Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Kewajiban Meninggalkan Amalan Riba

Soalan: Saya dan isteri ada membuat pinjaman peribadi, rumah dan kereta di Bank Baiduri dan Standard Chartered Bank (SCB). Rupa-rupanya perbuatan kami ini adalah termasuk dalam menyokong riba. Kami berdua berasa teramat menyesal di atas perbuatan kami ini setelah mengetahui perkara ini salah.

Untuk berpindah ke Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) atau Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), kami terpaksa membuat pinjaman baharu yang mana akan dikenakan penalti daripada pihak bank kami masa ini (mengikut perjanjian dengan pihak Bank Baiduri dan SCB, jika melunaskan hutang yang masih tertunggak akan dikenakan penalti yang akan dikira daripada baki pinjaman).

Kami juga akan dikenakan charge baharu untuk pinjaman baharu itu nanti. Ini adalah berat untuk kami, apatah lagi terpaksa menggadaikan rumah untuk membuat pinjaman. Mengikut pihak BIBD, charge yang akan dikenakan mungkin mencecah $10,000.00 termasuk bayaran untuk beberapa dokumen yang diperlukan seperti:

1. Taksiran rumah dan tanah. 2. Peguam untuk menyediakan dokumen. 3. Insurans nyawa.

Bayaran untuk kesemua ini akan ditolak daripada jumlah pinjaman tadi.

Jadi, perlukah kami membuat pinjaman di BIBD atau TAIB untuk melarikan diri daripada riba atau adakah boleh kami menunggu sahaja sehingga pinjaman kami itu selesai dan bertaubat nasuha? Kami juga akan memaklumkan pihak bank untuk tidak memberikan bunga pada akaun kami.

Jawapan: Riba adalah termasuk dalam kategori dosa besar yang wajib dijauhi oleh setiap umat Islam. Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan (dosa besar). Lalu Baginda ditanya (oleh para sahabat Radhiallâhu ‘anhum) berkata: “Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara itu?” Baginda bersabda: “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak (yang dibenarkan oleh syara‘), memakan harta anak yatim, makan riba, melarikan diri semasa hari pertempuran (dengan musuh Islam) dan menuduh zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman.” (Hadits riwayat Muslim)

Dosa besar mengamalkan riba bukan hanya diperolehi oleh orang yang memakan riba itu, bahkan semua pihak yang berurusan dengan riba tersebut juga akan bersama-sama mendapat laknat dan dosa daripada amalan riba tersebut sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat orang yang makan riba, orang yang memberi riba, penulisnya dan dua saksinya, dan Rasulullah bersabda: “Mereka itu semuanya sama (mendapat laknat dan dosa).” (Hadits riwayat Muslim)

Akibat Mengamalkan Riba

Orang yang bermuamalat dengan riba telah dijanjikan oleh Allah Ta‘ala dengan balasan azab yang sangat pedih dan mengerikan sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an al-Karim dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antara kesan dan balasan yang akan diterima oleh pengamal riba itu ialah:

1. Harta atau wang yang diperolehinya itu tidak akan mendapat berkat. Bahkan wang tersebut akan susut dan habis. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah menghilangkan (keberkatan harta kerana) riba dan menambahkan (keberkatan harta daripada) sedekah-sedekah. Dan Allah tidak menyukai semua orang yang sangat kufur lagi bergelumang dosa. (Surah al-Baqarah: 276)

2. Riba menjadi punca turunnya bala dan bencana di dunia dan dikenakan azab dan seksa di akhirat. Ini berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika sudah nyata (berleluasa) perbuatan zina dan riba di sebuah kampung, maka mereka telah menghalalkan (membenarkan) atas diri mereka sendiri akan turunnya azab Allah. (Hadits riwayat al-Hakim)

