Keluar Makkah ke Thaif Tanpa Thawaf Wada‘
Soalan: Beberapa jemaah umrah telah mengadakan lawatan ke bandar Thaif semasa mereka telah berada di Makkah al-Mukarramah. Perkara ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan jemaah umrah berkenaan, bilamana mereka meninggalkan Makkah al-Mukarramah menuju ke bandar Thaif (melebihi 2 marhalah) tanpa melakukan thawaf Wada‘ disebabkan mereka kembali semula ke Makkah al-Mukarramah. Apakah pandangan Yang Berhormat Pehin bagi masalah tersebut?
Jawapan: Thawaf Wada‘ atau dikenali juga dengan thawaf Shadar bermaksud thawaf yang dilaksanakan ketika hendak keluar meninggalkan Makkah.
Kewajiban Thawaf Wada‘
Menurut pendapat al-ashah dalam mazhab asy-Syafi‘i, thawaf Wada‘ wajib dikerjakan. Kewajibannya bukan kerana ia sebahagian daripada manâsik dalam ibadat haji tetapi ia adalah wajib mustaqill iaitu perkara wajib yang tersendiri. Ia diwajibkan ke atas setiap orang sama ada penduduk Makkah atau selainnya yang hendak keluar meninggalkan Makkah menuju ke suatu tempat yang jaraknya diharuskan untuk mengqashar sembahyang iaitu dua marhalah sama ada ke atas orang yang mengerjakan nusuk (haji atau umrah) ataupun tidak, sebagai penghormatan kepada tanah haram.
Thawaf Wada‘ juga wajib ke atas sesiapa yang meninggalkan Makkah menuju ke suatu jarak yang kurang dari jarak yang diharuskan mengqashar sembahyang jika dia keluar itu untuk ke rumahnya atau untuk ke suatu tempat yang dia hendak tinggal di tempat itu selama empat hari penuh (siang dan malamnya tidak termasuk hari tiba dan keluar) atau lebih.
Kewajiban thawaf Wada‘ bagi dua situasi di atas tiada beza, sama ada dia berniat untuk kembali semula ke Makkah atau tidak, dia masih juga tetap diwajibkan untuk mengerjakan thawaf Wada‘.
Walau bagaimanapun, thawaf Wada‘ itu tidak wajib dikerjakan oleh golongan yang mempunyai keuzuran-keuzuran tertentu. Antaranya perempuan yang haidh atau nifâs, perempuan yang beristihâdhah pada masa kitaran haidhnya, orang yang tidak terdapat atau tidak dapat menggunakan air atau tanah untuk mengangkat hadats, orang yang takut dizalimi atau ditinggalkan rombongan, orang yang takut terjadi kemudharatan pada nyawa dan hartanya atau pencabulan terhadap isterinya jika ia terlewat kerana mengerjakan thawaf Wada‘.
Begitu juga tidak wajib thawaf Wada‘ bagi orang yang keluar meninggalkan Makkah sebelum selesai menyempurnakan rukun-rukun dan wajib-wajib haji atau umrah dan orang yang keluar dari batasan Makkah kerana hajat kemudian dia terpaksa musafir secara mendadak.
Dam Kerana Meninggalkan Thawaf Wada‘
Seseorang yang wajib ke atasnya melakukan thawaf Wada‘ jika dia meninggalkannya, maka menurut pendapat al-ashah, dia diwajibkan membayar dam. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitab al-Îdhâh:
Ertinya: Dan sesiapa yang wajib ke atasnya thawaf Wada‘, lalu dia keluar (dari Makkah) tanpa melakukan thawaf Wada‘, (bererti) dia telah berbuat dosa dan wajib ke atasnya kembali (ke Makkah) untuk melakukan thawaf Wada‘ selama mana dia belum sampai jarak (yang mengharuskannya) mengqashar (sembahyang) dari Makkah. Maka apabila dia sudah sampai (jarak yang diharuskan mengqashar sembahyang), tidak wajib ke atasnya kembali (ke Makkah) selepas itu. Dan bilamana dia tidak kembali, wajib ke atasnya dam. Dan sesiapa yang kembali (ke Makkah) sebelum (sampai) jarak (yang mengharuskan) mengqashar (sembahyang), gugur daripadanya dam. Dan jika dia kembali (ke Makkah) setelah (dia) sampai jarak (yang mengharuskannya) mengqashar (sembahyang), maka tidak gugur daripadanya dam.
