Mewaqafkan Tanah
Soalan: Majlis Ugama Islam dalam mesyuaratnya telah bersetuju supaya didapatkan terlebih dahulu pandangan dari segi hukum syara‘ berhubung kedudukan permohonan untuk mewaqafkan sebidang tanah di Kampong Lugu seluas 2.98 ekar bagi apa-apa kegunaan Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam khasnya mengenai perkara-perkara berikut: 1. Kedudukan tanah berkenaan pada masa ini didaftarkan sepenuhnya di bawah nama Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Awang Tengah. 2. Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Awang Tengah telah memaklumkan bahawa hasrat untuk mewaqafkan tanah tersebut adalah bagi memenuhi pesanan daripada Allahyarham bapa beliau dan perkara ini telah dipersetujui oleh semua ahli keluarga. 3. Dalam proses penerimaan waqaf tersebut umpamanya dalam lafaz berwaqaf dan pendaftarannya adakah akan dibuat atas nama beliau sendiri atau nama Allahyarham bapa beliau, Awang Haji Tengah bin Awang Hasib? 4. Siapakah yang berhak menentukan kegunaan tanah waqaf tersebut, sama ada Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Awang Tengah sendiri atau Allahyarham bapa beliau? Sehubungan dengan itu, sukacita dipohon ulasan, pandangan dan fatwa Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan dan setelah meneliti kertas kerja yang disertakan, dapat difahami seperti berikut: 1. Orang yang memohon untuk berwaqaf ialah Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Tengah. 2. Barang yang hendak diwaqafkan ialah sebidang tanah yang terletak di Kampong Lugu. 3. Awang Haji Abdul Wahab memohon untuk mewaqafkan tanah tersebut bagi apa jua kegunaan Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam. 4. Tanah yang hendak diwaqafkan itu merupakan tanah yang dimiliki oleh Awang Haji Abdul Wahab sepenuhnya sebagai pemilik yang sah sebagaimana yang tercatat di dalam Sistem Pendaftaran Tanah Brunei pada Bahagian (III) Keterangan Pemilik Sekarang, bertarikh 23/08/2018.
5. Tanah tersebut merupakan harta waris yang diperolehi daripada Allahyarham bapanya, Awang Haji Tengah Bin Awang Hasib.
6. Semasa Allahyarham Awang Haji Tengah hidup, beliau telah berpesan kepada Awang Haji Abdul Wahab supaya tanah tersebut dijadikan tanah waqaf.
7. Semua ahli keluarga Awang Haji Abdul Wahab juga menyokong hasrat beliau untuk mewaqafkan tanah tersebut.
Setelah melihat kepada keterangan di atas, kekeliruan pihak penanya timbul apabila Allahyarham Awang Haji Tengah berpesan supaya tanah waris tersebut dijadikan tanah waqaf. Dalam perkara ini, bagi mentsabitkan pihak yang berhak untuk berwaqaf terhadap tanah tersebut, hendaklah dirujuk kepada rukun dan syarat waqaf dengan meneliti juga kedudukan pesanan berwaqaf tersebut menurut hukum syara‘.
Pentsabitan Waqaf Menurut Syara‘
Sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh, waqaf mempunyai empat rukun yang wajib dipenuhi agar waqaf itu dihukumkan sah menurut syara‘. Rukun-rukun waqaf itu ialah:
1. Wâqif (orang yang berwaqaf). 2. Mauqûf (barang yang diwaqafkan). 3. Mauqûf ‘alaih (pihak yang menerima manfaat daripada barang waqaf). 4. Shîghah (lafaz).
Merujuk kepada rukun-rukun waqaf yang telah disebutkan di atas, shîghah adalah antara rukun waqaf yang perlu dipenuhi bagi pentsabitan hukum waqaf. Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i dalam kitab-kitab masyhûr mereka, shîghah ialah lafaz yang membawa maksud berwaqaf. Antara kitab yang menyebutkan perkara ini ialah kitab Minhâj ath-Thâlibîn, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan:
Ertinya: Dan tidak sah (waqaf) kecuali dengan berlafaz (yang memberi maksud untuk berwaqaf), dan (lafaz) yang sharîhnya (jelas) ialah: “Aku berwaqaf barang ini” atau “Tanahku menjadi barang waqaf untuknya.”
Dalam kitab Hâsyiyatân, Qalyubi wa ‘Umairah pula menyebutkan:
Ertinya: Dan tidak sah (waqaf) kecuali dengan berlafaz sekalipun (dalam hal hendak) membina masjid. Berlainan (halnya) jikalau seseorang itu mengusahakan suatu tanah mawât dengan niat mewaqafkannya untuk masjid atau kubur atau perigi atau bangunan untuk orang fakir/miskin atau sekolah, (maka waqaf itu sah sekalipun dia tidak berlafaz).
