Pengurusan Wang Tidak Patuh Syara‘
Soalan: Saya bekerja di salah sebuah bank Islam di negara ini dan ingin mengetahui hukum mengenai perkara-perkara berikut:
1. Dapatkah dana hasil daripada perniagaan yang tidak patuh syara‘ digunakan untuk membiayai penyediaan satu pusat bagi memperkasa golongan yang tidak berkemampuan (underprivileged).
2. Bolehkah pihak bank membubuh nama bank berkenaan di pusat tersebut atas tujuan pengenalan dan pemberigaan bahawa pusat berkenaan ditadbir oleh sebuah bank Islam.
Adapun tujuan pusat ini ditubuhkan adalah berdasarkan mashlahat umum yang memfokus kepada penuntut-penuntut serta ibu-ibu yang di dalam ta‘rîf yang tidak berkemampuan.
Secara terperinci, pusat ini ditubuhkan adalah bagi:
a) Menyediakan tempat belajar, tuition serta untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan prestasi pelajar-pelajar yang terdiri daripada ashnâf fakir miskin yang Islam dan juga golongan fakir miskin yang bukan beragama Islam.
b) Menyediakan tempat latihan dari segi kelas bimbingan dan juga kelas praktikal bagi memperkasa keupayaan ibu-ibu yang beragama Islam yang tidak berkemampuan menjadi usahawan yang mampu mengeluarkan diri serta keluarganya daripada kepompong kefakiran dan kemiskinan.
Jawapan: Islam telah menetapkan bahawa harta yang dimiliki oleh orang Islam itu mestilah diperolehi dengan cara yang dibenarkan oleh syara‘. Apabila harta tersebut diperolehi dengan cara yang dibenarkan oleh syara‘ seperti hasil daripada transaksi jual beli yang sah dan pendapatan daripada pekerjaan yang halal di sisi syara‘, maka ia adalah harta yang sah dimiliki oleh orang yang memperolehinya.
Jika harta tersebut diperolehi dengan cara yang bertentangan dengan syara‘, maka ia dipanggil sebagai harta haram. Harta haram menurut syara‘ itu ialah seperti wang yang diperolehi daripada transaksi riba, rasuah, perjudian, rompakan dan penipuan. Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulûm ad-Dîn ada menjelaskan bahawa sesuatu yang semata-mata haram itu ialah yang ada padanya sifat yang menjadikannya haram tanpa keraguan seperti sifat memabukkan pada arak atau keharamannya disebabkan oleh larangan syara‘ terhadapnya seperti perolehan harta dengan cara kezaliman, riba dan seumpamanya.
Adapun dana hasil daripada perniagaan yang tidak patuh syara‘ dalam konteks perniagaan bank Islam ialah harta yang diperolehi daripada transaksi atau muamalat yang bertentangan dengan prinsip-prinsip kewangan Islam. Menurut syara‘, dana yang seperti ini adalah harta yang haram dimiliki oleh pihak yang memperolehinya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang bathil (seperti makan hasil riba, merampas, menipu dan berjudi), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu. (Surah an-Nisa’: 29)
Menurut Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh, ayat di atas menerangkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang orang-orang yang beriman daripada memakan harta sesama mereka secara bâthil iaitu dengan cara-cara perolehan yang tidak patuh syara‘ seperti riba dan judi melainkan cara perolehan harta tersebut melalui perniagaan yang patuh syara‘ yang dilakukan secara sukarela di antara kedua-dua belah pihak seperti di antara penjual dan pembeli.
Dalam kitab Buhûts wa Fatâwâ Islâmiyyah fî Qadhâya Mu‘âshirah, Syaikh Jad al-Haqq ‘Ali Jad al-Haqq Rahimahullâh, mantan Mufti dan Syaikh al-Azhar, telah menyebut tentang permasalahan wang riba dengan menjelaskan bahawa wang riba adalah haram menurut syara‘ dan orang Islam yang memperolehinya tidak boleh memilikinya dan haram juga memanfaatkannya untuk dirinya sendiri.
Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi Hafizhahullâh pula dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Mu‘âshirah menjelaskan bahawa seseorang itu tidak boleh mengambil manfaat daripada harta haram yang diperolehinya untuk kegunaan dirinya atau ahli keluarganya.
