Menjama‘ Sembahyang dalam Perjalanan ketika Penutupan Masjid dan Surau Disebabkan Wabak COVID-19
Soalan: Dalam keadaan masjid-masjid dan surau-surau ditutup bagi mengelakkan penyebaran COVID-19, timbul masalah bagi orang ramai yang dalam perjalanan, bekerja atau tidak sempat untuk sembahyang di rumah. Persoalannya:
1. Adakah masjid-masjid dan surau-surau masih boleh digunakan untuk sembahyang secara bersendirian atau jemaah?
2. Boleh menjama‘ sembahyang-sembahyang yang harus dijama‘ sekiranya masjid dan surau tidak dapat digunakan?
Jawapan: Penutupan sementara seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam adalah suatu keputusan yang telah diambil oleh Majlis Ugama Islam Brunei dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha membendung dan mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini. Dengan penutupan tersebut, segala kegiatan sembahyang fardhu berjemaah dan kegiatan ta‘mîr yang lain termasuk sembahyang fardhu Jumaat ditiadakan. Penutupan sementara ini telahpun bermula sejak 22 Rejab, 1441 bersamaan 17 Mac, 2020 dan sebagaimana yang dimaklumkan, pembukaan semula masjid, surau dan balai ibadat adalah tertakluk kepada perkembangan mengenai penularan wabak setelah dinilai oleh badan berautoriti tersebut. Keputusan penutupan sementara ini diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan dan berdasarkan pandangan hukum syara‘.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang umat Islam mencampakkan diri mereka ke dalam bahaya kebinasaan sebagaimana firmanNya dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tiada penyakit berjangkit (tanpa takdir Allah), tiada kepercayaan sial (ramalan berdasarkan burung terbang), tiada kepercayaan malang pada burung hantu (hinggap di atas rumah) dan tiada kepercayaan sial pada bulan Shafar, (tetapi) hendaklah engkau lari dari (bahaya) orang yang terkena penyakit kusta (penyakit berjangkit) sebagaimana engkau lari dari (bahaya) singa. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan dalil-dalil di atas, melakukan langkah-langkah pencegahan diri daripada kemudharatan seperti penyakit berjangkit seumpama COVID-19 ini adalah wajib. Maka, penutupan masjid, surau dan balai ibadat oleh pihak berautoriti adalah antara langkah pencegahan iaitu bagi mengelak perhimpunan ramai dan berlakunya pencemaran yang boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19 yang akan membahayakan diri dan masyarakat. Penutupan sementara masjid, surau dan balai ibadat oleh pihak berautoriti ini adalah perintah daripada ulil-amri yang wajib ditaati. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah an-Nisâ’: 59)
Ayat ini menunjukkan perintah wajib mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan ulil-amri. Menurut pendapat shahîh, maksud ulil-amri dalam ayat tersebut ialah pemerintah atau orang-orang yang berkuasa (pihak berautoriti) dan para ulama yang menerangkan kepada orang ramai mengenai hukum syara‘.
Adapun pertanyaan mengenai penggunaan masjid yang ditutup bagi orang yang dalam perjalanan, maka jika masjid dibuka bagi orang yang dalam perjalanan tersebut, pencegahan yang dimaksudkan dengan penutupan masjid itu tidak akan tercapai dan terlaksana kerana perhimpunan ramai (mass gathering) dan pencemaran tempat akan boleh sahaja berlaku.
Sememangnya bersembahyang di masjid sama ada secara berjemaah atau bersendirian mempunyai fadhilat yang besar, tetapi syara‘ menentukan bahawa mengelak kemudharatan awam adalah lebih utama sebagaimana ditekankan dalam kaedah fiqh:
Ertinya: Menghindari kerosakan lebih utama daripada meraih kemashlahatan.
Mengenai tempat bersembahyang selain daripada masjid ia boleh dilakukan di mana-mana tempat asalkan menepati syarat sah sembahyang iaitu suci daripada najis. Hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu pula, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dan dijadikan bagiku bumi itu sebagai tempat sujud dan suci (lagi menyucikan), sesiapa jua daripada umatku yang mendapati waktu sembahyang, maka sembahyanglah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menerangkan bahawa hadits tersebut menjelaskan tentang keistimewaan-keistimewaan umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang antaranya ialah diharuskan untuk melakukan sujud atau membina tempat untuk sembahyang di mana-mana sahaja di atas bumi, berbanding umat sebelum Baginda yang hanya diharuskan sembahyang di rumah-rumah ibadat mereka.
Selain tempat sembahyang itu hendaklah suci daripada najis, hendaklah juga diambil kira tempat tersebut bukan tempat yang dimakruhkan sembahyang seperti tandas, tempat lalu-lalang dan tempat pembuangan sampah.
Sembahyang Jama‘ bagi Orang yang dalam Perjalanan
Sembahyang jama‘ ialah menghimpunkan dua sembahyang fardhu iaitu Zhuhur dan ‘Ashar atau Maghrib dan ‘Isya’ dalam satu waktu, sama ada pada waktu sembahyang yang pertama yang dikenali sebagai jama‘ taqdîm atau pada waktu sembahyang yang kedua yang dikenali sebagai jama‘ ta’khîr. Ia adalah rukhshah atau keringanan yang Allah kurniakan kepada mereka yang melakukan pelayaran atau perjalanan jauh.
