Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Kemusykilan Tentang Bercukur atau Bergunting untuk Tujuan Bertahallul

Soalan: 1. Adakah betul seorang jemaah dikehendaki bertahallul dulu sebelum menggunting rambut jemaah orang lain?

2. Adakah betul seorang jemaah mestilah ditahallulkan oleh orang yang sudah bertahallul dan tidak boleh ditahallul oleh orang yang belum bertahallul?

3. Adakah betul seorang jemaah tidak boleh menggunting rambutnya sendiri untuk bertahallul?

Jawapan: Tahallul dari segi bahasa bermaksud membuka atau meleraikan ikatan. Manakala menurut syara‘ yang berkaitan dengan ibadat haji dan umrah tahallul membawa maksud keluar daripada ihrâm iaitu dengan melakukan perbuatan yang mengeluarkan atau melepaskan seseorang daripada keadaan berihrâm haji atau umrah dan setelah itu halal bagi dirinya segala pantang larang yang haram dilakukan ketika berihrâm termasuk menanggalkan rambut kepala dengan menggunting atau mencukur atau mencabutnya.

Tahallul Bagi Ibadat Haji dan Umrah

Khusus bagi ibadat haji, terdapat dua peringkat tahallul iaitu tahallul awwal dan tahallul tsâni kerana jangka masa bagi mengerjakan ibadat haji itu sangat panjang serta melibatkan banyak tuntutan yang mesti dilaksanakan bagi menyempurnakan ibadat haji.

Tahallul awwal atau disebut juga tahallul ashghar terhasil setelah melakukan dua daripada tiga perkara berikut:

(i) Melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari an-Nahr. (ii) Bercukur/bergunting rambut kepala. (iii) Mengerjakan thawaf al-ifâdhah; diikuti dengan sa‘i jika belum melakukannya.

Apabila orang berihrâm haji yang telah menyempurnakan dua daripada tiga perkara yang disebutkan di atas, maka dia telah melakukan tahallul awwal. Dengan itu halal baginya untuk melakukan perkara yang dilarang semasa berihrâm kecuali jimâ‘ dan akad nikah.

Apabila orang yang berihrâm itu telah sempurna melakukan ketiga-tiga perkara yang disebutkan di atas, maka dia telah melakukan tahallul tsâni dan halal baginya segala perkara yang dilarang semasa berihrâm.

Manakala tahallul bagi ibadat umrah pula adalah dengan melakukan thawaf, sa‘i dan menanggalkan rambut seperti mencukur atau menggunting rambut.

Namun dalam melakukan tahallul khususnya berkenaan mencukur atau menggunting rambut, timbul beberapa kekeliruan dan persoalan sama ada orang yang berihrâm dibolehkan mencukur atau menggunting rambutnya sendiri untuk tujuan tahallul? Dan adakah dia boleh mencukur atau menggunting rambut orang lain untuk tujuan tahallul sebelum dia sendiri melakukan tahallul untuk dirinya?

Hukum Orang yang Berihrâm Mencukur atau Menggunting Rambutnya Setelah Masuk Waktu Tahallul

Imam al-Jurdani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-‘Allâm menyatakan bahawa orang yang berihrâm yang telah masuk waktu tahallulnya, maka tidak dikenakan dam ke atasnya kerana menanggalkan rambut kepalanya sebagaimana katanya:

Ertinya: Maka tidak dikenakan dam ke atas kanak-kanak yang belum mumayyiz, orang gila, orang yang pitam dan orang (berihrâm haji) yang telah masuk waktu tahallulnya (iaitu) dengan masuk separuh malam hari Nahar (10 Dzulhijjah) dan dia telah selesai mengerjakan wuqûf, maka tidak dikenakan dam ke atasnya pada menanggalkan rambut kepalanya sahaja, kerana harus baginya menanggalkannya (rambut kepala) pada ketika itu. Selepas itu (selepas menanggalkan rambut kepala, adalah harus dia menanggalkan) bulu-bulu badan yang lain.

