Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Mengenakan Bayaran Denda Kerana Lewat Membayar Yuran Perkhidmatan

Soalan: Kami adalah sebuah syarikat IT di Negara Brunei Darussalam dan kami ada sebuah pertanyaan tentang pelaksanaan hukum denda ke atas pelanggan yang lambat membayar yuran perkhidmatan yang telah kami berikan kepada pelanggan kami. Apa yang kami ketahui perbuatan ini boleh dikategorikan sebagai riba, ada juga kami dapati apabila denda ini dipersetujui oleh kedua-dua pihak (pelanggan dan syarikat kami), maka perbuatan ini adalah dibenarkan dan tidak lagi dikategorikan sebagai riba. Kalau perbuatan ini tidak dikategorikan sebagai riba, apakah perkara ini boleh juga dilaksanakan ke atas orang yang berhutang?

Jawapan: Setakat yang difahami melalui pertanyaan yang dikemukakan di atas bahawa pelanggan yang menggunakan perkhidmatan IT yang disediakan oleh syarikat berkenaan dikehendaki membayar yuran atau sewa pada tempoh yang telah ditetapkan dan syarikat berkenaan bercadang akan melaksanakan hukuman denda ke atas setiap pelanggan yang terlewat membuat pembayaran pada tempoh tersebut. Adapun bentuk denda tersebut tidak dinyatakan di sini secara jelas, namun berdasarkan pernyataan riba yang disebutkan dalam soalan ini dapat difahami bahawa denda yang dimaksudkan ialah berupa tuntutan bayaran tambahan. Ini bererti pelanggan perlu membayar bayaran tambahan sebagai denda di samping membayar yuran atau sewa perkhidmatan.

Jika dilihat pada bentuk muamalat yang diamalkan oleh syarikat ini, ia adalah berupa kontrak atau akad al-ijârah (sewa atau upah).

Al-ijârah ialah transaksi terhadap suatu manfaat yang dituju, tertentu, bersifat mubâh dan boleh dimanfaatkan dengan imbalan tertentu. Prinsip muamalat al-ijârah adalah sama dengan prinsip jual beli di mana al-ijârah juga dianggap sebahagian daripada kontrak jual beli. Antaranya dari segi unsur pemilikan oleh pembeli dan juga penyewa, pembeli memiliki barang belian, manakala penyewa atau pelanggan dalam hal ini memiliki manfaat daripada barang yang disewa atau perkhidmatan.

Mengenai dengan cara pembayaran sewa atau upah pula pada dasarnya bayarannya hendaklah dipercepatkan iaitu ketika akad, sebagaimana juga jual beli yang diserahkan pembayarannya ketika akad. Ini adalah bagi memenuhi hak-hak mu’jir (orang yang menyewakan) atau orang yang diupah tanpa dikurangi dan tanpa ditunda-tunda pembayarannya sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Baginda bersabda:

Maksudnya: Berikanlah kepada pekerja akan upahnya sebelum kering peluhnya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Kelewatan membayar sewa atau upah dari tempoh yang ditetapkan, akan boleh bertukar menjadi hutang ke atas penyewa atau pemberi upah atas khidmat yang diterimanya.

Dari itu, dalam menjawab permasalahan hukuman denda sebagaimana yang ditanyakan, adakah ia dianggap sebagai riba atau adakah dengan persetujuan daripada kedua-dua pihak boleh mengubah statusnya sebagai riba, maka perlu dirujuk kepada perbincangan ulama mengenai permasalahan hukum mengenakan bayaran tambahan ke atas hutang yang belum dilunaskan apabila tiba tempoh melunaskannya.

