Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Memaparkan Terjemahan Teks Khutbah Di Skrin Projektor

Soalan: Apakah dibolehkan terjemahan langsung teks khutbah Jumaat di skrin (menggunakan projector), di dalam masjid ketika khathib membaca khutbah Jumaat bagi tujuan pemahaman khutbah yang dibacakan itu kepada para jemaah asing yang tidak memahami bahasa Melayu?

Jawapan: Antara rukun-rukun khutbah Jumaat itu ialah berpesan kepada para jemaah agar bertaqwa kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan membaca ayat al-Qur’an yang mengandungi janji baik, janji buruk dan seumpamanya. Kedua-dua rukun khutbah ini memberi isyarat bahawa tujuan khutbah itu ialah untuk memberi peringatan, nasihat, amaran, galakan, bimbingan, didikan dan pengajaran kepada para jemaah dalam menjalani kehidupan di dunia ini berlandaskan syariat Islam.

Memandangkan ada di kalangan jemaah yang menghadiri sembahyang fardhu Jumaat bukan berbangsa Melayu, maka sebahagian mereka tidak memahami atau kurang memahami khutbah yang disampaikan oleh khathib. Hal ini menyebabkan mereka kurang memahami isi kandungan khutbah tersebut. Bagi mengatasi perkara tersebut pihak masjid mengambil inisiatif untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa yang mereka fahami dalam bentuk teks dan memaparkannya di skrin projektor. Namun persoalannya adakah memaparkan teks terjemahan khutbah itu diharuskan atau tidak oleh syara‘?

Khutbah hendaklah diperdengarkan kepada sekurang-kurangnya empat puluh ahli Jumaat, iaitu mereka yang menanggung tanggungjawab kewajiban Jumaat. Ia adalah salah satu syarat sah khutbah. Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Dan yang kelima daripada syarat-syarat (khutbah) ialah memperdengarkan (khutbah) kepada empat puluh jemaah yang lengkap (ahli Jumaat) dengan khathib mengangkat (menyaringkan) suaranya pada rukun-rukun kedua-duanya (kedua-dua khutbah) sehingga (khathib) memperdengarkannya kepada tiga puluh sembilan jemaah selain dirinya sendiri (khathib) dan kerana tujuannya (khutbah) ialah memberi peringatan kepada mereka dan ia tidak akan berhasil (terlaksana) melainkan dengan (cara) yang demikian itu (mengangkat suara)...

Para jemaah pula dituntut untuk diam yakni sunat hukumnya ketika khutbah disampaikan. Maksud diam yang disunatkan itu ialah diam dengan mendengar khutbah dan menumpukan sepenuh perhatian. Berkata asy-Syaikh Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam matan kitab Hâsyiyah al-‘Allâmah asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal:

Ertinya: Dan sunat bagi sesiapa yang mendengar kedua-duanya (dua khutbah) diam pada kedua-duanya (kedua-dua khutbah) iaitu diam berserta mendengar dengan penuh perhatian terhadap kedua-duanya (kedua-dua khutbah)…

Manakala Muhammad asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh pula menyatakan dalam kitabnya al-Iqnâ‘:

Ertinya: Dan disunatkan bagi setiap (jemaah) yang boleh mendengar khutbah untuk diam (memberi perhatian) kepada imam pada masa pembacaan khutbah yang pertama dan kedua.

Berdasarkan kenyataan para ulama di atas dapatlah difahami bahawa tujuan jemaah dituntut diam dan mendengarkan khutbah adalah bagi memastikan jemaah itu benar-benar mendengar dengan penuh perhatian apa yang disampaikan oleh khathib dan mengambil manfaat daripadanya.

Adapun persoalan memaparkan teks terjemahan khutbah di skrin projektor bagi tujuan memahamkan para jemaah tentang isi kandungan khutbah tidaklah dilihat sebagai sesuatu yang menjejaskan kesahan sembahyang Jumaat dan ia juga tidak menyalahi tuntutan diam mendengarkan khutbah. Bahkan boleh dianggap sebagai salah satu usaha dan cara untuk memperkesankan khutbah. Namun paparan teks tersebut, tidakkah ia akan jadi gangguan kepada para jemaah? Misalnya paparan teks yang mengandungi audio, video, grafik, gambar, simbol dan seumpamanya yang boleh melalaikan dan mengalih tumpuan para jemaah? Ini sahaja perkara menyangkut untuk perhatian.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12898