Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Bulan Zulhijjah Hanya 28 Hari

Soalan: Dalam pemerhatian saya Negara Brunei Darussalam hanya menjalani 28 hari bagi bulan Zulhijjah 1441H disebabkan anak bulan Zulhijjah tidak kelihatan semasa penentuan Hari Raya Haji 1441H. Persoalan saya adakah tidak mendatangkan sebarang masalah akibat praktis kita yang tidak konsisten ini?

Jawapan: Mengetahui bulan-bulan Hijriyyah adalah amat penting bagi umat Islam kerana pada asasnya semua urusan sama ada urusan dunia dan peribadatan adalah bergantung kepada ketetapan pentsabitan bulan-bulan tersebut. Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(Bahawa peredaran) anak-anak bulan itu adalah untuk menandakan waktu-waktu bagi (urusan dan amalan) manusia dan ibadat haji.” (Surah al-Baqarah: 189)

Menurut riwayat Qatadah Radhiallâhu ‘anhu dan selainnya bahawa sebab ayat ini diturunkan ialah kerana pertanyaan orang-orang Yahudi mengenai sebab kenapa bentuk bulan itu terbit halus, kemudian bertambah besar dan bulat, kemudian ia kembali semula sebagaimana ia terbit dan tiada tetap dalam satu keadaan seperti matahari. Maka Allah Ta‘ala memerintahkan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk menjawab pertanyaan mereka itu dengan ayat ini.

Para ulama tafsir menjelaskan bahawa Allah Ta‘ala menjadikan bulan-bulan Hijriyyah yang berdasarkan peredaran bulan adalah supaya orang Islam mengetahui waktu berpuasa dan berbuka, waktu ‘iddah, waktu tempoh menyelesaikan hutang, waktu menunaikan haji dan nusuknya, kiraan haidh dan lain-lain kepentingan.

Tuntutan Melihat Anak Bulan

Tuntutan melihat anak bulan (ru’yah al-hilâl) pada setiap bulan-bulan Hijriyyah adalah fardhu Kifayah dan ia bukanlah hanya dilakukan bagi menentukan awal bulan Ramadhan sahaja, sebagaimana perkataan asy-Syaubari Rahimahullâh yang dinukil daripada kitab Bughyah al-Mustarsyidîn:

Ertinya: Melihat anak bulan Ramadhan seperti bulan-bulan selainnya adalah fardhu Kifayah kerana terhasil di atasnya banyak faedah.

Menurut al-Kurdi Rahimahullâh, pentsabitan awal Ramadhan dan bulan-bulan selainnya adalah dengan kaedah ru’yah al-hilâl. Adapun orang yang berpegang bahawa melihat anak bulan itu hanya khusus untuk bulan Ramadhan sahaja adalah satu pegangan yang salah, sebagaimana kata pengarang kitab Bughyah al-Mustarsyidîn:

Ertinya: Tidak tsabit bulan Ramadhan seperti bulan-bulan selainnya melainkan dengan penglihatan anak bulan atau menyempurnakan bilangan tiga puluh hari dengan tiada beza (Ramadhan dengan bulan-bulan lain) kecuali dalam perkara masuknya (tsabit Ramadhan) dengan seorang yang ‘âdil. Adapun apa yang menjadi pegangan di sebahagian negeri iaitu bahawasanya mereka menjadikan (pentsabitan) bulan-bulan selain bulan Ramadhan adalah dengan (kaedah) hisab dan mereka menyusun dengannya (perjanjian) tempoh melangsaikan hutang-hutang dan ta‘lîq-ta‘lîq (pelaksanaan sesuatu perkara) dan mereka mengatakan bahawa pegangan kepada (kaedah) melihat anak bulan (ru‘yah al-hilâl) hanya khusus bagi bulan Ramadhan maka ia adalah (pegangan) yang jelas salah, dan perkara itu (sebenarnya) bukan sebagaimana yang mereka sangka dan saya tidak tahu sandaran mereka dalam (perkara) demikian itu.

Berdasarkan perkataan para ulama di atas, dapatlah difahami bahawa penentuan awal bulan-bulan Hijriyyah itu adalah dengan menggunakan kaedah ru’yah al-hilâl, sebagaimana ini juga pernah disebut oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz mantan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam fatwanya bilangan 62/1962, 12/1967, 20/1968 dan 34/1971. Beliau juga menyarankan supaya penentuan awal bulan itu dilakukan dengan lebih cermat.

Penentuan Awal Bulan Sya‘ban, Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah

Penentuan awal bulan Sya‘ban, Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah dengan ru’yah al-hilâl, ada disebut di dalam beberapa hadits. Antaranya hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan), dan jangan kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya (anak bulan Syawwal). Maka jika terlindung (anak bulan kerana ada awan atau seumpamanya), maka ke atas kamu hendaklah takdirkan (cukupkan) baginya.

Hadits di atas jelas menyatakan, bahawa penentuan awal Ramadhan dan awal Syawwal itu adalah bersandarkan kepada ru’yah al-hilâl.