Berdasarkan penerangan di atas, apabila seseorang itu memperolehi harta yang tidak patuh syara‘ atau harta haram, dia dan ahli keluarganya adalah dilarang untuk memakan atau mengambil manfaat daripada harta haram yang diperolehinya itu. Larangan memakan harta haram telah jelas disebut dalam ayat al-Qur’an di atas manakala kesan memakan harta haram pula banyak disebut dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Dalam sebuah hadits daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang tumbuh dagingnya daripada benda yang haram, maka api neraka lebih utama untuknya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Hadits di atas menunjukkan bahawa di akhirat kelak, api neraka adalah antara balasan pedih yang akan diterima oleh orang yang memakan harta haram. Selain itu, memakan harta haram juga boleh menyebabkan do‘a-do‘a yang dipohonkan tidak dikabulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perkara ini ada disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik, Allah tidak menerima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah berfirman: (Tafsirnya:) Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada yang baik-baik (lagi halal) dan kerjakanlah amalan salih, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mu’minûn: 51). Dan Allah berfirman (lagi): (Tafsirnya:) Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik-baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar kamu hanya beribadat kepadaNya. (Surah al-Baqarah: 172). Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyebut tentang seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya menadah tangan ke langit (berdo‘a). Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan (do‘anya) sedemikian itu? (Hadits riwayat Muslim)
Pelupusan Harta Haram
Apabila orang Islam memperolehi harta haram sama ada hasil daripada transaksi riba atau seumpamanya, maka dia hendaklah melupuskan harta haram tersebut mengikut kaedah atau cara yang telah ditetapkan oleh syara‘.
Dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab, Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menjelaskan berkenaan dengan kaedah pelupusan harta haram dengan menukilkan pandangan Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitab Ihya’ ‘Ulûm ad-Dîn:
Ertinya: Al-Ghazali berkata jika ada bersamanya (seseorang) harta haram dan (dia) mahu bertaubat serta melepaskan diri (tanggungan) daripadanya (harta haram tersebut), jika harta tersebut ada pemilik tertentu, (maka) wajib menyerahkannya (harta tersebut) kepadanya atau kepada wakilnya. Jika (pemilik tersebut) telah meninggal dunia, (maka) wajib menyerahkannya (harta tersebut) kepada ahli warisnya. Jika dia tidak mengetahui pemilik harta tersebut dan dia putus asa untuk mengetahuinya, maka (harta tersebut) hendaklah dia menyalurkannya untuk tujuan mashlahat umum orang-orang Islam seperti pembinaan jambatan-jambatan, rumah-rumah persinggahan yang dibina untuk musafir atau miskin, masjid-masjid, mashlahat-mashlahat jalan ke Makkah dan seumpamanya yang dikongsi sama (manfaatnya) sesama orang-orang Islam padanya, dan jika tidak (disalurkan untuk tujuan mashlahat umum), maka dia sedekahkan (harta tersebut) kepada seorang fakir atau orang-orang fakir.
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dalam fatwa beliau bertajuk ‘Baitul-Mal dan Interest’ ada menerangkan tentang cara pengurusan wang haram dengan menyebut:
“Wang bunga yang telah hilang dan luput daripada tuannya dan tiada dapat dikembalikan kepada tuannya itu pada adat adalah hukum bunga itu menjadi harta Baitul-Mal dan dibelanjakan pada muslihat dan kebaikan dan faedah dan bantuan pada menegakkan agama Islam dan pada menguatkan kedudukan dan kehidupan umat Islam sama ada dalam pertanian, dalam perniagaan, dalam perkilangan, dalam perusahaan, dalam pelaburan, dalam pelajaran dalam membasmi kemiskinan dan kepapaan yang biasa banyak didapati di kalangan umat manusia dan umat Islam, menyelanggarakan anak-anak yatim yang miskin, dan orang-orang Islam yang belayar yang tiada belanja dan lain-lain perkara bagaimana yang disebutkan oleh kitab-kitab fiqh.”
Perkara penyaluran wang tidak patuh syara‘ juga ada dibincangkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (ُممع الفقه السَلمي الدول ) yang bernaung di bawah Persidangan Pertubuhan Negara- Negara Islam (OIC), dalam persidangannya yang ke-3 di Amman, Jordan pada 8-13 Safar 1407H bersamaan 11-16hb. Oktober, 1986M. Dalam persidangan itu, resolusi mengenai dengan pengendalian wang faedah simpanan-simpanan yang terpaksa disimpan oleh Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank) di bank-bank luar negara telah pun dikeluarkan. Antara perkara yang disebut dalam resolusi tersebut menggariskan supaya wang faedah yang diperoleh itu wajib disalurkan bagi tujuan manfaat umum seperti pengendalian latihan (training), penyelidikan, membantu badan-badan kebajikan, memberikan bantuan kewangan dan teknikal kepada negara-negara ahli. Di samping itu, wang faedah tersebut juga boleh disalurkan kepada yayasan-yayasan ilmiah, institut-institut, sekolah-sekolah dan dalam apa-apa jua perkara yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan Islam.
