Sembahyang Jama‘ bagi Jururawat Pesakit COVID-19 yang Memakai Personal Protective Equipment (PPE)
Soalan: Dalam situasi penularan wabak pandemik Corona Virus (COVID-19) yang menimpa negara kita pada ketika ini, keterlibatan para jururawat secara langsung dengan pesakit adalah sangat kritikal. Tugas mereka sebagai barisan hadapan (frontliners) memerlukan mereka mengikut prosedur ketat yang diaturkan oleh pihak pengurusan hospital bagi mengelakkan kemudharatan jangkitan seperti memakai Personal Protective Equipment (PPE) mengikut tempoh giliran bertugas masing-masing. Keterpaksaan mereka dalam mematuhi prosedur yang ditentukan ternyata menjadi bebanan yang amat sukar lagi berat kepada mereka, khasnya untuk melakukan sembahyang dengan cara biasa pada waktunya.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa mengenai kedudukan keharusan mengerjakan sembahyang jama‘ bagi para jururawat berkenaan.
Jawapan: Sembahyang adalah satu-satunya ibadat yang tidak boleh ditinggalkan oleh seorang mukallaf. Tuntutan melaksanakannya berkekalan selama mana hayatnya masih ada dan tuntutan tersebut tidak akan gugur dalam apa pun jua keadaan sekalipun sakit, dalam peperangan, takut, pelayaran, kesukaran untuk melakukannya dan seumpamanya.
Tuntutan ini telah pun dijelaskan dalam banyak ayat al-Qur’an dan hadits. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan dirikanlah oleh kamu sembahyang dan bayarlah zakat serta ruku‘lah bersama orang-orang yang ruku‘. (Surah al-Baqarah: 43)
Daripada hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Islam itu dibina di atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sembahyang fardhu lima waktu itu pula wajib dilaksanakan pada waktu-waktunya yang tertentu sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsinya: Sesungguhnya sembahyang itu ialah satu kewajiban ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya. (Surah an-Nisâ’: 103)
Menurut Imam al-Baidhawi Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Baidhawi bahawa sembahyang itu merupakan suatu kefardhuan yang mempunyai batas ketetapan waktu yang telah ditentukan. Ia tidak boleh dilakukan di luar dari waktu yang telah ditetapkan sekalipun dia berada dalam keadaan takut seperti berperang. Sembahyang fardhu tetap wajib dilakukan di dalam lingkungan batas waktunya seboleh yang mungkin.
Dalam sebuah hadits Qudsi Abu Qatadah bin Rib‘i Radhiallâhu ‘anhu telah mengkhabarkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Aku telah mewajibkan ke atas umatmu lima sembahyang, dan Aku berjanji pada diriKu bahawasanya sesiapa yang menjaganya (menunaikannya) menurut waktunya Aku akan memasukkan dia ke syurga dan sesiapa yang tidak menjaganya (menunaikannya) maka tidaklah ada janji baginya di sisiKu.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Menurut Imam ash-Shan‘ani Rahimahullâh dalam kitabnya at-Tanwîr bahawa hadits tersebut menegaskan agar sembahyang fardhu lima waktu itu hendaklah dilakukan pada waktunya.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa meninggalkan sembahyang atau dalam erti kata yang lain melakukan sembahyang fardhu di luar waktunya tanpa sebarang keuzuran syar‘i hukumnya adalah berdosa dan boleh dihukum bunuh jika dia berterusan meninggalkannya semata-mata kerana malas atau meringan-ringankannya, namun tidak dihukumkan kafir.
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh pula menyatakan dalam kitab az-Zawâjir bahawa dosa besar yang ketujuh puluh tujuh ialah sengaja menunaikan atau mengerjakan sembahyang di luar waktunya.
Dari penjelasan para ulama mengenai kewajiban menunaikan sembahyang pada waktunya sebagaimana di atas, jelas menunjukkan bahawa sembahyang fardhu lima waktu itu tidak boleh dilakukan di luar lingkungan batas waktunya tanpa sebarang sebab yang diharuskan syara‘. Ini bererti sekiranya waktunya telah luput, namun sembahyang belum juga dilakukan pada waktu berkenaan, maka ia dianggap telah meninggalkan sembahyang.
Melakukan Sembahyang Fardhu di Luar Waktunya
Sembahyang fardhu lima waktu itu tidak boleh dilakukan di luar waktunya dengan sengaja melainkan ada keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti bermusafir dan hujan yang disebut juga sebagai rukhshah atau keringanan untuk melakukannya di luar waktunya iaitu dengan menjama‘ (menghimpunkan) dua sembahyang fardhu dan dikerjakan dalam satu waktu.
Keharusan menjama‘ sembahyang ini adalah berdasarkan hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila berangkat (untuk bermusafir), sebelum matahari tergelincir, Baginda menangguhkan sembahyang Zhuhur hingga waktu ‘Ashar; kemudian Baginda turun (dari tunggangan) lalu menjama‘kan kedua-duanya (Zhuhur dan ‘Ashar dengan cara jama‘ ta’khîr). Sekiranya matahari telah tergelincir sedang Baginda belum berangkat, maka Baginda sembahyang Zhuhur (lebih dahulu), dan kemudian terus berangkat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits di atas, menjama‘ sembahyang diharuskan apabila seseorang itu melakukan safar (pelayaran).
