Bekerja Di Premis Yang Menjual Barang Halal Dan Haram
Soalan: Saya sekarang berada di Australia dan bekerja di sini. Saya ingin bertanya mengenai perkara-perkara berikut:
1. Terdapat kedai kitar semula bagi pakaian, peralatan dan lain-lain yang merangkumi hampir semua benda yang digunapakai seharian (contoh: Pakaian, perabut, barang perhiasan, buku, alatan make up, alatan permainan dan lain-lain). Di kedai ini, segala hasil sumbangan orang ramai akan dijual di sini.
Saya ingin memohon kerja di sini, akan tetapi merasa ragu kemungkinan juga terdapat barangan yang berunsurkan khinzîr (contoh: Kasut kulit khinzîr, baju tebal berbulu khinzîr, bulu berus make up khinzîr dan sebagainya) dalam peratusan yang kecil. Kebanyakan barangan di kedai kitar semula ini adalah pakaian termasuk pakaian wanita yang tidak menutup aurat seperti skirt, baju wanita yang ketat dan menjolok mata.
Ingin saya maklumkan juga terdapat orang-orang Islam Malaysia, Pakistan dan lain-lain yang berbelanja di situ. Adakah saya juga berdosa jika Muslimah membeli pakaian yang tidak menutup aurat atau Muslim/Muslimah membeli barangan yang ada berunsurkan khinzîr apabila saya bekerja di situ?
2. Adakah dibolehkan untuk saya bekerja di kilang daging lembu yang halal tetapi juga terdapat sebahagian kecil daging lembu yang tidak halal diproses di situ?
Jawapan: Islam menghendaki umatnya untuk mencari pekerjaan yang baik dan mulia. Di samping itu, kita juga dituntut untuk mencari dan memakan rezeki daripada sumber yang halal. Perkara ini ada dijelaskan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. (Surah al-Mâ’idah: 88)
Daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mencari yang halal adalah wajib atas setiap orang Islam. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Sememangnya hasil daripada pekerjaan yang baik dan halal itu akan menjanjikan pendapatan atau gaji daripada sumber yang halal. Dari situlah datangnya keberkatan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya yang sentiasa mencari keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Kedai Orang Bukan Islam
Pada kebiasaannya, kedai-kedai orang bukan Islam, lebih-lebih lagi di negara bukan Islam yang menjual pelbagai jenis barang keperluan untuk orang ramai seperti pakaian, makanan, perkakas dapur dan keperluan-keperluan lain sudah setentunya tidak mengambil kira sama ada ia sesuai dikonsumsi oleh orang Islam atau sebaliknya. Bagi orang Islam, barang keperluan atau barang jualan yang dijual beli hendaklah barangan tersebut tidak ditegah menurut hukum syara‘ dalam ‘aqad jual beli.
Syarat Barang Jualan
Menurut hukum syara‘, barang yang sah dijual beli itu ada lima syarat, iaitu:
(i) Barang itu hendaklah suci. (ii) Barang itu hendaklah boleh dimanfaatkan.
(iii) Berkuasa menyerahkan barang itu. (iv) Barang itu hendaklah diketahui. (v) Barang itu hendaklah dimiliki oleh orang yang ber‘aqad (penjual).
Berdasarkan syarat pertama yang disebutkan di atas, maka setiap sesuatu yang najis pada zatnya adalah haram memperjualbelikannya menurut hukum syara‘. Ini termasuklah juga khinzîr yang dikategorikan sebagai najis mughallazhah (berat). Pengharaman ini disebut dalam sebuah hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda pada tahun pembukaan Makkah ketika Baginda berada di Makkah:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta‘ala dan RasulNya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzîr dan berhala-berhala. Maka ditanya: “Wahai Rasulullah, tahukah Tuan tentang lemak bangkai, bahawasanya ia (lemak itu) digunakan untuk mengecat kapal-kapal, meminyaki kulit-kulit dengannya dan orang-orang menjadikannya sebagai minyak pelita?”Maka Baginda menjawab: “Tidak (tidak boleh). Ia adalah haram. Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda ketika itu: “Allah memerangi (membinasakan dan melaknat) orang Yahudi. Sesungguhnya tatkala Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan ke atas mereka lemak-lemaknya (bangkai), mereka cairkannya (lemak bangkai tersebut), kemudian mereka jual (minyak lemak yang mereka cairkan itu) kemudian mereka makan harganya (memanfaatkan hasil jualan minyak lemak bangkai itu.” (Hadits riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Ertinya: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak dan harganya, (Allah) telah mengharamkan bangkai dan harganya dan (Allah) telah mengharamkan babi dan harganya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits-hadits ini jelas menunjukkan larangan dan pengharaman jual beli bangkai, arak, babi dan segala najis.
