Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Berjemaah dengan Penjarakan di antara Jemaah dalam Satu Shaf dan Menunaikan Dua Jumaat dalam Satu Masjid

Soalan: Dalam menangani situasi penularan Pandemik COVID-19 pada masa ini, masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara telah ditutup buat sementara waktu sebagai salah satu langkah kerajaan bagi menghindari penularan pandemik penyakit ini. Segala kegiatan sembahyang fardhu berjemaah dan lain-lain kegiatan ta‘mîr masjid termasuk sembahyang fardhu Jumaat juga adalah ditiadakan pada waktu penutupan tersebut. Walau bagaimanapun azan bagi setiap waktu sembahyang terus dikumandangkan.

Sekiranya masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dibenarkan untuk dibuka semula dan sembahyang berjemaah di masjid dapat dilaksanakan tetapi dengan peraturan yang ketat demi menghindari penularan wabak umpamanya dengan mengamalkan penjarakan fizikal, maka dalam hal ini, beberapa isu akan timbul.

Pertama: Para jemaah dimestikan menjarakkan dirinya dengan jemaah yang lain dengan kadar kira-kira satu meter dan ini akan menyebabkan keadaan shaf jemaah yang berjarak.

Kedua: Dari segi yang lain, dengan penjarakan tersebut akan menyebabkan kapasiti masjid yang boleh menampung bilangan sekian jemaah hanya akan dapat menampung sebahagiannya sahaja. Maka timbul pemikiran khususnya bagi sembahyang fardhu Jumaat diadakan dua kali di dalam masjid yang sama supaya setiap jemaah yang berkewajiban menunaikannya tidak terlepas untuk memenuhi tuntutan tersebut.

Oleh itu, dipohonkan sebarang nasihat dan pandangan Pehin Mufti berkaitan isu-isu tersebut iaitu:

1. Adakah diharuskan sembahyang berjemaah dengan ada penjarakan di antara jemaah dalam satu shaf?

2. Adakah boleh diadakan dua kali sembahyang fardhu Jumaat dalam satu masjid kerana masjid tidak mampu menampung kesemua jemaah yang hadir dalam keadaan penjarakan?

Jawapan: Sembahyang berjemaah dengan meluruskan shaf adalah termasuk dalam kesempurnaan dan keelokan sembahyang berjemaah sebagaimana yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Luruskanlah shaf-shaf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan shaf itu termasuk dalam kesempurnaan sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits yang lain diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Luruskan oleh kamu shaf dalam sembahyang, maka sesungguhnya meluruskan shaf itu termasuk daripada keelokan sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan maksud meluruskan shaf atau dalam bahasa Arabnya disebut taswiyah ash-shufûf dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab, beliau berkata:

Ertinya: Dan yang dimaksudkan dengan meluruskan shaf-shaf itu ialah menyempurnakan shaf yang pertama kemudian shaf seterusnya, menutupi ruang-ruang shaf kosong (rapat) dan dia mensejajarkan dengan orang-orang yang berdiri dalam shaf sekira-kira tiada seorang pun terkehadapan dada dan sesuatu yang lain daripada orang yang di sebelahnya, tidak memulakan shaf yang kedua sehingga dia menyempurnakan (shaf) yang pertama, dan tidak berdiri dalam satu shaf (baru) sehingga dia menyempurnakan shaf sebelumnya.

Maka berdasarkan hadits-hadits tersebut, sunat bagi ma’mum meluruskan shaf-shaf mereka ketika bersembahyang jemaah supaya jangan ada sebahagian jemaah terkehadapan atau terkebelakang daripada jemaah yang lainnya sehingga menyebabkan tidak sejajar dan tidak lurus shaf mereka. Ketika ma’mum berdiri, mereka hendaklah meluruskan shaf dalam keadaan berdekatkan bahu dengan bahu, kaki dengan kaki dan tumit dengan tumit ma’mum yang lainnya sehingga tidak ada ruang yang kosong dan renggang.

Berkata al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Dan sunat menutupi (memenuhi) ruang-ruang shaf yang kosong, dan hendaklah tidak dibuat shaf (yang baru) sehinggalah sempurna (penuh) shaf pertama dan hendaklah dilapangkan bagi sesiapa yang mahu (masuk ke dalam shaf tersebut). Kesemua ini hukumnya adalah sunat bukannya satu syarat (sah sembahyang berjemaah). Jika mereka menyalahi (tuntutan tersebut) sah sembahyang mereka serta hukumnya makruh.

