Kedudukan Kutipan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid
Soalan: Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid (Tabung Dana) adalah satu platform bagi mengumpul dana wang tunai untuk kegunaan pembinaan dan pembaikan masjid. Tujuan penubuhan Tabung Dana ialah untuk memberi peluang kepada orang ramai di negara ini khasnya umat Islam untuk sama-sama bertanam saham serta dapat turut meni‘mati manfaat akhirat yang sangat-sangat dihajati. Hasil kutipan Tabung Dana akan digunakan untuk membina masjid yang baharu, membaik pulih dan menambah bangunan masjid dan keperluannya. Konsep kutipan Tabung Dana yang dilaksanakan pada masa ini ialah berbentuk sumbangan derma.
Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan sebarang pandangan, irsyâd atau fatwa mengenai perkara-perkara berikut:
1. Adakah wang yang disumbangkan ke dalam Tabung Dana dengan tujuan bahawa penggunaannya adalah semata-mata untuk pembinaan dan pembaikan masjid merupakan salah satu bentuk waqaf tunai?
2. Bolehkah sumbangan wang ke dalam Tabung Dana menjadi satu bentuk waqaf khas di mana pewaqaf berhasrat nilai wang yang diwaqafkan tersebut hanya digunakan untuk membina dan membaiki masjid sahaja?
Jawapan: Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid (Tabung Dana) sebagaimana dijelaskan di atas, ia adalah kumpulan dana wang tunai yang berbentuk sumbangan derma daripada orang ramai khasnya umat Islam untuk digunakan membina masjid yang baharu, membaik pulih dan menambah bangunan masjid dan keperluannya. Tujuan penubuhannya ialah untuk memberi peluang kepada orang ramai di negara ini khasnya umat Islam untuk sama-sama bertanam saham serta dapat turut meni‘mati manfaat akhirat yang sangat-sangat dihajati. Selain itu, disebut juga bahawa konsep kutipan Tabung Dana yang dilaksanakan pada masa ini ialah berbentuk sumbangan derma.
Maka adalah jelas sumbangan wang tunai itu bukanlah waqaf sekalipun sumbangan derma wang tunai itu khusus digunakan untuk membina masjid, kerana niat orang ramai yang telah menyumbangkan derma kepada Tabung Dana itu juga adalah berasaskan kepada derma.
Menurut syara‘, derma boleh dihukumkan sama ada sebagai sedekah, hadiah atau hibah, tetapi bukan waqaf kerana dalam berwaqaf, pewaqaf mestilah berlafaz waqaf atau sebarang lafaz yang memberi makna waqaf.
Oleh itu apa jua benda yang disumbangkan kepada masjid, ia tidak dihukumkan sebagai waqaf jika penyumbangnya tidak berniat dan tidak berlafaz waqaf atau sebarang lafaz yang memberi makna waqaf, kecuali dalam masalah mewaqafkan tanah untuk menjadi tapak masjid. Waqaf tersebut adalah sah sekalipun dia tidak berlafaz waqaf atau sebarang lafaz yang memberi makna waqaf, kerana status masjid itu sendiri adalah waqaf sebagaimana diterangkan oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: (Menurut pendapat) al-ashah, sesungguhnya perkataannya (seseorang): “Saya jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid” sekalipun dia tidak menyebut “kerana Allah”, jadilah dengannya iaitu dengan semata-mata lafaz ini sebagai masjid; kerana sesungguhnya sebuah masjid itu tidak menjadi (apa-apa status) melainkan waqaf, maka tidak perlu lafaz (mewaqafkannya menyebut) lafaz waqaf dan seumpamanya.
Waqaf Menurut Syara‘
Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj mengertikan waqaf dari segi syara‘ ialah:
Ertinya: Menahan (membekukan) suatu harta yang boleh diambil manfaat daripadanya serta kekal ‘ainnya dengan memutuskan hak kuasa bertindak (ke atas harta tersebut) untuk disalurkan pada perkara yang diharuskan oleh syara‘.
Menurutnya lagi, syarat-syarat sesuatu yang diwaqafkan itu hendaklah ia berupa ‘ain (mata benda), ditentukan, dimiliki, boleh dipindah milik, menghasilkan faedah (seumpama kebun yang menghasilkan buah) atau menghasilkan manfaat (seumpama rumah yang memberi manfaat tempat tinggal) yang boleh disewakan dalam keadaan benda itu masih kekal.