Kenajisan khinzîr itu juga termasuk keturunannya dan apa-apa yang lahir daripadanya. Begitu juga kulit dan bulunya. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Majmû‘ bahawa kulit khinzîr dan anjing serta keturunan salah satu daripada kedua-duanya adalah najis dan tidak menjadi suci walaupun dengan disamak.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka hukum jual beli barangan yang diperbuat daripada khinzîr adalah haram dan tidak sah. Hasil jualan yang diperolehi daripada khinzîr dan barangan yang diperbuat daripada khinzîr seperti kulit dan bulunya adalah juga haram.
Menjual Pakaian Perempuan yang Tidak Menutup Aurat
Menutup aurat bagi perempuan ialah dengan memakai pakaian yang menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan dua tapak tangan yang zahir dan batin apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan mahram. Ketika berhadapan dengan mahram atau ketika bersendirian batasan auratnya ialah anggota di antara pusat hingga lutut. Manakala ketika berhadapan dengan perempuan bukan Islam, batasan auratnya ialah seluruh anggota badan kecuali anggota yang pada kebiasaannya nampak ketika membuat pekerjaan. Adapun ketika sembahyang pula ialah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan dua tapak tangan yang zahir dan batin.
Syarat aurat yang wajib ditutup itu hendaklah dengan pakaian yang menutup tubuh badan yang menghalang dari menampakkan warna kulit sama ada ia nipis atau tebal.
Adapun pakaian ketat yang boleh mendatangkan fitnah atau daya tarikan yang boleh membawa kepada berlakunya perkara maksiat dan mendatangkan syahwat ketika melihatnya seperti susuk buah dada, perut, punggung dan seumpamanya itu mestilah dielakkan memakainya. Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz mantan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam menyebut berkaitan dasar garis pandu mengenai perempuan dan wanita dalam fatwa bilangan 22/1987, antaranya:
“Hendaklah pakaian perempuan itu luas dan lebar tiada sempit dan ketat yang boleh menampakkan segi-segi susuk badan perempuan, dan pakaian yang ketat seperti menampakkan segi-segi buah dada dan menampakkan segi-segi perut dan punggung dan lain segi anggota yang mendatangkan fitnah dan keinginan, hendaklah dielakkan oleh perempuan-perempuan.”
Allayarham Dr. Nasr Farid Washil mantan Mufti Republik Arab Mesir juga telah menggariskan syarat-syarat pakaian perempuan dalam fatwa beliau yang menyebut:
“.....Hendaklah pakaian itu menutup semua badan, hendaklah tidak tembus dilihat yang boleh menampakkan sesuatu yang terdapat di bawah pakaian yang dipakainya, hendaklah tidak menampakkan bentuk bahagian-bahagian anggota badan dan hendaklah pakaian itu labuh dan longgar.”