Kelebihan Meluruskan Shaf Sembahyang (تسوية الصفوف)

Meluruskan shaf sembahyang mempunyai kelebihan yang besar, antaranya mendapat darjat dan rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perkara ini ada disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan para malaikatNya mendo‘akan ke atas orang-orang yang menyambung shaf-shaf dan siapa yang menutupi ruang (shaf yang kosong), nescaya Allah akan meninggikannya dengan satu darjat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadits lain yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Siapa yang menyambung shaf Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskan shaf Allah akan memutuskannya. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Muhammad Syams al-Haq al-‘Azhim Abadi Rahimahullâh dalam kitab ‘Aun al- Ma‘bûd menyatakan ketika mensyarahkan hadits di atas bahawa yang dimaksudkan dengan menyambung shaf ialah hadir ke shaf tersebut dan menutup ruang shaf yang kosong. Adapun maksud Allah akan menyambungnya ialah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menyambungnya dengan rahmatNya. Manakala maksud memutuskan shaf pula ialah memutuskannya dengan keluar dari shaf atau tidak memenuhi ruang yang kosong itu atau meletakkan sesuatu benda yang menghalang (daripada shaf dirapatkan). Maksud Allah akan memutuskannya pula ialah Allah memutuskannya daripada mendapat rahmatNya yang menyeluruh dan penjagaanNya yang sempurna.

Tidak Meluruskan Shaf Sembahyang

Makruh hukumnya jika seorang ma’mum itu berada seorang diri di shaf belakang sedangkan di hadapannya masih ada ruang yang kosong. Oleh itu disunatkan baginya mengisi tempat kosong itu. Akan tetapi jika di hadapan ma’mum itu tiada ruangan kecuali di shaf belakang sahaja, maka mengikut pendapat yang shahîh adalah disunatkan bagi ma’mum yang berada seorang diri di shaf belakang itu menarik seorang daripada ma’mum yang berada di hadapannya sesudah dia mengangkat takbîratul-ihrâm. Disunatkan juga bagi ma’mum yang ditarik ke belakang itu bekerjasama iaitu berundur ke shaf belakang bersama-sama dengan ma’mum yang seorang diri itu, demi untuk kesempurnaan shaf dan mengelakkan juga daripada pendapat ulama lain yang mengatakan bahawa berada seorang diri di shaf belakang itu membatalkan sembahyang sebagaimana mereka berpegang kepada sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Tidak ada sembahyang bagi ma’mum seorang diri yang di shaf belakang. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Mengikut para ulama Syafi‘i hadits ini bermaksud bahawa tidak sempurna sembahyang bagi seorang diri di shaf belakang, bukan bermaksud tidak sah sembahyang. Ta’wîl atau maksud hadits yang dinyatakan oleh para ulama Syafi‘i ini adalah ta’wîl yang wâdhih (betul). Maka ma’mum yang berada seorang diri di shaf belakang adalah tidak batal sembahyangnya hanya makruh hukumnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa menjarakkan diri dari ma’mum yang lain dalam shaf sembahyang berjemaah adalah makruh dan mendapat celaan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tetapi tidak menjejaskan sahnya sembahyang.

Penjarakan Jemaah kerana Hajat

Sebagaimana yang dijelaskan ulama di atas, penjarakan jemaah dalam shaf sembahyang adalah makruh hukumnya. Menurut para fuqahâ’ hukum makruh itu boleh gugur disebabkan ada hajat yang menghendakinya sebagaimana diperakukan oleh para fuqahâ’.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh seorang ulama mazhab Syafi‘i ada menyebut seumpama ungkapan di atas. Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj ketika beliau menjelaskan mengenai hukum makruh seorang hakim menjatuhkan hukuman semasa marah, lapar dan sebagainya, apabila ada hajat yang memerlukan menghukum pada ketika itu juga maka gugur hukum makruh tersebut sebagaimana katanya:

Ertinya: Ya! Hukum makruh ternafi apabila ada hajat memerlukan.

Antara contoh hukum makruh yang menjadi harus kerana ada hajat yang ada disebut oleh fuqahâ’ mazhab Syafi‘i dalam kitab-kitab mereka ialah:

1. Menutup mulut dengan tangan ketika sembahyang hukumnya adalah makruh. Namun jika ia menutup mulut dengan tangannya itu kerana ada hajat seperti menguap ketika sembahyang, maka tidaklah makruh.

