Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Berjemaah di Mushallâ Hotel Berimamkan Imam di Masjid al-Haram

Soalan: Apakah hukum seseorang yang menjadi ma’mum sembahyang di mushallâ Hotel Dar al- Ghufron berimamkan imam di Masjid al-Haram?

Di hadapan mushallâ ini terdapat dinding kaca yang transparent tetapi tidak ada tangga, escalator atau lift yang membolehkan seseorang bergerak ke hadapan ke tempat imam tanpa membelakangi qiblat.

Selain itu juga apakah pendapat mazhab lain selain mazhab asy-Syafi‘i mengenai perkara ini?

Jawapan: Antara syarat-syarat sah sembahyang mengikut imam yang disebutkan dalam mazhab asy- Syafi‘i ialah hendaklah imam dan ma’mum itu dikira berhimpun di satu tempat.

Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Syarat ketiga daripada syarat-syarat mengikut imam: Hendaklah kedua-duanya (imam dan ma’mum) dikira berhimpun supaya menampakkan syi‘âr, menunjukkan saling menyayangi dan bertolong-tolongan.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Antara syarat-syarat mengikut imam juga: Hendaklah kedua-duanya (imam dan ma’mum) berhimpun di satu tempat, kerana antara tujuan-tujuan (sembahyang berjemaah) mengikut imam ialah berhimpun satu jemaah dalam suatu tempat sebagaimana biasa dilakukan oleh jemaah-jemaah (bersembahyang) pada masa lampau.

Dalam perkara berhimpun imam dan ma’mum, ulama menyebutkan ada empat situasi yang menyebabkan imam dan ma’mum itu berhimpun sebagaimana disebutkan oleh Imam al- Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Dan untuk (dikira) berhimpun kedua-duanya (imam dan ma’mum) itu ada empat situasi kerana (berhimpun) kedua-duanya sama ada kedua-duanya berada di masjid atau di tempat selain masjid di tanah lapang atau bangunan, ataupun salah seorang daripada kedua-duanya berada di masjid dan seorang yang lain berada di tempat lainnya.

Keempat-empat situasi yang disebutkan di atas telah dijelaskan syarat-syaratnya dalam kitab-kitab mazhab asy-Syafi‘i.

Merujuk kepada penjelasan dalam persoalan di atas, kedudukan hukum mengikut imam bagi ma’mum yang bersembahyang di mushallâ Hotel Dar al-Ghufron untuk sembahyang berjemaah dengan berimamkan imam yang berada di dalam Masjid al-Haram adalah tertakluk kepada perbincangan ulama mengenai situasi ma’mum mengikut imam yang berada di dalam masjid dan ma’mum berada di tempat selain masjid atau di luar masjid.

Maka bagi menjawab persoalan di atas dihuraikan penjelasan ulama yang berkaitan dengan situasi dalam persoalan di atas.

Imam Berada di Dalam Masjid dan Ma’mum Berada di Tempat Selain Masjid

Jika imam berada di dalam masjid dan ma’mum berada di tempat selain masjid, maka syarat-syarat sahnya adalah seperti berikut:

Pertama: Jika tiada sesuatu yang menjadi penghalang di antara imam dan ma’mum, hendaklah kedudukan (jarak) di antara imam dan ma’mum itu berdekatan iaitu tidak melebihi 300 hasta (kira-kira 185.5 meter). Berkata Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al- Muhtâj:

Ertinya: (Jika berdiri) seorang ma’mum seumpama (di tanah mawât) seperti jalan raya (dan imamnya di dalam masjid) yang bersambung dengan tanah mawât, (jika tiada sesuatu yang menghalang) di antara imam dan ma’mum (maka syaratnya ialah berdekatan) iaitu tiga ratus hasta.

Pengiraan jarak 300 hasta di antara imam yang berada di dalam masjid dan ma’mum yang berada di tempat yang bukan masjid itu adalah dari hujung (bahagian akhir bangunan) masjid kerana seluruh masjid itu adalah dikira sebagai satu.

Kedua: Hendaklah imam dan ma’mum itu tidak dipisahkan oleh dinding yang tidak berpintu atau dinding yang berpintu tetapi terkunci atau tertutup kerana dinding yang tidak berpintu atau dinding yang berpintu tetapi terkunci atau tertutup menghalang penglihatan ma’mum kepada imam dan tidak dipisahkan kedua-duanya juga oleh dinding yang hanya berjendela kerana dinding tersebut menghalang ma’mum lalu menuju kepada imam sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: (Jika terdapat dinding yang mengadang) yang tiada pintu padanya (atau) ada padanya (pintu berkunci yang menghalang) mengikut imam kerana tidak bersambung, (begitu juga pintu yang ditutup dan jendela) yang menghalang (menurut pendapat al-ashah) kerana terdapat pengadang dari satu segi; kerana pintu yang tertutup mengadang penglihatan dan jendela pula menghalang untuk lalu.

