Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Hukum Mempamerkan Tiang Keliring

Soalan: Saya ingin memohon penjelasan fatwa mengenai cadangan untuk mendirikan keliring atau tiang kubur di kawasan depan bangunan Muzium Teknologi Melayu.

Untuk makluman Yang Berhormat Pehin, keliring itu diperbuat daripada sebatang kayu yang dipenuhi dengan lorekan berbentuk muka binatang dan imej yang menakutkan. Hasil daripada penyelidikan pihak saya, dulunya keliring ini digunakan untuk menyimpan mayat dengan meletakkannya ke dalam tempayan atau lungun (Melayu Brunei: keranda) terutama bagi pemimpin masyarakat yang meninggal dunia bagi suku kaum yang tinggal di Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Ia merupakan hadiah daripada Muzium Sarawak kepada Muzium Brunei sekitar tahun 1970 sebagai tanda persahabatan.

Jawapan: Tiang keliring menurut maklumat yang disertakan oleh penyoal merupakan tiang kayu berukir yang digunakan oleh suku kaum tertentu di kawasan Borneo, termasuk di pedalaman Negeri Sarawak dalam adat pengebumian mereka. Menurut apa yang dapat difahami, tiang tersebut digunakan untuk menyimpan sisa-sisa tulang mayat si mati. Sisa-sisa tulang tersebut akan disimpan di dalam tajau lalu disimpan pada satu tempat khas di bahagian atas tiang keliring tersebut dan ditutupi oleh kepingan batu yang besar dan berat.

Selain keliring terdapat juga tiang-tiang kayu yang mempunyai fungsi yang serupa iaitu sebagai tiang tempat penyimpanan mayat atau sisanya dengan nama-nama yang berbeza seperti klirieng, keladan, kelidieng, salong, jerunai dan pagol.

Pengebumian keliring (menempatkan sisa mayat ke dalam tiang keliring) sebagaimana yang disebut di dalam buku Arkeologi Merungkai Sejarah Silam terbitan Jabatan Muzium-Muzium adalah adat pengebumian sekunder (secondary burial) yang dipraktikkan oleh puak Kejang dan beberapa puak etnik lain di Sarawak. Menurut satu kajian, adat ini juga dipraktikkan oleh kaum Punan Bah sebagai pengebumian kedua. Tiang keliring ini digunakan untuk menempatkan sisa mayat orang atasan kaum-kaum tersebut seperti raja atau ketua. Sekiranya pengebumian keliring ini hendak diadakan oleh ahli keluarga si mati, ia akan dilaksanakan beberapa tahun setelah mayat si mati mengalami proses pereputan.

Untuk mengadakan adat pengebumian keliring ini, beberapa persiapan lain perlu dilakukan termasuk upacara mendirikan tiang keliring yang melibatkan korban manusia. Seorang anak gadis daripada kalangan hamba biasanya akan dipilih sebagai korban ketika upacara menanam tiang keliring tersebut. Menurut sumber daripada laman web akhbar The Borneo Post, upacara menanam tiang keliring akan mengorbankan ‘lipen’ iaitu hamba kepunyaan ahli keluarga pemimpin kaum tersebut ataupun musuh yang menjadi tawanan.

Biasanya pada tiang keliring ini terdapat ukiran-ukiran yang mempunyai maksud tertentu. Berdasarkan beberapa kajian lapangan yang dilakukan oleh para pengkaji tentang adat kaum etnik di Sarawak bahawa sesebuah tiang keliring itu mempunyai bentuk yang berbeza tetapi lazimnya mempunyai beberapa ukiran yang sama. Misalnya ukiran dua wajah yang dipanggil sebagai tagulun yang mewakili wajah lelaki dan perempuan dan juga wajah yang bertaring dan mempunyai cuping telinga yang panjang yang dikatakan melambangkan sifat kekuatan lelaki dan perempuan tersebut. Selain itu terdapat juga beberapa ukiran yang berupa lembaga dalam keadaan seperti duduk bertinggung, ukiran-ukiran kecil yang berupa seperti monyet serta ukiran motif-motif lain seperti tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Setiap satu daripada ukiran itu mempunyai makna yang melambangkan kehidupan, adat dan kepercayaan suatu kaum tersebut. Pembuatannya juga memakan masa hingga satu tahun atau lebih.