3. Pengamal riba akan dibangkitkan dalam keadaan terhuyung-hayang pada Hari Kiamat, kerana Allah Ta‘ala telah memberatkan dan membesarkan perut mereka akibat memakan benda yang haram di dunia. Oleh itu, mereka tidak dapat berdiri tetap melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. Perkara ini ada dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Orang-orang yang memakan riba tidak akan dapat bangkit (dari kubur pada Hari Kiamat) melainkan seperti berdirinya orang-orang yang dirasuk syaitan (dengan keadaan terhuyung-hayang) kerana rasukan (syaitan) itu. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka mengatakan: “Adapun berjual beli itu sama sahaja seperti riba.” (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba... (Surah al-Baqarah: 275)

4. Terhalang daripada masuk syurga dan merasai keni‘matannya berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Empat (golongan) yang menjadi hak Allah untuk tidak memasukkan mereka ke dalam syurga dan tidak merasakan kepada mereka keni‘matannya, (iaitu): Orang yang ketagih minum arak, orang yang makan harta riba, orang yang makan harta anak yatim tanpa hak (cara yang benar) dan orang yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapanya.

(Hadits riwayat al-Hakim)

Membuat Pinjaman Wang di Bank yang Mengamalkan Riba

Bank konvensional pada kebiasaannya memang menjalankan operasinya berdasarkan amalan riba. Setiap pinjaman atau loan yang diberikan oleh bank-bank konvensional akan dikenakan faedah atau interest ke atas para penghutangnya. Dalam istilah fiqh, pengenaan faedah atau interest dalam pinjaman yang diberikan itu adalah ia dinamakan riba.

Sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab, setiap manfaat atau faedah yang diperolehi hasil daripada urusan pinjaman wang itu adalah ia riba. Contoh, apabila seseorang memberikan pinjaman wang sebanyak $100.00 kepada orang lain, kemudian dia menetapkan syarat ke atas orang yang diberikan pinjaman itu untuk membayar balik sebanyak $110.00, maka tambahan atau lebihan $10.00 daripada jumlah asal yang dipinjam itulah yang dinamakan riba.

Apabila penghutang bersetuju untuk melakukan pinjaman dengan bank konvensional, maka dengan sendirinya dia bersetuju untuk bermuamalat dengan riba dan tergolonglah dia di dalam kalangan pengamal riba yang dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Bertaubat Daripada Amalan Riba

Apabila pengamal riba menyedari dan mengetahui bahawa hukum bermuamalat dengan riba itu adalah haram, maka dia hendaklah berhenti dan bertaubat dengan segera daripada berurusan dengan riba. Jika dia dengan sengaja mengulanginya atau berterusan juga berurusan dengan riba, maka orang tersebut dengan sengaja melemparkan dirinya ke dalam azab seksaan yang telah dijanjikan oleh Allah Ta‘ala di akhirat kelak. Perkara ini telah jelas disebutkan dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Jika sesiapa yang telah sampai kepadanya pengajaran (peringatan tentang haramnya memakan riba) daripada Tuhannya lalu dia berhenti maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) menjadi haknya dan mengenai urusannya terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang kembali (memakan riba selepas mengetahui hukumnya) maka mereka itu ialah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Baqarah: 275)

Adapun hakikat taubat menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn adalah tersusun daripada tiga perkara, iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan. Ilmu ialah mengetahui besarnya bahaya dosa yang dilakukan dan mengetahui bahawa dosa sebagai penghalang di antara hamba dan Allah Ta‘ala. Manakala keadaan pula ialah perasaan menyesal yang timbul disebabkan ilmu tadi. Perbuatan pula irâdah (kemahuan) dan qashad (niat) yang mendorong melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masa sekarang, masa lampau dan masa hadapan yang timbul disebabkan penyesalan tadi. Adapun perbuatan yang berkaitan dengan masa sekarang adalah dengan meninggalkan segala dosa yang menyelimuti dirinya. Manakala perbuatan yang berkaitan dengan masa hadapan pula ialah berazam untuk meninggalkan dosa yang telah dilakukan itu sehingga ke akhir hayatnya. Bagi perbuatan yang berkaitan dengan masa lampau, maka adalah dengan mengganti apa yang telah hilang daripada dosa yang lalu dan mengqadha’ jika ada hak yang belum dipenuhinya.

