Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Bolehkah Orang Islam Menyambut Hari Kelahiran?

Soalan: Saya ingin mengetahui apakah erti dan asal usul hari jadi dan apakah seorang Muslim dibolehkan menyambut?

Selain itu, kenapakah orang Islam menyambut ulang tahun sedangkan itu adalah daripada celebration non-Muslim?

Saya ada terbaca satu dalil yang mengatakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa meniru-niru (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan)

Jawapan: Menurut The Encyclopedia Americana, hari jadi ialah ulang tahun hari kelahiran. Amalan memperingati tarikh hari kelahiran seseorang hanya bermula dengan adanya kalendar tertentu yang ditetapkan. Antara catatan sambutan ulang tahun hari kelahiran yang terawal menurut The Encyclopedia Americana ialah ketika Fir‘aun mengadakan jamuan untuk hamba-hambanya pada ulang tahun hari kelahirannya. Demikian juga Raja Herod Antipas yang menyambut ulang tahun hari kelahirannya dengan mengadakan jamuan besar-besaran untuk para bangsawan dan jeneral tentera Galilea. Orang-orang zaman purba Mesir, Yunani, Rom dan Persia juga ada menyambut ulang tahun hari kelahiran para dewa, raja dan bangsawan mereka. Pengamal-pengamal agama seperti Islam, Kristian dan Hindu juga ada menyambut ulang tahun hari kelahiran pemimpin-pemimpin mereka. Di Eropah dan Amerika, ulang tahun hari kelahiran seseorang terutama kanak-kanak merupakan acara penting yang sering disambut dengan makan malam bersama keluarga atau pesta bersama teman-teman yang pada adat kebiasaannya ada pemberian hadiah.

Dalam hadits daripada Abu Qatadah al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ditanya tentang Baginda berpuasa pada hari Isnin, lalu Baginda menjawab:

Maksudnya: Itulah (hari Isnin) hari aku dilahirkan dan hari aku diutus sebagai Rasul atau pada hari itulah wahyu (pertama) diturunkan kepadaku. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut al-Mubarakfuri Rahimahullâh dalam kitabnya Mir‘âh al-Mafâtîh Syarh Misykâh al- Mashâbîh:

Ertinya: Dalam hadits tersebut menunjukkan bahawa sesungguhnya suatu waktu itu ada kala menjadi mulia dengan peristiwa yang berlaku padanya, demikian juga dengan suatu tempat. (Hadits tersebut) juga (menunjukkan) bahawa disunatkan berpuasa pada hari Isnin dan (juga menunjukkan) bahawa adalah layak membesarkan hari yang Allah kurniakan suatu ni‘mat kepada hambaNya dengan berpuasa dan mendekatkan diri (taqarrub) kepadaNya.

Menurut Imam as-Sakhawi Rahimahullâh yang disebut oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn, amalan meraikan hari sempena maulid atau kelahiran Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam muncul selepas abad ke 3 Hijriyyah. Selepas itu umat Islam dari pelbagai negeri dan kota-kota besar terus mengamalkan sambutan maulid dengan memberi pelbagai jenis sedekah pada malam harinya dan melazimkan amalan membaca sîrah kelahiran Baginda dan kesan daripada amalan itu, mereka memperolehi keberkatan dan kelebihannya yang menyeluruh.

As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh juga ada menyebut pendapat Imam Abu Syamah Rahimahullâh, guru kepada Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa antara amalan terbaik yang direka pada zaman kita ialah apa yang dibuat pada setiap tahun ketika menyambut ulang tahun hari kelahiran Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam iaitu: Memberi sedekah, membuat amal kebajikan dan menzahirkan kegembiraan. Perkara tersebut, di samping ia sebagai berbuat ihsan kepada fakir miskin, ia juga menunjukkan perasaan kasih dan mengagungkan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, serta rasa syukur kepada Allah Ta‘ala atas kurniaNya yang telah menjadikan Baginda diutus sebagai Rasul dan rahmat bagi sekalian alam.

Berdasarkan keterangan di atas, menyambut ulang tahun hari kelahiran bukanlah tradisi khusus yang diamalkan oleh sesuatu agama atau bangsa kerana setakat kajian yang dibuat tidak dijumpai fakta kukuh yang menunjukkan sedemikian, bahkan sambutan ulang tahun hari kelahiran ada disambut oleh pelbagai masyarakat. Maka persepsi yang mengatakan menyambut ulang tahun hari kelahiran itu sebagai perayaan orang bukan Islam (celebration non-Muslim) adalah kurang tepat.

Adapun hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa meniru-niru (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan)

Maksud tasyabbuh atau meniru-niru sesuatu kaum dalam hadits ini sebagaimana pendapat Imam al-Munawi dan Imam al-‘Alqami Rahimahumallâh dinyatakan dalam kitab ‘Aun al- Ma‘bûd Syarh Sunan Abi Daud ialah berpenampilan pada zahir dengan penampilan kaum tersebut dan menjalani hidup dengan cara mereka dari segi pakaian (yang khusus dipakai oleh mereka) dan sebahagian perbuatan yang menjadi ciri-ciri khusus mereka.

Maka, dari sudut menyambut ulang tahun hari kelahiran bukanlah termasuk dalam perkara tasyabbuh atau meniru-niru amalan orang bukan Islam sebagaimana maksud hadits di atas.

Walau bagaimanapun dalam cara menyambut ulang tahun hari kelahiran itu, terdapat beberapa perkara yang boleh menyerupai kepercayaan dan amalan khusus orang bukan Islam seperti amalan meniup lilin yang diletakkan di atas kek yang merupakan amalan kaum tertentu. Maka perkara seumpama inilah yang patut dihindari kerana ia mempunyai unsur tasyabbuh yang dimaksudkan dalam hadits di atas. Lebih-lebih lagi jika cara sambutan ulang tahun hari kelahiran itu diselitkan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tari-menari dan seumpamanya.

Oleh itu, hukum menyambut ulang tahun hari kelahiran adalah tertakluk kepada bagaimana cara ia disambut. Menyambut ulang tahun hari kelahiran dengan tujuan mensyukuri ni‘mat dipanjangkan umur dengan mengadakan majlis do‘a kesyukuran dan menjamu keluarga, sahabat-handai, jiran-tetangga, lebih-lebih lagi fakir miskin sebagai sedekah adalah suatu yang diharuskan.

Adapun jika menyambut ulang tahun hari kelahiran dengan mengadakan sambutan yang mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama lain dan mengandungi perkara mungkar seperti hiburan-hiburan yang berupa nyanyian-nyanyian atau tarian-tarian yang bercanggah dengan syara‘, pergaulan bebas dan seumpamanya adalah dilarang oleh Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12873