Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Penghantaran Jemaah Haji Bagi Tahun 1441/2020 Dalam Situasi Pandemik Wabak COVID-19

Soalan: Dengan hormatnya Majlis Ugama Islam Brunei sukacita memohon fatwa atau irsyâd mengenai dengan kedudukan dari segi hukum syara‘ berhubung penghantaran bakal-bakal jemaah haji negara ini untuk menunaikan ibadat haji pada tahun 1441H/2020M dalam situasi dunia masih lagi menghadapi penularan wabak COVID-19 ini.

Jawapan: Pelaksanaan ibadat haji hanya wajib dilakukan apabila syarat-syarat wajib haji telah dipenuhi dengan sempurna. Salah satu syarat yang disebutkan dalam syarat-syarat wajib haji itu ialah istithâ‘ah iaitu berkuasa atau berkemampuan untuk menunaikan ibadat haji ke Makkah al- Mukarramah sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. (Surah Âli ‘Imran: 97)

Menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah dalam kitab-kitab masyhûr mereka seperti al-Majmû‘, Mughnî al-Muhtâj, Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj dan Hâsyiyah ‘alâ Syarh al-Îdhâh, seseorang itu hanya dikira berkuasa atau berkemampuan untuk melaksanakan ibadat haji dengan dirinya sendiri (istithâ‘ah mubâsyarah bi nafsih) apabila dia telah memenuhi syarat-syarat istithâ‘ah mubâsyarah bi nafsih. Antara syarat istithâ‘ah mubâsyarah bi nafsih itu ialah menghendaki perjalanan pergi dan balik daripada Makkah al-Mukarramah dalam keadaan aman dan selamat daripada sebarang ancaman bahaya pada nyawa atau anggota badan, harta dan kehormatan. Syarat aman dan selamat ini bukan hanya ke atas dirinya sahaja bahkan juga ke atas orang-orang yang pergi menunaikan ibadat haji bersamanya seperti isteri dan anak-anaknya. Jika perjalanan tersebut terdedah kepada ancaman bahaya dan tidak ada jalan lain kecuali jalan tersebut, maka tidak wajib ke atasnya melaksanakan ibadat haji kerana wujudnya bahaya yang boleh mengancam dirinya dan orang yang bersamanya.

Menurut al-‘Allâmah Abu Bakar ‘Utsman bin Muhammad Syatha ad-Dimyathi Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn, aman yang dimaksudkan di sini ialah keamanan yang selayaknya ada dalam pelayaran sekalipun keamanan itu hanya secara sangkaan sahaja. Namun jika pelayaran itu menimbulkan rasa takut atau bimbang terhadap keselamatan nyawa atau hartanya kerana ada ancaman (seperti) binatang buas, penyamun yang ingin menyamun hartanya walaupun sedikit atau sebagainya, maka dia tidak diwajibkan menunaikan ibadat haji dan umrah, kerana tidak memenuhi syarat istithâ‘ah.

Dalam kitab al-Iqnâ‘, Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Maka jika dia merasa takut dalam perjalanannya terhadap (keselamatan) dirinya atau anggotanya atau nyawa orang yang dihormati yang ikut bersamanya atau anggotanya, atau hartanya sekalipun sedikit (ancaman bahaya itu dari) binatang buas, musuh atau penyamun dan tidak ada jalan baginya melainkan hanya jalan tersebut, tidak wajib nusuk (haji) ke atasnya kerana akan mendapat mudharat.

Dr. Muhammad az-Zuhaili Hafizhahullâh, dalam kitab al-Mu‘tamad, berkata:

Ertinya: Jika seorang muslim itu merasa takut walaupun hanya dengan sangkaan sahaja ke atas dirinya atau satu anggota daripada anggota-anggotanya atau hartanya (akan ancaman) musuh atau binatang buas atau jalan yang (dilaluinya) merbahaya kerana ada (ancaman) perompak jalanan atau peperangan umpamanya atau berlaku kekacauan secara umum, maka tidak wajib (ke atasnya) melaksanakan haji dan tidak (juga) umrah kerana akan mendapat mudharat dan berlaku kebinasaan.