2. Makruh hukumnya jika seorang hakim memutuskan hukuman dalam keadaan dia marah, lapar, kenyang, sakit, sangat takut, sedih, gembira, perasaan yang tidak tentu dan lain-lain. Namun jika ada hajat dia perlu memutuskan hukum pada waktu itu dalam keadaan yang segera, maka tidaklah makruh menghukum dalam keadaan sedemikian.

3. Menutup kedua-dua mata ketika sembahyang termasuk perkara yang makruh tanpa ada hajat. Namun jika menutup kedua-duanya kerana ada hajat, umpamanya menutup mata agar menegah dari memandang perkara-perkara yang haram, maka dibolehkan bahkan dihukumkan wajib.

4. Merasa makanan dengan lidah bagi orang yang berpuasa termasuk dalam perkara yang makruh kerana ia boleh menyebabkan makanan tertelan masuk ke dalam perut. Namun jika terdapat keperluan seperti untuk merasa dan memperbaiki makanan yang dimasaknya itu, maka hal yang demikian adalah diharuskan.

Sebagaimana yang dijelaskan dalam soalan di atas, penjarakan para jemaah dalam shaf sembahyang Jumaat yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid adalah berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan yang perlu dipatuhi untuk mengelak penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini. Maka penjarakan yang dilakukan itu adalah suatu hajat bahkan satu kemestian dalam perkumpulan (mass gathering). Oleh itu penjarakan tersebut tidak makruh dilakukan kerana adanya hajat berkenaan sekalipun penjarakan itu menyebabkan kita meninggalkan kelebihan memenuhi dan merapatkan shaf. Menolak kemudharatan (risiko jangkitan wabak COVID-19) itu lebih utama daripada meraih kelebihan menyempurnakan shaf dalam sembahyang berjemaah. Perkara ini sesuai dengan kaedah fiqh yang menyebut:

Ertinya: Menghindari kerosakan lebih utama daripada meraih kemashlahatan.

Mengadakan Dua Jumaat dalam Satu Masjid

Hukum menunaikan sembahyang Jumaat adalah fardhu ‘Ain ke atas setiap orang Islam yang mukallaf, merdeka, lelaki, bermuqîm, tidak sakit dan tidak ada keuzuran (uzur syar‘i). Sembahyang Jumaat tidak wajib ke atas mereka yang berkeuzuran yang diberikan kelonggaran (rukhshah) untuk meninggalkan sembahyang berjemaah.

Syarat-syarat Sah Jumaat Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah, syarat-syarat sah Jumaat itu ada lima perkara seperti berikut:

1. Sembahyang Jumaat didirikan dalam waktu Zhuhur dan membaca dua khutbah Jumaat dalam waktu tersebut.

2. Didirikan Jumaat itu di kawasan kediaman yang mempunyai binaan-binaan yang menandakan ianya sebuah negeri atau kampung.

3. Tidak didahului atau tidak disertai Jumaat itu oleh Jumaat yang lain dalam satu tempat kerana tidak harus berbilang (lebih daripada satu) Jumaat dalam satu kawasan (bandar, pekan atau qaryah).

4. Dilakukan Jumaat itu dengan berjemaah dan disyaratkan ia didirikan oleh tidak kurang daripada 40 orang termasuk imam dan disyaratkan mereka itu lelaki, berakal, bâligh, merdeka dan mastautin pada tempat Jumaat. Erti mastautin itu orang yang tetap pada tempat kediamannya, tidak berpindah daripadanya baik pada musim sejuk mahupun pada musim panas, kecuali kerana hajat berniaga dan seumpamanya.

