Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Pembayaran Zakat Secara Dalam Talian (Online)

Soalan: Berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini dan dalam usaha berjaga-jaga daripada penularan wabak tersebut, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah mengambil langkah menutup sementara Kaunter Kutipan dan Agihan Zakat di semua daerah.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei memohon fatwa ataupun irsyâd hukum mengenai dengan pembayaran zakat secara dalam talian (online) bagi memudahkan umat Islam di negara ini menunaikan pembayaran zakat.

Antara kaedah yang dicadangkan untuk digunakan ialah:

a. Portal - melalui web Kementerian Hal Ehwal Ugama.

b. Online Banking/Internet Banking – di mana satu platform transaksi kewangan secara online yang menghubungkan bank-bank dalam urusan pembayaran zakat ke Majlis Ugama Islam Brunei. Pembayaran akan dibuat menerusi akaun-akaun simpanan mereka, dan

c. Mobile Apps.

Jawapan: Membayar zakat adalah suatu kewajiban kerana ia salah satu rukun Islam yang lima. Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu zakat harta dan zakat fitrah. Kewajiban membayar kedua-dua jenis zakat itu adalah berdasarkan dalil-dalil dari al-Qur’an dan hadits. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat serta ruku‘lah bersama orang-orang yang ruku‘. (Surah al-Baqarah: 43)

Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Agama Islam itu dibina atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, (mengerjakan) haji dan berpuasa Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits yang lain daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia (dengan kadar) satu gantang kurma atau satu gantang gandum ke atas setiap orang yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan daripada kalangan orang-orang Islam. (Hadits riwayat Muslim)

Zakat harta diwajibkan ke atas orang Islam yang merdeka dan pemilik sempurna bagi harta zakat itu. Harta yang wajib dikeluarkan zakat itu hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu iaitu antaranya hendaklah ia cukup nishâb dan sampai haul. Namun, tidak semua jenis harta zakat itu diwajibkan sampai haul antaranya zakat ma‘din (harta galian yang terdiri daripada emas atau perak yang dikeluarkan daripada perut bumi), rikâz (harta yang terdiri daripada emas dan perak yang disorok atau ditanam di dalam perut bumi pada zaman jahiliyyah iaitu sebelum Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diutus menjadi Rasul) dan zakat tanam-tanaman.

Manakala zakat fitrah diwajibkan ke atas setiap individu yang beragama Islam, merdeka dan mempunyai lebihan harta daripada nafkah dirinya dan nafkah orang-orang yang di bawah tanggungannya pada malam dan siang hari pertama bulan Syawwal. Pembayaran zakat fitrah itu pula wajib dilakukan sama ada untuk diri individu itu sendiri atau untuk orang yang di bawah tanggungannya yang beragama Islam.

Tatacara Pembayaran Zakat

Secara umumnya zakat wajib dikeluarkan dengan segera apabila telah masuk waktu wajibnya dan ada kebolehlaksanaan menunaikannya. Dalam menunaikan zakat itu, ia memerlukan kepada dua perkara iaitu perbuatan (tindakan) dan niat sebagaimana yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Ia (zakat) itu wajib (dikeluarkan) dengan segera setelah ada kebolehlaksanaan (menunaikannya), kemudian penunaiannya itu memerlukan kepada perbuatan (tindakan membayar zakat) dan niat.

Pertama: Perbuatan membayar zakat.

Sebagaimana dijelaskan di atas, pembayaran zakat itu memerlukan perbuatan muzakki (orang yang berzakat). Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh maksud ‘perbuatan’ di sini sama ada:

i. Mengagihkannya sendiri terus kepada para penerima zakat (mustahiqq az-zakâh), atau;

ii. Menyerahkannya kepada pemerintah atau ‘âmil yang dilantiknya, atau;

iii. Mewakilkan orang lain untuk menyerahkan zakatnya kepada pemerintah atau ‘âmil ataupun menyerahkan kepada wakil untuk mengagihkannya terus kepada para penerima zakat.

Walau bagaimanapun, menyerahkan zakat kepada pemerintah atau ‘âmil adalah afdhal berbanding mengagihkannya sendiri kepada para penerima zakat atau menyerahkannya kepada wakil kerana pemerintah atau ‘âmil mampu mengagihkan zakat secara adil dan menyeluruh kepada semua ashnâf. Tambahan lagi mereka lebih mengetahui siapa yang berhak menerima zakat, mashlahat dan kadar yang diperlukan oleh para penerima zakat serta mengetahui mana-mana individu yang belum atau sudah menerima. Dengan menyerahkan zakat kepada mereka (‘âmil) dan sebaik saja mereka menerimanya, maka gugurlah kewajiban zakat itu daripada tanggungan pengeluar zakat.