Dam yang dimaksudkan adalah termasuk dalam kategori dam tartîb wa taqdîr.
Maksud dam tartîb ialah dam yang tidak boleh berpindah kepada dam yang kedua melainkan orang yang membayar dam tersebut tidak mampu melakukan dam yang pertama. Manakala maksud dam taqdîr pula ialah dam yang kadarnya telah ditetapkan oleh syara‘ (tidak lebih dan tidak kurang). Ia diwajibkan sama ada seseorang itu meninggalkan thawaf Wada‘ disebabkan lupa, jahil akan hukum kewajiban thawaf Wada‘ atau mengetahui dan dengan sengaja meninggalkannya.
Maka menurut kategori dam tartîb wa taqdîr bagi orang yang meninggalkan thawaf Wada‘ itu dia wajib menyembelih seekor kambing atau menggantikannya dengan 1/7 daripada seekor unta atau 1/7 daripada seekor lembu sebagaimana mengikut syarat-syarat binatang korban. Jika dia tidak mampu untuk melakukannya, maka hendaklah dia berpuasa selama 10 hari iaitu tiga hari di Makkah dan tujuh hari apabila sampai di negerinya.
Tempat Penyembelihan dan Pengagihan Dam Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam Mughnî al-Muhtâj bahawa menyembelih seekor kambing atau apa-apa yang sebanding dengannya adalah afdhal menyembelihnya pada hari nahr dan hari-hari tasyrîq. Manakala penyembelihannya hanya khusus dilakukan di tanah haram sahaja menurut pendapat al-azhhar dan wajib daging sembelihan itu, kulit dan bahagian-bahagiannya yang lain seperti bulu dan selainnya disedekahkan kepada orang-orang miskin dan fakir di tanah haram sekalipun mereka bukan daripada penduduk tanah haram. Akan tetapi yang lebih utama adalah diberikan kepada fakir miskin yang merupakan penduduk asal tanah haram. Walau bagaimanapun, jika ada fakir miskin yang bukan penduduk asal yang lebih memerlukan maka dia lebih utama diberi.
Berkaitan dengan perkara penyembelihan yang hanya khusus dilakukan di tanah haram, salah satu cara yang menepati pelaksanaannya dilakukan di tanah haram ialah dengan cara perwakilan (wakâlah) dengan mengikut syarat-syaratnya. Oleh itu, adalah harus dan sah melaksanakan dam dengan penyembelihan dan agihan daging sembelihan di tanah haram dengan mewakilkannya kepada mana-mana pihak untuk menguruskan pelaksanaan dam bagi pihak dirinya.
Dam Berpuasa Sepuluh Hari
Jika ada halangan untuk melaksanakan penyembelihan di tanah haram seperti ketiadaan binatang sembelihan atau ketiadaan wang untuk mendapatkan binatang sembelihan di tanah haram, maka dia wajib berpuasa sepuluh hari iaitu tiga hari di Makkah dan tujuh hari apabila sampai di negerinya.
Perintah berpuasa ini tsabit berdasarkan al-Qur’an dan hadits. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Tetapi sesiapa yang tidak memperolehi (dam itu) maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali ke tempat masing-masing, semuanya itu sepuluh hari cukup sempurna. (Surah al-Baqarah: 196)
Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Maka sesiapa yang tidak memperolehi al-hadyu (binatang sembelihan), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari (lagi) apabila dia kembali (sampai) kepada ahli keluarganya.
(Hadits riwayat Muslim)
Pelaksanaan Puasa Tiga Hari
Adapun bagi maksud dam haji, pelaksanaan puasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji adalah hanya dapat digambarkan pelaksanaannya oleh mereka yang dikenakan dam kerana meninggalkan ihrâm dari mîqât, mereka yang mengerjakan haji Tamattu‘ dan haji Qiran. Selain daripada tiga golongan ini seperti mereka yang meninggalkan bermalam (mabît) di Muzdalifah atau Mina atau meninggalkan melontar adalah wajib mereka melaksanakan puasa tiga hari tersebut selepas hari-hari tasyrîq.