Keharusan menjama‘ sembahyang adalah berdasarkan hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila berangkat (bermusafir), sebelum matahari tergelincir, Baginda menangguhkan sembahyang Zhuhur hingga waktu ‘Ashar; kemudian Baginda turun (dari kenderaan) lalu menjama‘kan kedua-duanya (Zhuhur dan ‘Ashar dengan cara jama‘ ta’khîr). Sekiranya matahari telah tergelincir sedang Baginda belum berangkat, maka Baginda sembahyang Zhuhur (lebih dahulu), dan kemudian terus berangkat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut dalam Nihâyah al-Muhtâj bahawa pendapat al-ashah yang masyhur dalam mazhab asy-Syafi‘i ialah tidak harus sembahyang jama‘ selain kerana safar (perjalanan jauh) dan hujan dengan syarat-syarat yang tertentu.
Perjalanan yang Mengharuskan Sembahyang Jama‘
Keharusan untuk seseorang itu melakukan sembahyang jama‘ kerana safar (perjalanan jauh) bukanlah secara mutlak tetapi hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu untuk mengharuskannya menjama‘ sembahyang fardhunya. Antara syarat-syarat tersebut ialah:
1. Hendaklah safar itu jauhnya tidak kurang dari dua marhalah kira-kira 89.04 km, (kiraan jarak pergi sahaja, tidak termasuk kiraan jarak balik). Kiraan dua marhalah itu bermula dari sempadan kampung atau bandar tempat dia bermuqîm (menetap).
2. Bermula keharusan menjama‘ sembahyang setelah melewati sempadan kampung atau bandar tempat dia bermuqîm (menetap).
3. Hendaklah tidak berniat untuk bermuqîm (menetap) selama empat hari penuh (tidak termasuk hari tiba dan pergi) di tempat yang hendak dituju. Jika dia berniat sedemikian, maka hukum dia berada di tempat tersebut adalah seperti hukum tempat dia bermastautin atau bermuqîm (menetap). Maka dia tidak harus menjama‘ sembahyang di tempat tersebut, walau bagaimana pun dia masih harus menjama‘ sembahyang di dalam perjalanan menuju ke tempat tersebut.
4. Hendaklah safar tersebut atas tujuan yang baik dan diharuskan oleh syara‘ seperti urusan kerja, ziarah, perniagaan, haji dan seumpamanya. Jika safar atas tujuan maksiat seperti untuk minum arak, bermain judi atau apa-apa jua perkara maksiat, maka dia tidak dibolehkan menjama‘ sembahyangnya.
5. Hendaklah ada qashad (tujuan) ketika memulakan perjalanan untuk menuju ke sesuatu tempat yang diketahui jauh jarak perjalanannya iaitu dua marhalah atau lebih.
6. Hendaklah mengetahui keharusan sembahyang jama‘ serta cara-caranya.
Mengenai pertanyaan tentang menjama‘ sembahyang disebabkan masjid, surau dan balai ibadat tidak dapat digunakan, maka ia tertakluk kepada syarat-syarat yang mengharuskan sembahyang jama‘ sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Jika perjalanan mencukupi syarat-syarat mengharuskan sembahyang jama‘ tersebut, maka adalah harus menjama‘ sembahyang selama mana tidak melakukan perkara-perkara yang menghentikan rukhshah (keringanan) yang antaranya ialah sampai ke sempadan tempat bermuqîm (menetap). Namun jika perjalanan tidak mencukupi syarat-syarat tersebut; contohnya perjalanan tidak mencapai dua marhalah, maka tidak diharuskan menjama‘ sembahyang. Dalam situasi masjid, surau dan balai ibadat ditutup sementara penggunaannya sehingga menyukarkan mencari tempat sembahyang, perkara tersebut tidak dikira sebagai salah satu sebab untuk mendapatkan rukhshah menjama‘ sembahyang.
Sebagai kesimpulan, larangan bersembahyang di masjid, surau dan balai ibadat dengan langkah penutupan sementara bagi masjid, surau dan balai ibadat adalah peraturan yang wajib ditaati kerana perintah daripada ulil-amri. Maka orang yang dalam perjalanan tidak boleh menggunakan masjid, surau dan balai ibadat untuk bersembahyang selama ia ditutup oleh pihak berautoriti.
Oleh yang demikian, pihak yang bertanya harus bijak merancang perjalanan agar sembahyang fardhu tertunai dan tidak luput waktu. Perancangan itu termasuk merancang waktu dan tempat di mana dia patut menunaikan sembahyang. Kita boleh umpamanya menunaikannya secara tunai di tempat kerja sebelum memulakan perjalanan, atau menyediakan alat keperluan sembahyang untuk berhenti di mana-mana tempat yang sesuai dalam perjalanan selain masjid, surau dan balai ibadat bagi menunaikan sembahyang, hatta di taman-taman asalkan tempat tersebut menepati syarat sah sembahyang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12790