Ketiga: Bagi dinding yang terbuka pintunya disyaratkan hendaklah ada ma’mum yang berdiri di hadapan pintu tersebut yang membolehkan orang yang mengikut ma’mum tersebut melihat dan menuju kepadanya (ma’mum yang berdiri di hadapan pintu). Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menjelaskan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: (Atau teradang) di antara mereka berdua [imam dan ma’mum] oleh dinding yang ada padanya (pintu yang terbuka) berdiri di hadapannya seorang atau lebih yang boleh dilihat oleh orang yang mengikut ma’mum tersebut itu dan boleh ia menuju kepadanya sebagaimana yang telah kami jelaskannya. Orang yang berdiri di hadapan lubang yang terbuka [kedudukannya] adalah seperti imam bagi sesiapa yang berada di belakangnya...

Berkata as-Sayyid al-Jurdani Rahimahullâh dalam kitab Fath al-‘Allâm pada menjelaskan syarat ini:

Ertinya: Jika ada pengadang di antara imam dan ma’mum, disyaratkan imam atau salah seorang daripada ma’mum yang bersamanya dapat dilihat dan [disyaratkan juga] boleh sampai kepadanya dengan berjalan biasa tanpa membelakangi qiblat. Itulah yang dimaksudkan dengan kata mereka (ulama): “Tanpa berpusing dan membelok.” Adapun seandainya (dalam menuju kepada imam) menjadikan qiblat itu di kanannya atau di kirinya maka tidaklah menjejaskan (sembahyangnya). Dan diketahui dari ketetapan itu bahawasanya kalau teradang di antara mereka berdua oleh dinding yang tiada berpintu atau dinding yang pintunya dipaku maka ia adalah menjejaskan (sembahyangnya) kerana dinding itu menghalangnya sampai dan melihat (kepada imam). Begitu juga adalah menjejaskan (sembahyangnya) jika terdapat padanya pintu yang tertutup atau jendela kerana yang pertama (pintu yang tertutup) menghalang penglihatan dan kedua (jendela) menghalang untuk sampai (kepada imam).

As-Sayyid Ba ‘Alawi Rahimahullâh ada menyebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn ringkasan daripada apa yang dijelaskan oleh ulama mengenai syarat sah berjemaah jika imam berada di dalam masjid dan ma’mum berada di tempat selain masjid:

Ertinya: Jika salah seorang sahaja daripada kedua-duanya di dalam masjid atau kedua-duanya tidak berada di dalam masjid, maka disyaratkan lima perkara: Mengetahui perpindahan imam (dari satu rukun ke satu rukun yang lain), boleh menuju kepada imam tanpa berpusing dan membelok, jarak dekat yang tidak melebihi di antara mereka berdua atau salah seorang daripada mereka berdua dengan hujung akhir bangunan masjid tiga ratus hasta, boleh melihat imam atau sebahagian orang yang mengikut imam dan hendaklah penglihatan itu dari tempat laluan, maka adalah menjejaskan di sini (sembahyangnya) sekatan jendela dan pintu yang tertutup. Adalah memadai syarat melihat (imam itu dengan) berdiri seorang (daripada ma’mum) berhadapan pintu yang terbuka di antara mereka berdua. Pada ketika itu, (kedudukan) orang yang berdiri yang disebutkan adalah seperti imam bagi sesiapa yang di belakangnya.

Maka berdasarkan penjelasan di atas, hukum mengikut imam (iqtidâ’) yang berada di Masjid al-Haram dan ma’mum berada di mushallâ Hotel Dar al-Ghufron adalah tidak menepati syarat-syarat sah berjemaah menurut mazhab asy-Syafi‘i. Apabila syarat-syarat sah berjemaah tidak terpenuhi maka sembahyangnya tidak sah dan wajib i‘âdah (diulang) sembahyangnya.

Ini kerana sebagaimana penjelasan penanya, mushallâ Hotel Dar al-Ghufron terdapat dinding kaca yang transparent tetapi tidak ada tangga atau escalator atau lift yang membolehkan seseorang bergerak ke hadapan ke tempat imam tanpa membelakangi qiblat. Maka oleh sebab itu, ia tidak memenuhi syarat sah mengikut imam sebagaimana yang telah dipersyaratkan dalam mazhab asy-Syafi‘i.

Manakala menurut mazhab Hanafi adalah tidak sah mengikut imam (iqtidâ’) jika imam dan ma’mum itu berada pada tempat yang berlainan.

Adapun menurut mazhab Maliki adalah harus mengikut imam (iqtidâ’) jika ma’mum boleh mendengar bacaan imam atau dapat melihatnya atau melihat ma’mum yang lain bersama imam tersebut sekalipun ma’mum berada di tempat yang berlainan dari tempat imam tersebut.

Menurut mazhab Hanbali pula sah mengikut imam (iqtidâ‘) jika ma’mum dapat mengikut imamnya walaupun dia bukan di dalam masjid iaitu di luar masjid dan imam di dalam masjid, sekalipun dalam jarak lebih 300 hasta.

Dari pandangan atau pendapat para ulama Syafi‘i seperti telah diterangkan di atas, maka orang-orang yang sembahyang di mushalla Hotel Dar al-Ghufron mengikut imam di Masjid al-Haram, tentu saja mereka itu bukan pengikut mazhab asy-Syafi‘i.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12846