Oleh itu, waqaf bererti menahan benda asal yang kekal dan mengembangkan faedahnya, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Tahan (waqafkanlah) asal (kebun) dan jadikan buah (hasil daripadanya) pada jalan Allah. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Ini bererti sesuatu yang diwaqafkan (al-mauqûf) hendaklah sesuatu yang kekal dan boleh diambil manfaat daripadanya oleh pihak penerima waqaf (al-mauqûf ‘alaih).
Waqaf Wang Tunai
Adapun mewaqafkan wang tunai menurut mazhab asy-Syafi‘i adalah bergantung kepada hukum menyewakan dinar dan dirham. Sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘i mengharuskannya dan sebahagian lagi tidak mengharuskannya.
Imam asy-Syirazi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Muhadzdzab:
Ertinya: Sahabat-sahabat kami (para ulama asy-Syafi‘i) berbeza pendapat dalam (perkara mewaqafkan) dirham dan dinar. Orang yang mengharuskan penyewaannya, maka dia mengharuskan pewaqafannya dan orang yang tidak mengharuskan penyewaannya, maka dia tidak mengharuskan pewaqafannya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula berkata dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dalam (perkara) waqaf dirham dan dinar ada dua wajh (pendapat), sebagaimana (hukum) menyewakan kedua-duanya; (iaitu) jika kita mengharuskannya (penyewaannya), maka sah waqaf (dirham dan dinar) bagi (tujuan) sewa.
Imam al-Mawardi Rahimahullâh juga ada menyebut perbezaan pendapat di kalangan ulama asy-Syafi‘i mengenai hukum waqaf dinar dan dirham dalam kitab al-Hâwî al-Kabîr:
Ertinya: Waqaf dirham dan dinar tidak harus mewaqafkannya kerana habis manfaatnya dengan penggunaannya, maka ia seperti makanan. (Manakala) Abu Tsaur (Rahimahullâh) meriwayatkan daripada Imam asy-Syafi‘i (Rahimahullâh), harus mewaqafkannya. Riwayat (keharusan) ini adalah diihtimâlkan (bermaksud) mewaqafkannya bagi (tujuan) menyewakannya kerana manfaatnya, bukan bagi (tujuan) penggunaan mata bendanya, seolah-olah dia hendak mewaqafkan manfaat sedangkan yang demikian itu adalah tidak harus. Jika mewaqafkannya (dirham dan dinar) untuk tujuan penyewaan dan pengambilan manfaat yang kekal, maka ada dua wajh (pendapat) sebagaimana kita katakan pada (bab)
al-ijârah (sewa). Adapun berwaqaf barang kemas (hukumnya) adalah harus, tiada perselisihan (mengenainya) kerana keharusan menyewakannya atau (keharusan) tempat mengambil manfaat dengannya serta kekal mata bendanya.
Imam al-‘Imrani Rahimahullâh juga ada menerangkan mengenainya dalam kitab al-Bayân fî Madzhab al-Imam asy-Syafi‘i:
Ertinya: Adakah sah waqaf dirham dan dinar? Terdapat dua wajh (pendapat): Jika kita mengatakan sah menyewakannya, (maka) sahlah mewaqafkannya. (Manakala) jika kita mengatakan tidak sah menyewakannya, (maka) tidaklah sah mewaqafkannya dan ini adalah pendapat ash-shahîh kerana tiada perselisihan bahawa jika dirham dan dinar dirampas (daripada seseorang), maka tidak wajib ke atasnya membayar sewaannya.
Oleh itu, menurut al-qaul al-mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i, tidak sah berwaqaf dengan dirham (wang perak) dan dinar (wang emas). Begitu juga dengan mata wang yang digunakan pada masa ini seperti ringgit, dollar dan yang seumpamanya. Ini kerana manfaatnya habis dengan penggunaannya sebagaimana makanan, di samping tidak boleh disewakan atau menyewanya.
Tidak dinafikan bahawa terdapat sebahagian pihak menjadikan wang tunai sebagai aset waqaf (al-mauqûf) kerana mengikut pendapat yang mengatakan waqaf tunai adalah harus. Mekanisme yang diamalkan oleh pengendali waqaf tunai tersebut ialah dengan cara melaburkan wang tunai yang diwaqafkan itu dan keuntungannya diberikan kepada penerima waqaf. Maka dengan demikian, modal wang tunai yang diwaqafkan adalah kekal, manakala keuntungan disalurkan kepada penerima waqaf sebagai manfaat atau dikembangkan menurut syarat yang ditentukan oleh pewaqaf.