Berdasarkan nash-nash para ulama di atas, jika seseorang itu berasa takut atau bimbang untuk melaksanakan ibadat haji dalam perjalanannya ke Baitullah, maka dalam keadaan seperti ini, tidak atau belumlah sempurna syarat-syarat wajib haji ke atasnya kerana tidak ada istithâ‘ah. Oleh itu, dia tidak atau belumlah wajib melaksanakan ibadat haji.

Pada masa ini, penularan pandemik wabak COVID-19 masih saja menjadi ancaman kepada seluruh dunia. Menurut laporan Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat awal bulan Jun, wabak ini telah mengakibatkan kematian hampir empat ratus ribu jiwa dan menjangkiti lebih enam juta orang di seluruh dunia. Dikatakan juga, penyebaran virus ini belum akan terhenti sepenuhnya dalam waktu yang terdekat jika negara-negara terbabit tidak berusaha untuk mengekang penularannya secara giat dan bersungguh-sungguh. Malahan angka kematian dan jangkitan tersebut dijangka boleh meningkat jika kewaspadaan terhadapnya tidak diberi perhatian dengan baik dan teratur.

Penularan wabak ini telah melibatkan banyak negara termasuk Arab Saudi. Menurut laporan pelbagai saluran media, Arab Saudi juga berusaha untuk mengekang atau memutus rantaian penularan wabak COVID-19 daripada terus menjangkiti dan mendatangkan mudharat kepada penduduknya. Antaranya, dengan melaksanakan perintah berkurung, penggantungan ibadat umrah dan penutupan masjid-masjid di tanah haram seperti Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi. Situasi-situasi tersebut menggambarkan bahawa negara-negara di seluruh dunia sedang berdepan dengan virus wabak yang sangat menakutkan dan memudharatkan ini.

Sekiranya Kerajaan Arab Saudi membenarkan kemasukan jemaah haji pada tahun ini, maka hukum melaksanakan ibadat haji adalah tertakluk kepada syarat-syarat istithâ‘ah yang dijelaskan di atas. Jika ada jemaah haji yang telah dijadualkan untuk melaksanakan ibadat haji pada tahun ini merasa takut untuk pergi melaksanakan ibadat haji kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya disebabkan penularan pandemik wabak tersebut, maka dia dikira tidak memenuhi salah satu syarat-syarat istithâ‘ah mubâsyarah bi nafsih. Oleh itu, dia tidaklah wajib melaksanakan ibadat haji pada tahun ini. Manakala bagi mereka yang tidak takut atas keselamatan dirinya walaupun dalam situasi penularan wabak tersebut, maka dia masih saja tetap tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa yang berkewajiban mengawal dan mentadbir hal ehwal rakyat, berdasarkan mashlahat atau kebajikan mereka, seperti terungkap dalam kaedah fiqh:

Ertinya: Tindakan (yang diambil oleh) imam atau pemerintah ke atas rakyat (hendaklah) didasari dengan mashlahat.

Jika pihak berkuasa atau kerajaan berpendapat pemergian jemaah haji pada musim haji tahun ini dianggap tidak selamat dan tertegah, maka tegahan tersebut wajiblah dipatuhi dengan mengambil kira ayat al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)

Mashlahat yang dimaksudkan dalam kaedah di atas yang berkaitan dengan situasi sekarang ialah mencegah dan membendung daripada jangkitan wabak COVID-19 ke atas rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam secara umumnya. Mashlahat ini juga membawa erti mengambil kira maqâshid syari‘ah yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta daripada terjejas oleh jangkitan virus COVID-19. Ini turut bertepatan juga dengan perintah Allah Ta‘ala dalam al-Qur’an yang tersebut di atas.

Dari penjelasan di atas, maka adalah menepati kehendak syara‘ untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi tahun ini, berdasarkan berat sangkaan keadaan tidak selamat daripada penularan pandemik COVID-19 yang masih berleluasa sehingga kini, tidak dapat diketahui atau dijangka bilakah ia akan berakhir.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12826