Kedua: Niat dalam membayar zakat.

Dalam melakukan apa jua amal ibadat, niat adalah amat penting kerana setiap amal perbuatan yang dilakukan adalah berdasarkan niat sepertimana yang disebutkan dalam hadits masyhur daripada Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya amal perbuatan itu adalah dengan niat dan bahawasanya bagi setiap orang itu hanyalah menurut apa yang diniatkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Niat adalah qashd atau tujuan dan letaknya di dalam hati. Niat itu tidak disyaratkan untuk dilafazkan semasa membayar zakat. Ini bererti niat semata-mata tanpa disertai dengan lafaz adalah memadai dalam mengeluarkan zakat. Begitu pula sebaliknya, jika perbuatan mengeluarkan zakat dengan lafaz semata-mata tanpa diiringi dengan niat di dalam hati, maka zakatnya adalah tidak sah dan dianggap belum terlaksana. Oleh itu apabila melakukan pembayaran zakat, lafaz semata-mata adalah tidak memadai melainkan dengan disertai niat di dalam hati. Contoh niat ketika menunaikan zakat itu adalah seperti katanya (dalam hati): “Ini zakat hartaku”, “ini zakat fitrahku”, “ini zakat fitrah isteriku”, “ini zakat fitrah anakku” atau “ini zakat fitrahku dan orang-orang yang di bawah tanggunganku” dan seumpamanya.

Waktu Berniat Waktu yang dituntut untuk berniat ke atas orang yang mengeluarkan zakat itu bergantung kepada cara penyerahan atau pengagihan zakat tersebut, iaitu: 1. Penyerahan zakat dilakukan sendiri. Orang yang mengagihkan sendiri zakatnya kepada penerima zakat, waktu yang dituntut baginya berniat ialah sama ada sebelum atau ketika mengagihkan zakat tersebut. Ini bererti niat tidak mesti dilakukan semasa berlakunya pengagihan zakat kepada ashnâf yang berhak menerimanya, malah memadai jika niat itu dilakukan sebelum berlakunya pengagihan tersebut. Adapun yang dimaksudkan dengan berniat sebelum pengagihan zakat itu ialah pengeluar zakat boleh berniat semasa atau selepas menyukat beras yang akan dijadikan zakat fitrah ataupun semasa atau selepas mengasingkan wang yang akan dibayar sebagai zakat. 2. Penyerahan zakat kepada pemerintah, ‘âmil atau melalui wakil. Pengeluar zakat yang menyerahkan zakatnya kepada pemerintah, ‘âmil atau wakil pengeluar zakat, waktu yang diharuskan baginya berniat ialah: i. Ketika mengasingkan hartanya untuk dijadikan zakat, atau ii. Ketika menyerahkan zakatnya kepada wakil, pemerintah atau ‘âmil, atau iii. Setelah menyerahkan zakatnya kepada wakil, pemerintah atau ‘âmil sebelum pengagihannya kepada para penerima zakat.

Niat Wakil Wakil ialah orang yang diwakilkan untuk menyerahkan zakat sama ada kepada penerima zakat, pemerintah ataupun kepada ‘âmil. Ketika menyerahkan zakat tersebut wakil tidak wajib berniat bagi pihak pengeluar zakat kerana niat pengeluar zakat adalah memadai. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj menyebut:

Ertinya: (Dan memadai niat orang yang berwakil ketika penyerahan [zakat] kepada wakil) bagi niat wakil ketika pengagihan kepada orang-orang yang berhak (menurut pendapat yang ashah) kerana adanya niat daripada orang yang diperintahkan (mengeluarkan) zakat beriringan dengan perbuatannya sebab harta itu adalah baginya [miliknya] dan dengannya ia berbeza dengan niat haji [yang perlu dilakukan] oleh pengganti [wakil]…

Sekalipun wakil tidak perlu berniat, namun adalah afdhal jika wakil itu juga berniat ketika mengagihkan zakat tersebut.

Adapun jika orang yang berzakat itu tidak berniat, maka zakatnya tidak sah sekalipun wakilnya berniat bagi pihak dirinya, melainkan jika dia menyerahkan atau mewakilkan niat berzakat itu kepada wakilnya seumpama katanya: “Aku wakilkan engkau untuk pembayaran zakatku dan aku wakilkan engkau untuk berniat.”.