Manakala dalam keadaan anak bulan Ramadhan atau Syawwal tidak dapat dilihat kerana terlindung oleh awan, gunung dan seumpamanya, maka penentuan awal bulan adalah dengan mencukupkan bilangan tiga puluh hari bagi bulan sebelumnya, sebagaimana penjelasan jumhûr ulama tentang maksud " ُفَاقحدُرُواحلَه " dalam hadits di atas yang disandarkan kepada hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Bulan itu dua puluh sembilan malam, maka jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihatnya (anak bulan Ramadhan). Jika terlindung (anak bulan dengan ada awan atau seumpamanya), maka ke atas kamu cukupkanlah bilangan tiga puluh.

Dalam hadits yang lain daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Bulan itu begini, begini dan begini. (Kemudian Baginda melipat ibu jarinya pada yang ketiga). Maka berpuasalah kamu kerana melihatnya dan berbukalah kamu kerana melihatnya. Jika terlindung ke atas kamu, maka kamu takdirkanlah (cukupkanlah) baginya tiga puluh (hari). (Hadits riwayat Muslim)

Begitu juga hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Berpuasalah kamu kerana melihatnya (anak bulan Ramadhan) dan berbukalah kamu kerana melihatnya. Jika tidak diketahui oleh kamu, maka sempurnakanlah bilangan Sya‘ban tiga puluh.

Dalam hadits lain lagi ialah menyuruh supaya mengerjakan nusuk haji selepas melihat anak bulan dengan disaksikan oleh dua orang saksi. Daripada Husain bin al-Harits al-Jadali daripada Jadilah Qais telah menceritakan bahawasanya amîr Makkah telah berkhutbah lalu berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah berpesan kepada kami agar kami (mulai) mengerjakan nusuk berdasarkan ru’yah. Jika kami tidak melihatnya, namun dua orang saksi ‘âdil menyaksikan (hilâl telah nampak), maka kami mulai mengerjakan nusuk berdasarkan persaksian mereka berdua. (Hadits riwayat Abu Daud)

Ulama-ulama fiqh juga tidak ketinggalan menyebut mengenai penglihatan anak bulan bagi menentukan awal bulan. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya, Minhâj ath- Thâlibîn juga ada menyebut, bahawa adalah wajib puasa Ramadhan dengan menyempurnakan bilangan Sya‘ban tiga puluh hari atau dengan melihat anak bulan (Ramadhan).

Mengenai dengan penglihatan anak bulan Sya‘ban, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya, Tuhfah al-Muhtâj menukil perkataan ad-Darimi, bahawa orang yang telah melihat anak bulan Sya‘ban namun penglihatannya itu tidak dapat ditsabitkan (kerana tidak ada saksi lain), maka awal bulan Ramadhan adalah tsabit bagi dirinya dengan mencukupkan tiga puluh hari bulan Sya‘ban dari waktu dia melihat itu.

Berdasarkan hadits-hadits dan perkataan para ulama di atas, maka jelaslah kaedah menentukan bulan Sya‘ban, Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah itu adalah berdasarkan penglihatan anak bulan (ru‘yah al-hilâl). Awal bulan-bulan tersebut bermula apabila anak bulan tsabit kelihatan dan jika anak bulan tidak tsabit dilihat, maka bulan-bulan tersebut hendaklah dicukupkan tiga puluh hari.

Bilangan Hari Dalam Sebulan

Bilangan hari dalam bulan-bulan Hijriyyah ada disebut dalam beberapa buah hadits. Antaranya hadits daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melafazkan ilâ’ (bersumpah untuk tidak menjimâ‘ isteri Baginda) selama sebulan. Apabila telah berlalu dua puluh sembilan hari, Baginda kembali (menemui isteri Baginda), lalu para sahabat berkata kepada Baginda: “Sesungguhnya engkau telah bersumpah untuk tidak melakukan jimâ‘ selama sebulan.” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya satu bulan itu ialah dua puluh sembilan hari.

Dalam hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Satu bulan itu dua puluh sembilan malam. Maka jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihatnya (anak bulan Ramadhan). Jika terlindung ke atas kamu, maka kamu cukupkan bilangan tiga puluh (tiga puluh hari bulan Sya‘ban).

Berdasarkan kedua-dua hadits di atas menunjukkan bahawa bilangan hari di dalam bulan-bulan Hijriyyah ialah sama ada dua puluh sembilan hari atau tiga puluh hari sahaja.

Oleh yang demikian jumlah hari dalam sebulan itu adalah bersandarkan kepada penglihatan anak bulan (ru’yah al-hilâl) sama ada tsabit dilihat ataupun tidak. Menurut al-Imam al- Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, waktu melihat anak bulan itu ialah pada hari ke dua puluh sembilan malam ke tiga puluh pada setiap bulan.

Dengan penetapan kaedah pengiraan hari di atas, maka menurut syara‘ tidak timbul isu dua puluh lapan hari dalam bulan Hijriyyah kerana jumlah minimanya ialah dua puluh sembilan hari.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12878