Manakala dalam perkara meninggalkan thawaf Wada‘, bagi orang yang jarak tempat kediamannya kurang dua marhalah dari Makkah, mereka boleh mula mengerjakan puasa tiga hari itu setelah sampai di tempat kediamannya. Bagi orang yang tempat kediamannya lebih daripada dua marhalah, mereka boleh mula mengerjakan puasa tiga hari tersebut setelah perjalanannya mencapai dua marhalah kerana pada ketika itulah waktu yang boleh untuk melaksanakan puasa tiga hari tersebut bagi mereka yang meninggalkan thawaf Wada‘ selepas ia diwajibkan. Jika dia melaksanakan setelah dia sampai pada tempat itu, maka disifatkan ia telah dilaksanakan dengan tunai. Jika tidak melaksanakannya pada waktu tersebut, maka ia dikira qadha’. Oleh itu, dam puasa tiga hari itu adalah wajib disegerakan dan haram diakhirkan jika tiada keuzuran.
Pelaksanaan Puasa Tujuh Hari
Kewajiban melaksanakan puasa tujuh hari hanya boleh dilaksanakan setelah sampai di tempat kediamannya bagi orang yang jarak tempat kediamannya kurang dua marhalah dari Makkah. Bagi orang yang tempat kediamannya dua marhalah atau lebih, mereka boleh mula mengerjakan puasa tujuh hari tersebut setelah sampai di tempat kediamannya. Puasa tersebut tidak boleh dan tidak sah dikerjakan ketika dalam perjalanan ke tempat kediamannya.
Puasa tujuh hari ini waktunya luas dan ia tidak akan luput sehingga ke akhir hayatnya. Oleh itu, ia tetap dikira tunai walaupun tidak dikerjakan serta-merta sebaik sahaja sampai di tempat kediamannya dan dia tidak berdosa sekiranya dia melewat-lewatkannya. Bagaimanapun, sunat puasa ini dikerjakan sesegera yang mungkin dan makruh melewatkannya.
Puasa Sepuluh Hari Setelah Sampai di Tempat Kediamannya
Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas bahawa waktu yang dibolehkan melaksanakan puasa tiga hari bagi orang yang meninggalkan thawaf Wada‘ ialah setelah sampai di tempat kediamannya atau di tempat yang wajib dia membayar dam. Jika dia tidak dapat melaksanakan puasa tiga hari tersebut tanpa keuzuran pada waktu itu maka dia berdosa dan wajib mengqadha’nya setelah sampai ke negerinya dengan segera.
Apabila dia melaksanakan puasa tiga hari secara qadha’ setelah sampai di negerinya, maka wajib dia memisahkan puasa tiga hari tersebut dengan puasa tujuh hari di negerinya. Tempoh pemisahan di antara kedua-duanya ialah kadar tempoh perjalanan menuju ke negerinya menurut kebiasaan.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka setiap orang yang hendak keluar Makkah sama ada dia penduduk Makkah ataupun bukan penduduk Makkah adalah wajib melaksanakan thawaf Wada‘ jika dia keluar atau musafir melebihi jarak yang diharuskan untuk mengqashar sembahyang iaitu dua marhalah secara muthlaq sama ada dia berniat kembali semula ke Makkah atau tidak.
Oleh yang demikian, jemaah yang telah sempurna mengerjakan umrah kemudian keluar ke bandar Thaif yang perjalanannya melebihi dua marhalah tanpa mengerjakan thawaf Wada‘ sebagaimana dinyatakan dalam persoalan adalah wajib membayar dam tartîb wa taqdîr. Mereka wajib menyembelih kambing atau yang sebanding dengannya di tanah haram atau jika mereka mampu mewakilkan kepada mana-mana pihak untuk melaksanakan urusan penyembelihan damnya di tanah haram, mereka boleh berbuat demikian. Jika mereka tidak berkemampuan melaksanakannya, maka wajib ke atas mereka berpuasa tiga hari sebagai qadha’ dan tujuh hari sebagai tunai. Puasa tiga hari dan tujuh hari itu wajib dipisahkan dengan kadar tempoh perjalanannya dari Makkah ke Brunei (misalnya sehari).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12770
