Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Wang Dividen bagi Wang Yuran dan Wang Deposit Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Soalan: Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) pada masa ini memiliki dan menjalankan tiga (3) peringkat sekolah yang diberi nama Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sekolah berkenaan memberikan perkhidmatan pendidikan kepada murid-murid atau penuntut-penuntut yang berumur dari tiga (3) tahun dan ke atas.

Bayaran yuran persekolahan boleh dibuat secara bulanan, secara penggal (empat (4) penggal) atau secara tahunan. Di samping bayaran yuran sekolah, setiap pelajar dikenakan membayar wang deposit sebanyak B$500.00 seorang.

Bayaran deposit ini akan dikembalikan kepada murid atau penuntut berkenaan jika tidak lagi bersekolah di sekolah tersebut tertakluk jika murid atau penuntut berkenaan tidak mempunyai hutang atau bayaran tertunggak. Wang deposit B$500.00 dan yuran-yuran sekolah disimpan di akaun YSHHB di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan pada setiap tahun YSHHB menerima sejumlah wang dividen.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa mengenai kedudukan kumpulan wang dividen tersebut. Apakah semua kumpulan wang dividen itu menjadi hak YSHHB sepenuhnya atau perlu dibahagi-bahagikan kepada murid atau penuntut dan YSHHB mengikut perkiraan jumlah masing-masing?

Jawapan: Perkara utama yang perlu dijelaskan mengenai soalan di atas ialah siapakah yang berhak menurut hukum syara‘ menerima wang dividen yang diperolehi daripada simpanan wang yuran sekolah dan wang deposit melalui akaun Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD)?

Wang Yuran dan Dividen

Yuran yang dibayar oleh pihak penuntut kepada pihak sekolah adalah pembayaran perkhidmatan yang diberikan oleh pihak sekolah YSHHB. Wang yuran itu adalah menjadi upah kepada perkhidmatan yang diberikan. Muamalat ini menurut hukum syara‘ adalah termasuk dalam konsep al-ijârah.

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, al-ijârah ialah memberi milik manfaat (penggunaan atau perkhidmatan) dengan ‘iwadh (gantian atau upah) menurut syarat-syaratnya. Manakala menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam Mughnî al-Muhtâj, al-ijârah ialah ‘aqad ke atas suatu manfaat yang dikehendaki, diketahui, yang dapat digunakan dan keharusan tersebut ialah dengan ‘iwadh yang diketahui. Al-ijârah merupakan antara ‘aqad al-mu‘âwadhah (pertukaran di antara dua belah pihak) yang diharuskan oleh syara‘ sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu, maka berilah mereka upah. (Surah ath-Thalâq: 6)

Al-ijârah boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu al-ijârah ‘ala al-a‘mâl (upah ke atas perkhidmatan) dan al-ijârah ‘ala al-a‘yân (sewa ke atas harta benda). ‘aqad bagi kedua-dua jenis ini dihukumkan sah sepertimana disebut dalam kitab al-Bayân fî Fiqh al-Imam asy- Syafi‘i.

Wang yuran yang dibayar itu adalah termasuk dalam jenis al-ijârah ‘ala al-a‘mâl. Apabila ‘aqad al-ijârah ‘ala al-a‘mâl terlaksana, maka pihak penuntut sebagai al-musta’jir (pemberi upah) berhak menerima perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak sekolah YSHHB dan pihak sekolah YSHHB sebagai al-ajîr (penerima upah) berhak menerima upah di atas perkhidmatan yang diberikan. Ringkasnya, pihak sekolah YSHHB menerima wang yuran sebagai upah di atas perkhidmatan yang diberikan kepada penuntut sepanjang menjalani pembelajaran di sekolah berkenaan.

Maka jelas di sini bahawa wang yuran yang dibayar oleh pihak penuntut kepada pihak sekolah YSHHB yang berasaskan kepada upah ke atas perkhidmatan itu adalah menjadi hak milik yang sah pihak sekolah YSHHB. Oleh itu, wang dividen yang terhasil daripada wang yuran yang disimpan dalam akaun YSHHB di BIBD adalah juga menjadi hak milik pihak sekolah sepenuhnya.

Wang Deposit dan Dividen

Sebagaimana yang dijelaskan oleh penanya, wang $500.00 yang dibayar kepada pihak sekolah adalah wang deposit. Wang deposit ini akan dikembalikan kepada pihak penuntut berkenaan jika penuntut tersebut tidak lagi bersekolah di Sekolah YSHHB sama ada berhenti atau diberhentikan atau menamatkan persekolahan di sekolah tersebut. Walau bagaimanapun, pengembalian itu juga tertakluk kepada ketiadaan hutang atau bayaran tertunggak.

Melihat kepada sifat wang deposit itu, maka ia adalah menjadi wang taruhan (simpanan). Menurut ilmu fiqh, wang tersebut diistilahkan sebagai al-wadî‘ah.

Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, al-wadî‘ah dari segi bahasa bermaksud sesuatu barang yang diletakkan pada bukan pemiliknya untuk tujuan penjagaan. Manakala dari segi syara‘ pula bermaksud ‘aqad yang bertujuan untuk mewakilkan orang lain menjaga harta yang dimiliki atau harta yang dihormati secara khusus menurut cara-caranya yang tertentu. Harta yang dihormati secara khusus itu seperti al-khamr al-muhtaramah (arak dalam proses untuk dijadikan cuka), kulit bangkai yang boleh disamak dan anjing yang dilatih untuk berburu.

Berdasarkan konsep al-wadî‘ah, penjaga atau pemegang wadî‘ah hanyalah diamanahkan untuk menyimpan dan menjaga barang yang dititipkan itu dengan baik.

Berkaitan dengan wadî‘ah ini, adakalanya barang yang dititipkan itu berkembang ketika dalam wadî‘ah seperti kambing yang boleh melahirkan anak.

Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh dalam kitab Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh ath- Thâlib menyebut:

Ertinya: Dan anak binatang wadî‘ah adalah seperti ibunya, maka (anak binatang yang lahir itu juga) menjadi wadî‘ah berdasarkan wadî‘ah itu adalah ‘aqad.

Menurut penjelasan di atas, kedudukan anak binatang yang lahir semasa ibunya dititipkan menjadi wadî‘ah adalah juga menjadi wadî‘ah sepertimana ibunya. Anak binatang tersebut turut menjadi milik kepada pemilik ibunya dan menjadi amanah untuk disimpan dan dijaga dengan baik oleh pemegang atau penjaga wadî‘ah tersebut.

Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir juga ada menyebut kaedah fiqhiyyah yang bertepatan dengan pendapat di atas:

Ertinya: (Apa-apa yang berstatus sebagai) pengikut adalah mengikut (hukum yang diikutnya).

Maka berdasarkan pendapat ini, wang dividen yang diperolehi daripada wang deposit yang dibayar oleh pihak penuntut kepada pihak sekolah YSHHB itu adalah mengikut hukum wang deposit. Oleh kerana wang deposit tersebut dikategorikan sebagai wadî‘ah, maka wang dividen yang diperolehi daripada wang deposit itu juga dihukumkan sebagai wadî‘ah yang menjadi hak kepada pemilik wang deposit tersebut.

Sehubungan dengan ini, pihak YSHHB wajib menyerahkan dividen yang diperolehi daripada wang deposit berkenaan kepada pendeposit melainkan pendeposit berkenaan bersetuju menyerahkan dividen tersebut kepada pihak YSHHB sebagai pemberian.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12858