Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Dalam Keadaan Terdapat Kesan Darah Selepas Bercuci Buah Pinggang

Soalan: Setiap kali selepas menjalani rawatan dialisis atau bercuci buah pinggang, darah akan keluar dari bekas cucukan jarum itu. Untuk memberhentikannya, bekas cucukan itu akan ditampal dengan kapas dan plaster. Ini mengambil masa sekurang-kurangnya 6-10 jam atau satu malam, baru darah berhenti keluar.

Persoalannya, adakah sah sembahyang saya dalam keadaan masih berdarah itu? Jika saya buka plaster tadi, mungkin boleh memudharatkan saya dan hanya akan membukanya setelah darah berhenti keluar.

Jawapan: Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya dan tempatnya sembahyang suci daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan itu, maka hendaklah dibersihkan terlebih dahulu sehingga menjadi suci kerana antara syarat-syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan bersihkanlah pakaianmu. (Surah al-Muddatstsir: 4)

Syarat suci daripada najis ketika di dalam sembahyang adalah juga berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila datang darah haidh, maka tinggalkan olehmu sembahyang, dan apabila telah berlalu (tempoh haidh itu), maka bersihkanlah darah dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan ayat dan hadits di atas, jelas menunjukkan kewajiban menghilangkan najis dan tidak sah sembahyang seseorang jika terdapat najis seperti darah dan seumpamanya pada tubuh badan, pakaian dan tempatnya bersembahyang. Namun sebagaimana yang dijelaskan ulama, jika sekiranya najis itu dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan (al-ma‘fuw ‘anhu), maka sah sembahyangnya sekalipun dia tidak menghilangkan najis itu terlebih dahulu.

Ulama mazhab asy-Syafi‘i ada menjelaskan dalam kitab-kitab mereka mengenai kategori najis-najis yang dimaafkan tersebut, antaranya:

1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar, walaupun ia daripada najis mughallazhah. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.

2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.

Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.

Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu:

a. Darah atau nanah tersebut merupakan darah atau nanah dari orang itu sendiri.

b. Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disengajakannya.

c. Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.

3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal daripada keduanya atau salah satu daripada keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya sedikit.

Menurut Imam al-Adzra‘i Rahimahullâh bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.

4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga dan yang seumpamanya, selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi. Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.

5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil daripada perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.

6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air liur sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air liurnya ketika dalam sembahyang.

7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan tersebut.

Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.

Sebagaimana yang penanya jelaskan, darah yang keluar dari bekas tusukan jarum setelah rawatan dialisis tersebut akan berhenti apabila ditampal dengan kapas dan plaster tetapi terdapat kesan darah pada kapas atau plaster tersebut. Berdasarkan penjelasan ulama mengenai darah yang keluar daripada badan seseorang kerana ditusuk dan darah tersebut masih ada pada tempat luka, maka sembahyang yang dilakukan oleh penanya adalah sah kerana kesan darah itu dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.

Walau bagaimanapun, kesahan sembahyang tersebut adalah tertakluk juga kepada sah wudhu’nya apabila plaster tersebut terletak pada anggota wudhu’ yang dalam istilah fiqhnya disebut sebagai ا َِلح َبل ْيَة (anggota yang berbalut).

Tatacara Berwudhu’ bagi Orang yang Berbalut Anggota Wudhu’nya

Ulama menjelaskan jika anggota seorang yang sakit perlu dibalut dengan sesuatu seperti kain, plaster, simen atau seumpamanya dan jika dibuka balutan atau plaster tersebut ditakuti akan memudharatkannya, maka dalam hal ini dia wajib melakukan tiga perkara jika dia hendak berwudhu’ seperti berikut:

1. Membasuh bahagian anggota yang tidak berbalut atau berplaster, termasuklah juga sebelah bawah di bahagian-bahagian tepi balutan jika terdaya melakukannya dan juga membasuh bahagian anggota-anggota lain yang tidak sakit menurut tertib.

2. Menyapu semua balutan atau plaster yang membalut bahagian anggota yang sakit dengan air jika anggota wudhu’ tersebut berbalut keseluruhannya iaitu sebagai ganti perbuatan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit (sihat) yang turut ditutupi oleh pembalut.

Sekiranya pembalut atau plaster tersebut tidak menutupi seluruhnya tetapi hanya pada bahagian yang sakit sahaja, maka tidaklah wajib ianya disapu. Begitu juga, sekiranya dia terdaya membasuh bahagian yang tidak sakit yang ditutupi oleh pembalut atau plaster, maka tidaklah wajib menyapu balutan tersebut dengan air.

Waktu menyapu balutan atau plaster tersebut ialah apabila tiba masa membasuh anggota yang berbalut atau berplaster kerana tertib adalah antara rukun wudhu’ dalam mazhab asy-Syafi‘i. Contohnya, jika terdapat luka yang berbalut pada tangan, maka hendaklah dia membasuh muka terlebih dahulu, kemudian membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut dan selepas itu barulah menyapu balutan yang ada pada tangan itu sebelum menyapu kepala dan seterusnya membasuh kaki.

