja. Menurut Imam asy- Syafi‘i dan al-ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah yang dahulu yang terkemuka)
Rahimahumullâh sepertimana disebutkan dalam al-Majmû‘, mengusung jenazah adalah fardhu Kifayah, malah merupakan perkara kebajikan, ketaatan dan penghormatan bagi si mati. Dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Hak seorang Islam ke atas seorang Islam (yang lain) ada lima perkara; iaitu menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendo‘akan orang bersin. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ini menunjukkan orang Islam adalah diutamakan dalam mengiringi termasuk mengusung jenazah orang Islam dari segi menunaikan fardhu Kifayah dan memperolehi kebaikan, manfaat dan ganjaran pahala. Dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengiringi jenazah seorang Islam dengan penuh keimanan serta mengharapkan pahala Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan dia telah bersama jenazah itu sehingga jenazah itu disembahyangkan dan selesai dikebumikan, maka dia pulang dengan membawa pahala sebanyak dua qîrâth; setiap qîrâth menyamai bukit Uhud. Dan sesiapa menyembahyangkannya kemudian pulang sebelum jenazah dikebumikan, maka dia pulang dengan satu qîrâth. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Istiadat tersebut tidak memasukkan perkara-perkara yang menyerupai acara keagamaan orang bukan Islam. Larangan menyerupai orang bukan Islam adalah berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa meniru-niru (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan) mereka (kaum yang ditiru itu). (Hadits riwayat Abu Daud)
Maksud tasyabbuh atau meniru-niru sesuatu kaum dalam hadits tersebut sebagaimana pendapat Imam al-Munawi dan Imam al-‘Alqami Rahimahumallâh dinyatakan dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bûd Syarh Sunan Abi Daud ialah bergaya pada zahir dengan gaya kaum tersebut dan menjalani hidup dengan cara mereka dari segi pakaian (yang khusus dipakai oleh mereka) dan sebahagian perbuatan yang menjadi ciri-ciri khusus mereka.
Pendapat asy-Syaikh Abu Muhammad bin Abu Jamrah Rahimahullâh pula dinyatakan dalam kitab Fath al-Bâri bahawa tasyabbuh atau meniru-meniru yang dilarang itu ialah pada gaya pakaian, sebahagian sifat dan tingkah laku dan seumpamanya, bukan meniru-niru pada perkara yang baik.
3. Istiadat tersebut tidak menyebabkan kelewatan yang tidak wajar dalam pengurusan jenazah kerana menyegerakan pengurusan jenazah adalah perkara yang dituntut dalam syara‘ sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bersegeralah kamu dengan jenazah. (Hadits riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan dalam kitab-kitab beliau Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi dan al-Majmû‘ maksud bersegera dalam hadits tersebut ialah bersegera membawa jenazah pada kadar berjalan melebihi biasa, bukan dengan berlari. Beliau juga menyebutkan pendapat Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh bahawa beliau tidak menyukai melambatkan satu pun urusan jenazah dari memandikannya sehingga berdiri di sisi kubur.
4. Tidak membuat bising dalam istiadat tersebut seperti mengiring jenazah dengan bunyi pancaragam atau bunyi-bunyian muzik, termasuk juga bunyi tembakan senapang yang dilepaskan. Larangan ini berdasarkan hadits daripada Qais bin ‘Abbad Radhiallâhu ‘anhu ada menyebut:
Maksudnya: Sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak menyukai meninggikan suara di sisi jenazah, ketika peperangan dan ketika berzikir. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Menutup Keranda Dengan Bendera di Atas Kain Kalimah
Menurut syara‘, meletak penutup keranda dan kemudian meletak kain di atas penutup keranda tersebut hanya disunatkan bagi jenazah perempuan untuk tujuan menutupnya dari pandangan orang ramai.
Manakala bagi jenazah lelaki pula, hukum meletak kain di atas penutup keranda adalah tidak disunatkan tetapi harus sahaja. Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh menerangkan demikian ketika menghuraikan perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj berkenaan hukum sunat menutup lubang kubur dengan kain ketika memasukkan jenazah ke dalam kubur kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menutup kubur Sa‘ad bin Mu‘adz Radhiallâhu ‘anhu semasa mengebumikannya. Ini adalah kerana kain lebih menutup apa-apa anggota yang wajib ditutup sekiranya tersingkap, sama ada jenazah itu lelaki atau perempuan. Tetapi tuntutan menutup itu lebih ditekankan ketika mengebumikan jenazah perempuan.
Berkaitan penggunaan kain penutup keranda pada zaman sekarang didapati kain tersebut kebiasaannya bertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an.
Ayat-ayat al-Qur’an adalah wajib dihormati. Antara cara menghormatinya ialah tidak menyentuhnya tanpa berwudhu’, tidak mencampaknya ke tempat yang kotor dan tidak meletak sesuatu yang lain di atasnya seperti kain atau kitab.
Imam al-Qalyubi Rahimahullâh menyebut pendapat para ulama dalam kitab Hasyiyatân Qalyubi - ‘Umairah:
Ertinya: Haram menulis sesuatu daripada ayat-ayat al-Qur’an atau nama yang diagungkan pada sesuatu benda yang berkaitan dengan mayat kerana ia akan bernajis dengan shadîd (nanah bercampur darah).