Hukum Orang yang Berihrâm Mencukur atau Menggunting Rambut Orang Lain

Hukum orang yang berihrâm mencukur atau menggunting rambut orang lain boleh dibahagikan kepada tiga keadaan:

(i) Orang yang berihrâm mencukur atau menggunting rambut orang yang tidak berihrâm.

(ii) Orang yang berihrâm mencukur atau menggunting rambut orang yang berihrâm sebelum masuk waktu tahallul.

(iii) Orang yang berihrâm mencukur atau menggunting rambut orang yang berihrâm setelah masuk waktu tahallul.

Orang yang Berihrâm Mencukur atau Menggunting Rambut Orang yang Tidak Berihrâm

Adalah harus bagi orang yang berihrâm mencukur atau menggunting rambut orang yang tidak berihrâm. Perbuatannya ini tidak dikenakan apa-apa fidyah walaupun dilakukan tanpa izin kerana tidak ada pengharaman pada menanggalkan rambut orang tersebut dari segi berihrâm. Tetapi dari segi tasharruf iaitu tindakan terhadap anggota atau tubuh badan orang lain, jika dilakukan tanpa mendapat keizinan, maka hukumnya haram dan boleh dikenakan ta‘zîr.

Dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj menyebutkan bahawa sekiranya orang yang berihrâm menanggalkan rambut orang yang tidak berihrâm maka dia tidak dikenakan apa-apa fidyah. Tetapi jika perbuatan tersebut dilakukan tanpa keizinan al-mahluq iaitu orang yang dicukur rambutnya, maka orang berihrâm tersebut berdosa dan boleh dikenakan ta‘zir. Orang yang Berihrâm Mencukur atau Menggunting Rambut Orang yang Berihrâm Sebelum Masuk Waktu Tahallul

Menurut ulama, tidak diharuskan bagi orang yang berihrâm mencukur rambut orang berihrâm yang lain. Sekiranya perbuatan tersebut berlaku dengan keizinan al-mahluq iaitu orang yang dicukur rambutnya sebelum masuk waktu tahallulnya, maka haram dan berdosa kedua-duanya (al-hâliq iaitu orang yang mencukur rambut dan al-mahluq) dan dikenakan untuk membayar fidyah ke atas al-mahluq.

Sekiranya perbuatan mencukur rambut itu dilakukan tanpa keizinan al-mahluq tetapi dia mampu untuk menghalangnya, maka fidyah itu tertanggung ke atas al-mahluq tersebut kerana dia mampu untuk menghalangnya. Perlakuannya membiarkan perkara itu berlaku ke atas dirinya merupakan suatu kecuaian iaitu dengan mencuaikan perkara yang telah dijaganya ketika dalam ihrâm.

Tetapi sekiranya perbuatan mencukur rambut itu dilakukan tanpa izin al-mahluq dan dia tidak mampu untuk menghalangnya, misalnya kerana dia tidur, dipaksa, pengsan atau tidak mukallaf seperti kanak-kanak belum mumayyiz, maka kewajiban fidyah tertanggung ke atas al-hâliq.

Begitu juga sekiranya seorang yang tidak berihrâm, mencukur rambut orang berihrâm tanpa keizinan orang yang dicukur rambutnya itu sebelum masuk waktu tahallulnya, atau dilakukan ke atas orang yang tidur atau gila atau tidak mumayyiz atau pengsan, maka dam dikenakan ke atas orang yang mencukur dan dia juga berdosa.

Sekiranya pula orang yang tidak berihrâm itu melakukan perbuatan tersebut dengan izin orang berihrâm ataupun disuruh oleh orang berihrâm tersebut, maka haram atas kedua-duanya dan dikenakan dam ke atas orang yang dicukur rambutnya. Begitu juga sekiranya orang yang tidak berihrâm mencukur rambut orang berihrâm yang tidak memberi izin atau hanya berdiam diri, tetapi dia mampu untuk menghalang perbuatan tersebut, maka dam dikenakan ke atas orang yang dicukur rambutnya itu.