Berkaitan dengan menjual pakaian perempuan yang tidak menutup aurat, pada dasarnya apa sahaja pakaian perempuan adalah harus dan sah dijual beli kerana ia masih memenuhi syarat-syarat jual beli. Walau bagaimanapun, menjual pakaian yang tidak menutup aurat itu boleh jatuh kepada haram jika penjual mengetahui dengan yakin atau zhann (sangkaan yang hampir kepada yakin) bahawa pembeli memakai pakaian itu untuk membuka aurat bukan pada tempat yang diharuskan oleh hukum syara‘, seperti memakainya di hadapan lelaki yang bukan mahramnya. Pengharaman ini adalah kerana ia membawa kepada perbuatan maksiat secara yakin atau zhann dan menolong kepada perkara kemaksiatan. Perkara ini sama seperti kedudukan haram menjual anggur kepada orang yang diketahui dengan yakin atau zhann bahawa dia membelinya untuk dijadikan arak atau minuman lain yang memabukkan, menjual ayam untuk bersabung, menjual kambing untuk dilagakan, menjual sutera untuk dipakai oleh lelaki, menjual minyak wangi (misk) untuk orang kafir mengharumkan berhala dan seumpamanya. Adapun jika sekiranya penjual hanya syak sahaja (bukan yakin atau zhann yang hampir kepada yakin) bahawa pembeli pakaian itu akan menggunakannya pada perkara maksiat maka hukum menjual kepadanya adalah makruh.
Oleh yang demikian, menjual pakaian yang tidak menutup aurat kepada Muslimah adalah harus kerana pakaian itu boleh saja digunakannya kepada penggunaan yang tidak diharamkan oleh hukum syara‘, seperti dipakainya di hadapan suami. Adapun menjual barangan yang diperbuat daripada kulit atau bulu khinzîr adalah jelas haram sekalipun penggunaannya pada perkara bukan maksiat.
Bekerja di Kedai Kitar Semula
Maksud kedai kitar semula dalam soalan ini ialah kedai yang menjual barang-barang terpakai. Adalah difahami, kedai-kedai tersebut menjual pelbagai barang termasuk sedikit barangan yang ditegah oleh hukum syara‘ menjualnya seperti baju dan kasut yang diperbuat daripada kulit atau bulu khinzîr. Memandangkan aktiviti utama perniagaan kedai tersebut adalah menjual barangan yang tidak ditegah oleh hukum syara‘, maka pada asasnya bekerja di kedai tersebut adalah harus selama mana dia tidak terlibat secara langsung penjualan atau pengendalian barang-barang yang di tegah oleh hukum syara‘ bagi mengelak diri daripada dikategorikan sebagai bertolong-tolongan dalam perkara dosa. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum Allah). (Surah al-Mâ’idah: 2)
Bekerja di Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Daging
Penyembelihan binatang dan pemprosesan daging yang memenuhi tuntutan hukum syara‘ adalah halal untuk dimakan oleh orang Islam. Namun, jika terdapat cara penyembelihan dan pemprosesan yang tidak menepati hukum syara‘ seperti hulqûm dan mari’ tidak putus ketika menyembelih, binatang mati sebelum disembelih atau apa sahaja yang tidak memenuhi rukun dan syarat penyembelihan, maka daging sembelihan tersebut adalah tidak halal dimakan kerana dihukumkan sebagai bangkai dan menjualnya adalah tidak sah.
Oleh yang demikian, pusat penyembelihan dan pemprosesan daging halal tersebut wajib memenuhi tuntutan hukum syara‘ dalam penyembelihan dan pengendalian daging.
Berdasarkan pengalaman kita dalam kerja-kerja pemeriksaan terhadap pusat-pusat penyembelihan yang diiktiraf halal di Australia, kadang-kadang masih terdapat atau berlaku pengendalian dan pemprosesan daging-daging yang tidak halal kerana kesilapan proses penyembelihan yang tidak sempurna menurut hukum syara‘, seperti sembelihan yang tidak putus hulqûm dan mari’, mati kerana stunning dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, pengendalian dan pemprosesan daging-daging yang dihukumkan tidak halal itu adalah berasingan daripada pengendalian dan pemprosesan daging-daging yang halal menurut garis panduan pusat-pusat penyembelihan halal.
Dari penjelasan di atas, maka hukum bekerja di pusat penyembelihan dan pemprosesan daging seperti di atas adalah juga harus. Walau bagaimanapun, dia wajib mengelak daripada terlibat langsung dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan penjualan daging-daging yang tidak halal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12869