Ketiga-tiga perkara tersebut tersusun dan berkait rapat. Adanya ilmu (tentang besarnya bahaya dosa) menyebabkan timbulnya keadaan (penyesalan), manakala wujudnya keadaan menyebabkan sehingga berlakunya perbuatan (kemahuan dan niat untuk meninggalkan dosa). Maka ilmu, penyesalan dan niat dengan keazaman untuk meninggalkan dosa, inilah yang dinamakan taubat.

Manakala menurut al-‘Allâmah al-Jurdani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-‘Allâm, taubat ialah berhenti daripada sifat-sifat keji dan kembali kepada sifat-sifat terpuji. Dikatakan sesiapa yang berhenti daripada perkara-perkara yang menyalahi syariat kerana takut akan azab Allah Ta‘ala, maka dia adalah tâ’ib yakni orang yang bertaubat.

Berdasarkan kepada penjelasan maksud taubat di atas, pengamal riba atau orang yang berurusan dengan riba yang mengatakan mahu bertaubat itu hendaklah benar-benar dia berhenti daripada setiap urusan yang berkaitan dengan riba, melainkan dengan menghindari muamalat tersebut boleh menimbulkan kemudharatan yang boleh mengancam nyawa, agama, akal, keturunan dan harta kepada pengamalnya.

Walau bagaimanapun, selagi tidak timbul sebarang kemudharatan dan dia berkemampuan untuk keluar daripada amalan yang hina itu, maka hendaklah dia bertaubat dengan segera bagi menyempurnakan hak Allah Ta‘ala yang wajib dipatuhinya. Melakukan taubat dengan sebenar-benarnya itu pula adalah dengan keimanan dan mengerjakan amal salih sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Tetapi orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amalan salih, maka mereka itulah yang kejahatan mereka digantikan dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dan sesiapa yang bertaubat serta mengerjakan amalan salih maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya. (Surah al-Furqân: 70-71)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah menukilkan pendapat para ulama dalam kitabnya Riyâdh ash-Shâlihîn bahawa melakukan taubat itu adalah wajib bagi setiap dosa yang dilakukan. Jika maksiat (dosa) yang dilakukan itu hanyalah di antara pelakunya dan Allah Ta‘ala yakni tidak ada berkaitan dengan hak orang lain, maka terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi oleh orang yang bertaubat itu. Jika salah satu daripada tiga syarat tersebut tidak ditunaikan, maka tidaklah sah taubatnya itu. Syarat-syarat tersebut ialah:

a. Hendaklah berhenti daripada mengerjakan maksiat (dosa) yang dilakukan.

b. Menyesal dengan sungguh-sungguh di atas maksiat (dosa) yang telah dilakukan.

c. Berazam untuk tidak akan mengulangi lagi perbuatan maksiat (dosa) tersebut buat selama-lamanya.

Merujuk kepada persoalan di atas, difahami bahawa Awang dan isteri membuat pinjaman wang di Bank Baiduri dan SCB. Pinjaman tersebut telahpun diterima dan sekarang proses pembayaran hutang sedang berjalan secara bulanan. Sekarang, Awang telah menyedari bahawa perbuatan meminjam wang dengan faedah di bank konvensional adalah termasuk dalam muamalat riba yang diharamkan oleh syara‘. Maka difahamkan Awang telah menyesal di atas perbuatan tersebut dan cuba untuk keluar daripada kontrak pinjaman tersebut setelah mengetahui perkara meminjam wang berserta faedah adalah haram menurut syara‘.