Pernyataan ini menjelaskan bahawa ayat-ayat al-Qur’an atau nama yang diagungkan seperti nama-nama Allah Ta‘ala dan RasulNya adalah haram ditulis pada benda berkaitan dengan mayat kerana boleh terdedah kepada kotoran yang menyebabkan kehormatan al-Qur’an tercemar.
Jika kita perhatikan kepada amalan masyarakat di negara kita sekarang ini, meletakkan kain yang bertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an di atas penutup keranda atau mayat itu seolah-olah suatu kemestian sehingga kadang-kadang perlu meminjamnya. Sedangkan tidak ada kelebihan yang ada pada membuatnya menurut syara‘ bahkan boleh menyebabkannya terdedah kepada penghinaan seperti disentuh tanpa wudhu’, diletak di atas hujung kaki jenazah dan terabai setelah digunakan seumpama diletak di atas tanah dan lain-lain perbuatan yang boleh mencemari kemuliaannya. Oleh kerana menghormati ayat-ayat al-Qur’an yang ada pada kain tersebut adalah perkara yang dituntut oleh syara‘, maka menutup keranda dengan kain yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an adalah lebih baik dihindarkan. Jika diperlukan juga menutup, maka memadailah menutupnya dengan kain biasa sahaja.
Dengan tidak meletakkan kain penutup keranda yang bertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an, maka persoalan menghampar bendera di atas kain yang bertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an sebagai penutup keranda tidaklah lagi berbangkit. Dalam makna boleh atau memadailah menutup keranda itu dengan bendera sahaja.
Menghantar dan Mengiring Jenazah Bukan Beragama Islam
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab beliau Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Tidak mengapa orang Islam mengiring jenazah ahli keluarganya yang kafir.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ketika menghuraikan isu di atas menyatakan bahawa harus mengiring jenazah ahli keluarga bukan Islam kerana Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhahu sendiri disuruh oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk mengebumikan jenazah Abu Thalib sebagaimana hadits daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhahu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah berkata kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Sesungguhnya bapa saudaramu (Abu Thalib) orang tua yang sesat itu telah meninggal dunia.” Baginda bersabda: “Pergilah engkau dan kuburlah ayahmu itu. Setelah itu jangan engkau melakukan sesuatu, sampai engkau datang kepadaku lagi.” Maka aku pun pergi. Setelah aku menguburnya, aku pergi menghadap Baginda lalu Baginda menyuruh aku (supaya mandi), kemudian aku pun mandi dan Baginda mendo‘akanku. (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam al-Qalyubi Rahimahullâh menerangkan dalam kitab Hasyiyatân Qalyubi - ‘Umairah bahawa hukum harus bagi orang Islam mengiring jenazah ahli keluarga bukan Islam adalah sama hukumnya jika jenazah itu jiran atau rakan. Namun jika jenazah orang bukan Islam itu orang lain yang bukan terdiri daripada ahli keluarga, jiran atau rakan, maka hukumnya adalah haram.
Oleh itu, pegawai dan anggota ABDB yang beragama Islam menghantar jenazah pegawai dan anggota ABDB yang bukan beragama Islam ke rumah keluarga mendiang dan menghadiri Acara Pengebumian Ketenteraan di luar perkarangan tanah perkuburan bagi tujuan penyerahan dan memberikan penghormatan terakhir, hukumnya adalah harus kerana mempunyai hubungan selaku rakan setugas dengan syarat tidak ikut serta dalam sebarang upacara keagamaan atau adat yang bertentangan dengan syara‘ yang dipraktikkan oleh puak atau keluarga mendiang tersebut.
Antara adab mengiring dan menghantar jenazah bukan Islam itu ialah orang Islam hendaklah berada di hadapan jenazah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits daripada Ka‘b bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Tsabit bin Qais bin Syammas Radhiallâhu ‘anhu datang menghadap Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya ibunya mati sebagai seorang Nashrani dan dia ingin menghadiri (pengurusan) jenazahnya. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Naiki kenderaanmu dan berjalanlah di hadapannya, maka sesungguhnya apabila engkau berada di hadapannya, engkau tidak dikira bersamanya.” (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Berdasarkan apa yang telah dijelaskan di atas, maka dirumuskan seperti berikut:
a. Acara Pengebumian Ketenteraan dan Penghormatan Terakhir yang dicadangkan oleh ABDB iaitu menghampar bendera di atas keranda, kemudian diusung melalui kawalan statik yang memberikan hormat senjata, setelah itu bendera dilipat, lalu jenazah diserah kepada ahli keluarga dan diikuti penyerahan bendera kepada ahli keluarga, secara praktiknya adalah tidak bertentangan dengan Islam.
b. Adalah lebih menepati kehendak syara‘, jika kain yang bertulis padanya ayat-ayat al- Qur’an tidak diletak di atas penutup keranda bagi menghormati kemuliaan ayat-ayat al- Qur’an.
c. Harus pegawai dan anggota ABDB yang beragama Islam menghantar jenazah pegawai dan anggota ABDB yang bukan beragama Islam ke rumah keluarga mendiang.
d. Harus pegawai dan anggota ABDB yang beragama Islam menghadiri upacara pengebumian ketenteraan jenazah mendiang pegawai dan anggota ABDB yang bukan beragama Islam setakat di luar pekarangan tanah perkuburan bagi tujuan penyerahan dan memberi penghormatan terakhir berasaskan mendiang adalah rakan sekerja yang berjasa kepada negara.
Walau bagaimanapun, keharusan di atas adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah pun digariskan dalam penjelasan di atas.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12766