Hukuman Kerana Melewatkan Pembayaran Hutang

Menurut para ulama adalah harus mengenakan ‘uqûbah atau hukuman ke atas orang yang mampu melunaskan hutangnya tetapi melengah-lengahkan pembayarannya. Perkara ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin asy-Syarid daripada bapanya bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perbuatan orang yang mampu membayar hutang tetapi melengah-lengahkannya, menghalalkan (untuk dicalar) maruahnya (dengan cara didedahkan keburukan perbuatannya yang melengah-lengahkan pembayaran hutang kepada orang lain), dan menghalalkan supaya dikenakan hukuman ke atasnya. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Akan tetapi, ‘uqûbah atau hukuman yang dimaksudkan dalam hadits tersebut menurut para ulama fiqh asy-Syafi‘iyyah dan para ulama hadits adalah berupa ta‘zîr iaitu hukuman penjara atau sebat jika menurut pendapat hakim ia adalah munasabah dan bukan selainnya dan bukan juga dalam bentuk bayaran tambahan. Ini kerana mengenakan sebarang bayaran tambahan kepada hutang asal, sama ada kerana menangguhkan pembayaran ataupun tidak, dianggap sebagai riba jahiliyyah yang diharamkan secara ijmâ‘ iaitu kesepakatan para ulama. Menurut Ibnu al-Mundzir Rahimahullâh:

Ertinya: Ulama salaf telah sepakat bahawa orang yang menghutangkan apabila dia mensyaratkan ke atas orang yang berhutang agar membayar apa-apa tambahan atau memberikan apa-apa hadiah, kemudian dia memberi hutang dengan syarat tersebut, sesungguhnya mengambil yang lebih daripada hutang itu adalah riba.

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Bâri, ada menyebutkan bahawa riba jahiliyyah itu ialah:

Ertinya: Seseorang yang menjual barang jualan (secara hutang) hingga tempoh tertentu. Apabila tempoh hutang telah tamat, dan orang yang berhutang itu tidak mempunyai apa-apa untuk menjelaskan (hutangnya), maka dia (pemiutang) akan menambah kadar hutang tersebut dan menunda waktu pembayaran hutang tersebut.

Amalan riba seperti ini merupakan perbuatan yang diamalkan oleh pengaut-pengaut riba di zaman Arab jahiliyyah. Imam al-Qurthubi Rahimahullâh berkata: “Sesungguhnya orang-orang Arab (jahiliyyah) tidak mengetahui perkara riba kecuali dengan cara sedemikian (menuntut bayaran lebih daripada jumlah yang dihutang apabila berlaku kelewatan dalam pembayaran). Apabila tiba waktu pembayaran hutang, mereka (pemiutang-pemiutang Arab jahiliyyah) akan berkata (kepada orang yang berhutang):

Ertinya: Sama ada engkau (orang yang berhutang) membayar hutang, atau melebihkan bayaran (dengan diberi penangguhan masa).

Bayaran Tambahan atas Nama Gharâmah, Ta‘wídh, Syarth al-Jazâ’i dan Sedekah

Sebagaimana yang dijelaskan bahawa tuntutan pembayaran hutang lebih daripada kadar asal yang disyaratkan ke atas penghutang adalah haram dan dianggap sebagai riba. Namun terdapat sesetengah golongan ulama kontemporari yang mengatakan bahawa jika bayaran tambahan itu dilakukan atas nama gharâmah (denda), ta‘wîdh (ganti rugi), asy-syarth al-jazâ’i (denda bayaran jika melanggar perjanjian kontrak) atau sedekah secara bersyarat, dengan tidak menganggap ia sebagai hukuman atau ganti rugi semata-mata yang ada hubungkait dengan kadar kemudharatan yang ditanggung oleh pemiutang, maka ia adalah diharuskan. Hasil bayaran tambahan itu nanti hendaklah disalurkan kepada jalan-jalan yang berkebajikan dan bukannya untuk kegunaan dan manfaat pemiutang. Mereka tidak menganggapnya sebagai riba dengan alasan hukuman atau denda tersebut adalah sebagai wasîlah atau cara untuk menghalang kejadian sengaja menunda-nunda pembayaran hutang daripada terus berleluasa.