Walau bagaimanapun, proses untuk keluar daripada kontrak pinjaman sekarang memerlukan Awang untuk membuat pembiayaan ke BIBD atau TAIB bagi membayar pinjaman yang telah dibuat dengan Bank Baiduri dan SCB. Tambahan lagi, Awang akan dikenakan penalty (denda) oleh pihak Bank Baiduri dan SCB kerana pelunasan hutang yang masih tertunggak dibayar awal tanpa mengikut penjadualan yang telah dinyatakan di dalam kontrak. Bagi membuat pembiayaan pula, Awang dikehendaki menggadaikan rumah (re-mortgage) dan urusannya memerlukan kepada bayaran tambahan (caj) yang dikenakan oleh BIBD atau TAIB. Caj yang dikenakan itu merupakan bayaran kepada beberapa dokumen yang diperlukan bagi urusan penggadaian rumah seperti:

1. Taksiran rumah dan tanah. 2. Peguam untuk menyediakan dokumen. 3. Insurans nyawa.

Menurut BIBD, pembayaran untuk kesemua dokumen di atas itu mungkin mencecah $10,000.00 yang mana akan ditolak daripada pembiayaan yang akan diberikan. Maka untuk memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh BIBD atau TAIB dalam urusan pembiayaan tersebut bagi melunaskan pinjaman di Bank Baiduri dan SCB, telah menyebabkan Awang terasa berat atau sukar untuk berpindah ke BIBD atau TAIB.

Sebagaimana perbincangan yang telah dihuraikan di atas, apabila Awang telah sedar dan mengetahui hukum bermuamalat dengan riba itu adalah haram dan Awang juga telah merasa menyesal, maka Awang hendaklah berhenti daripada berurusan dengan muamalat riba dengan segera memandangkan jalan keluar untuk menghentikan muamalat tersebut sudahpun diperolehi dan Awang dilihat berkemampuan membuat pembiayaan tersebut walaupun dicaj untuk pembayaran segala dokumen yang dikehendaki oleh pihak BIBD atau TAIB. Namun caj tersebut masih boleh dipenuhi kerana pembayarannya ditolak daripada pembiayaan yang akan diberikan dan ini masih di dalam kemampuan Awang.

Awang telah menyatakan mahu bertaubat, tidaklah dikatakan taubat jika hanya sekadar ditangisi atau disesali perbuatan yang salah itu sahaja, tetapi dalam masa yang sama masih lagi berurusan dengan bank yang mengamalkan riba. Sekalipun Awang meminta pihak bank untuk tidak memberikan sebarang faedah pada akaun gaji, tetapi bagaimana pula dengan urusan pinjaman rumah, peribadi dan kereta yang masih berjalan seperti biasa, bukankah masih ada transaksi riba di dalam muamalat-muamalat berkenaan? Dan tidakkah perbuatan tersebut masih terkait dalam menyokong amalan riba?

Maka dalam hal ini, sewajarnya Awang melakukan taubat kepada Allah Ta‘ala dengan sebenar-benar taubat dengan cara menghentikan segera segala urusan yang berkaitan dengan riba, menyesali dosa yang telah dilakukan dan hendaklah tidak mengulangi semula dosa berkenaan, di samping memperbanyakkan amalan-amalan salih bagi mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala.

Oleh yang demikian, tindakan Awang untuk berpindah bank dari bank yang mengamalkan riba ke bank BIBD atau TAIB adalah suatu tindakan jalan keluar yang tepat untuk menyelamatkan diri daripada berterusan bergelumang dengan dosa besar dan laknat Allah Ta‘ala. Walaupun untuk urusan perpindahan tersebut memerlukan pengorbanan yang lebih dari segi harta benda dan wang ringgit kerana perlu membuat cagaran rumah dan penyediaan dokumen yang dikenakan caj. Namun yang penting, niat dan tindakan yang dilakukan itu adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan syara‘ dan mencari keredhaan Allah Ta‘ala di dunia dan di akhirat dengan taat melakukan segala apa yang diperintahkanNya dan meninggalkan segala apa yang dilarangNya. Dengan menghindari amalan riba ini sudah setentunya akan memberi keberkatan dan keluasan rezeki kepada kehidupan Awang sebagaimana janji Allah Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan keluar (dalam urusannya). Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas difikirannya. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka cukuplah Allah itu baginya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Allah telah menetapkan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (Surah ath-Thalâq: 2-3)

Sesungguhnya Allah Ta‘ala, sama sekali, tidak memungkiri janji.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12778