Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Memakai Kalungan Pingat Emas

Soalan: Pada kelazimannya, jika seorang ahli sukan lelaki memenangi tempat pertama, dia akan dikalungkan pingat emas di leher. Apakah pandangan Islam mengenai perkara ini?

Jawapan: Emas dalam bentuk pingat atau medal adalah antara bentuk hadiah yang kebiasaannya diberikan kepada para pemenang dalam sesuatu acara sukan seperti perlawanan bola sepak, perlawanan bola jaring, perlawanan tarik kalat dan sebagainya. Manakala tatacara penyampaian pingat tersebut pula ada berbagai cara seperti mengalungkannya pada leher pemenang atau menyimpannya dalam satu bekas khas (casing) dan sebagainya. Persoalan yang diajukan ialah adakah boleh ahli sukan lelaki memakai pingat emas tersebut yang dikalungkan di lehernya semasa memenangi sesuatu pertandingan?

Persoalan mengenai dengan memakai kalungan pingat emas atau perak ini boleh sahaja dikaitkan dengan perkara perhiasan yang diperbuat daripada emas dan perak dan penggunaan benda atau bejana yang diperbuat daripada emas ataupun perak.

Menurut hukum syara‘, perhiasan-perhiasan yang khusus untuk kaum perempuan seperti rantai, subang dan gelang adalah haram bagi kaum lelaki memakainya, sekalipun bukan diperbuat daripada emas atau perak, kerana perbuatan sedemikian menyerupai kaum perempuan. Dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata di dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al- Fiqhiyyah:

Ertinya: Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan) dengan memakai perhiasan yang khusus bagi mereka lagi yang melazimi menjadi hak mereka seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama kedua-duanya.

Kaum lelaki hanya diharuskan bahkan disunatkan memakai perhiasan berupa cincin yang diperbuat daripada perak kerana ittibâ‘ iaitu mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang memakai cincin daripada perak. Perkara ini disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Cincin Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seluruhnya diperbuat daripada perak, batu matanya pun daripada perak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Kaum perempuan pula diharuskan memakai perhiasan yang diperbuat daripada emas dan perak yang khusus bagi perhiasan diri mereka seperti gelang tangan, rantai leher, cincin, anting-anting dan gelang kaki.

Ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhah, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengambil sutera dengan tangan kirinya dan emas dengan tangan kanannya, kemudian Baginda mengangkat kedua-duanya dengan dua tangannya seraya bersabda: “Sesungguhnya dua benda ini (sutera dan emas) adalah haram (penggunaannya untuk perhiasan) ke atas umatku daripada kaum lelaki dan halal bagi mereka daripada kalangan perempuan (untuk berhias). (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Adapun benda atau perhiasan yang bukan khusus untuk perempuan, diharuskan juga bagi lelaki menggunakan atau memakainya jika ia tidak diperbuat daripada emas atau perak seperti bejana, tempat menyimpan celak mata, kendi (cerek) dan seumpamanya. Tetapi jika diperbuat daripada emas atau perak hukumnya adalah haram, bukan sahaja bagi lelaki bahkan juga bagi perempuan berdasarkan hadits daripada Hudzaifah bin al-Yaman Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu pakai sutera halus dan jangan (juga) sutera kasar, dan jangan kamu minum pada (menggunakan) bejana emas dan perak dan jangan kamu makan pada (menggunakan) talamnya (emas dan perak), kerana sesungguhnya (barang-barang itu) untuk mereka (orang kafir) di dunia.” (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi menjelaskan bahawa para ulama telah bersepakat iaitu ijmâ‘ ke atas pengharaman makan dan minum dan segala apa jua cara penggunaan pada bejana emas atau perak.

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al- Kabâ‘ir, yang dimaksudkan dengan bejana itu ialah setiap benda yang menurut ‘urf (kebiasaan umum) digunakan untuk meletak sesuatu padanya. Ulama menerangkan bahawa termasuk dalam pengertian bejana itu benda-benda seperti pencelak mata, tempat menyimpan celak mata, pencungkil gigi dan telinga, tempat membakar kemenyan (pedupaan), sudu, tempat penaruhan alat tulis, garpu, piring, cawan, kendi dan talam. Demikian juga benda-benda lain yang disebut ulama itu ialah seperti penutup kendi air, jarum, sikat dan seumpamanya. Haram menggunakan semua benda-benda ini apabila ia diperbuat daripada emas atau perak sebagaimana haram menggunakan bejana yang dibuat daripada emas atau perak.

Ulama asy-Syafi‘iyyah juga ada menyebut dalam kitab-kitab mereka bahawa selain untuk tujuan makan dan minum, larangan menggunakan bejana emas atau perak juga meliputi kepada lain-lain bentuk penggunaan seperti menghias rumah, kedai, tempat perhimpunan, masjid dan Ka‘bah dengan emas atau perak. Bahkan menyimpan atau menaruh bejana tersebut tanpa menggunakannya sekalipun, hukumnya adalah haram. Malahan, perbuatan mengupah orang untuk membuat bejana emas dan mengambil upah membuatnya juga hukumnya haram. Dalam kaedah fiqhiyyah ada menyebut:

Ertinya: Sesuatu yang diharamkan untuk menggunakannya (adalah juga) diharamkan untuk mengambilnya.

Menurut kaedah ini, segala benda yang diharamkan oleh syara‘ untuk menggunakannya, maka untuk memperolehinya dan mengambilnya untuk disimpan dan sebagainya juga adalah diharamkan.

