Pembayaran Zakat Melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan Menggunakan Kad Kredit
Soalan: i. Adakah zakat fitrah boleh dibayar melalui kemudahan pesanan ringkas (SMS) daripada telefon mudah alih (mobile phone)?
Sebagaimana yang dimaklumi bahawa zakat fitrah dibayar pada masa-masa yang telah ditetapkan iaitu bermula awal bulan Ramadhan sehingga imam mendirikan sembahyang sunat Hari Raya.
Oleh yang demikian, jika pembayaran menggunakan kaedah pesanan ringkas (SMS) (bagi talian PRIMA) daripada telefon mudah alih (mobile phone), maka tuntutan hanya akan dibuat oleh penyedia telefon berkenaan kepada pembayar zakat fitrah (pemilik telefon) tersebut pada bulan hadapan iaitu pada bulan Syawwal atau bulan Zulkaedah.
ii. Adakah juga boleh menggunakan kad kredit (kad kredit yang bukan berbentuk simpanan tetap (fixed deposit) sama ada daripada institusi kewangan Islam atau bukan?
Pada kebiasaannya pihak institusi kewangan sama ada institusi kewangan Islam atau bukan, ada memberi kemudahan kepada pelanggannya dengan memberikan kad kredit iaitu untuk membayar atau membeli sesuatu barang dan bayarannya akan dituntut kepada pemilik kad kredit berkenaan pada bulan hadapannya atau pada penyata kewangan seterusnya.
Jawapan: Setakat yang diketahui, pembayaran bagi apa jua transaksi kewangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon mudah alih bagi talian pasca bayar (postpaid) dan begitu juga pembayaran menggunakan kad kredit adalah berasaskan perjanjian di antara pihak pelanggan dan pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau pihak pengeluar kad kredit (institusi kewangan atau bank) yang memberi jaminan untuk membayar setiap pembelian yang dibuat oleh pelanggan contohnya kepada penjual. Pelanggan kemudiannya akan menerima penyata kewangan pada bulan berikutnya bagi tuntutan pembayaran balik daripada pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau pihak pengeluar kad kredit berkenaan. Bayaran bagi keseluruhan tuntutan tersebut boleh dilakukan sekaligus atau secara ansuran.
Kaedah pembayaran sedemikian merupakan pembayaran secara bertangguh atau hutang yang diharuskan dan sah menurut syara‘. Maka dalam permasalahan pembayaran zakat jika ia dilaksanakan melalui khidmat pesanan ringkas atau kad kredit, bermakna pembayaran zakat tersebut menggunakan kaedah pembayaran secara tangguh atau hutang. Adakah kaedah pembayaran secara tangguh atau hutang ini diharuskan dalam pelaksanaan pembayaran zakat sebagaimana ia diharuskan dalam transaksi kewangan seperti jual beli dan sebagainya?
Berhutang untuk Membayar Zakat
Orang yang diwajibkan untuk membayar zakat, jika dia membayar zakatnya dengan cara berhutang bukan disebabkan dia tidak mempunyai harta atau tidak berkemampuan untuk menunaikan zakat, maka hukumnya adalah harus menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah. Perkara ini ada disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ ketika menjelaskan tentang keharusan menyerahkan pembayaran zakat melalui wakil. Beliau menjelaskan bahawa menurut al-ashhâb (ulama-ulama terkemuka mazhab asy-Syafi‘i yang terdahulu), mewakilkan pembayaran zakat kepada orang lain dengan menggunakan hartanya atau harta wakil, kedua-duanya adalah harus tanpa ada perselisihan pendapat.
Walau bagaimanapun, apabila seseorang mewakilkan kepada orang lain untuk membayarkan zakat bagi dirinya dengan menggunakan harta wakil tersebut, maka perlu diketahui bahawa niat menunaikan zakat tidak memadai dilakukan oleh orang yang berwakil semata-mata, bahkan hendaklah dilakukan oleh wakil tersebut iaitu orang yang menghutanginya.
Imam al-Malibari Rahimahullâh menyebut dalam kitab Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Al-Mutawalli dan selainnya berkata: “Niat wakil adalah menjadi kemestian apabila kefardhuan (menunaikan zakat) berlaku dengan hartanya (wakil) dengan berkata orang yang berwakil kepadanya (wakil): “Tunaikan zakatku daripada hartamu”, dengan tujuan perbuatannya (wakil) berpaling bagi pihaknya (orang yang berwakil), dan ucapannya kepadanya (wakil) itu mengandungi keizinan baginya (wakil) dalam berniat.”