Namun setelah kedatangan James Brooke di Sarawak, upacara pengebumian menggunakan keliring ini telah dihentikan iaitu sekitar tahun 1841M. Para pengkaji menyatakan dipercayai bahawa antara sebab upacara ini dihentikan ialah kerana upacara tersebut melibatkan korban manusia. Bermula dari saat itu adat pengebumian kaum-kaum etnik di Sarawak ini mula mengalami perubahan. Meskipun pengebumian keliring telah lama ditinggalkan, nilai kesenian dan kebudayaan yang terdapat pada tiang tersebut menjadikan tiang keliring dikira sebagai satu khazanah warisan bagi kaum-kaum tersebut.

Ukiran-ukiran yang disebut di atas juga terdapat pada tiang keliring yang ditanyakan menerusi penelitian terhadap gambar-gambar yang disertakan dan ukiran-ukiran itu mempunyai maksud tertentu bagi kaum pemilik tiang tersebut. Antara ukiran yang dapat dilihat pada tiang itu ialah ukiran makhluk bernyawa yang berupa seperti lembaga berbentuk manusia, binatang dan pelbagai ukiran motif atau corak yang lain. Oleh kerana tiang keliring tersebut mempunyai ukiran makhluk bernyawa maka hukum mempamerkannya juga tertakluk kepada hukum mempamerkan ukiran sedemikian menurut syara‘.

Hukum Mempamerkan Ukiran Makhluk yang Bernyawa

Dalam mazhab asy-Syafi‘i hukum mengenai ukiran benda bernyawa adalah sama kedudukannya dengan hukum patung, lukisan dan tenunan. Patung diistilahkan oleh para ulama sebagai ilustrasi yang berjisim atau mempunyai bayang. Manakala ukiran, lukisan dan tenunan diistilahkan sebagai ilustrasi yang tidak berjisim atau tidak mempunyai bayang. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Syarh Shahîh Muslim ada menyebut mengenai perkara ini:

Ertinya: Dan tidak ada beza pada (hukum) semua ini di antara (ilustrasi) yang ada padanya bayang dan (ilustrasi) yang tidak ada padanya bayang.

Oleh itu dalil dan hukum mengenai patung, gambar lukisan dan tenunan juga terpakai ke atas ukiran seperti yang terdapat pada tiang keliring tersebut.

Dalam menjelaskan hukum memanfaatkan patung atau gambar makhluk bernyawa sebagai perhiasan, pandangan para ulama mengenainya adalah tertakluk kepada keadaan berikut:

1. Patung atau Gambar yang Lengkap Anggotanya.

Yang dimaksudkan dengan patung atau gambar yang lengkap anggota ini ialah dilengkapi dengan anggota tubuh badan yang jika dinisbahkan kepada makhluk bernyawa, ia tidak akan dapat hidup tanpa anggota tersebut. Maka memanfaatkannya sebagai perhiasan adalah haram kerana terdapat unsur-unsur memuliakan dan mengagungkan patung atau gambar tersebut tidak kira sama ada diletakkan di tempat mulia atau hina.

Jika patung atau gambar makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya itu dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti dijadikan hamparan, bantal yang digunakan untuk berbaring atau bersandar dan seumpamanya maka hukumnya adalah harus. Menurut Imam al-Qalyubi Rahimahullâh meletakkan patung atau gambar di atas tanah yang bukan untuk dipijak-pijak (dihina) juga termasuk perkara yang mungkar, misalnya patung yang diletakkan di atas tanah atau di atas lantai sebagai perhiasan.

Larangan ini merangkumi sama ada ilustrasi makhluk bernyawa itu dalam bentuk patung ataupun ukiran pada atap atau dinding ataupun tenunan pada baju atau selainnya sekalipun tidak ada bandingannya seperti kuda bersayap dan seumpamanya.

2. Patung atau Gambar yang Tidak Lengkap Anggotanya.

Yang dimaksudkan dengan patung atau gambar yang tidak lengkap anggotanya ialah tidak mempunyai anggota tubuh badan yang membolehkan ia hidup jika dinisbahkan kepada makhluk bernyawa, seperti tidak ada kepala atau badan, maka harus membuat dan memanfaatkannya.

