Pendapat Mengenai Sebuah Hadits Tentang Tembakau
Soalan: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud: “Kelak akan datang kaum-kaum di akhir zaman, mereka suka menyedut asap tembakau dan mereka berkata: “Kami adalah umat Muhammad padahal mereka bukan umatku dan aku juga tidak menganggap mereka sebagai umatku bahkan mereka adalah orang yang celaka.”
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu yang mendengar sabda tersebut bertanya: “Bagaimana sejarah tembakau itu tumbuh wahai Rasulullah?”
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya setelah Allah Ta‘ala menciptakan Adam dan memerintahkan para malaikat untuk sujud (tanda penghormatan) kepada Adam, seluruh malaikat kemudian sujud kepadanya kecuali iblis. Dia enggan, sombong dan termasuk orang-orang yang kafir. Allah Ta‘ala bertanya kepada iblis: “Wahai iblis apa yang menyebabkan kamu tidak mahu sujud ketika Aku memerintahkanmu?” Iblis berkata: “Aku lebih baik darinya, aku tercipta daripada api sedangkan dia daripada tanah.” Allah Ta‘ala berfirman: “Keluarlah engkau dari syurga sesungguhnya engkau terkutuk dan engkau dilaknat hingga akhir. Iblis keluar dalam ketakutan hingga terkencing-kencing. Daripada titisan kencing iblis itulah tumbuh sejenis tumbuhan yang dinamakan pokok tembakau.”
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda lagi: “Allah memasukkan mereka ke dalam neraka dan sesungguhnya tembakau adalah tanaman yang keji.”
Apakah pendapat Pehin Mufti mengenai hadits di atas dan dipohonkan pencerahan mengenainya?
Jawapan: Kita telah pun mengeluarkan fatwa mengenai rokok dan merokok pada tahun 2003 dan fatwa tersebut telah pun juga diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan dalam bentuk naskhah buku pada tahun 2004 dengan tajuk Rokok dan Merokok. Dalam fatwa tersebut kita menghuraikan sandaran-sandaran dalil atau hujjah serta pendapat para ulama mengenainya.
Adapun persoalan mengenai hadits di atas yang menyebut tentang pokok tembakau adalah berasal daripada titisan kencing iblis dan ia merupakan tanaman yang keji, setakat ini kita tidak menemui sumber hadits tersebut dalam mana-mana kitab hadits yang mu‘tabar. Oleh kerana itu, dalam fatwa mengenai Rokok dan Merokok, kita tidak ada menyebut hadits tersebut sebagai dalil atau hujjah dalam penetapan hukum pengharaman rokok dan merokok menurut syara‘.
As-Sayyid Ba ‘Alawi Rahimahullâh dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidîn juga ada menjelaskan tentang hadits mahupun atsar mengenai tembakau seperti berikut:
Ertinya: Tidak ada satu hadits pun yang datang daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenai tembakau dan tidak ada satu atsar pun daripada mana-mana orang di kalangan ulama salaf. Dan setiap apa yang diriwayatkan mengenainya (tembakau) daripada itu (hadits mahupun atsar) tidak ada asal (sumber) baginya bahkan (ia adalah sesuatu yang) didustakan kerana terjadinya selepas seribu tahun.
Dalam kitab Hukm at-Tadkhîn wa Ta‘athi al-Mufattirât wa al-Mukhaddirât ada menyebut Imam ‘Ali al-Ajhuri Rahimahullâh pernah disoal mengenai dengan keshahîhan beberapa hadits tentang tembakau dan ini termasuklah juga hadits tentang pokok tembakau yang berasal daripada titisan kencing iblis itu. Beliau menjawab bahawa dakwaan mengenai hadits-hadits tembakau itu adalah hadits yang wârid merupakan sesuatu yang dusta dan direka-reka.
Oleh yang demikian, apabila kita tidak mengetahui asal-usul sesebuah hadits dengan jelas seperti hadits di atas, maka jauhkanlah diri daripada mengamalkan dan menyebarkan hadits tersebut sebagai langkah selamat dan berhati-hati supaya tidak terjerumus kepada pengamalan dan penyebaran hadits maudhû‘ (palsu) yang diharamkan dalam syariat Islam. Dalam hal ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sangat melarang umatnya melakukan sebarang pendustaan terhadapnya berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada al-Mughirah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain, sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja, maka dia menempah tempatnya dalam neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12818