Asy-Syaikh Zakaria al-Anshari Rahimahullâh juga ada menyebut dalam kitab Asnâ al- Mathâlib:
Ertinya: Al-Mutawalli dan selainnya berkata: “Dan niat wakil adalah menjadi kemestian apabila kefardhuan (menunaikan zakat) berlaku dengan hartanya (wakil) dengan berkata orang yang berwakil kepadanya (wakil): “Tunaikan zakatku daripada hartamu”, dengan tujuan perbuatannya (wakil) berpaling bagi pihaknya (orang yang berwakil) sebagaimana dalam perkara haji secara berwakil, maka tidak memadai niat orang yang berwakil.”
Berdasarkan daripada kenyataan para ulama di atas, membayar zakat menggunakan harta orang lain atau dengan kata lain berhutang adalah diharuskan dan wakil dimestikan untuk berniat mengeluarkan zakat bagi pihak orang yang berwakil. Oleh yang demikian, dalam konteks pembayaran zakat melalui khidmat pesanan ringkas dan menggunakan kad kredit adalah harus kerana kedua-duanya mempunyai konsep transaksi yang sama.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian bagi memastikan kesahan pembayaran zakat menggunakan dua kaedah ini dan ia terlaksana mengikut hukum syara‘. Antaranya:
1. Isu niat.
Niat mengeluarkan zakat hendaklah dilakukan oleh wakil yang menggunakan hartanya untuk pembayaran zakat orang yang berzakat. Niat tidak memadai dilakukan oleh orang yang berzakat kerana dia telah meminta wakilnya untuk menunaikan zakatnya dengan menggunakan harta wakilnya.
Ini bererti pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pengeluar kad kredit hendaklah berniat mengeluarkan zakat bagi pihak orang yang berzakat. Contoh lafaz niatnya: “Ini adalah zakat fitrah yang wajib pada tahun ini ke atas orang-orang yang tersebut namanya dalam senarai ini.”
2. Isu kelewatan pembayaran zakat fitrah.
Waktu pembayaran zakat fitrah terbahagi kepada lima, iaitu:
i. Waktu harus: Sejak dari awal bulan Ramadhan.
ii. Waktu sunat: Selepas sembahyang Shubuh sehingga imam mendirikan sembahyang Hari Raya.
iii. Waktu wajib: Setelah terbenam matahari akhir bulan Ramadhan.
iv. Waktu makruh: Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari Hari Raya.
v. Waktu haram: Setelah terbenam matahari Hari Raya pertama. Bahkan perbuatan ini adalah suatu dosa namun wajib dibayar juga sebagai qadha’, kerana dikeluarkan di luar waktu.
Maka melihat kepada waktu-waktu di atas adalah penting bagi pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pengeluar kad kredit memastikan supaya penyerahan pembayaran zakat fitrah kepada MUIB tidak lewat dari waktu wajib. Oleh itu, pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pengeluar kad kredit hendaklah menghadkan tempoh masa penggunaan kaedah tersebut dan memastikan bayaran zakat tersebut diserahkan kepada pihak MUIB sebelum melewati tempoh waktu wajib zakat fitrah.
Penggunaan Kad Kredit Bank Konvensional Bagi kad kredit yang dikeluarkan oleh institusi kewangan atau bank konvensional, Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Organisasi Persidangan Islam (OIC) bilangan 108 (2/12) telah mengeluarkan resolusi dan saranan mengenai bermuamalat menggunakan kad kredit adalah seperti berikut:
“Tidak harus menerbitkan kad kredit dan tidak (harus) bermuamalat dengannya apabila disyaratkan tambahan faedah riba, sekalipun pihak pemohon kad itu berazam melunaskan pembayaran dalam tempoh yang dibenarkan secara percuma.
Harus menerbitkan kad kredit jika tidak mengandungi syarat tambahan riba terhadap hutang asal.”
Kesimpulannya, tujuan kaedah pembayaran zakat melalui khidmat pesanan ringkas bagi talian pasca bayar dan menggunakan kad kredit diadakan adalah bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang ingin menunaikan zakat tanpa menggunakan wang tunai. Namun, jika penggunaan dua kaedah tersebut akan menambah lagi beban hutang seseorang itu dan mendatangkan kesukaran baginya untuk membayar balik, maka terdapat alternatif lain dalam pembayaran zakat seperti menggunakan kad debit di mana cara ini tidak menggunakan konsep berhutang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12810