Imam ar-Rasyidi Rahimahullâh ketika mensyarahkan kata-kata Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyatakan bahawa pengharaman mencukur rambut orang berihrâm yang lain itu tidak berkaitan dengan keadaan berihrâm al-hâliq itu sendiri, tetapi disebabkan keadaan berihrâm al-mahluq iaitu orang yang dicukur rambutnya. Kerana itu, al-hâliq yang tidak berihrâm juga dihukumkan sedemikian iaitu diharamkan mencukur rambut orang berihrâm yang lain sebagaimana yang telah dihuraikan di atas.

Orang yang Berihrâm Mencukur atau Menggunting Rambut Orang yang Berihrâm Setelah Masuk Waktu Tahallul

Manakala Imam asy-Syarwani Rahimahullâh ketika menghuraikan perkataan Ibnu Hajar Rahimahullâh mengenai kedudukan hukum orang berihrâm mencukur rambut orang yang tidak berihrâm, telah menyebutkan mengenai kedudukan mencukur rambut orang berihrâm yang telah masuk waktu tahallulnya seperti berikut:

Ertinya: (Katanya: “Maka jika dia (orang yang dicukur rambut) itu halal iaitu tidak berihrâm, maka tidak dikenakan apa-apa fidyah”) dan begitu juga jika dia (orang yang dicukur rambutnya) itu orang yang berihrâm yang telah masuk waktu tahallulnya.

Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menghuraikan lagi:

Ertinya: (Katanya: “Dengan tanpa keizinannya…”) sayugia (dalam perkara ini) pengetahuannya tentang redhanya (orang yang dicukur) itu adalah seumpama keizinannya dalam perkara tiadanya dosa secara muthlaq dan tiadanya ta‘zîr jika (orang yang dicukur) mengakui atau membenarkan ke atasnya (orang yang mencukur). Jika tidak, maka yang diterima adalah pendapat yang menyatakan: D0iterima dakwaan dengan sumpahnya.

Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menyatakan lagi:

Ertinya: Katanya: “(...orang berihrâm) yang belum masuk waktu tahallulnya)” iaitu jika telah masuk waktu tahallulnya maka dia adalah sama seperti orang yang ‘halal’ iaitu orang yang tidak berihrâm seperti yang disebutkan terdahulu sebagaimana yang zhahir.

Dari penjelasan Imam asy-Syarwani Rahimahullâh ini difahami bahawa sekiranya orang yang berihrâm mencukur rambut orang berihrâm lain yang telah masuk waktu tahallulnya, maka tidaklah dikenakan apa-apa fidyah selagi mana mendapat izin daripada orang yang dicukur rambutnya itu ataupun mengetahui orang tersebut redha terhadap perbuatan mencukur rambutnya. Ini kerana keadaan orang berihrâm yang telah masuk waktu untuknya bertahallul adalah sama kedudukannya dengan keharusan mencukur rambut orang yang tidak berihrâm dengan syarat hendaklah mendapat keizinan orang yang dicukur rambutnya. Maka tidaklah dikenakan apa-apa fidyah atau berdosa kerana melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan ini.

Sebagai jawaban kepada kemusykilan penanya yang berbangkit daripada larangan mencukur dan menggunting rambut orang berihrâm untuk tujuan melakukan tahallul adalah seperti berikut:

(i) Seorang jemaah tidak disyaratkan melakukan tahallul untuk dirinya sebelum menggunting rambut jemaah yang lain yang hendak melakukan tahallul.

(ii) Seorang jemaah yang hendak melakukan tahallul tidak semestinya digunting rambutnya oleh orang yang sudah melakukan tahallul.

(iii) Harus bagi seorang jemaah menggunting rambutnya sendiri untuk melakukan tahallul.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12774