Niat Pemerintah atau ‘Âmil

Adapun pemerintah atau ‘âmil yang menerima zakat daripada pengeluar zakat adalah tidak perlu berniat ketika mengagihkan zakat kepada para penerima zakat kerana niat orang yang berzakat itu sudah memadai. Penyerahan zakat kepada pemerintah atau ‘âmil itu seolah-olah menyerahkan zakat berkenaan kepada para penerima zakat kerana kedudukan pemerintah atau ‘âmil adalah wakil bagi para penerima zakat. Berbeza dengan wakil yang disebut di atas kerana dia adalah wakil pengeluar zakat bukan wakil bagi penerima zakat. Oleh yang demikian, niat tidak dituntut ke atas pemerintah atau ‘âmil. Sekalipun begitu, adalah afdhal jika mereka juga turut berniat ketika mengagihkan zakat tersebut sekalipun orang yang berzakat telah berniat sebelumnya.

Adalah tidak sah zakat jika orang yang mengeluarkan zakat itu tidak berniat sekalipun pemerintah atau ‘âmil berniat ketika mengagihkan zakat tersebut kepada para penerima zakat menurut pendapat yang shahîh, melainkan jika mereka diberi keizinan untuk berniat oleh pengeluar zakat. Walau bagaimanapun, niat akan menjadi wajib ke atas pemerintah atau ‘âmil jika pemilik harta zakat tidak berniat ketika ia dikutip secara paksa oleh pemerintah atau ‘âmil kerana keengganan pemilik harta mengeluarkan zakatnya.

Melihat kepada penjelasan para ulama di atas, pengeluaran zakat adalah memerlukan dua perkara iaitu perbuatan dan niat. Jika kedua-dua perkara tersebut terpenuhi, maka pengeluaran zakat telah terlaksana dengan sempurna.

Zakat Dalam Talian (Online)

Setakat yang difahami, transaksi secara dalam talian itu ialah satu kaedah atau proses transaksi yang dilakukan secara digital atau elektronik dengan menggunakan cara pembayaran tanpa tunai (cashless) melalui pelbagai saluran seperti portal agensi, perbankan internet, aplikasi mudah alih (mobile apps) dan sebagainya. Transaksi cara ini secara umumnya adalah diperakukan oleh para ulama masa kini termasuk Majma‘ al-Fiqh al-Islami kerana memenuhi kehendak transaksi yang dilakukan secara konvensional (bukan dalam talian).

Maka dalam melaksanakan pembayaran zakat secara dalam talian, perbuatan membayar zakat adalah dianggap terlaksana apabila pengeluar zakat menekan butang yang disediakan sama ada melalui komputer, telefon pintar atau seumpamanya sebagai tanda persetujuannya untuk menyerahkan sejumlah wang sebagai zakat yang akan ditolak daripada akaun miliknya dan dipindahkan atau didebitkan ke dalam akaun MUIB sama ada melalui portal laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama, perbankan dalam talian (online banking) atau aplikasi mudah alih. Namun transaksi tersebut hendaklah disertai dengan niat oleh pengeluar zakat dan waktu berniat itu boleh dilakukan semasa menentukan kadar bayaran zakat iaitu ketika mengisikan butiran bayaran yang disediakan dalam talian.

Pembayaran zakat dalam talian sebagaimana di atas adalah harus dan sah kerana ia memenuhi tatacara yang ditetapkan oleh syara‘ dalam pembayaran zakat sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Pengeluaran zakat dengan menggunakan kaedah pembayaran dalam talian telah pun dilaksanakan dan dipraktikkan di beberapa negara Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Malaysia. Ia dianggap sebagai salah satu alternatif sistem pembayaran yang sangat efisien kerana memberi banyak manfaat dan kelebihan kepada orang yang ingin membuat pembayaran zakat. Antaranya ia memudahkan urusan pembayaran zakat dan menjimatkan masa kerana pembayaran zakat boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa terbatas dengan waktu yang tertentu. Malah dengan sistem pembayaran dalam talian ini, ia dapat menarik minat dan menyuntik kesedaran orang ramai akan kewajiban membayar zakat. Ini sekaligus akan merancakkan aktiviti pengeluaran zakat dan meningkatkan bilangan orang yang berzakat. Perkara ini juga menepati keperluan semasa.

Walau bagaimanapun, pihak MUIB hendaklah menyediakan garis panduan kepada pengguna mengenai tatacara yang betul dalam membuat pembayaran zakat dalam talian dan maklumat mengenai zakat termasuk isu-isu yang berbangkit mengenainya seperti pemindahan zakat harta atau zakat fitrah dan proses kelambatan pemindahan wang antara akaun dan seumpamanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12814