Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Permohonan Pindah Milik Tanah yang Bersyaratkan Waris

Soalan: Satu permohonan pindah milik tanah telah pun diterima bagi tanah EDR 63835 Lot 75539, Kampong Orang Kaya Besar Imas, Mukim Berakas. Seperti lazimnya, syarat khas tanah yang lazim dikenakan kepada tanah-tanah dan Skim Rancangan Perumahan Negara, Skim Tanah- Tanah Kurnia dan Skim Pertama Perpindahan seperti di Kampung Pancha Delima, Kampung Pengiran Siraja Muda, Kampung Anggerek Desa dan Kampung Orang Kaya Besar Imas ialah ‘Pertimbangan Pindah Milik Dalam Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Hanya Dibolehkan kepada Salah Seorang Waris Sahaja Mengikut Undang-Undang Dan Peraturan’.

Pemindah milik tanah pada masa ini tinggal di sebuah rumah yang diwarisi daripada ayah beliau di Rancangan Perumahan Negara, Kampung Lambak. Beliau tidak ada memiliki tanah lain selain daripada tanah ini. Beliau mempunyai isteri dan dua orang anak yang juga didapati tidak ada memiliki tanah lain.

Pemindah milik tanah telah pun memohon untuk memindah milik tanah EDR 63835 Lot 75539 kepada adik angkat beliau sebagai pemberian. Permohonan ini telah pun diteliti di Kementerian Pembangunan berpandukan kepada garispanduan hal ehwal pindah milik tanah yang digunapakai dan mendapati yang permohonan ini tidak dapat dipertimbangkan untuk disokong oleh kerana tanah yang hendak dipindah milik ini bersyaratkan ‘Pertimbangan Pindah Milik Dalam Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Hanya Dibolehkan Kepada Salah Seorang Waris Sahaja Mengikut Undang-Undang Dan Peraturan’. Ini juga mengambil kira yang pemindah milik tanah mempunyai isteri dan anak-anak iaitu selaku waris terdekat yang lebih berhak untuk memiliki tanah ini, manakala bakal penerima milik tanah didapati adalah bukan waris terdekat sepertimana yang disyaratkan.

Dalam hubungan itu, dipohonkan nasihat dan fatwa Pehin Mufti dalam meneliti permohonan sedemikian.

Jawapan: Tanah merupakan aset negara yang terhad dan terbatas. Semakin bertambahnya penduduk, maka keluasan tanah akan berkurangan, kerana tanah digunakan untuk menjadi tapak bagi pembinaan tempat tinggal, tempat perniagaan, perusahaan, pusat pentadbiran, pusat kemasyarakatan, sekolah, universiti, rumah sakit, jalan raya dan sebagainya.

Oleh yang demikian, sebagaimana juga negara lain, Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Tanah telah menggubal beberapa undang-undang dan peraturan bagi mengawal dan mengurus penggunaan tanah di negara ini yang semuanya adalah bagi kepentingan negara dan penduduk negara ini.

Sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam seharusnya kita bersyukur kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperuntukkan tanah bagi rakyat yang tidak mempunyai kediaman atau tempat tinggal. Peruntukan ini dinamakan Skim Tanah Kurnia.

Skim Tanah Kurnia

Skim Tanah Kurnia adalah skim yang dibukakan kepada rakyat sebagai memenuhi keperluan perumahan bagi semua rakyat Negara Brunei Darussalam yang tidak mempunyai tanah dengan hasrat kerajaan untuk setiap penduduk mempunyai tempat kediaman. Setelah permohonan peserta skim ini dipertimbangkan, maka peserta akan diperuntukkan sebidang tanah beserta rumah atau tanah sahaja sebagai kurnia kerajaan tertakluk kepada pensyaratan yang dikenakan oleh pihak kerajaan. Skim-skim Tanah Kurnia berkenaan adalah;

1. Skim Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS). 2. Skim Penempatan Semula (Infill Scheme). 3. Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ). 4. Skim Rancangan Perumahan Negara (RPN).

Pada dasarnya, sekalipun pemohon yang berjaya untuk menduduki tanah di bawah Skim Tanah Kurnia, namun pihak kerajaan telah menetapkan syarat-syarat khas mengikut jenis Skim-skim Tanah Kurnia.

Syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam Skim Tanah Kurnia, secara umumnya mensyaratkan hanya untuk perumahan tempat kediaman pemohon dan ahli-ahli keluarganya. Ini bermakna Skim Tanah Kurnia tersebut dikurniakan hanya terhad memberi hak kepada pemohon yang dipertimbangkan untuk menduduki tanah yang ditentukan itu sebagai tempat kediamannya dan ahli keluarganya.

Antara syaratnya lagi ialah tanah yang diperuntukkan itu tidak boleh dipecah atau dibahagi, tidak boleh dijual, dipajakkan, digadaikan atau dipindah milik. Syarat-syarat yang ditetapkan ini menunjukkan bahawa pemohon tidak mempunyai hak tasharruf (melakukan transaksi) terhadap tanah yang dikurniakan. Hak pemohon hanya terhad kepada mengambil manfaat (menggunakan) tanah tersebut sahaja. Ini bererti pemohon tidak memiliki ‘ain (mata benda) iaitu tanah yang dikurniakan kerana menurut hukum syara‘, pemilik sebenar sesuatu ‘ain mempunyai hak penuh tasharruf terhadap ‘ain yang dimilikinya seperti menjual, menggadai, menghibah, menyewakan dan sebagainya.

Selain itu, antara syaratnya juga ialah tanah dan rumah di atasnya akan balik menjadi milik kerajaan jika tuan tanah meninggal dunia tanpa mempunyai waris.

Melihat kepada syarat-syarat yang ditetapkan kepada pemohon yang dipertimbangkan di bawah Skim Tanah Kurnia, dapat difahami bahawa pemohon adalah bukan pemilik sebenar (muthlaq) kepada tanah berkenaan tetapi dia hanya dikurniakan kebenaran untuk menduduki dan tinggal di tanah tersebut sahaja selagi dia dan ahli keluarganya memerlukan tapak tanah tersebut. Kebenaran untuk menduduki tanah tersebut boleh sahaja dengan dikenakan bayaran atau tanpa bayaran. Maka dengan adanya syarat-syarat yang ditetapkan, pengurniaan Skim Tanah Kurnia tersebut bukanlah hibah menurut hukum syara‘ kerana menurut hukum syara‘ hibah ialah pemberian milik terhadap sesuatu ‘ain yang membolehkan orang yang menerimanya mempunyai hak penuh tasharruf terhadap barang yang dihibahkan ( َ ام لهُوبحو ).

Oleh kerana pengurniaan tanah di bawah Skim Tanah Kurnia itu bukan hibah tetapi hanya kebenaran untuk memanfaatkannya sahaja, maka penetapan syarat bahawa pindah milik hanya dibolehkan kepada salah seorang waris adalah harus dan bahkan wajib dipatuhi syarat itu atas asas tanah kurnia itu bukan ia hak muthlaq di mana pemilikannya tetap takluk kepada pensyaratan yang bertujuan untuk menjaga mashlahat penerima kurnia dan warisnya. Perkara ini bertepatan dengan peranan pemerintah dalam memastikan kemashlahatan atau kebajikan rakyat terpelihara sebagaimana disebut dalam kaedah fiqh:

Ertinya: Tindakan (yang diambil oleh) imam atau pemerintah ke atas rakyat (hendaklah) didasari dengan mashlahat.

Syaikh Ahmad az-Zarqa’ Rahimahullâh dalam kitab Syarh al-Qawâ’id al-Fiqhiyyah menerangkan maksud kaedah ini bahawa pelaksanaan tindak-tanduk pihak berkuasa ke atas rakyat dan keterikatannya ke atas mereka, sama ada mereka mahu atau enggan, adalah tertakluk dan terhenti kepada adanya faedah dan manfaat sama ada dari segi agama atau keduniaan di dalam melaksanakan tindakan tersebut.

Berdasarkan penjelasan di atas, Skim Tanah Kurnia itu adalah satu kurnia yang hanya merupakan kebenaran kepada pemohon yang dipertimbangkan untuk tinggal di tanah atau rumah Skim Tanah Kurnia berkenaan dan bukan hibah menurut hukum syara‘.

Oleh yang demikian, syarat yang tidak membenarkan pemohon membuat sebarang transaksi seperti menjual, memecah (membahagi) atau menukar milik sebagaimana yang dinyatakan dalam soalan di atas adalah syarat yang diharuskan menurut hukum syara‘ dan pemohon wajib mengikut syarat-syarat yang telah digariskan oleh pihak kerajaan yang merupakan pemilik sebenar tanah tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12833