Orang Islam Membeli Insurans Konvensional Untuk Pekerja non-Muslim
Soalan: Saya bekerja di salah sebuah jabatan kerajaan yang ada mengambil perkhidmatan kakitangan-kakitangan berkontrak luar negeri yang bukan beragama Islam. Sesuai dengan terma dan syarat kontrak perkhidmatan, perlindungan insurans adalah mesti diberikan bagi sepanjang tempoh perkhidmatan kakitangan-kakitangan tersebut.
Apakah hukumnya saya mencadangkan dan mengurus perkhidmatan insurans mereka dengan insurans konvensional yang menawarkan harga lebih murah daripada insurans takaful.
Jawapan: Merujuk kepada persoalan di atas, dapat difahami bahawa majikan adalah dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mencarum perlindungan insurans bagi perkhidmatan para pekerjanya sesuai dengan terma dan syarat kontrak perkhidmatan yang telah ditetapkan. Dalam hal ini, Awang selaku pengurus bagi pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam mencadangkan untuk mengurus dan mencarum perlindungan insurans konvensional bagi perkhidmatan kakitangan-kakitangan berkontrak luar negeri yang bukan beragama Islam. Berikut dijelaskan hukum mengenainya.
Bermuamalat Dengan Insurans Konvensional
Menurut Sa‘di Abu Jaib dalam buku at-Ta’mîn Baina al-Hazhr wa al-Ibâhah, insurans konvensional ialah ‘aqad atau kontrak yang mewajibkan penjual insurans (syarikat insurans) membayar sejumlah wang (pampasan) atau membayar secara beransur atau membayar sebarang bayaran pampasan (sebagaimana yang telah dipersetujui) kepada pembeli insurans (pencarum) atau pengambil faedah yang telah disyaratkan, apabila terjadi sesuatu kemalangan yang dilindungi seperti yang dijelaskan dalam ‘aqad atau kontrak sebagai imbalan kepada pencarum atas bayaran premium (caruman) yang telah dijelaskannya kepada syarikat insurans seperti yang ditetapkan.
Berdasarkan pengertian di atas, difahami bahawa insurans konvensional adalah jenis ‘aqad mu‘âwadhah iaitu ‘aqad pertukaran jual beli di antara syarikat insurans dan pencarum. Ini menunjukkan ‘aqad insurans konvensional adalah berbentuk perniagaan.
Menurut Majma‘ al-Fiqh al-Islami dalam persidangannya yang kedua di Jeddah pada tahun 1406 Hijriyyah/1985 Masihi mengenai dengan insurans, telah memutuskan bahawa ‘aqad insurans perniagaan yang mempunyai premium (caruman) tetap merupakan ‘aqad yang mempunyai unsur gharar (suatu yang tidak jelas dan tidak pasti) yang besar yang merosakkan ‘aqad. Oleh kerana itu, insurans perniagaan adalah diharamkan di sisi syara‘.
Dalam pada itu, pengharaman insurans konvensional dengan segala jenisnya seperti insurans nyawa, insurans harta perniagaan, insurans rumah dan insurans kenderaan adalah berdasarkan kepada beberapa perkara, antaranya adalah seperti berikut:
(1) ‘Aqad insurans perniagaan mengandungi unsur gharar kerana pembeli insurans (pencarum) tidak mampu mengetahui semasa membuat ‘aqad tentang jumlah yang akan diberi atau diterima. Seorang pencarum mungkin telah membayar wang caruman sekali atau dua kali, kemudian berlaku perkara yang tidak diingini, maka pembeli insurans akan mendapat jumlah yang dijanjikan kepadanya oleh syarikat insurans. Namun sekiranya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, pembeli insurans sama sekali tidak akan menerima apa-apa, sekalipun dia telah membayar keseluruhan bayaran wang caruman. Demikian juga syarikat insurans tidak mampu untuk menetapkan kadar jumlah yang akan diberi bagi setiap ‘aqad.
Apabila terjadi sesuatu yang tidak jelas dalam ‘aqad dan kesan daripada ‘aqad tersebut akan menyebabkan timbulnya ketidakadilan di antara dua pihak yang ber‘aqad, maka ini jelas menggambarkan bahawa transaksi muamalat yang dilakukan itu mengandungi unsur gharar. Dalam hal ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli yang mengandungi unsur gharar sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli kerikil dan jual beli (yang sifatnya) tidak jelas. (Hadits riwayat Muslim)
(2) ‘Aqad insurans perniagaan mempunyai unsur perjudian (maisir) kerana mengandungi pertaruhan nasib dalam pertukaran harta. Iaitu bertaruh pada sesuatu yang tidak pasti dan ia bergantung kepada nasib untuk mendapatkan bayaran pampasan.
