Memakai Sungkup Muka (Face Mask) Semasa Ihrâm
Soalan: Apakah hukum memakai face mask/sungkup muka ketika berihrâm pada masa COVID-19?
Jawapan: Apabila seorang itu berihrâm sama ada ihrâm haji atau umrah atau kedua-duanya sekali maka dia dilarang melakukan beberapa perkara yang disebut sebagai perkara-perkara yang diharamkan ketika berihrâm. Melanggar larangan-larangan tersebut adalah haram hukumnya dan berdosa di samping diwajibkan membayar fidyah atau dam. Antara perkara yang dilarang semasa seseorang itu berihrâm ialah menutup muka.
Larangan menutup muka adalah khusus bagi perempuan yang berihrâm sahaja sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dan janganlah perempuan yang berihrâm memakai niqâb (kain penutup muka) dan jangan memakai sepasang sarung tangan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut asy-Syaikh al-Imam Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitabnya al- Muhadzdzab, beliau berkata:
Ertinya: Dan haram ke atas perempuan (yang berihrâm) menutup muka.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga menyebut mengenai larangan ini dalam kitabnya al- Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab, katanya:
Ertinya: Adapun perempuan, maka muka itu pada hak dirinya seperti kepala bagi lelaki, (oleh sebab itu) haram menutupnya (muka) dengan setiap yang menutup… Manakala bagi lelaki yang berihrâm pula tidak haram ke atasnya menutup mukanya bahkan hukumnya adalah harus sekalipun bukan dalam keadaan dharurat. Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh ada menjelaskan mengenai perkara ini dalam kitab al-Umm, katanya:
Ertinya: Dan perempuan berbeza dengan lelaki (dalam perkara larangan ketika berihrâm), maka (larangan) ihrâmnya (perempuan itu) pada mukanya dan (larangan) ihrâm lelaki pada kepalanya. (Oleh itu harus) bagi lelaki menutup keseluruhan mukanya tanpa ada dharurat dan tidak boleh yang demikian itu bagi perempuan.
Perempuan yang melanggar larangan menutup muka ketika berihrâm adalah berdosa dan wajib membayar fidyah atau dam. Walau bagaimanapun jika dia menutup muka itu kerana hajat atau keperluan seperti kerana sakit, berubat dan seumpamanya, maka dia harus menutup mukanya dan tidak berdosa tetapi dia wajib membayar fidyah. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan perkara ini dalam kitab al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah, katanya:
Ertinya: Jika seorang lelaki perlu (ada hajat untuk) menutup kepalanya atau perlu memakai pakaian berjahit kerana panas, sejuk, berubat atau seumpamanya, atau jika seorang perempuan perlu (ada hajat untuk) menutup mukanya, (maka hukumnya) harus tetapi wajib membayar fidyah.
Asy-Syaikh Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh pula berkata dalam kitabnya Asnâ al- Mathâlib:
Ertinya: Siapa yang memakai ketika ihrâm apa yang haram memakainya (ketika di dalam ihrâm) atau menutup apa yang haram menutupnya ketika ihrâm kerana hajat (seperti) kepanasan, kesejukan, berubat atau seumpamanya, (maka hukumnya) harus dan (wajib) membayar fidyah.
Manakala bagi lelaki yang berihrâm pula adalah harus baginya menutup muka dan tidak diwajibkan ke atasnya membayar fidyah (dam) sekalipun bukan disebabkan dharurat atau hajat sebagaimana yang disebut dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab oleh Imam an- Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: (Menurut) mazhab kami (mazhab asy-Syafi‘i) bahawasanya harus bagi lelaki yang berihrâm menutup mukanya dan tidak dikenakan fidyah ke atasnya.
Dam Bagi Perempuan yang Menutup Muka Ketika Berihrâm
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al- ‘Umrah, apabila seseorang melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika berihrâm seperti mencukur rambut, memotong kuku, memakai pakaian berjahit bagi lelaki, memakai niqâb atau sarung tangan bagi perempuan, memakai wangi-wangian, meminyaki kepala atau janggut dan (suami) bersentuhan dengan isterinya pada tempat selain faraj dengan syahwat, maka diwajibkan ke atasnya dam takhyîr wa taqdîr. Apa yang dimaksudkan dengan takhyîr ialah keharusan memilih gantian dam yang lain mengikut kemampuan orang yang membayar dam tersebut. Manakala maksud taqdîr pula ialah penentuan syara‘ pada gantian dam lain dengan kadar yang telah ditetapkan, tidak lebih dan tidak kurang.