Menurut mazhab asy-Syafi‘i lagi, selain kerana pelayaran, perkara yang mengharuskan sembahyang jama‘ ialah disebabkan hujan. Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata dalam Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan diketahui dari penjelasan terdahulu sesungguhnya tidak harus sembahyang jama‘ selain kerana safar (pelayaran) dan hujan seperti sakit, angin kencang, gelap, takut dan jalan berlumpur, dan ia adalah pendapat al-ashah lagi al-masyhûr; kerana sesungguhnya tidak ada dinukil (periwayatannya daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam), dan berdasarkan hadits kewajiban sembahyang fardhu pada waktu-waktunya, maka hadits tersebut tidak dicanggahi melainkan dengan (adanya dalil) yang sharih (yang jelas)...
Sembahyang Jama‘ Bukan kerana Pelayaran dan Hujan
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitab Syarh Shahîh Muslim dan al- Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab bahawa sekumpulan ulama berpendapat bahawa harus menjama‘ sembahyang semasa bermuqîm (tidak musafir) kerana hajat (keperluan yang mendesak) selama ia tidak dijadikan sebagai satu amalan adat kebiasaan. Ini adalah pendapat Ibnu Sirin dan sebahagian ulama asy-Syafi‘iyyah yang terdiri daripada al-Qaffal, asy-Syasyi al-Kabir, Abu Ishaq al-Marwazi dan Ibnu al-Mundzir Rahimahumullâh. Menurut Ibnu al- Mundzir Rahimahullâh, pendapat ini dikuatkan lagi dengan zahir kata Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ yang menyatakan bahawa menjama‘ sembahyang itu dibolehkan supaya umat Islam tidak menghadapi kesukaran atau kesulitan.
Jururawat Pesakit COVID-19 Menunaikan Sembahyang Fardhu Secara Jama‘
Dalam situasi penularan wabak pandemik Corona Virus (COVID-19) yang menimpa negara kita pada ketika ini, keterlibatan para jururawat secara langsung dengan pesakit adalah sangat kritikal. Tugas mereka sebagai barisan hadapan (frontliners) memerlukan mereka mengikut prosedur yang diaturkan oleh pihak pengurusan hospital bagi mengelakkan kemudharatan jangkitan seperti memakai Personal Protective Equipment (PPE) mengikut tempoh giliran bertugas masing-masing sebagaimana dinyatakan dalam soalan di atas. Keterpaksaan mereka dalam mematuhi prosedur yang ditentukan ternyata menjadi bebanan yang amat sukar lagi berat kepada mereka, khasnya menjadi tidak mudah bagi mereka untuk melakukan sembahyang dengan cara biasa pada waktunya. Oleh yang demikian, sebagai irsyâd, bukan fatwa, bolehlah mereka beramal dengan pendapat Ibnu Sirin dan pendapat sebahagian ulama asy-Syafi‘i yang mengharuskan sembahyang jama‘ kerana hajat (keperluan yang mendesak) selama ia tidak dijadikan sebagai satu amalan adat kebiasaan.
Walau bagaimanapun, keharusan menjama‘ sembahyang ini hendaklah diikuti dengan syarat-syarat berikut:
i. Berlakunya dalam waktu bertugas melibatkan dua sembahyang fardhu atau lebih yang menyukarkan untuk melakukan sembahyang pada waktunya melainkan dijama‘.
ii. Tidak terdapat jururawat lain untuk menggantikan tempatnya semasa dia bertugas kerana bilangan jururawat yang terhad atau keadaan yang tidak membolehkannya untuk meninggalkan tugas.
iii. Melakukan sembahyang jama‘ sahaja tanpa memendekkannya (qashr) iaitu empat rakaat kepada dua rakaat kerana sembahyang qashr hanya khusus bagi mereka yang dalam pelayaran.
iv. Pakaian PPE tidak dibenarkan untuk dibuka ketika masih dalam waktu bertugas.
v. Melakukan sama ada jama‘ taqdîm (menghimpunkan sembahyang pertama dan kedua dan dikerjakan di dalam waktu pertama) atau jama‘ ta’khîr (menghimpunkan sembahyang pertama dan kedua dan dikerjakan di dalam waktu kedua) mengikut kesesuaian tempoh giliran para jururawat yang bertugas.
vi. Tidak ada jalan atau cara lain yang dapat digunakan agar jururawat tersebut boleh melakukan sembahyang pada waktunya.
Perlu ditekankan di sini bahawa keharusan menjama‘ sembahyang ini hanyalah khusus bagi jururawat pesakit COVID-19 yang memakai PPE dan mempunyai kesukaran untuk melakukan sembahyang pada waktunya serta yang mempunyai hajat (keperluan yang mendesak) untuk menjama‘ sembahyang dengan mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan. Mana-mana jururawat yang tidak menghadapi sebarang kesukaran dan keperluan padanya sekalipun memakai pakaian PPE, maka menjama‘ sembahyang adalah tidak diharuskan.
Di samping itu, adalah juga disarankan kepada pihak pengurusan supaya mengambil kira penentuan tempoh giliran bertugas itu dengan kesesuaian waktu jururawat untuk melaksanakan sembahyang khususnya sembahyang fardhu Shubuh yang tidak ada rukhshah untuk menjama‘nya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12854
