Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Penggunaan Sejadah Bercorak Ka‘bah atau Masjid Ketika Sembahyang

Soalan: Bahagian Penapisan Dan Pameran, Pusat Da‘wah Islamiah telah menerima satu video viral mengenai “Hukum Solat Di atas Sejadah Bergambar Ka‘bah”. Persoalannya, bolehkah menggunakan sejadah bercorak Ka‘bah dan lain-lain masjid ketika sembahyang?

Jawapan: Sejadah ialah tikar sembahyang. Selain menjadi alas bagi orang yang sembahyang, sejadah juga boleh berperanan sebagai sutrah iaitu penanda atau pembatas tempat orang sembahyang.

Penggunaan sejadah tidak menjadi syarat bagi kesempurnaan sembahyang. Sembahyang boleh dilakukan di atas tanah tanpa sejadah asalkan tempat itu suci tidak bernajis kerana antara syarat-syarat sah sembahyang itu ialah suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang.

Menggunakan alas atau hamparan di atas tempat sujud seperti kain, tikar atau sejadah hukumnya adalah harus. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga sembahyang dengan beralaskan tikar. Menurut hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau pernah masuk untuk menemui Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan mendapati Baginda sembahyang di atas tikar, sebagaimana kata beliau:

Maksudnya: Maka aku melihat Baginda (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) sedang mendirikan sembahyang di atas tikar yang Baginda sujud di atasnya. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits tersebut, menurut jumhûr ulama bahawa harus hukumnya sembahyang di atas sesuatu yang dihamparkan di atas tanah (bumi) seperti pakaian, tikar, bulu atau sembahyang di atas sesuatu yang tumbuh dari bumi atau bukan.

Hukum Sembahyang Menggunakan Sejadah Bergambar

Dalam sebuah hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau menyatakan bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada suatu ketika bersembahyang dengan memakai “ليصَةا َِلحَم” (baju empat segi yang ada corak). Ketika Baginda sembahyang, Baginda telah memandang kepada corak pada baju tersebut, maka setelah selesai sembahyang, Baginda pun bersabda:

Maksudnya: Kamu pergilah dengan al-khamîshah ini kepada Abu Jahm bin Hudzaifah (sahabat yang menghadiahkan Baginda al-khamîshah) dan (sebagai ganti) kamu bawakan kepadaku anbijâniyyah (baju yang tidak ada corak), kerana sesungguhnya al-khamîshah itu telah melalaikanku sebentar tadi dalam sembahyangku. (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi ketika menjelaskan hadits di atas berkata:

Ertinya: Maka (terkandung) dalamnya (hadits tersebut) galakan supaya menghadirkan hati (khusyû‘) dalam sembahyang dan mentadabbur apa yang telah kami sebutkan (zikir-zikir, bacaan-bacaan dan sebagainya), menghalang pandangan daripada berterusan menatap kepada apa yang boleh menyibukkan (hati), membuang apa yang dibimbangi boleh menyibukkan hati, (hukum) makruh menghiasi dan mengukir mihrâb masjid, dindingnya dan sebagainya daripada (apa-apa) yang menyibukkan (hati orang yang sembahyang) kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjadikan ‘illah (sebab) pada menyingkirkan “al-khamîshah” kerana makna (tujuan) ini. Dalam (hadits) ini juga (menunjukkan hukum) bahawa sembahyang (tetap) sah walaupun fikiran dalam keadaan sibuk dan seumpamanya daripada apa yang tidak ada kaitan dengan sembahyang. Dan ini adalah dengan ijmâ‘ para ulama fiqh.

Manakala Imam al-Baghawi Rahimahullâh dalam kitab Syarh as-Sunnah ketika menjelaskan maksud hadits di atas, beliau berkata:

Ertinya: Padanya (hadits tersebut) dalil tentang makruh mengukir tempat-tempat sembahyang, dan makruh sembahyang di atas tempat sembahyang yang diukir, dan padanya (hadits tersebut) juga (menunjukkan) bahawa siapa yang menatap tulisan atau corak yang dilukis ketika dia sembahyang, tidak rosak (tidak batal) sembahyangnya. Dan yang demikian itu, sesungguhnya (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) tidak disibukkan oleh corak pada “al-khamîshah” dari sembahyangnya sehinggalah Baginda menelitinya dengan memandang kepadanya, dan padanya (hadits tersebut) juga (menunjukkan) bahawa memikirkan pada sesuatu adalah tidak membatalkan sembahyang.

Menurut al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula dalam kitabnya al-Majmû‘ Syarh al- Muhadzdzab, beliau mengatakan:

Ertinya: Adapun baju yang ada padanya lukisan-lukisan atau tanda salib atau apa saja yang melalaikan (perhatian dalam sembahyang), maka dihukumkan makruh sembahyang padanya (dengan memakai baju tersebut), (sembahyang dengan menghadap) kepadanya dan (sembahyang) di atasnya.

Manakala Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Mu‘în berkata:

Ertinya: Dan oleh kerana itu dihukumkan makruh juga (sembahyang) pada sesuatu yang ada corak atau (sembahyang dengan menghadap) kepadanya atau (sembahyang) di atasnya (sebagai alas) kerana ia boleh mengganggu kekhusyû‘an.

As-Sayyid Muhammad al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn ketika mensyarah perkataan Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh di atas menjelaskan bahawa maksud perkataan “ َُّمَُ ِفلٍ طَطأحوَ إللحيلَهأحَوَ علحيله ” ialah memakai baju yang bercorak iaitu sama ada terdapat padanya gambar-gambar atau sebagainya, atau di hadapannya benda yang bercorak atau sembahyang di atasnya seperti sejadah.

Maka berdasarkan penjelasan di atas, makruh sembahyang di atas sejadah yang bercorak kerana boleh mengganggu kekhusyû‘an sembahyang, namun sembahyang menggunakan sejadah tersebut tetap sah.

Sejadah Bergambar Ka‘bah atau Masjid

Berdasarkan penjelasan ulama yang telah disebutkan, hukum sembahyang menggunakan sejadah yang ada padanya gambar Ka‘bah atau masjid adalah makruh kerana ia boleh mengganggu tumpuan perhatian orang yang sembahyang sehingga menjejaskan kekhusyû‘an. Tetapi hukum sembahyang di atas sejadah tersebut adalah tetap sah. Walau bagaimanapun, dalam menjaga kesempurnaan sembahyang, adalah lebih baik sembahyang dengan menggunakan sejadah yang tidak bercorak atau bergambar untuk mengelakkan gangguan dalam kekhusyû‘an sembahyang.

Adapun sejadah yang ada padanya gambar Ka‘bah atau masjid, perlu diingat bahawa Ka‘bah dan masjid adalah antara syi‘âr agama Islam yang wajib dimuliakan. Menurut adat kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat kita terhadap sejadah yang ada gambar Ka‘bah atau masjid, apabila kita menjadikannya alas untuk sembahyang bererti kita adalah memuliakannya bukan menghinanya. Maka tidak berbangkit penghinaan terhadap Ka‘bah atau masjid pada sejadah yang ada padanya gambar Ka‘bah atau masjid sebagaimana kenyataan yang tular di media sosial ketika kita menggunakannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12822