Daripada perkataan para ulama di atas, difahami bahawa jika seseorang itu hendak mewaqafkan sesuatu barang miliknya, maka hendaklah dilafazkannya bahawa barang tersebut adalah untuk waqaf. Maka dengan lafaz waqaf tersebut, terlepaslah hak miliknya terhadap barang tersebut. Namun, jika seseorang yang hendak mewaqafkan sesuatu barang miliknya itu belum mengeluarkan ucapan atau lafaz yang memberi maksud dia berwaqaf, maka dia belum lagi dikira berwaqaf sekalipun dia ada berhasrat untuk berwaqaf kerana hasrat itu belum memenuhi maksud shîghah yang menjadi rukun dalam waqaf, berlainan jika seseorang yang mengusahakan tanah mawât bagi pembinaan masjid, kubur, perigi, bangunan untuk orang fakir miskin atau sekolah dan dia berniat untuk mewaqafkannya. Maka waqafnya itu adalah sah sekalipun dia tidak berlafaz, kerana perbuatannya mengusahakan tanah mawât dan niatnya untuk mewaqafkannya dalam hal ini, sudah memadai untuk menjadikannya waqaf dan tidak perlu lagi baginya untuk berlafaz. Ini juga adalah berdasarkan bahawa tanah mawât pada asalnya bukanlah milik orang yang mengusahakan tanah mawât itu dan berlafaz waqaf diperlukan adalah bertujuan untuk mengeluarkan apa yang dalam pemilikannya.
Tanah mawât ialah tanah yang diyakini belum pernah di‘imârahkan (dimajukan) oleh sesiapa pun selepas kedatangan Islam sama ada oleh orang Islam atau orang dzimmi, yang bukan menjadi hak atau faedah bagi sesuatu tanah yang di‘imârahkan dan bukan menjadi hak atau faedah bagi penggunaan umat Islam.
Pemilikan Barang yang Hendak Diwaqafkan
Menurut syara‘, antara syarat mauqûf atau barang yang hendak diwaqafkan itu hendaklah barang tersebut dimiliki oleh orang yang berwaqaf sebagaimana yang disebutkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan syarat mauqûf itu hendaklah ia (merupakan) benda yang tertentu, yang dimiliki (oleh orang yang berwaqaf) dengan pemilikan (hak milik) yang boleh dipindah ….
Ini menunjukkan bahawa pemilikan terhadap barang yang hendak diwaqafkan itu menjadi syarat kerana hak milik tersebut akan berpindah dari orang yang berwaqaf kepada Allah Ta‘ala setelah hukum waqaf itu tsabit menurut syara‘. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar bahawasanya hak milik pada sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah kepada Allah Ta‘ala yakni terlucut (hak milik tersebut) dari kuasa khusus manusia, maka ia (barang yang diwaqafkan itu) tidak lagi menjadi hak milik kepada orang yang berwaqaf dan juga tidak menjadi hak milik kepada orang yang diwaqafkan.
Maka di sini, jika orang yang hendak berwaqaf itu tidak mempunyai pemilikan yang sah terhadap barang yang hendak diwaqafkan, maka hukum waqaf adalah tidak sah dan barang yang hendak diwaqafkan adalah tidak tsabit diterima sebagai barang waqaf menurut syara‘ kerana tidak memenuhi rukun dan syarat waqaf.
Pelaksanaan Waqaf Setelah Kematian
Menurut para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘i, antaranya asy-Syaikh Sulaiman bin ‘Umar bin Muhammad al-Bujairimi asy-Syafi‘i Rahimahullâh, dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Minhâj dan al-‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar ad-Dimyathi al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn, telah menyebutkan bahawa sah hukumnya seseorang itu berwaqaf dengan menggantungkan pelaksanaan waqafnya setelah kematiannya. Umpamanya dia berkata atau berlafaz: “Aku waqafkan rumahku kepada orang-orang fakir selepas kematianku”. Walau bagaimanapun, pelaksanaan waqaf yang digantungkan dengan kematian itu adalah mengikut hukum-hakam wasiat, umpamanya tidak boleh waqafnya itu melebihi satu pertiga daripada harta peninggalannya.
Berdasarkan pendapat para ulama di atas, jelas menerangkan bahawa seseorang itu boleh berlafaz waqaf semasa hidupnya dengan menggantungkan pelaksanaannya setelah dia meninggal dunia dan dia adalah dikira berwasiat.
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan, perkara yang perlu dilihat ialah kedudukan pemilikan tanah yang hendak diwaqafkan itu dan pesanan bapa si pemohon supaya tanah tersebut diwaqafkan. Perkara ini penting diketahui dengan jelas bagi mengelakkan kekeliruan timbul sama ada waqaf tersebut atas nama Awang Haji Tengah bin Awang Hasib atau Awang Haji Abdul Wahab bin Awang Haji Tengah.
Dalam hal ini, difahamkan Allahyarham Awang Haji Tengah semasa hayatnya tidak ada menyebutkan sebarang lafaz untuk mewaqafkan tanah tersebut yang pada masa itu dimiliki oleh beliau sehinggalah beliau meninggal dunia. Beliau hanya berpesan supaya tanah tersebut diwaqafkan dan tidak menggantungkan pesanan untuk berwaqaf itu setelah dia meninggal dunia sebagaimana yang difahami daripada keterangan Awang Haji Abdul Wahab apabila dihubungi melalui telefon oleh pihak Bahagian Waqaf dan Baitul-Mal pada 15 Oktober, 2018.