Institusi fatwa dan badan berautoriti dalam bidang kewangan di peringkat antarabangsa yang ada mengeluarkan fatwa dan resolusi mengenai waqaf tunai, antaranya ialah:
● Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang memutuskan dalam sidangnya kali ke-77 pada 10-12 April, 2007 bahawa berwaqaf dalam bentuk tunai adalah dibolehkan.
● Komisi Fatwa Majelis Ulama Indonesia pula mengertikan waqaf tunai adalah waqaf yang dilakukan seseorang, kelompok orang dan lembaga atau badan hukum dalam bentuk wang tunai. Juga termasuk dalam pengertian wang adalah surat-surat berharga. Majelis Ulama Indonesia (MUI) juga menghukumkan harus berwaqaf dengan wang tunai dengan jaminan mengekalkan nilai pokok waqaf wang tunai tersebut.
● Akademi Fiqh Islam Antarabangsa yang bersidang di Muscat, Oman pada persidangannya kali ke-15 mulai 14 hingga 19 Muharram, 1425 bersamaan 06 hingga 11 Mac, 2004 telah mengeluarkan resolusi bilangan 140 (15/6):
i. Waqaf wang tunai adalah harus dari sudut syara‘ kerana tujuan pensyariatan waqaf iaitu menahan (membekukan) asal (harta yang diwaqafkan) dan menyalurkan manfaat (ke jalan Allah) adalah tercapai padanya, dan kerana wang tunai itu tidak tertentu dengan ketentuan (‘ainnya), bahkan gantiannya boleh menggantikan tempatnya.
ii. Harus berwaqaf wang tunai bagi tujuan pinjaman (al-qardh al-hasan) dan pelaburan sama ada secara langsung atau perkongsian beberapa orang pewaqaf dalam satu tabung atau dengan cara penerbitan saham wang tunai yang diwaqafkan sebagai galakan untuk berwaqaf dan merealisasikan penyertaan masyarakat terhadapnya.
iii. Jika wang tunai yang diwaqafkan itu dilaburkan pada mata benda seumpama pentadbir waqaf (nazhîr) membeli harta tidak alih atau membina binaan dengannya, maka aset (yang dibeli atau dibina) itu tidak menjadi waqaf dengan ‘ainnya (yang mengambil) tempat wang tunai (yang diwaqafkan), bahkan harus menjualnya (aset itu) bagi kesinambungan pelaburan dan jumlah asal wang tunai itulah yang menjadi waqaf.
● Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) dalam Shari‘ah Standards nombor 33 bilangan 3/4/3/2 menyatakan:
“Harus berwaqaf wang tunai dan kemanfaatannya hendaklah dengan cara pemanfaatan yang tidak menyebabkannya habis (digunakan) seperti pinjaman yang diharuskan oleh syara‘ (al-qardh) atau dengan melaburkannya menurut cara-cara yang diharuskan oleh syara‘ yang biasanya terjamin seperti mudhârabah dan bahagian keuntungan daripada waqaf itu disalurkan kepada penerima waqaf (al-mauqûf ‘alaih).”
Menurut institusi-intitusi dan badan-badan yang dinyatakan di atas adalah harus berwaqaf wang tunai dengan cara mengekalkan nilainya dan penggunaannya bukan dengan cara yang akan menyebabkan wang itu habis dan berkurangan seperti dijadikan sebagai pinjaman (al-qardh), melaburkannya dengan membeli harta tidak alih atau membina binaan yang tidak menyusutkan nilai wang yang diwaqafkan.
Dalam hal ini, jika pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) hendak mengikut pendapat yang mengharuskan waqaf wang tunai, maka sebagai irsyâd hendaklah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) mewujudkan satu tabung dana baharu yang dikhususkan untuk kegunaan membina dan membaiki masjid dengan menjaga segala hukum-hakam waqaf serta memastikan nilai waqaf wang tunai itu kekal atau terjamin. Misalnya melaburkan wang tunai itu melalui pelaburan yang terjamin dan hasil daripadanya disalurkan untuk membina, membaik pulih dan menambah bangunan masjid serta keperluannya. Oleh itu, pentadbir waqaf (nazhîr) hendaklah menjaga kekekalan nilai wang waqaf dan tidak menggunakannya pada perkara-perkara yang boleh menyusutkan nilai wang yang diwaqafkan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12886