Perkara ini adalah kerana benda bernyawa jika dipotong kepalanya atau badannya tidak akan dapat hidup. Dengan itu hukum memanfaatkannya menjadi sama seperti hukum gambar pohon, pokok atau benda-benda lain yang tidak bernyawa seperti bulan dan matahari, sebagaimana yang diizinkan oleh Ibnu ‘Abbâs Radhiallâhu ‘anhumâ untuk mengukirnya.

Dalam perkara ini terdapat juga segelintir fuqahâ’ yang tetap mengharamkannya antaranya Imam al-Mutawalli Rahimahullâh, iaitu salah seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi‘i. Menurut beliau adalah haram membuat patung sama ada lengkap anggota tubuh badannya ataupun tidak.

Walau bagaimanapun Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya az-Zawâjir bahawa menurut jumhûr ulama adalah wajib untuk mengubah atau mencacatkan bentuk patung makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya. Ini bererti jika hendak memanfaatkan patung makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya hendaklah dipotong mana-mana anggota yang tanpa anggota tersebut ia tidak akan dapat hidup seperti dibuang kepala atau badannya.

Perkara ini juga adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Jibril telah datang kepadaku dan berkata: “Tadi malam saya datang kepada Tuan, tidak ada apa pun yang menghalangi saya untuk masuk ke rumah yang Tuan ada di dalamnya, kecuali di pintu rumah ada patung lelaki, dan di dalam rumah ada tabir nipis yang ada gambar patung dan di dalam rumah juga ada anjing. Maka perintahkanlah supaya kepala patung yang ada di pintu itu dipotong maka jadikanlah ia seperti bentuk pohon. Dan perintahkanlah supaya tabir nipis itu dipotong dan dijadikan daripadanya dua bantal hamparan untuk diduduki. Dan perintahkanlah supaya anjing itu dikeluarkan.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu melalui riwayat yang sama menceritakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaksanakan semua yang telah disuruh oleh Jibril ‘Alaihissalâm, iaitu memotong kepala patung, memotong tabir nipis dan dijadikan dua bantal hamparan untuk diduduki serta mengeluarkan anjing dari rumah tersebut.

Adapun memanfaatkan patung atau gambar makhluk bernyawa yang tidak lengkap anggotanya sebagai perhiasan tetap sahaja dihukumkan haram kerana terdapat unsur-unsur memuliakan atau mengagungkannya. Ini termasuk juga menyimpan sebagai hiasan benda yang menjadi simbol atau mempunyai signifikan khusus kepada agama atau kepercayaan tertentu selain Islam kerana dikhuatiri membawa kepada kufur.

Berbalik kepada persoalan di atas, iaitu hukum mempamerkan tiang keliring ini, sukacita saya juga ingin menyebut fatwa yang dikeluarkan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mantan Mufti Kerajaan, mengenai Derma Sebatang Tanda atau Tugu Perkuburan kepada Muzium Brunei Daripada Kerajaan Sarawak, yang nampaknya perkara ini adalah berkaitan. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan siri 49/1981, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz menyebut:

“2. Kiranya tidak ada pada batang tanda itu gambar manusia yang cukup atau gambar binatang yang bernyawa yang cukup dan gambar-gambar itu ada hubungan sejarah Brunei, tiada mengapa diterima hadiah batang tanda itu bagi kegunaan sejarah Negara Brunei menurut bagaimana kata setengah ulama dan bukan untuk dipamerkan kepada orang ramai.”

Ada beberapa persyaratan disebut oleh fatwa di atas iaitu benda itu (hendaklah) ada hubungan dengan sejarah Brunei dan untuk kegunaan sejarah Brunei dan bukan ia untuk dipamerkan. Sedang Tiang Keliring di samping terdapat ukiran-ukiran seperti wajah lelaki dan perempuan, wajah bertaring mempunyai cuping telinga yang panjang, lembaga seperti duduk bertinggung dan lain-lain ukiran seperti monyet, ia juga tiada kaitan dengan sejarah Brunei dan untuk kegunaan sejarah Brunei. Oleh itu jika ia diterima pun sebagai meraikan hubungan dua hala, tetapi bukanlah untuk dipamerkan, kerana dengan mempamerkan bukan sahaja menyalahi hukum syara‘, malahan juga seolah-olah turut mengakui, bersetuju, bersimpati atau menyokong adat resam atau budaya yang bercanggah dengan ‘aqidah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12882