Berdasarkan penjelasan di atas, jelas menunjukkan hukum menggunakan dan menyimpan bejana dan apa jua yang termasuk dalam pengertiannya yang dibuat daripada emas atau perak sama ada digunakan untuk perhiasan dan sebagainya adalah haram ke atas lelaki dan perempuan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga pengecualian jika penggunaan emas itu untuk tujuan perubatan, maka hukum penggunaannya dalam tujuan tersebut adalah harus menurut syara‘. Ini berdasarkan hadits daripada ‘Arfajah bin As‘ad Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Hidungku telah terpotong ketika dalam peperangan al-Kulab pada zaman jahiliyyah. Maka aku pun membuat hidung daripada perak, lalu ia mendatangkan bau busuk kepadaku. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruhku membuat hidung daripada emas. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, haram ke atas lelaki dan khuntsâ berhias dengan emas kecuali bagi orang yang rompong hidungnya, maka harus baginya membuat hidung daripada emas sebagai ganti, sekalipun dia boleh membuatnya daripada perak. Demikian juga, harus bagi orang yang tercabut atau pecah giginya untuk membuat gigi daripada emas sebagai ganti, sekalipun jumlahnya banyak, dan sekalipun bagi menggantikan keseluruhan giginya. Begitu juga, adalah harus mengukuhkan gigi dengan emas apabila gigi bergoyang. Hukum harus ini berqiyâs kepada keharusan menggunakan hidung daripada emas. Hidung dan gigi yang diperbuat daripada emas itu pula tidak wajib dikeluarkan zakat, sekalipun ia dapat ditanggalkan. Melainkan jika gigi emas itu dijadikan perhiasan seperti cincin, maka wajib dikeluarkan zakat daripadanya kerana penggunaan emas sebagai perhiasan yang diharamkan adalah wajib dikeluarkan zakat.

Selain harus menggunakan emas bagi tujuan perubatan, larangan penggunaan sutera bagi kaum lelaki juga dikecualikan apabila terdapat keperluan untuk menggunakannya bagi menghindari kesakitan atau kemudharatan sebagaimana hadits daripada Sayyidina Anas Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberi kelonggaran kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf dan az-Zubair memakai pakaian daripada sutera kerana penyakit kulit gatal yang mereka berdua hidapi. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn juga menyebut bahawa pengecualian pengharaman menggunakan sutera bagi kaum lelaki itu juga berlaku apabila terdapat hajat (keperluan) untuk menggunakannya, seperti lelaki yang berpenyakit kulit yang terpaksa menggunakan kain sutera sebagai pakaian kerana kain selain sutera akan menyakiti kulitnya.

Manakala pakaian yang bercampur dengan sutera, menurut pendapat yang shahîh dan masyhûr adalah mengikut kadar timbangannya. Jika sedikit timbangan sutera itu pada pakaian tersebut, maka haruslah pakaian itu dipakai oleh lelaki. Namun jika lebih banyak timbangan sutera berbanding dengan timbangan bahan yang lain pada pakaian tersebut, maka haram lelaki memakainya. Jika sama timbangan antara sutera dan bahan lain pada pakaian tersebut, maka menurut pendapat yang shahîh adalah harus dipakai oleh lelaki kerana ia bukan sutera sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Abbas beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada pakaian sutera yang tulen. Adapun sujian daripada sutera dan jahitan pakaian maka tidak mengapa dengannya. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hal pakaian yang disuji dengan sutera (sejenis jahitan untuk membuat bunga pada kain), adalah harus jika tidak melebihi empat jari. Ini termasuklah juga kocek pakaian, tampal dan sebagainya. Jika ia melebihi daripada empat jari, maka haram pakaian tersebut dipakai oleh lelaki sebagaimana diterangkan dalam hadits daripada Suwaid bin Ghafalah:

Maksudnya: Sesungguhnya ‘Umar bin al-Khaththab berkhutbah di Jabiyah (bandar Syam) lalu berkata: “Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada memakai pakaian sutera melainkan pada kadar dua, tiga atau empat jari.” (Hadits riwayat Muslim)

Jika dijahit pakaian itu dengan benang sutera adalah harus dipakai tanpa ada perselisihan pendapat. Melainkan baju besi berzirah (berantai) yang dianyam dengan emas walaupun sedikit adalah haram dipakai kerana ada kesombongan padanya. Sementara tasbih yang mempunyai benang sutera tidak haram menggunakannya. Adapun jubah yang bukan daripada sutera tetapi isi di dalamnya (yakni di antara lapis luar dan lapis dalam) ada sutera atau terdapat sutera di dalam bantal atau sebagainya, adalah harus digunakan.

Manakala dalam perkara jubah ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Jika lapisan luar jubah adalah sutera dan lapisan dalamnya kapas ataupun lapisan luarnya kapas dan lapisan dalamnya sutera, maka ia adalah haram digunakan tanpa ada perselisihan pendapat.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, pingat yang dikalungkan tidaklah termasuk dalam apa yang dikategorikan sebagai perhiasan sama ada bagi kaum perempuan mahupun kaum lelaki. Maka isu lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya adalah tidak berbangkit. Walau bagaimanapun, jika pingat yang dikalungkan itu benar-benar dibuat daripada emas atau perak adalah haram bagi lelaki dan perempuan memakainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12782