Maka dam takhyîr wa taqdîr bagi perempuan yang menutup muka seperti memakai niqâb atau face mask ketika berihrâm itu adalah dengan memilih di antara satu daripada tiga jenis dam berikut:
(1) Menyembelih seekor kambing sebagaimana syarat-syarat pada binatang korban atau apa-apa yang boleh menggantikan tempatnya daripada satu pertujuh unta atau lembu.
(2) Memberi makan enam orang fakir atau miskin sebanyak tiga gantang yakni setiap seorang diberikan setengah gantang makanan asasi bagi sesebuah negara tersebut seperti gandum, beras atau seumpamanya.
(3) Berpuasa selama tiga hari walaupun dilakukan tanpa berturut-turut.
Adakah Berbilang Dam Ketika Berulang Pemakaian Sungkup Muka (Face Mask) Ketika Berihrâm?
Asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh menyatakan pada dasarnya, fidyah akan berbilang dengan berulangnya perbuatan memakai pakaian atau penutup (kepala) pada masa dan tempat yang berasingan. Walau bagaimanapun, jika seorang lelaki yang berihrâm menutup kepalanya kerana dharurat dan berhajat untuk membukanya ketika mandi junub atau membasuh sebahagiannya ketika berwudhu’, dalam hal ini, menurut pendapat azh-zhâhir fidyahnya tidak akan berbilang sebagaimana yang disebut dalam kitab Hâsyiyah al-Jamal:
Ertinya: (Faedah): Fidyah akan berbilang dengan berulangnya (perbuatan) memakai pakaian atau menutup (kepala atau muka) dengan perbezaan masa dan tempat menurut ‘urf (adat kebiasaan) sepertimana yang dinyatakan perinciannya dalam kitab al-Imdâd. Jika dia menutup kepalanya kerana dharurat dan (sesudah itu) dia berhajat untuk membuka (kesemua penutup itu) ketika mandi junub atau (membuka) sebahagiannya (penutup tersebut) ketika menyapunya (kepala) semasa berwudhu’, maka menurut pendapat azh-zhâhir (dalam mazhab asy-Syafi‘i) bahawasanya tidak berbilang (fidyah) kerana pada (kaedah) asalnya tidak ada ganti rugi pada melakukan perkara yang harus. (Tambahan lagi), kerana kewajiban membuka (penutup itu adalah) untuk melaksanakan perkara wajib (mengangkat hadats) yang bergantung di atasnya kesahan ibadatnya, menjadikannya orang yang dipaksa (melakukannya) menurut syara‘. Paksaan syara‘ itu (adalah) seperti paksaan fizikal dan (paksaan fizikal) ini tidak berbilang (fidyah) padanya, maka demikian juga (paksaan) syara‘. Adapun (hukum) asal wajib dam kerana memakai pakaian disebabkan dharurat, adalah kerana padanya (terdapat unsur) bermewah-mewah dan bersenang-senang untuk diri sendiri berbeza dengan (perkara) ini, ia adalah untuk melaksanakan perkara wajib sepertimana yang dijelaskan yang dikatakan oleh al-‘Allâmah Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah al-Îdhâh.
Perkara ini juga ada disebut dalam kitab Irsyâd az-Zumrah li Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah, Imam al-Kurdi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan tidak berbilang fidyah ke atas sesiapa yang memakai serban kerana dharurat dan (sesudah itu) dia berhajat untuk membuka (mendedahkan) seluruh kepalanya untuk mandi junub atau untuk membuka sebahagiannya (kepalanya) seperti menyapunya (kepala) semasa berwudhu’ sekalipun berbeza masa dan tempat kerana kewajiban membukanya (kepala) telah menjadikannya orang yang dipaksa (melakukannya) menurut syara‘ dan paksaan syara‘ (adalah) seperti paksaan fizikal.
Berdasarkan pendapat ulama di atas, jika perempuan yang berihrâm itu memakai sungkup muka kerana keperluan atau hajat seperti melindungi diri daripada jangkitan wabak COVID- 19, maka hukumnya adalah harus dan tidak berdosa tetapi wajib membayar dam. Namun jika dia membuka sungkup muka tersebut untuk mengangkat hadats atau membuat perkara yang wajib seperti mandi junub atau membasuh muka ketika berwudhu’ dan memakainya semula, maka damnya tidak akan berbilang kerana perbuatannya membuka dan memakai sungkup muka itu adalah bagi melaksanakan tuntutan perkara wajib. Manakala membuka dan memakainya semula bukan kerana melaksanakan tuntutan wajib seperti membukanya untuk makan, minum, tidur atau sebagainya, maka dam yang wajib ke atasnya adalah berbilang mengikut bilangan masa dan tempat.
Adapun memakai sungkup muka bagi lelaki yang berihrâm pula adalah harus walaupun tanpa keperluan atau hajat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12894