Sebagai contoh, dalam sesetengah produk insurans konvensional seperti kebanyakan produk insurans kenderaan, pencarum akan mendapat pampasan yang lumayan apabila berlaku kemalangan. Dalam hal ini, pencarum dikira mendapat satu keuntungan kerana dengan carumannya yang sedikit dia boleh mendapat sejumlah wang yang banyak. Sebaliknya, jika tidak berlaku sebarang kemalangan, maka pencarum akan menanggung kerugian kerana wang caruman yang telah dibayar itu akan diambil kesemuanya oleh syarikat insurans. Muamalat seumpama ini termasuk dalam kategori judi sebagaimana yang dilarang dalam al-Qur’an al- Karim. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
(3) ‘Aqad insurans perniagaan mengandungi riba al-fadhl dan riba an-nasâ’. Riba al-fadhl terjadi apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum atau warisnya dengan jumlah yang lebih tinggi daripada wang caruman yang telah dibayar oleh pencarum. Jumlah yang lebih itulah dinamakan sebagai riba al-fadhl. Manakala, apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum selepas satu masa tertentu (bergantung kepada bila berlakunya kemalangan), maka ini pula adalah riba an-nasâ’. Apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum sejumlah harga yang sama dengan carumannya, maka yang berlaku hanyalah riba an-nasâ’. Kedua-dua jenis riba ini (al-fadhl dan an-nasâ’) adalah haram dalam Islam berdasarkan kepada al-Qur’an al-Karim dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
Antara hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang mengharamkan riba pula ialah sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat orang yang makan riba, orang yang memberi riba, penulisnya dan dua saksinya, dan Rasulullah bersabda: “Mereka itu semuanya sama (mendapat laknat dan dosa).” (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan keterangan di atas, jelas menunjukkan bahawa hukum bermuamalat dengan apa jua jenis insurans konvensional adalah haram dan tidak sah menurut syara‘ walau apa sekalipun niat atau tujuan orang yang melakukan muamalat seumpama itu.
Di samping itu, pengharaman bermuamalat dengan insurans konvensional ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang disebutkan oleh Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir, katanya:
Maksudnya: Sesuatu yang diharamkan untuk mengambilnya (adalah juga) diharamkan untuk memberinya.
Kaedah ini membawa maksud perkara yang haram diambil, maka haram juga diberikan kepada orang lain sama ada orang tersebut beragama Islam atau sebaliknya. Ini adalah kerana perbuatan tersebut akan membantu atau menolong berkembangnya perkara yang diharamkan. Selaku umat Islam, kita adalah dilarang bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan maksiat sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hakam Allah). Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat seksaNya. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Memilih Produk Takaful
Agama Islam memerintahkan supaya umatnya sentiasa menentang dan menghapuskan perkara dosa dan maksiat seperti maksiat riba dan maisir. Ini bererti, apa jua bentuk sokongan atau usaha kerjasama dalam perkara dosa dan maksiat adalah dilarang sama sekali.
Apabila melihat kepada pertumbuhan institusi-institusi kewangan Islam masa kini, banyak produk takaful yang ke semuanya adalah patuh syara‘ telah pun ditawarkan kepada orang ramai. Selaku orang Islam, bermuamalat dengan produk takaful yang ditawarkan bukan merupakan satu pilihan (option) bahkan adalah satu kewajiban yang perlu diikuti kerana mematuhi perintah Allah Ta‘ala. Adalah tidak wajar dipersoalkan tentang perbezaan harga takaful dan insurans konvensional kerana takaful dan insurans konvensional adalah dua produk kewangan yang berbeza dari segi sandaran, tatacara dan mekanismenya. Secara jelas, pasaran dan urusniaga kedua-dua produk berkenaan adalah berbeza dari segi ‘aqad, pelaburan, manfaat dan sebagainya. Apabila kedua-duanya mempunyai perbezaan tatacara atau mekanisme, maka sudah setentunya harga yang diberikan oleh takaful dan insurans konvensional juga adalah berbeza.
Sistem takaful banyak memberi keistimewaan atau manfaat kepada pencarum. Antaranya, pencarum yang terlewat membayar wang caruman secara berkala dalam takaful keluarga tidak akan dikenakan sebarang bayaran faedah, kerana unsur-unsur riba sangat dilarang dalam Islam. Pencarum juga akan diberi hak untuk berkongsi keuntungan daripada hasil pelaburan kumpulan wang caruman. Pembahagian keuntungan ini adalah berkonsepkan mudhârabah di mana perkongsian untung akan diagihkan mengikut nisbah peratusan yang telah dipersetujui oleh pihak syarikat takaful dan peserta takaful.
