Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Nazar Puasa Setiap Kali Melakukan Dosa Tertentu

Soalan: Pada masa lalu saya sering melakukan dosa tertentu. Oleh sebab mahu menghentikannya, saya bersumpah sekali bahawa setiap kali saya berdosa saya akan berpuasa satu hari. Ternyata saya masih sering berdosa, sehingga puasanya menjadi banyak. Oleh kerana begitu sukar untuk berpuasa sebanyak itu saya mahu menghentikannya dengan sumpah kaffârah.

Persoalannya, adakah saya membayar banyak kaffârah atau berulang kali mengikut jumlah puasa (kerana isi sumpah ada kata setiap kali melakukan dosa itu) atau kaffârahnya sekali sahaja (kerana saya bersumpah hanya sekali).

Jawapan: Nazar dari segi syara‘ ialah janji untuk melakukan kebaikan dengan mewajibkan ke atas diri sendiri untuk melakukan suatu perbuatan qurbah iaitu perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Setiap apa yang dinazarkan itu merupakan suatu ketaatan dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (hendaklah mereka) menyempurnakan nazar-nazar mereka. (Surah al-Hajj: 29)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:

Tafsirnya: Dan kamu sempurnakanlah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu melanggar sumpah-sumpah (kamu) sesudah meneguhkannya, padahal kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin (saksi dan pengawas) atas kamu. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan. (Surah an-Nahl: 91)

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah, maka hendaklah dia melakukan ketaatan kepadaNya (tunaikanlah nazar itu) dan sesiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (jangan dia menunaikan nazarnya itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Jenis Nazar

Para ulama asy-Syafi‘iyyah membahagikan jenis nazar itu berdasarkan tujuannya kepada dua bahagian iaitu:

1. Nazar at-Tabarrur iaitu nazar yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan mengharapkan kebaikan dengannya.

Nazar at-Tabarrur ini pula mempunyai dua bentuk, iaitu:

i. Nazar al-Muthlaq iaitu nazar yang tidak mengaitkannya dengan sesuatu. Contoh seseorang berkata: ‘Demi Allah, ke atasku berpuasa’.

Hukum nazar ini sah dan menurut pendapat al-azhhar wajib ke atas orang yang bernazar itu menunaikan puasa yang dinazarkannya kerana ia berupa suatu ketaatan.

ii. Nazar al-Mujâzah iaitu nazar yang dikaitkan dengan sesuatu yang dijadikan sebagai syarat. Orang yang bernazar itu mengharapkan agar diberi balasan dan ni‘mat atau dihindari daripada musibah. Contohnya seseorang berkata: ‘Jika aku lulus peperiksaan ini, aku bernazar berpuasa’ atau ‘Jika aku sembuh daripada penyakitku ini, maka wajib ke atasku memberi sedekah’.

Hukum nazar dalam bentuk ini adalah sah dan ia wajib dilaksanakan apabila syarat yang dikaitkannya itu berlaku atau terhasil.

2. Nazar al-Lajaj iaitu nazar yang bertujuan untuk menghalang dirinya daripada melakukan sesuatu atau sebagai dorongan kepada dirinya untuk melakukan sesuatu yang bukan bertujuan taqarrub kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Nazar al-Lajaj ini dinamakan juga sebagai Yamîn al-Ghalaq atau Yamîn al-Ghadhab yang bererti sumpah marah. Nazar ini terbit pada ketika seseorang itu dalam keadaan marah. Orang yang bernazar itu tidak bermaksud untuk melakukan perbuatan taqarrub (seperti puasa sunat), bahkan sebaliknya ia bertujuan semata-mata untuk menghalang dirinya daripada melakukan sesuatu yang tidak diingininya atau mendorong dirinya agar melakukan sesuatu bukan dengan tujuan taqarrub. Contohnya seseorang berkata: ‘Jika aku minum arak, wajib ke atasku puasa selama sebulan’. Dalam contoh ini tujuan orang yang bernazar tersebut ialah untuk menghalang diri daripada minum arak bukan untuk berpuasa sebulan.

Hukum nazar sedemikian adalah sah dan menurut pendapat al-azhhar jika seseorang yang melafazkan nazar al-Lajaj melakukan apa yang dikaitkannya dengan nazarnya seperti dia minum juga arak setelah dia bernazar, maka dia diberi pilihan sama ada melaksanakan apa yang diiltizamkannya ke atas dirinya iaitu berpuasa sebulan atau membayar kaffârah sumpah. Pilihan ini hanya dikhususkan pada nazar al-Lajaj sahaja. Sebab diberi pilihan sama ada melaksanakan nazarnya atau membayar kaffârah ialah kerana ia menyerupai sumpah dari sudut menegah dirinya daripada melakukan sesuatu dan ia menyerupai nazar dari sudut mewajibkan perkara taqarrub ke atas dirinya. Namun, kewajiban tersebut tidak boleh dilakukan kedua-duanya dan tidak juga boleh dibatalkan kedua-duanya. Oleh yang demikian, wajib atas orang yang bernazar al-Lajaj untuk memilih hanya salah satu daripada kedua-duanya.