Dapat difahami juga bahawa pesan untuk berwaqaf yang diterangkan di atas bukanlah shîghah waqaf dan bukanlah juga lafaz waqaf dengan wasiat yang digantungkan dengan kematian. Maka dengan demikian, tidaklah berlaku waqaf dan wasiat berwaqaf semasa hidupnya dan semasa dia memiliki tanah tersebut.
Apabila beliau meninggal dunia, tanah tersebut telah menjadi harta waris yang telah disahkan oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada 16 Ogos, 2001. Adalah jelas menunjukkan bahawa tanah tersebut telahpun dimiliki secara sah oleh pemohon waqaf sendiri iaitu Awang Haji Abdul Wahab dan tidak lagi dimiliki oleh Allahyarham Awang Haji Tengah.
Maka dalam hal ini, Awang Haji Abdul Wahab selaku pewaris telah menjadi pemilik yang sah kepada tanah tersebut dan pada waktu yang sama, Awang Haji Abdul Wahab juga adalah orang yang berhak untuk membuat waqaf ke atas tanah tersebut kerana perpindahan hak pemilikan yang berlaku menurut syara‘.
Oleh itu, dalam proses penerimaan permohonan waqaf oleh pihak MUIB, umpamanya dalam lafaz berwaqaf dan pendaftarannya, hendaklah dibuat atas nama Awang Haji Abdul Wahab sendiri sebagai pemohon waqaf ke atas tanah yang dimiliknya. Pemohon waqaf juga berhak menentukan mauqûf ‘alaih terhadap tanah yang hendak diwaqafkannya itu sebagaimana yang dimaklumi dalam kertas kerja yang disertakan iaitu, pemohon ingin mewaqafkan tanah tersebut untuk apa jua kegunaan Majlis Ugama Islam Brunei bagi kepentingan atau mashlahat orang Islam.
Alhamdulillâh, tindakan pemohon untuk mewaqafkan tanah beliau yang terletak di Kampong Lugu itu adalah sesuatu amalan yang sangat terpuji lagi tinggi nilainya di sisi Allah Ta‘ala. Lebih-lebih lagi bagi menyampaikan pesan Allahyarham bapanya untuk menjadikan tanah tersebut tanah waqaf. Hakikatnya, amalan berwaqaf ini tujuannya adalah untuk mengharapkan pahala dan ganjaran yang berterusan daripada Allah Ta‘ala. Dalam hal ini, sebagai nasihat jua, bagi memohon kurniaan rahmat Allah Ta‘ala secara berterusan ke atas Allahyarham bapanya, pemohon bolehlah meniatkan pahala amal salih waqaf yang dilakukannya itu untuk Allahyarham bapanya juga kerana pahala amal salih atau amalan berwaqaf yang dilakukan oleh orang yang masih hidup sama ada daripada kalangan ahli waris atau orang lain untuk orang yang telah meninggal dunia adalah sangat memberi manfaat kepadanya.
Perkara bersedekah pahala kepada orang yang meninggal dunia ada diterangkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah hadits riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ ketika Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ditanya oleh seorang lelaki yang telah kematian ibunya:
Maksudnya: “Adakah bermanfaat jika aku bersedekah bagi pihaknya (ibuku)?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Ya.” Maka lelaki itu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai sebuah kebun berbuah dan aku bersaksi dengan Tuan, sesungguhnya aku mensedekahkannya (dan pahalanya) bagi pihaknya (ibuku).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, para ulama mazhab asy-Syafi‘i juga telah menyebutkan tentang sampainya pahala kepada orang-orang yang telah meninggal dunia itu untuk mereka terima manfaatnya. Antaranya:
(i) Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi menyatakan:
Ertinya: Maka sesungguhnya sedekah (pahalanya) sampai kepada si mati dan bermanfaat baginya tanpa perselisihan di kalangan orang-orang Islam, dan inilah yang betul.
(ii) Imam asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh pula menerangkan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Kemudian beliau (Imam an-Nawawi Rahimahullâh) menyentuh mengenai perkara yang memberi manfaat kepada si mati, maka beliau berkata: “[Dan bermanfaat bagi si mati sedekah] bagi pihaknya, (dan seumpamanya) berwaqaf, membangun masjid, menggali telaga dan seumpamanya. Begitu juga [do‘a] untuknya [daripada warisnya atau orang lain] sebagaimana memberi manfaat kepadanya apa yang pernah dilakukannya daripada (amalan-amalan) tersebut ketika hidupnya.”
Seterusnya, Imam asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh berkata lagi:
Ertinya: Dan sebagaimana bermanfaat untuk si mati begitu juga bermanfaat untuk pemberi sedekah dengan amalan tersebut. Dan tidak akan berkurangan pahala orang yang bersedekah itu sedikitpun. Oleh yang demikian (adalah) disunatkan ke atasnya untuk berniat dengan apa yang disedekahkannya (itu) untuk kedua-dua orang tuanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12797