Walau bagaimanapun, sebilangan ulama kontemporari lain mengatakan bahawa pengharusan bayaran tambahan kepada hutang yang lewat dibayar sebagai denda, bayaran ganti rugi, hadiah ataupun sedekah belum pernah difatwakan dan dihukumkan oleh mana-mana ulama, imam, mufti atau hakim pada zaman dahulu. Pengarang kitab Mâ Lâ Yasa‘u at-Tâjir Jahlahu mengatakan:

Ertinya: Bahawasanya pendapat (yang mengharuskan) ini belum pernah ada sebelum ini (bukan pendapat ulama salaf). Belum ada mana-mana hakim yang memutuskan demikian dan belum ada mana-mana ulama yang berfatwa demikian, padahal kes yang melambatkan membayar hutang adalah banyak dipelbagai zaman dan negeri.

Atas dasar kenyataan inilah, ia dijadikan sebagai sandaran bagi ramai ulama dan badan-badan pertubuhan akademi fiqh Islam kontemporari untuk tidak mengharuskan penetapan syarat ke atas orang yang berhutang dengan cara mengenakan hukuman bayaran tambahan ke atas hutang yang lewat dilunaskan dari tempohnya sebagai denda atau ganti rugi kepada pemiutang.

Perkara ini pernah dibincang dalam persidangan-persidangan kedua-dua Akademi Fiqh Islam Kontemporari, iaitu Akademi Fiqh Islam Rabithah al-‘Alam al-Islami yang ditubuhkan pada tahun 1397H/1977M dan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, OIC (ditubuhkan 1405H/1984M). Keputusan daripada perbincangan dalam persidangan kedua-dua akademi berkenaan masing-masing menetapkan untuk tidak mengharuskan mengenakan bayaran tambahan sebagai gharâmah atau denda ke atas hutang yang ditunda pembayarannya.

Akademi Fiqh Islam, Rabithah al-‘Alam al-Islami pada persidangannya kali ke-11 menyatakan dalam resolusinya bagi menjawab persoalan: Apabila orang yang berhutang terlambat membayar hutang dalam masa yang ditetapkan, maka adakah pihak yang menghutangkan (iaitu bank) berhak menetapkan gharâmah harta sebagai hukuman dalam kadar tertentu disebabkan terlambat membayar hutang pada masa yang telah kedua-dua pihak tetapkan?

Dalam resolusinya bil. 8, Akademi Fiqh tersebut telah menetapkan dengan sebulat suara bahawa:

Ertinya: Jika pemiutang mensyaratkan orang yang berhutang, atau mewajibkannya membayar sejumlah wang dalam kadar atau nisbah tertentu sebagai denda apabila terlambat membayar hutang pada waktu yang mereka berdua tetapkan, maka ia adalah syarat atau hutang yang salah dan tidak wajib dipenuhi, bahkan tidak halal, sama ada yang mensyaratkan itu adalah bank atau yang lainnya, kerana bayaran denda itu sendiri ialah riba jahiliyyah yang mana al-Qur’an turun mengharamkannya.

Manakala Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, OIC pada persidangannya kali ke-6 di Jeddah, pada tahun 1990M dalam satu resolusinya bil. 51 (6/2) menetapkan:

Ertinya: Tidak harus menurut syara‘ menetapkan syarat (ke atas orang yang berhutang untuk membayar) ganti rugi apabila berlaku kelewatan dalam pembayaran hutang.

Perkara yang sama juga dibincangkan sekali lagi dalam akademi yang sama pada persidangannya kali ke-9 di Abu Dhabi. Dalam satu resolusinya bil. 85 (9/2) membahaskan mengenai as-syarth al-jazâ’i (denda bayaran jika melanggar perjanjian kontrak) iaitu ketentuan adanya denda bagi mereka yang lewat menyerahkan barang tempahan atau hutang. Dalam resolusi berkenaan Akademi Fiqh tersebut telah menetapkan:

Ertiya: Tidak boleh pensyaratan (ketentuan) denda kerana lewat menyerahkan barang tempahan, kerana ia dianggap sebagai hutang, dan tidak boleh mensyaratkan penambahan pada hutang ketika berlaku penangguhan.

