Memakai Cincin Mengandungi Kalimah Yang Dimuliakan Dalam Islam
Soalan: Pusat Da’wah Islamiah melalui Bahagian Penapisan dan Pameran telah menerima 15 bentuk cincin bertulis (ُممد رسول هللا ) dan 3 bentuk cincin bertulis ayat al-Kursi.
Sehubungan dengan itu dipohonkan fatwa dan pandangan mengenai perkara tersebut adakah ianya sesuai digunapakai sebagai perhiasan tangan atau sebaliknya?
Jawapan: Memakai cincin sebagai perhiasan adalah harus sama ada bagi lelaki mahupun perempuan dan ia merupakan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ‘ala Syarh al- Manhaj ada menyebut bahawa Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memakai cincin yang diukir perkataan ‘ُممــد رســــــــــــــول هللا ’ (Muhammad Rasulullah). Demikian juga para sahabat Baginda, mereka memakai cincin yang terdapat zikir-zikir dan kalimah yang dihormati dan diagungkan dalam Islam seperti cincin Sayyidina Abu Bakr ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu diukir dengan ‘ َُِّل ر ُ الم َ الحقَادحعلن’ (sebaik-baik yang Maha Kuasa ialah Allah), cincin Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu diukir dengan ‘ ُ َيَ عُمَر ظـــًال وَاعلتحكَفَى ِبل لحمَو’ (cukuplah kematian sebagai peringatan wahai ‘Umar), cincin Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu diukir dengan ‘ ُ آمَنحتصًال ُمُحلِبل َِلَّل ’ (aku beriman dengan Allah dengan sebenar-benar iman), cincin Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu diukir dengan ‘ ُ ِلل َّلح كاَلـحمـُلـــــــ’ (segala kekuasaan hanya bagi Allah) dan cincin Sayyidina Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah Radhiallâhu ‘anhu diukir dengan ‘ ُ ِلل َّلدحا َْلحَم’ (segala pujian hanya bagi Allah).
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan dalam kitab al-Majmû‘ bahawa hukum mengukir cincin sekalipun dengan kalimah dzikrullâh menurut mazhab asy-Syafi‘i adalah harus dan tidak makruh berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Adalah ukiran cincin Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ‘ُممد رسول هللا ’. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Imam Ibnu al-Katsir Rahimahullâh dalam kitab al-Bidâyah wa an-Nihâyah ada menyebut riwayat mengenai cincin Sayyidina Abu Bakr ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu. Daripada Rabi‘ bin Hassan ash-Sha’igh berkata:
Maksudnya: Adalah ukiran cincin Abu Bakr ash-Shiddiq ‘ َُِّل ر ُ الم َ الحقَادحعلن’.
Berdasarkan perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat Baginda menunjukkan bahawa mengukir cincin dengan kalimah dzikrullâh adalah harus.
Walaupun hukum mengukir cincin dengan kalimah dzikrullâh adalah harus, cincin yang terdapat padanya kalimah dzikrullâh itu hendaklah dimuliakan dan dipelihara daripada terdedah kepada penghinaan dan najis seperti tidak membawanya ke tempat kotor seperti tandas berdasarkan hadits daripada az-Zuhri Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memakai cincin yang ukirannya ‘ُممد رسول هللا ’. Maka apabila hendak masuk ke tandas Baginda menanggalkannya (cincin). (Hadits riwayat al-Hakim)
Hadits ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memakai cincin yang terdapat padanya ukiran perkataan ‘ُممد رســـــول هللا ’ dan Baginda menanggalkannya sebelum masuk ke tandas. Perbuatan Baginda itu menunjukkan agar tidak membawa sesuatu seperti cincin yang tertulis padanya ayat al-Qur’an dan nama-nama yang diagungkan dalam Islam ke tempat kotor seumpama tandas.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah dzikrullâh ialah zikir-zikir yang ditulis daripada al-Qur’an dan selainnya yang harus dibawa dalam keadaan berhadats termasuk nama-nama Allah, nama-nama nabi, nama-nama malaikat dan semua nama-nama yang diagungkan dalam Islam.
Menurut Imam ar-Rasyidi Rahimahullâh maksud kalimah dzikrullâh ialah apa jua yang dikurniakan ganjaran pahala bagi orang yang berzikir ketika menyebutnya, termasuklah al- Qur’an dan sebahagiannya dan puji-pujian terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Para ulama asy-Syafi‘i telah sepakat mengatakan bahawa sunat hukumnya menanggalkan benda-benda yang tertulis padanya ayat al-Qur’an atau nama-nama yang diagungkan dalam Islam ketika hendak masuk ke tandas. Tujuannya ialah untuk memuliakan ayat tersebut.
Manakala hukum membawa masuk cincin dan yang seumpamanya yang tertulis padanya ayat al-Qur’an dan nama-nama yang diagungkan dalam Islam ke tempat kotor seperti tandas adalah makruh, tetapi hukumnya menjadi haram jika membawa masuk cincin itu menyebabkan ia terkena najis walaupun bukan ketika melakukan istinjâ’.
Asy-Syaikh Ibnu Hajar Rahimahullâh menyebut dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj sekiranya seseorang itu masuk juga ke tandas dengan membawa benda yang tertulis padanya ayat al- Qur’an; sama ada dengan sengaja atau tidak, maka sunat menyembunyikannya. Beliau berkata:
Ertinya: Sekiranya (seseorang) masuk (ke tandas) dengannya (membawa sesuatu yang tertulis padanya ayat al-Qur’an), walaupun dengan sengaja, (maka) sunat dia menyembunyikannya seperti dengan menggenggam tapak tangannya atasnya (benda yang tertulis kalimah yang diagungkan).
Menurut pendapat yang dinukil oleh Imam an-Nawawî Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘, tujuan ia digenggam itu ialah supaya kalimah dzikrullâh itu tidak nampak.
Manakala bagi sesiapa yang di tangan kirinya tersarung cincin yang terukir ayat al-Qur’an atau nama-nama yang diagungkan adalah wajib ke atasnya menanggalkan cincin tersebut ketika hendak melakukan istinjâ’ agar terpelihara daripada terkena najis.
Oleh itu, kalimah-kalimah dzikrullâh terutama sekali yang terdiri daripada ayat-ayat al- Qur’an dan nama-nama yang diagungkan dalam Islam seperti nama-nama Allah dan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah wajib dipelihara dan dihormati. Menghina dengan sengaja seperti mencampaknya ke tempat yang kotor adalah haram dan termasuk dalam perbuatan yang boleh menyebabkan pelakunya kafir (terkeluar daripada Islam) sebagaimana disebut dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj dan at-Tibyân.
Berdasarkan penerangan di atas, hukum mengukir cincin dengan ayat-ayat al-Qur’an adalah harus sama seperti nama-nama yang diagungkan dalam Islam adalah harus tetapi dituntut kepada pemakainya untuk menjaga adab-adab tertentu bagi memelihara dan memuliakannya seperti tidak mengenakannya kepada najis dan tidak membawanya ke tempat kotor.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12890