3. Bertayammum pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan untuk anggota wudhu’ yang berbalut yang tidak boleh terkena air sebagai gantinya (membasuh).

Demi memelihara tertib, waktu bertayammum itu ialah apabila tiba masa membasuh anggota wudhu’ yang berbalut sama ada sebelum atau selepas dia membasuh dan menyapu anggota wudhu’ yang berbalut, tetapi yang lebih utama dia bertayammum dahulu sebelum membasuh dan menyapu anggota wudhu’ yang berbalut untuk menghilangkan kesan debu tanah. Ini bererti jika anggota wudhu’ yang berplaster itu pada muka, maka dia bertayammum dahulu kemudian membasuh keseluruhan mukanya yang tidak berbalut dan seterusnya menyapu balutan di mukanya sebelum dia membasuh dua tangan. Ataupun jika anggota wudhu’ yang berplaster itu pada tangan, maka dia bertayammum, kemudian membasuh dan menyapu tangannya sebelum dia menyapu kepala dan begitulah seterusnya.

Apabila terdapat dua anggota wudhu’ yang berbalut maka diwajibkan juga dua tayammum, jika tiga anggota wudhu’ yang berbalut maka diwajibkan juga tiga tayammum dan jika empat anggota wudhu’ yang berbalut maka diwajibkan juga empat tayammum iaitu jika balutan itu tidak meliputi keseluruhan anggota wudhu’ iaitu hanya bahagian-bahagian yang tertentu daripada anggota-anggota wudhu’ sahaja yang berbalut kecuali kepala. Sebagai contoh, hanya separuh muka dan separuh tangan sahaja yang sakit, maka wajib dua tayammum. Atau separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, maka wajib tiga tayammum. Jika balutan itu menutupi separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, akan tetapi menutupi seluruh kepalanya kerana terkena penyakit, maka dalam hal ini wajib empat tayammum.

Jika balutan itu menutupi keseluruhan empat anggota wudhu’ iaitu seluruh muka, seluruh dua belah tangan, seluruh kepala dan seluruh dua belah kaki, maka memadai dengan satu tayammum sahaja. Demikian juga, jika balutan itu terdapat pada keseluruhan dua anggota wudhu’ yang berturut-turut seperti seluruh muka dan seluruh dua belah tangan, ataupun seluruh kepala dan seluruh dua belah kaki, maka memadai dengan satu tayammum bagi kedua-dua anggota yang berturut-turut tersebut.

Apabila seseorang itu telah melakukan tiga perkara tersebut iaitu membasuh bahagian anggota yang tidak berbalut, menyapu air di atas balutan dan bertayammum mengikut tertibnya, maka dibolehkan baginya mengerjakan hanya satu sembahyang fardhu atau satu thawaf sahaja. Jika dia ingin mengerjakan satu sembahyang fardhu yang lain atau satu thawaf fardhu yang lain sedangkan wudhu’ dan tayammumnya yang terdahulu itu belum terbatal, maka dia tidak perlu membasuh anggota wudhu’ dan menyapu balutannya sekali lagi, kerana dia masih kekal di dalam suci. Dia hanya wajib bertayammum kerana satu tayammum hanya terbatas kepada satu ibadat fardhu sahaja.

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, adalah memadai melakukan satu tayammum sahaja sekalipun pada asalnya dia dituntut melakukan beberapa kali tayammum kerana terdapat dua atau lebih anggota wudhu’ yang berbalut atau berplaster. Manakala menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh pula, dia hendaklah bertayammum sebanyak mana dia dituntut melakukan tayammum pada asalnya.

Walau bagaimanapun jika wudhu’ dan tayammumnya yang terdahulu itu batal, maka hendaklah dia mengulangi tiga perkara yang tersebut di atas iaitu membasuh bahagian anggota yang tidak berbalut, menyapu air di atas balutan dan bertayammum.

Jika anggota yang berbalut atau berplaster itu adalah anggota wudhu’ seperti tangan, maka terdapat kekurangan pada wudhu’, kerana tangan tidak dapat dibasuh dengan sepenuhnya disebabkan balutan atau plaster yang menutupinya. Tangan yang berbalut atau berplaster itu juga adalah merupakan anggota tayammum, maka terdapat juga kekurangan pada tayammum. Ini bererti pengganti wudhu’ (tayammum) itu kurang dan yang kena ganti (wudhu’) itu pun kurang. Oleh itu, orang yang berwudhu’ dengan cara demikian, ada yang dikehendaki mengulang atau mengqadha’ sembahyang fardhu atau thawaf fardhu yang dikerjakannya dan ada yang tidak dikehendaki mengulang atau mengqadha’nya apabila telah sembuh.

Mereka yang dikehendaki mengulang atau mengqadha’ itu ada tiga keadaan iaitu:

1. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada anggota tayammum seperti muka atau tangan sama ada diletakkan pembalut atau plaster itu ketika dalam keadaan suci daripada hadats ataupun tidak dan sama ada pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit ataupun tidak.

2. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak bukan pada anggota tayammum seperti kaki, tetapi balutan atau plaster itu diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan berhadats dan pembalut atau plaster itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut itu.

3. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak bukan pada anggota tayammum seperti kaki dan diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadats, akan tetapi pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit melebihi had yang diperlukan untuk mengikat pembalut.

Manakala orang yang tidak dikehendaki mengulang atau mengqadha’ sembahyang fardhu atau thawaf fardhu yang dilakukannya itu ada dua keadaan iaitu:

1. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak bukan pada anggota tayammum seperti balutan pada kaki dan balutan atau plaster itu pula tidak menutupi bahagian anggota yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster, sama ada diletakkan balutan atau plaster itu ketika suci daripada hadats ataupun ketika berhadats.

2. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak bukan pada anggota tayammum seperti pada kaki dan balutan atau plaster itu menutupi bahagian yang tidak sakit hanya sekadar bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster serta diletakkan atau dipakai balutan atau plaster itu ketika dalam keadaan suci (tidak berhadats).

Praktikal Berwudhu’ bagi Orang yang Berbalut di Tangan

Orang yang berbalut atau berplaster di tangannya dan balutan atau plaster tersebut tidak boleh dibuka kerana ditakuti akan mendatangkan mudharat. Maka dalam hal ini, cara berwudhu’ adalah seperti berikut:

i. Membasuh muka serta niat.

ii. Mengeringkan anggota tayammum (muka dan tangan) lalu bertayammum sebagai ganti membasuh tangan yang berbalut atau berplaster.

iii. Membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, seterusnya menyapu bahagian tangan yang berbalut atau berplaster dengan air.

Ataupun

Selepas membasuh muka disusuli dengan membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, kemudian menyapu bahagian tangan yang berbalut atau berplaster dengan air. Selepas itu mengeringkan anggota tayammum (muka dan tangan) lalu bertayammum.

iv. Menyapu sebahagian kepala.

v. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.

Sekiranya orang yang mempunyai keuzuran seperti yang tersebut merasakan berat untuk mengulangi atau mengqadha’ sembahyang yang telah dilakukannya ketika anggota wudhu’nya berbalut atau berplaster, maka sebagai irsyâd bukan fatwa, bolehlah dia bertaqlîd (mengikut) wudhu’ mazhab Maliki. Namun dalam hal ini, orang yang bertaqlîd itu hendaklah dia mengambil wudhu’ sebagaimana cara berwudhu’ dalam mazhab Maliki seperti berikut:

i. Membasuh muka serta niat.

ii. Membasuh dua tangan serta dua siku.

iii. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut di antara mata dan telinga).

iv. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.

v. Berturut-turut dengan tiada berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota yang lain.

vi. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu’ yang dibasuh.

Menurut mazhab Maliki, bahawa orang yang menghidap penyakit kulit umpamanya, ataupun luka pada salah satu anggota yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhu’ atau mandi hadats, sama ada anggota tersebut dibalut dengan sesuatu seperti plaster, simen, ataupun ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu dan membasuh anggota tersebut boleh memudharatkan atau menyebabkan rasa sakit, maka dalam hal ini apa yang perlu dilakukannya ketika mengangkat hadats ialah:

i. Jika anggota berkenaan dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu semua balutan atau plaster itu dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.

ii. Jika anggota berkenaan ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu di atas ubat itu dengan air sekiranya tidak memudharatkan. Jika ditakuti memudharatkan, maka bolehlah dibalut luka yang berubat itu dengan kain yang bersih umpamanya, kemudian menyapu balutan tersebut dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.

Adapun secara praktikalnya adalah seperti berikut:

i. Membasuh muka serta niat.

ii. Membasuh dua tangan yang sihat, kemudian menyapu semua plaster atau pembalut yang membaluti tangannya dengan air.

iii. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut di antara mata dan telinga).

iv. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.

Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu’, hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan hendaklah menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu’ yang dibasuh. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam rukun wudhu’ dalam mazhab Maliki.

Selain daripada itu, orang yang hendak mengikut wudhu’ mazhab Maliki perlu juga mengetahui perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ dalam mazhab Maliki. Perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ itu ialah:

i. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubul (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihâdhah, tahi dan angin.

ii. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu daripada genggamannya.

iii. Apabila seorang yang bâligh menyentuh lawan sejenis (antara laki-laki dan perempuan) dengan syahwat. Adapun mengucup pada mulut juga membatalkan wudhu’ walaupun tanpa syahwat.

iv. Apabila seorang laki-laki bâligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu’ seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya.

v. Murtad.

vi. Merasa ragu setelah berwudhu’ adakah masih kekal berwudhu’ atau sudah batal.

Sebagai kesimpulan, sembahyang dalam keadaan terdapat kesan darah di tempat tusukan jarum adalah sah kerana darah tersebut dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan. Jika tempat tusukan jarum yang ditampal plaster itu terletak pada anggota wudhu’, maka penanya hendaklah mengikut tatacara mengambil wudhu’ bagi orang yang anggota wudhu’nya berbalut atau berplaster sebagaimana yang dijelaskan di atas dan hendaklah memahami kedudukan sembahyang yang didirikan dalam tempoh tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12849