Dari itu, berdasarkan kenyatan-kenyataan yang dikemukakan, adalah tidak harus bahkan haram mengambil sebarang bayaran tambahan sebagai hukuman atau denda ke atas hutang yang ditunda pembayarannya, selama mana ia dijadikan syarat sekalipun dipersetujui bersama. Ini bererti sewa yang lambat dibayar di mana sekiranya penyewa terlambat membayarnya pada waktu yang ditetapkan, maka akad yang pada mulanya dimeterai dalam bentuk ijârah (sewa) telah bertukar kepada hutang. Jika ini berlaku adalah tidak boleh mensyaratkannya untuk membayar lebih daripada hutang yang asal kerana ia dikira sebagai riba.

Dalam kitab-kitab fiqh asy-Syafi‘iyyah juga ada menyatakan bahawa mensyaratkan pembayaran hutang dengan kadar faedah yang lebih banyak atau lebih baik daripada hutang asal, yang akan memberi manfaat kepada pemiutang adalah jelas riba dan akadnya terbatal. Namun, sekiranya bayaran lebih itu dilakukan atas inisiatif dan kerelaan penghutang dan bukannya atas dasar memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pemiutang, maka ia bukanlah riba. Ia adalah diharuskan malah sunat hukumnya menurut jumhûr ulama.

Kesimpulan

Sewa yang tertangguh pembayarannya dari tempoh yang telah ditetapkan akan bertukar kepada hutang, maka hukum-hakam yang berkaitan dengannya juga akan bertukar kepada hukum-hakam yang berkaitan dengan hutang.

Mengenakan bayaran tambahan pada hutang sebagai denda pula, sekalipun tujuannya bagi menghalang amalan melengah-lengahkan bayaran hutang yang semakin berleluasa, ia tetap haram. Ini kerana pada hakikatnya transaksi seperti ini masih tetap mengamalkan konsep riba jahiliyyah, iaitu penambahan jumlah atau nilai daripada hutang asal yang diambil sama ada daripada orang yang berkemampuan ataupun tidak, sama ada disyaratkan di awal akad ataupun tidak. Melainkan jika penambahan itu dilakukan oleh penghutang atau penyewa atas kerelaannya tanpa adanya persyaratan yang dibuat oleh pemiutang atau orang yang menyewakan ketika atau selepas akad berlangsung. Ini bererti sekalipun kedua-duanya bersetuju untuk melakukan bayaran tambahan sebagai denda, ia tetap tidak menghapuskan statusnya sebagai riba disebabkan adanya penetapan syarat daripada pihak pemiutang atau yang menyewakan.

Walau bagaimanapun sebagai irsyâd jua, bagi mengelak daripada berlaku kerugian dan kemudharatan ke atas syarikat akibat hutang yang ditangguh-tangguhkan, maka pihak syarikat boleh mengubah suai bentuk syarat penyewaan perkhidmatan IT yang selari dengan hukum syara‘ yang tidak melibatkan amalan riba. Umpamanya dengan menetapkan syarat menamatkan perkhidmatan jika pelanggan lambat membayar sewa atau yuran pada tempoh yang ditetapkan kerana dianggap melanggar kontrak penyewaan. Sekiranya pelanggan ingin menyambung semula perkhidmatan tersebut, maka bayaran sewa yang tertunggak hendaklah dilunaskan terlebih dahulu tanpa mengenakan sebarang bayaran tambahan dan pelanggan akan membuat akad baru dengan dikenakan bayaran bagi penyambungan semula perkhidmatan. Dengan cara ini, pihak syarikat tidak akan berterusan menanggung kerugian dan pada masa yang sama amalan riba dapat dielakkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12786