Kaffârah Nazar

Kaffârah nazar adalah sama seperti kaffârah sumpah berdasarkan hadits daripada ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Kaffârah nazar (adalah sama seperti) kaffârah sumpah. (Hadits riwayat Muslim)

Kaffârah sumpah adalah sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka kaffârahnya (sumpah) ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada makanan yang sederhana yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Maka sesiapa yang tidak dapat melakukannya, (kaffârahnya) hendaklah berpuasa tiga hari yang demikian itu ialah kaffârah sumpah kamu apabila kamu bersumpah. (Surah al-Mâ’idah: 89)

Bernazar Puasa Apabila Melakukan Dosa Merujuk kepada persoalan yang ditanyakan, jika dilihat kepada lafaz nazar yang diungkapkan penyoal iaitu bernazar untuk melakukan puasa pada setiap kali dia melakukan dosa yang tertentu, maka jelas bahawa ia adalah nazar al-Lajaj atau dinamakan juga sumpah marah kerana ia diungkapkan ketika dalam keadaan marah (tidak menyukainya). Ini dapat difahami daripada lafaz tersebut yang bertujuan untuk menghalang dirinya daripada melakukan dosa, bukannya bermaksud untuk melakukan perbuatan taqarrub yang dinazarkannya iaitu berpuasa.

Dalam hal ini, jika dia melakukan dosa berkenaan dia wajib menunaikan nazarnya dengan membuat pilihan sama ada melaksanakan apa yang diiltizamkannya ke atas dirinya iaitu berpuasa sehari atau membayar kaffârah sumpah sebagaimana menurut pendapat al-azhhar.

Lafaz Nazar Menggunakan Perkataan “Setiap Kali”

Persoalan bernazar dengan mengungkapkan perkataan “setiap kali” yang dalam bahasa arabnya disebut ُ ك" ََّ لما" membawa maksud berulang kali. Ini bermakna perkara yang dinazarkannya itu wajib dilaksanakan setiap kali dia melakukan perbuatan yang dikaitkan dengan nazarnya sepertimana seseorang yang bernazar untuk berwudhu’ setiap kali hendak mendirikan sembahyang, maka dia wajib melaksanakan nazarnya (berwudhu’) setiap kali hendak mendirikan sembahyang.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, nazar al-Lajaj itu adalah menyerupai sumpah. Maka, menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah jika seseorang bersumpah yang dikaitkan dengan suatu perkara menggunakan perkataan “setiap kali” atau “setiap waktu”, maka sumpahnya tidak akan terlerai atau terhenti pengiraannya dengan berlakunya perkara yang dikaitkannya dengan sumpahnya, bahkan berlakunya buat kali kedua dan seterusnya tetap dikira sebagai sumpah yang diperhitungkan. Umpamanya seorang suami bersumpah bahawa setiap kali isterinya keluar tanpa keizinannya, maka thalaqnya akan jatuh. Dalam hal ini, thalaqnya tidak hanya dikira jatuh sekali, malah thalaq itu dikira jatuh setiap kali isterinya keluar tanpa keizinannya.

Al-Imam asy-Syirazi Rahimahullâh ada menyebut dalam kitabnya al-Muhadzdzab mengenai perkara jatuh thalaq dengan pensyaratan:

Ertinya: Dan lafaz-lafaz yang digunakan dalam pensyaratan pada (menjatuhkan) thalaq (iaitu lafaz) siapa, jika, apabila, bila, bila-bila masa dan setiap kali, tidak ada pada lafaz-lafaz ini yang menghendaki (maksud) berulang kali kecuali katanya (yang menggunakan lafaz) ‘setiap kali’, maka sesungguhnya ia menghendaki (maksud) berulang kali.

Asy-Syibramallisi Rahimahullâh pula dalam mensyarahkan kitab Nihâyah al-Muhtâj mengenai persoalan adakah kaffârah dilakukan setiap kali sumpah dilakukan:

Ertinya: Dan berbilang-bilang juga (membayar kaffârah) dalam perkara apabila dia berkata demi Allah setiap kali aku melintasi engkau nescaya aku akan memberi salam kepadamu.

Berdasarkan keterangan di atas, maka penyoal yang bernazar untuk berpuasa dengan menggunakan ungkapan “setiap kali saya berdosa saya akan berpuasa satu hari”, maka setiap kali dia melakukan dosa yang dimaksudkan dalam nazarnya, maka setiap kali itulah dia wajib melaksanakan nazarnya iaitu berpuasa jika dia memilih untuk melaksanakan nazarnya. Jika dia memilih untuk membayar kaffârah sumpah, dia wajib juga membayarnya bagi setiap kali dia melakukan dosa berkenaan. Nazarnya itu tetap terus diperkirakan selama hidupnya. Nazar tersebut tidak akan terhenti dengan berlakunya perkara yang dikaitkannya dengan nazarnya buat kali pertama dan melakukan sekali puasa sahaja atau dengan hanya membayar sekali kaffârah sekalipun nazarnya itu dilafazkan sekali sahaja kerana lafaz nazar yang digunakan padanya ialah “setiap kali” yang membawa maksud berulang kali. Sebagai contoh jika dia melakukan dosa sebanyak lima kali, maka wajib ke atasnya lima hari puasa atau lima kaffârah.

Perkara ini berbeza jika dia bernazar tanpa menggunakan lafaz “setiap kali”: seperti lafaz nazar: “Jika saya melakukan dosa itu saya akan berpuasa satu hari”, maka dengan dia berpuasa sehari atau membayar kaffârah sekali, terhentilah nazarnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12801