Menurut Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi Hafizhahullâh dalam kitabnya al-Fatâwâ al- Mu‘âshirah, antara cara yang dibenarkan syara‘ untuk pelupusan harta haram itu ialah dengan menyalurkannya kepada perkara kebaikan dan kebajikan seperti diberikan kepada orang fakir dan miskin, membantu anak-anak yatim, membantu dalam perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebaikan dan kebajikan.
Berdasarkan pendapat para ulama di atas, dapat dirumuskan bahawa jika harta haram yang diperolehi itu diketahui pemiliknya, maka harta itu wajib dipulangkan kepadanya. Namun jika pemiliknya tidak diketahui, maka harta itu hendaklah disalurkan untuk mashlahat umum orang-orang Islam atau disedekahkan kepada orang fakir dan miskin.
Menurut Imam Ibnu ‘Asyur Rahimahullâh dalam kitabnya Maqâshid asy-Syarî‘ah al- Islâmiyyah, mashlahat umum bermaksud apa jua perkara yang memberi kebaikan kepada masyarakat umum atau kebanyakan orang tanpa mengambil kira kepada keadaan individu-individu itu tetapi mereka itu dilihat sebagai sebahagian daripada kumpulan masyarakat tersebut. Contoh mashlahat umum itu ialah seperti memelihara al-mutamawwilât (harta benda yang ada nilai ekonomi) daripada musnah seperti terbakar dan tenggelam (banjir) kerana mengekalkan pemeliharan ke atas harta benda tersebut akan memberi manfaat dan mashlahat kepada orang yang ingin menggunakannya. Jika harta benda tersebut terbakar atau tenggelam, maka manfaat atau mashlahat untuk orang ramai untuk menggunakannya akan hilang.
Membangun Pusat Memperkasa Golongan yang Tidak Berkemampuan
Berdasarkan penjelasan mengenai dengan mashlahat umum di atas, maka tindakan bank Islam menyalurkan dana yang tidak patuh syara‘ untuk membangun sebuah pusat bagi memperkasa golongan yang tidak berkemampuan sebagai tempat belajar, tempat latihan, kelas bimbingan dan kelas praktikal dengan tujuan mengeluarkan mereka dari kepompong kefakiran dan kemiskinan adalah termasuk dalam kategori mashlahat umum.
Jika pembelajaran di pusat tersebut juga turut diikuti oleh golongan fakir dan miskin yang bukan beragama Islam, maka mereka itu tidaklah dilarang untuk mendapatkan manfaat daripada kemudahan-kemudahan yang khusus disediakan untuk orang-orang Islam melalui pembiayaan tersebut. Perkara ini dapat difahami daripada perkataan Imam al-Khathib asy- Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj bahawa kafir dzimmi boleh mendapat manfaat jambatan-jambatan dan rumah-rumah persinggahan yang dibiayai melalui harta Baitul-Mal disebabkan mereka itu secara kebetulan menetap di negara Islam. Keharusan orang bukan Islam untuk mendapat manfaat kemudahan-kemudahan tersebut bukanlah kerana mereka mempunyai hak yang khusus terhadap kemudahan-kemudahan yang disediakan itu tetapi hanya disebabkan mereka menetap di negara Islam tersebut.
Mengenai keinginan pihak bank Islam untuk membubuh namanya pada pusat yang hendak dibangunkan itu bagi tujuan pengenalan dan pemberigaan bahawa pusat berkenaan ditadbir oleh bank berkenaan, perkara ini adalah dilarang oleh syara‘, kerana orang yang memperoleh harta haram tidak boleh mengambil sebarang manfaat daripada harta haram tersebut sama ada untuk kepentingan dirinya ataupun ahli keluarganya. Maka tindakan bank Islam untuk membubuh namanya pada pusat tersebut bererti bank Islam mahu mengambil manfaat akan mendapat ‘nama baik’ dengan namanya tertera pada bangunan pusat tersebut. Dengan terteranya nama bank di bangunan tersebut, orang ramai akan beranggapan bahawa bank itulah yang telah membiayai pembinaan pusat tersebut.
Walau bagaimanapun, tidaklah ada halangan menurut syara‘ jika pusat ini diurus dan ditadbir oleh pihak bank Islam supaya pengurusannya berjalan dengan baik dan berkesan sebagaimana tujuan pusat ini dibangunkan dengan syarat pihak bank Islam tidak akan mengambil sebarang manfaat daripadanya, termasuk manfaat mendapat ‘nama baik’.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12830