Selain keistimewaan yang diperolehi oleh pencarum takaful yang disebutkan di atas, perkara penting yang perlu diambil perhatian juga ialah soal halal dan haram serta dosa dan pahala. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, itulah yang menjadi fokus utama dan ia adalah satu tuntutan yang wajib dilaksanakan selagi untuk memenuhinya mampu dilakukan dengan baik tanpa menimbulkan apa-apa kemudharatan atau kesulitan. Dalam perkara ini, kita juga boleh mengambil contoh seumpama memilih makanan halal seperti ayam mentah. Walaupun bekalan ayam mentah banyak dijual di pasaran daripada pelbagai syarikat pengeluar dengan memberikan tawaran harga yang berlainan, namun membeli ayam mentah yang halal dan baik (tidak memudharatkan kesihatan) adalah pilihan utama bagi memenuhi tuntutan syara‘. Demikianlah juga dalam mengutamakan pemilihan takaful berbanding insurans konvensional. Maka, selaku pengurus, Awang wajib memilih takaful untuk mengelak daripada terlibat dengan muamalat yang dilarang syara‘ sekalipun tujuannya adalah untuk perlindungan pekerja non-Muslim, kerana Awang adalah pencarumnya.
Dalam pada itu, orang-orang non-Muslim juga sebenarnya masih juga terkait dengan ketetapan hukum syara‘ sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama yang masyhûr dalam kitab-kitab ushûl al-fiqh mereka, antaranya, Imam asy-Syaukani Rahimahullâh dalam kitabnya Irsyâd al-Fuhûl:
Ertinya: Bahawasanya orang-orang kafir itu (juga) diseru (dikaitkan) dengan hukum-hakam yang disyariatkan (perkara-perkara furu‘ dalam ibadat).
Seterusnya beliau menyebutkan lagi:
Ertinya: Dan tidak ada perselisihan (dikalangan jumhûr ulama) bahawasanya mereka (orang-orang kafir) juga diseru (dikaitkan) dengan perintah untuk beriman, kerana Baginda (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) diutus untuk sekalian umat manusia dan begitu juga dengan perkara muamalat.
Daripada perkataan ulama di atas dapat difahami bahawa orang-orang non-Muslim adalah tidak bebas daripada perkara-perkara yang ditetapkan oleh hukum-hakam yang disyariatkan dalam Islam.
Melihat kepada perspektif yang lain pula, apabila orang Islam menyertai produk takaful bagi pihak non-Muslim, maka takaful sebenarnya dapat menjadi salah satu mekanisme da‘wah dalam mempromosikan agama Islam. Keterlibatan orang bukan Islam dalam takaful, sedikit sebanyak membuka pintu maklumat mengenai keindahan agama Islam yang sentiasa memastikan ketulusan dan keadilan terhadap setiap transaksi yang dilakukan. Dengan kata lain, mereka sendiri dapat menilai bagaimana agama Islam mencorakkan sistem kewangan Islam dan takaful tanpa sebarang unsur riba, gharar, maisir dalam setiap kontrak yang dimeterai oleh kedua-dua belah pihak. Selain itu, ia juga dapat memberi pemahaman yang jelas bahawa agama Islam bukan hanya tertumpu kepada ibadat khusus semata-mata, tetapi ia merangkumi setiap sistem kehidupan manusia seperti kewangan, ekonomi, politik dan perundangan.
Sebagai umat Islam, kita seharusnya berbangga dan memberi sokongan penuh terhadap sistem takaful yang dibangunkan dan mempromosikan kelebihan sistem takaful kepada orang bukan Islam supaya mereka dapat merasai keindahan dan keadilan sistem ini bersama-sama.
Selaku umat Islam, kita berkewajiban untuk membawa orang lain melakukan perkara ma‘rûf dan mencegahnya daripada melakukan kemungkaran. Membiarkan kemungkaran itu berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan adalah termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh (berbuat) yang ma‘rûf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang yang mendapat kemenangan. (Surah Âli ‘Imran: 104)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, adalah jelas bahawa bermuamalat dengan apa jua jenis bentuk insurans konvensional sama ada untuk diri sendiri atau untuk orang lain adalah haram kerana transaksi yang dilakukan adalah bercanggah dengan ketetapan hukum syara‘. Selaku pihak pengurusan yang beragama Islam, apatah lagi bagi pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam, setiap tindakan yang dilakukan hendaklah selaras dengan hukum syara‘ dan janganlah tolong-menolong atau memberi sokongan dalam perkara dosa dan maksiat. Sebaliknya, mempromosikan produk-produk kewangan Islam yang ada kepada pekerja non- Muslim itu adalah inisiatif yang sepatutnya dilakukan di samping memenuhi satu kewajiban.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12806
