Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Rehearsal yang Melibatkan Ibadat

Soalan: Sepertimana yang dimaklumi di negara ini khasnya bagi setiap acara-acara kerasmian dan juga sambutan-sambutan perayaan, akan diadakan raptai atau rehearsal terlebih dahulu sebelum acara sebenar diadakan. Ini termasuklah rehearsal untuk bacaan do‘a dan sembahyang terutama bagi sambutan awal tahun Hijriyyah.

Adakah amalan ataupun perbuatan rehearsal seumpama ini wajar diadakan dalam perkara-perkara ibadat seperti sembahyang dan do‘a yang terkandung dalam majlis tersebut dan tidakkah perbuatan itu dianggap sebagai mempermain-main dan menghinakan sesuatu ibadat?

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa atau irsyâd mengenainya.

Jawapan: Dalam perkara pengurusan dan pengendalian suatu majlis lebih-lebih lagi majlis rasmi peringkat negara, rehearsal atau raptai amatlah penting diadakan dengan tujuan supaya sesiapa yang terlibat dapat mengetahui tugas dan tanggungjawabnya, di samping mengetahui susunan acara majlis dan pengiraan jangka masa bagi majlis yang akan diadakan nanti. Selain itu, raptai yang diadakan juga akan memberi peluang kepada penganjur untuk memperbaiki mana-mana kekurangan yang ada. Raptai juga penting untuk penyelarasan acara dan peranan petugas-petugas. Walau bagaimanapun, adakah wajar diadakan raptai atau rehearsal dalam perkara-perkara ibadat seperti sembahyang dan do‘a yang terkandung dalam majlis tersebut?

Do‘a

Do‘a adalah ibadat sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Do‘a itu adalah ibadat, Tuhan kamu ada berfirman: (Yang tafsirnya) “Berdo‘alah kepadaKu nescaya Aku memperkenankan do‘a kamu.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Sesuai dengan kedudukan do‘a itu sebagai ibadat, maka berdo‘a itu ada adab-adabnya yang tertentu. Imam al-Ghazali Rahimahullâh ada menyebutkan adab-adab berdo‘a itu di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulûm ad-Dîn. Selain itu, beliau juga menyebutkan do‘a-do‘a ma’tsûr yang dibaca mengikut setiap kejadian atau keadaan yang berlaku, termasuk do‘a ketika dalam suatu majlis.

Membaca Do‘a dalam Majlis

Membaca do‘a dalam suatu majlis adalah satu amalan yang dianjurkan sebagaimana disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa duduk dalam suatu majlis, maka di dalamnya banyak terjadi percakapan yang boleh mengandungi dosa, lalu dia mengucap sebelum bangun dari majlisnya itu: َلَ Ya Allah dan dengan memuji Engkau, aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Engkau, aku memohon ampun kepada Engkau dan aku bertaubat kepada Engkau”), nescaya diampunkan baginya (dosa) yang terjadi di dalam majlisnya itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadits lain daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:

Maksudnya: Pernah dihitung bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (mengucapkan) seratus kali dalam satu majlis sebelum Baginda berdiri: َ َّوَّاب ُ احلغَفُور أَنحت َ الت (ertinya: “Ya Tuhan mohon ampunkan bagiku (dosa-dosaku) dan mohon diterima taubatku sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengampun.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Disebut dalam kitab Riyâdh ash-Shâlihîn, diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa jarang sekali Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bangkit berdiri daripada suatu majlis melainkan Baginda berdo‘a untuk diri Baginda dan untuk mereka yang hadir dengan do‘a berikut:

Maksudnya: Ya Allah, berikanlah kami dari rasa takut (kami) kepadaMu sesuatu yang boleh menghalang kami daripada berbuat maksiat kepadaMu, dan (berikanlah kami) dari ketaatan (kami) kepadaMu sesuatu yang boleh menyampaikan kami kepada syurgaMu, dan (berikanlah kami) dari keyakinan (kami kepadaMu) sesuatu yang dapat meringankan musibah dunia atas kami. Ya Allah, jadikanlah kami sentiasa dapat meni‘mati pendengaran kami, penglihatan kami dan kekuatan kami, selama Engkau hidupkan kami, dan jadikanlah ia pewaris (yang kekal) dari kami, dan jadikanlah pembalasan (terhadap) kami ke atas orang-orang yang menzalimi kami, dan berikanlah kemenangan kepada kami terhadap orang-orang yang memusuhi kami, dan janganlah Engkau jadikan musibah kami (yang akan menimpa) kami (terjadi) pada agama kami, dan janganlah Engkau jadikan dunia sebagai sebesar-besar perhatian kami, dan (janganlah Engkau jadikan dunia itu juga) nilai (matlamat) pengetahuan kami, dan janganlah Engkau jadikan orang-orang yang tidak menyayangi kami berkuasa ke atas kami.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ bahawa makruh bersurai daripada sesuatu majlis tanpa berzikir menyebut nama Allah Ta‘ala.

Berdasarkan hadits-hadits yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa membaca do‘a dalam apa jua majlis adalah amalan yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Melihat kepada kepentingan rehearsal untuk kesempurnaan majlis yang berkebajikan tersebut, maka apabila perlu diadakan bacaan do‘a sebagai memenuhi kehendak rehearsal, tidaklah rehearsal itu dilihat sebagai mempermain-mainkan atau menghinakan amalan do‘a tersebut.

Rehearsal bagi Ibadat Sembahyang

Sembahyang adalah kewajiban yang telah ditentukan waktunya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu kewajiban ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya. (Surah an-Nisâ’: 103)

Cara-cara sembahyang, rukun-rukunnya dan syarat-syaratnya pula telah disebutkan oleh ulama-ulama fiqh yang berdasarkan daripada ajaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana disebut dalam sebuah hadits daripada Malik bin al-Huwairits, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. Maka apabila (waktu) sembahyang telah tiba, hendaklah seorang daripada kamu menyerukan azan untuk kamu dan hendaklah orang yang lebih tua di antara kamu mengimami kamu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam mengerjakan ibadat sembahyang, niat merupakan satu rukun yang utama. Untuk memulakan sembahyang, hendaklah dengan niat. Tidak sah sembahyang tanpa niat. Ia wajib kerana untuk membezakan ibadat sembahyang itu daripada lain-lain perbuatan. Ada dua perkara yang dimaksudkan dengan niat itu; membezakan ibadat daripada adat iaitu segala perbuatan biasa dan untuk membezakan tingkatan ibadat.

Berdasarkan ijmâ‘ ulama, bahawa niat itu letaknya di dalam hati. Tidak memadai dengan melafazkan niat dengan lidah sedangkan hatinya lalai dengan apa yang diniatkannya. Jika niat dalam hati orang yang sembahyang itu berlainan dengan sembahyang yang dikerjakan sedangkan dia mengetahui atau dengan sengaja maka batal sembahyangnya. Atau seseorang itu mengangkat takbîratul-ihrâm sebelum masuk waktunya dengan sengaja dan mengetahui dengan demikian itu, maka tidak sah sembahyangnya kerana dia mempermain-mainkan sembahyang. Mempermain-mainkan sembahyang itu adalah suatu perkara dosa dan maksiat.

Adapun sembahyang yang dilakukan pada masa rehearsal, jika ia betul-betul dilakukan dalam waktunya dengan menepati rukun dan kaifiyyâtnya, maka sembahyang itu adalah betul dan sah, tidak timbul mempermain-main atau menghinakan sembahyang itu.

Adalah juga biasa berlaku, satu-satu majlis yang terdapat acara sembahyang di dalamnya, ketika rehearsal, tidak dilakonkan betul-betul sembahyang itu, dari takbîratul-ihrâm sehingga salam sebagai rehearsal, melainkan cuma setakat mengenal pasti acara ke berapakah sembahyang atau siapa imam dan ayat-ayat yang akan dibacanya. Semua itu diperinci untuk dikenal pasti semasa rehearsal, terutama oleh siapa yang akan berperanan, demi untuk kesempurnaan majlis kelak. Di sini juga tidak berbangkit soal mempermain-mainkan sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12838