5. Disyaratkan sembahyang itu selepas dibacakan dua khutbah.

Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah hukum asal mendirikan sembahyang Jumaat yang berbilang (lebih daripada satu) dalam satu kawasan adalah ditegah. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: (Syarat ketiga) daripada syarat-syarat sah Jumaat (hendaklah tidak didahului atau tidak disertai Jumaat itu oleh Jumaat yang lain dalam sebuah desa) sekalipun [desa itu] besar sebagaimana yang dikatakan oleh Imam asy-Syafi‘i; kerana sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para Khulafâ’ ar-Râsyidîn tidak pernah mendirikan [berbilang] Jumaat selain satu Jumaat sahaja, dan kerana sesungguhnya menghadkan satu Jumaat itu lebih membawa kepada [tercapainya] tujuan [pensyariatan fardhu Jumaat iaitu] menzahirkan syi‘âr perhimpunan dan perpaduan. Imam asy-Syafi‘i berkata: “Dan kerana sesungguhnya jika boleh dilakukan sembahyang Jumaat itu di dua buah masjid nescaya boleh juga dilakukan di masjid-masjid bagi satu-satu kabilah sedangkan ia tidak harus menurut ijmâ‘ [berbilang pelaksanaan fardhu Jumaat](melainkan jika besar) yakni desa itu dan (sukar bagi mereka berhimpun pada suatu tempat) umpamanya tidak ada pada kawasan mengadakan fardhu Jumaat itu tempat yang boleh menampung para jemaah tanpa sebarang kesukaran sekalipun tempat itu bukan masjid, maka ketika itu diharuskan berbilang [mendirikan fardhu Jumaat] kerana terdapat hajat menurut kadar hajatnya.” Ini kerana Imam asy-Syafi‘i Radhiallâhu ‘anhu pernah masuk ke Baghdad dan mendapati penduduknya mendirikan dua sembahyang Jumaat, dan ada yang mengatakan tiga (fardhu Jumaat), maka Imam asy-Syafi‘i tidak mengingkarinya lalu menurut kebanyakan mereka [ulama mazhab asy-Syafi‘i] menyimpulkannya [sebab beliau tidak mengingkarinya] atas sebab kesukaran berhimpun.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh melaksanakan berbilang Jumaat kerana hajat atau keperluan adalah diharuskan. Beliau berkata dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab:

Ertinya: Dan pendapat ash-Shahîh adalah pandangan yang pertama iaitu (harus) melaksanakan fardhu Jumaat di dua tempat atau lebih menurut kadar hajat dan kesukaran berhimpun.

As-Sayyid ‘Abdurrahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi Rahimahullâh dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn berkata:

Ertinya: Dan kesimpulan daripada pendapat para imam (dalam mazhab asy-Syafi‘i) bahawasanya sebab-sebab diharuskan melaksanakan berbilang fardhu Jumaat ada tiga perkara, iaitu sempit tempat mendirikan sembahyang yang tidak dapat menampung para jemaah untuk bersembahyang Jumaat pada kebiasaannya, berlaku pembunuhan di antara dua golongan dengan syaratnya dan jauh sempadan negeri seumpama seorang yang berada di suatu tempat dia tidak akan terdengar panggilan (azan) atau berada pada suatu tempat yang kalau dia keluar dari tempat tersebut selepas waktu fajar (Shubuh) nescaya dia tidak sempat mendapatkan (Jumaat bersama mereka) kerana tidak mesti baginya menuju ke sana (tempat sembahyang Jumaat didirikan) melainkan (dia keluar) selepas waktu fajar (Shubuh).

Berdasarkan daripada apa yang diperbincangkan ulama mengenai keharusan mengadakan berbilang fardhu Jumaat dalam satu kawasan, maka cadangan untuk mengadakan sembahyang Jumaat dua kali dalam satu masjid disebabkan oleh penjarakan jemaah dalam shaf sembahyang adalah tertakluk jika tidak dapat atau susah untuk terlebih dahulu mengatasinya dengan mendirikan kem-kem di kawasan masjid untuk menampung jemaah mengikut kesesuaiannya. Jika inipun tidak boleh dilakukan kerana kawasan sempit, terhad dan seumpamanya atau masih susah untuk mengadakan sembahyang Jumaat di tempat-tempat selain masjid yang sesuai umpamanya dewan, sekolah, rumah, kawasan lapang yang beratap atau yang tidak beratap dalam kampung yang sama dengan memenuhi syarat-syarat sah Jumaat seperti cukup bilangan 40 orang jemaah yang bermastautin, dua khutbah dan lain-lain setelah mendapatkan kebenaran daripada pihak Majlis Ugama Islam Brunei, maka sebagai jalan terakhir sembahyang fardhu itu bolehlah diadakan sekali lagi di masjid yang sama dengan memenuhi rukun dan syarat sah mengadakan fardhu Jumaat setelah selesainya sembahyang fardhu Jumaat pertama di masjid yang sama dengan mengaturkan jadual dan masa memulakan sembahyang bagi setiap dua kumpulan jemaah secara teratur.

Walau bagaimanapun bagi mengurangkan kesesakan jemaah di samping untuk mengelak sebarang risiko penularan jangkitan COVID-19 ini, pihak yang berkenaan bolehlah menghadkan kehadiran jemaah seperti tidak membenarkan golongan yang tidak wajib Jumaat seperti wanita, kanak-kanak, golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas yang uzur atau dhaif dan mereka yang mempunyai simptom jangkitan COVID-19 seperti demam, batuk, salesema dan sesak nafas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12842